Sejarah Yang Dipancung
MAAFCAKAP 10.8.2022
Penghijrahan Parameswara dari Majapahit yang kemudiannya membuka Melaka pada kurun ke-14, membawa era pemerintahan Melayu yang tersohor di Semenanjung. Bagaimana pun, negeri-negeri lain seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Kedah Tua turut mempunyai kerajaan jauh lebih awal sebelum itu.
Menurut kajian sejarah, teknologi kerajaan Melayu Melaka begitu terserlah. Pelabuhan Melaka merupakan di antara pelabuhan yang sibuk di dunia sebelah sini dengan perdagangan dari benua Cina, India, tanah Arab hingga ke Eropah. Malah terdapat bukti perhubungan kerajaan Melaka dengan empayar Uthmaniyah.
Teknologi perkapalan dan maritim Melayu Melaka dihormati pihak luar. Kapal Mendam Berahi, iaitu kapal terbesar Melayu itu jauh lebih besar dari kapal negara-negara di Eropah termasuk dari Portugal. Melayu membina pistol, senapang, meriam dan bom. Kerana itu, apakah mungkin Hang Tuah punyai sepucuk pistol selain dari keris Taming Sari?
Anutan 3G iaitu gold, glory dan gospel dari golongan penjajah Portugis, Sepanyol, Belanda dan British mengubah niat asal mereka dari berdagang kepada menakluk demi perjuangan agama mereka. Berkurun lamanya Barat menjajah Tanah Melayu hingga akhirnya di tangan British.
Bukan sedikit tentangan orang Melayu terhadap British. Hampir setiap negeri yang didatangi British mendapat tentangan dari orang Melayu. Muncul nama-nama pahlawan Melayu penentang British, di antaranya Tok Janggut, Kelantan; Haji Abdul Rahman Limbong, Terengganu; Mat Kilau, Pahang; Si Bongkok, Johor dan Dato’ Dol Said, Negeri Sembilan.
Raja Haji Fisabililah pula adalah pahlawan Melayu di Selangor; Perak, Dato Maharaja Lela; Kedah, Panglima Tok Rashid; Sabah, Mat Salleh dan Sarawak pula mempunyai pahlawan Rosli Dhoby. Ringkasnya Melayu hidup dan bernyawa menentang penjajah dari seluruh pelosok tanah airnya.
Cadangan Malayan Union pada 1948 menghimpun orang Melayu dari segenap lapisan menentang British. Golongan bangsawan yang memimpin gerakan menentang Malayan Union disokong oleh orang Melayu dari kalangan guru, petani, nelayan, penarik beca termasuk suri rumah.
Dan, Jalur Gemilang berkibar setelah bendera Union Jack diturunkan. Kita melaung tujuh kali perkataan ‘Merdeka’ dengan bangganya. Itulah simbol fizikal kemerdekaan negara. Tetapi mental kita masih tertakluk. Tidak keterlaluan seandainya dikatakan minda kita belum bebas hingga ke hari ini.
Tinggalan jajahan minda yang paling berkesan ialah lemahnya jiwa orang Melayu. ‘Melayu pemalas’ adalah label yang diasak penjajah ke dalam minda orang Melayu. Frank Swettenham, Hugh Clifford, J.W.W Birch, Stamford Raffles dan R.O Winsteldt adalah di antara pegawai British dan juga orientalis yang melekatkan label itu hingga masih ramai orang Melayu yang mempercayainya.
Saya pernah menyampaikan maklumat mengenai kejayaan kesultanan Melayu Melaka kepada seorang pelanggan yang berkunjung ke kedai buku saya, IqraRead. Taklimat saya itu disambut dengan senyuman sinis! Namun, saya tidak hairan sekiranya ramai di kalangan orang Melayu sendiri yang gusar bila saya bercakap tentang ‘Melayu.’
Mereka bimbang kata-kata ini membawa kepada sikap rasis. Sebenarnya mereka takut dan tidak yakin dengan diri mereka yang menjadi orang Melayu kerana mereka yakin bahawa diri mereka dari golongan yang lemah dan malas. Mereka bimbang sikap berterus terang ini dianggap ganas. ‘Biarlah kita tenang-tenang dan jangan riuh-riuh,’ kata hati mereka ini.
Ini timbul kerana sejarah bangsa telah dipancung dari jiwa hingga mereka berasakan yang mereka hanyalah manusia yang tiada akar umbi. Siapakah yang memancung sejarah mereka? Selepas para orientalis, maaf cakap… orang politiklah yang memutuskan pertalian sejarah asal usul kita. Buktinya, bila disebut sejarah Malaysia, yang sentiasa diuar-uarkan mereka hanya sejarah sejak 31 Merdeka.
