MAAFCAKAP 22.6.2022

Tidak beberapa lama dahulu syarikat tempat saya bertugas mengadakan temuduga untuk pengambilan staf baharu. Poster iklan dipapar di media sosial dan juga di portal pengambilan pekerja, selain dari hebahan melalui kumpulan Whatsapp di grup kakitangan. Tidak cukup dengan itu, kami juga umumkan penerimaan  kehadiran calon melalui ‘walk-in’ interview.

Tiga hari dipilih untuk temuduga. Kami menganggarkan puluhan calon pekerja akan datang. Namun, pada hari kejadian, calon yang hadir pada hari pertama tidak sampai 10 orang. Begitu juga kedatangan pada hari kedua dan juga ketiga. Apa yang sudah jadi? Tidak cukup hebahan? Waktu temuduga tidak sesuai?

Perbincangan diadakan di kalangan Ketua-ketua Jabatan dan kami juga cuba merisik maklumat di syarikat-syarikat yang lain untuk mendapat gambaran, apakah mereka menghadapi keadaan yang serupa?

Benar. Jumlah mereka yang datang temuduga di syarikat-syarikat lain pun tidak ramai. Maknanya, kian ramai yang tidak mahu bekerja makan gaji secara sepenuh masa. Sebaliknya, mereka lebih suka bekerja berdasarkan tugasan. Inilah fenomena sektor sumber manusia yang sedang berubah kepada gig economy.

Gig adalah slanga yang bermaksud tugasan sekejap. Dalam tafsiran kita ia adalah kerja sementara atau kerja sambilan. Keadaan pasaran yang sentiasa tidak menentu menyebabkan makin banyak syarikat sentiasa waspada mengawal kos. Mereka tidak mahu lagi menyediakan jabatan-jabatan dalaman yang tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan bisnes mereka.

Sektor pemasaran, jualan, rekabentuk, penyediaan konten, perakaunan, keselamatan dan lain-lain perkhidmatan sokongan tidak perlu lagi diwujudkan dalam sesebuah syarikat. Adalah lebih mudah mereka mendapatkan perkhidmatan luar.

Betul, ia amat praktikal untuk kebanyakan perniagaan khususnya syarikat-syarikat IKS. Namun, ia tidak menguntungkan kepada ramai di kalangan pekerja ekonomi gig ini dari segi jangka panjang.

Meskipun kerja sambilan sebegini memberi kebebasan masa dan menjimatkan kos perjalanan bagi seseorang, dari segi jangka panjang, dikhuatiri ramai yang tidak sempat membina ekonomi diri dan juga menstabilkan keluarga. Mereka ini tiada kemudahan seperti kenaikan gaji, bonus, cuti dan yang paling penting ialah sakit pening dan jaminan insuran mereka sepertimana pekerja tetap.

Pada hari ini masing-masing masih boleh bertahan bekerja secara sambilan. Tetapi maaf cakap… 20 tahun akan datang, bagaimanakah keadaan kerjaya mereka? Pendek kata, seseorang yang bekerja sambilan itu tidak ubah seperti odd-job worker atau handyman menurut istilah dahulu.

Keadaan ini mengakibatkan seseorang pekerja dalam ekonomi gig ini juga tidak mendedahkan mereka dengan sistem dan disiplin kerja, memahami perlakuan dalam organisasi, bekerja dalam pasukan dan peluang untuk mempunyai dan membina tim sendiri.

Dari segi jangka panjang seseorang petugas dalam ekonomi gig ini akhirnya tidak sempat untuk memikirkan masa depan diri dan keluarganya. Sebab, ada kerja baru ada gaji. Dia tidak boleh merancang lebih jauh kerana dia bekerja tanpa kerjaya.

Ini berbeza berbanding dengan seseorang pekerja tetap di sesebuah organisasi di mana sekurang-kurangnya kerjaya beliau dipantau dan dibina oleh pihak syarikat melalui Jabatan Sumber Manusia. 

Keadaan diburukkan lagi dengan kesukaan instant gratification atau kepuasan semerta yang dibekalkan oleh media sosial. Ia adalah dunia lepas bebas di mana seseorang itu boleh menggila berhibur sesuka hati tanpa henti. Keseronokan menjadi ulam kehidupan seharian. Di mana masa depan diri, keluarga, ibubapa dan juga agamanya? Mudah-mudahan mereka kesemua hanya menjadi pekerja dalam gig economy secara sementara. Mudah-mudahan mereka sentiasa mencari dan dibuka jalan mendapat kerja yang lebih stabil.