MAAFCAKAP 6.7.2022


KITA DARI MANA HENDAK KE MANA

Baru-baru ini seorang pelajar, Syida menemubual saya secara Google Meet untuk menyiapkan tugasan dalam program Pengajian Medianya. Syida tidak kekok bertanya soalan, persis seorang wartawan. Tentulah perbualan menjadi rancak kerana dia mempunyai keyakinan diri. Namun, berbeza pula apabila Syida tampak kurang keyakinan diri.

Saya memang biasa berdepan dengan manusia yang mempunyai perawakan yang boleh berbeza. Syida extrovert sebagai pelajar kewartawanan tetapi sebaliknya introvert sebagai seorang gadis. Dan, dia meminta pandangan saya mengenai apa yang harus dia lakukan sebaik sahaja tamat pengajian.

Setelah berfikir sejenak, saya memberikan input saya. Saya kata, walau apa pun yang diingini, pertamanya seseorang itu harus tahu apa yang dia hendak. Sekurang-kurangnya seseorang itu mesti punyai gambaran dia dengan apa yang diingininya.

Jika ingin menjadi seorang doktor, dia harus punyai imej dia berpakaian jubah putih dan sebuah stethoskop berlingkar di dadanya. Dia mesti ‘nampak’ dirinya sebagai orang yang telah berjaya mencapai apa yang diingininya.

Kedua, seseorang itu mesti tahu di mana dia berada sekarang. Umpama seseorang yang ingin memandu ke sesebuah tempat, dia mesti memasukkan maklumat dia di mana dan hendak ke mana kepada aplikasi Waze sebelum ditunjukkan jalan. Ramai orang yang ‘tidak sedar dirinya berada di mana’ sebelum melangkah ke mana-mana.

Ketiga, untuk mencapai sesuatu itu, kita mesti tahu cara untuk mendapatkannya. Jika ia mengenai kelulusan, dia mesti tahu apakah matapelajaran yang perlu diambil. Berapakah kelayakan minima dan di manakah dia boleh melanjutkan pelajarannya. Seandainya ia mengenai kerjaya, seseorang itu perlu tahu mengenai kemahiran yang perlu dia ada dan latihan yang perlu dilalui.

Keempat, seseorang itu mesti tahu bilakah dia ingin mencapai apa yang dihajati. Kerangka waktu atau garis waktu adalah perlu jika seseorang mahu mencapai sesuatu. Jika tiada ketetapan ‘bila’ maka dia mungkin berbuat sesuatu sambil lewa, bertangguh yang akhirnya tidak kesampaian. Hanya menjadi angan-angan Mat Jenin.

Dan kelima, perkara yang tidak ramai yang suka memikirkan ialah memahami hakikat bahawa apa yang dicapai itu kesemuanya dengan izin ALLAH. Dan, apa yang tidak diperolehi itu juga dengan kehendak ALLAH.

Apabila kita berasa yang kita akan mencapai sesuatu yang diingini kerana kita berusaha secara mutlak tanpa mengambil pertimbangan akan ketentuan-NYA, maka orang berjaya akan berasa dia berjaya kerana usahanya semata-mata. Dia akan mengikut logik akal bahawa dia akan mendapat apa yang dihajatinya apabila dia bersungguh-sungguh.

Dengan tanggapan bahawa dia berhak berjaya setelah berusaha, dia tidak dapat menerima hakikat kegagalan. Dia akan kecewa, tawar hati, hilang keyakinan diri, malah ‘marahkan Tuhan’ kerana berasa dirinya tidak diberi keadilan kerana masih gagal walaupun telah berusaha bersungguh-sungguh.

Padahal, manusia hanya melihat dia berjaya bila mencapai apa yang dihajati dan berasa gagal bila tidak dapat menunaikan kehendaknya. Sedangkan setiap langkah dan gerak manusia itu diperhati-NYA dan terpulang pada ALLAH hendak memberi atau menafikan kehendak seseorang. Namun, ALLAH tetap memberi markah yang sama bagi setiap usaha manusia samada berjaya atau sebaliknya.

Proses usaha itulah yang pasti diberi ganjaran. Kejayaan atau kegagalan hanyalah perhentian sementara. Orang berjaya mungkin jadi lebih baik atau sombong dengan kejayaannya. Orang gagal mungkin merajuk dengan Tuhannya atau menambah doa dan menjadi insan yang taat. Selepas berusaha, tindakan orang berjaya atau gagal itulah yang akan diberi markah.

Lama Syida termenung, kemudian mengangguk tanda faham.