Apakah kita tiada sejarah sebelum itu, sedangkan segala denyut nadi perjuangan dan pertimpahan darah telah mengalir lama sebelum itu? Maka peliklah bila ramai yang percaya kita merdeka tanpa setitis darah yang gugur!
Melayu Bersemangat Kerana Bangsanya
MAAFCAKAP 3.8.2022
1 Muharram 1444 Hijrah, bersamaan Sabtu 30 Julai 2022, telah berlangsung Hari Peradaban Bangsa Melayu di Taman Melawati, Kuala Lumpur. Ia adalah sebuah majlis yang amat signifikan kerana ia mengenengahkan peradaban Melayu kepada khalayak, khususnya kepada orang Melayu sendiri.
Melayu kental kerana agamanya. Melayu bersemangat kerana bangsanya. Hal-hal agama memang sentiasa ditiup ke jiwa mereka melalui pelbagai pendekatan. Mereka bersolat, menghadiri majlis, malah sentiasa menjaga batas kehidupan dalam berpakaian dan juga permakanan mereka dalam kehidupan seharian.
Sebaliknya sebagai Melayu, kehidupan mereka sudah bercampur baur dengan pelbagai budaya lain. Mereka bercakap menggunakan bahasa yang bercampur-campur, hanya berbaju Melayu pada Hari Raya, makanan kegemaran mereka tidak semestinya masakan Melayu meskipun halal.
Dan, mereka jarang-jarang sekali diperingatkan bahawa mereka adalah bangsa Melayu yang pernah menjadi bangsa yang agung di Nusantara. Apakah dalam sehari telinganya ada terdengar perkataan ‘Melayu’ itu sendiri? Dalam seminggu pun, belum tentu perkataan itu melintas di skrin telefon mereka.
Akibatnya, perkataan ‘Melayu’ semakin asing dari perbendaharaan kata mereka. Inilah yang menjadikan terdapat di kalangan orang Melayu yang malu mengaku Melayu, tidak yakin mempertahankan hak, malah turut bertepuk tangan bila orang lain mempersendakan bangsanya melalui persembahan pentas seperti yang terjadi baru-baru ini.
Difahamkan, PEMBELA sebagai pertubuhan penganju,r memfokuskan temasya itu kepada kebudayaan dan kesenian. Molek sangat seandainya kebudayaan dan kesenian yang dipersembahkan bukan sekadar budaya visual semata-mata untuk tontonan para pelancong.
Sebaliknya, program itu harus disasar untuk orang Melayu sendiri. Inti acara yang dipertontonkan harus terhunjam jauh ke dasar hati orang Melayu agar temasya itu menjadi sesuatu yang akan diingati dan dinanti-nanti.
Untuk itu, kebudayaan dan kesenian yang dipersembahkan bukan semata-mata seni pembuatan pakaian, kraf, persenjataan dan juga seni silat. Tetapi yang boleh menjadi makna yang mendalam buat orang Melayu ialah memperkenalkan semula seni pembuatan senjata, senibina termasuk pembinaan kapal.
Orang Melayu yang ada, yang mahir dalam pembuatan senjata seperti keris, lembing, badik dan sebagainya harus mempamerkan kemahiran seni dan juga teknologi pembuatan. Bagaimana pula senibina warisan rumah Melayu yang pelbagai jenis boleh didirikan hingga tahan berpuluh tahun lamanya? Ada ramai orang Melayu yang mahir. Kemahiran mereka harus diketengahkan. Ilmu mereka wajib diwarisi.
Begitu juga seandainya dapat dikumpul mereka yang pandai membina kapal, mereka yang berkemahiran itu boleh dipanggil menunjukkan kemahiran mereka. Adakan bengkel mempelajari seni pembuatan kapal dengan matlamat untuk membina kembali sebuah kapal Mendam Berahi ~ tetapi yang hybrid menggunakan layar dan juga enjin.
Adalah molek sekiranya pihak pemerintah mahu menjadikan Hari Peradaban Bangsa Melayu sebagai salah sebuah program di dalam kalendar pelancongannya. Namun, jika ia tidak kesampaian, PEMBELA sendiri harus kekal mengendalikan program ini ‘dengan atau tanpa bantuan kerajaan’ kerana bangsa Melayu sendiri harus membela bangsanya.
Apabila ia dirancang dengan tersusun, dipikul oleh lebih banyak pihak dan dihebah dan dihebohkan secara meluas seantero negara, Hari Peradaban Bangsa Melayu boleh menjadi satu-satunya program besar yang dianjurkan di setiap negeri, malah ke setiap daerah hingga menjadi seolah-olah Hari Raya Melayu.
Jangan risau tentang sambutan. Orang Melayu akan menyahutnya. Perhimpunan membantah ICERD pada 2018 telah membuktikan bahawa orang Melayu hanya menanti semboyan untuk bangkit. DNA Melayu memang tertanam di dasar hati mereka. Seru sahaja.
ANJING DAN HUKUM KETIGA NEWTON
MAAFCAKAP 27.7.2022
Saya sedang melangkah pulang dari farmasi bila terdengar suara jeritan seorang kanak-kanak. Lantas saya menoleh dan terpandang dia sedang berlari kerana dikejar seekor anjing. Saya sempat memintas dan berdiri di antara kanak-kanak dan anjing itu.
Saya menyuruh kanak-kanak itu berhenti berlari, bergerak secara berundur tetapi jangan bertentang mata dengan anjing itu. Binatang tidak suka bertentang mata kerana itu bahasa untuk ajak bergaduh. Saya menyuruh kanak-kanak itu buat-buat tak nampak akan anjing itu tetapi sentiasa awas.
Saya pula berdiri tegak sambil menjeling pada anjing itu. Memang saya tidak berasa takut kerana anjing itu menyalak sambil mengibas-ngibas ekornya. Itu bahasa anjing mengajak kita main kejar-kejar. Bila saya berdiri begitu, anjing itu berhenti menyalak dan berhenti mengejar.
‘Go!’ Perintah saya dengan suara tegas. Agaknya kerana mula faham yang saya tidak mahu bermain, anjing itu tertunduk-tunduk berlalu. Saya terus menemani kanak-kanak itu pulang sambil memberinya tips apa yang hendak dilakukan bila dikejar anjing.
Mujur, saya pernah terbaca panduan apa yang hendak dilakukan bila dikejar anjing di Google. Jika tiada ilmu itu, saya akan gunakan ilmu yang saya belajar dari kawan-kawan sekampung dahulu. Bila nampak anjing, capai batu dan baling! Kalau anjing tidak mengganggu pun pura-pura capai batu di tanah, pura-pura baling dan anjing akan lari. Ha-ha… nakalnya!
Bila memikirkan insiden berdepan dengan anjing itu, saya tersedar yang kita ini suka mengaplikasi hukum Newton yang ketiga! Hukum ketiga itu menyatakan bahawa untuk setiap daya tindakan, terdapat satu daya tindak balas yang mempunyai magnitud sama dan bertindak pada arah yang bertentangan.
Dalam bahasa yang mudah, apabila kita menerima sesuatu tindakan, kita akan memberi reaksi tindak balas yang serupa. Kata orang, air dilawan dengan air, api dilawan dengan api. Kita ini manusia yang ada ego. Kita akan melawan untuk menunjukkan yang kita juga punyai daya. Kalau kita berdiam, itu menggambarkan kita lemah atau penakut.
Anjing yang mengejar itu berhenti bila kita tidak lari atau mendepani untuk menentangnya. Sebaliknya bila kita buat-buat tidak tahu, anjing itu berlalu pergi. Pendek kata, kita tidak mengikut rentak yang diingini oleh anjing itu. Bila kita tidak menuruti kehendak anjing itu, pertembungan tidak terjadi. Pertembungan akan mengakibatkan kesan yang buruk dan panjang.
Dalam pelbagai situasi, kita suka memberi reaksi yang bersetentang dengan apa yang kita terima. Apabila pemandu di belakang membunyikan hon kerana kita lambat membelok, kita sempat menunjuk isyarat lucah kepadanya sebagai reaksi melawan.
Apabila mendapat sebuah komen dari orang yang tidak dikenali yang memperlekeh kita di media sosial, kita menyindirnya kembali dengan panjang lebar. Tidak cukup dengan itu, kita menampal poster reaksi untuk dikongsi dengan kawan-kawan bagi menceritakan betapa buruknya orang yang memperlekeh kita.
Seharusnya kita kenalah buat pertimbangan dahulu untuk apa kita perlu memberi reaksi yang serupa. Dalam pelbagai situasi, kita memberi reaksi kepada orang yang kita tidak kenal pun. Pemandu yang membunyikan hon, netizen yang memperlekeh kita, malah anjing yang mengejar itu besar kemungkinannya tidak akan kita temui lagi.
Memang tidak berbaloi apabila kita boleh bersengketa dengan orang yang kita tidak kenali semata-mata kerana kita tidak setuju dengan tindakannya. Banyak pergaduhan yang melibatkan pengguna jalan raya tidak sepatutnya berpanjangan hingga menjadi kes mahkamah semata-mata bila kedua-dua pihak memberi reaksi. Padahal, dengan mendiamkan diri dan tidak memberi reaksi, pergeseran akan dapat dielakkan dan masing-masing akan melupakannya dalam tempoh sehari.
Dalam hidup ini, kita perlu menjadi proaktif, sebagai pencetus sesuatu; bukannya yang reaktif iaitu yang memberi reaksi apabila sesuatu yang terjadi. Ini adalah kerana, orang yang memberi reaksi itu sebenarnya berjiwa pengikut kerana bertindak hanya apabila dirangsang dari luar.
Tidak memberi reaksi itu juga adalah tindakan proaktif kerana kita mengajak pihak yang satu lagi mengalih bentuk tindakan walaupun dengan cara mendiamkan diri. Dia ikut rentak kita, bukannya kita ikut gendang dia.
Saya Kembali ke Pawagam
MAAFCAKAP 20.7.2022
Bila saya catat dua minggu lepas bahawa filem Mat Kilau telah mengheret mereka yang sudah lama tidak ke pawagam untuk masuk panggung, sayalah di antara mereka itu. Kerana Covid-19, saya terpaksa mengenepikan kesukaan saya menonton di pawagam. Dan kerana Mat Kilau, saya kembali ke panggung.
Pada tahun lalu, sebelum fasa endemik, saya pergi menonton sebuah siri Marvel di sebuah pawagam terkenal. Saya tidak suka pada SOPnya kerana semua harus dilakukan secara atas talian; dari pembelian tiket hinggalah untuk mendapatkan bertih jagung.
Kini, peraturan menonton di pawagam sudah seperti sebelum PKP. Namun untuk pembelian tiket dan bertih jagung, ia dilakukan secara atas talian di luar pawagam. Akan tiba masanya nanti, kaunter jegung bertih pun tidak diperlukan. Sebaliknya, mesin layan diri sahaja yang disediakan. Tenaga manusia hanya diperlukan untuk mengawasi perjalanan mesin kod QR di pintu masuk.
Suasana di pawagam pada hari ini sudah jauh berbeza berbanding dengan tahun 60-an. Di tempat saya membesar di bandar Mersing, terdapat dua buah panggung wayang. Satu daripadanya tidak berbumbung sepenuhnya. Bila hujan, para penonton akan berlari ke kawasan yang berbumbung untuk menonton sambil berdiri. Jika panggung wayang begitu wujud pada hari ini, tentulah ia akan menjadi bahan tular di Tiktok.
Sebelum tayangan bermula, panggung wayang akan memainkan pelbagai lagu. Tidak sunyi sepi seperti panggung wayang pada hari ini. Jajan wajib bagi penonton di waktu itu bukannya jagung bertih, tetapi kuaci. Bila hampir semua penonton mengunyah kuaci Cap Helang, bunyinya lebih kuat dari memamah jagung bertih. Kasut pun boleh tenggelam dengan kulit kuaci.
Harga tiket pula hanya 65 sen untuk dewasa dan 40 sen untuk kanak-kanak. Dengan harga itu, saya mampu mengumpul duit untuk menonton. Dengan 40 sen juga, saya biasa mengheret seorang kawan untuk masuk percuma kerana penjaga pintu ialah orang kampung.
Pantang ada filem yang mula ditayang, saya pasti akan menonton, tidak kira samada filem Melayu, Hindustan mahupun filem Inggeris. Tempat kegemaran saya di waktu kanak-kanak adalah di kerusi paling hadapan sebab seronok melihat skrin besar terpampang di depan mata.
Sewaktu menuntut di kolej, saya biasa menonton dengan kawan-kawan di panggung wayang Rex atau Cathay di Kelang. Kedua-dua panggung wayang itu adalah jenama gergasi seperti Tanjung Golden Village dan Golden Screen Cinemas pada hari ini.
Bila bekerja di Kuala Lumpur, saya tetap meluangkan masa untuk menonton. Di era cineplex di mana terdapat 7-8 buah panggung wayang sebelah menyebelah di kompleks membeli-belah, saya pernah menonton dua buah filem secara berikutan, back-to-back. Biasanya pada hari Khamis, filem baharu akan mula ditayang. Staf saya tahu sangat mengapa saya suka ambil cuti separuh hari pada hari itu.
Saya lebih banyak menonton bersendirian daripada menonton dengan kawan-kawan ataupun keluarga. Kerusi kegemaran saya ialah di baris G, iaitu tujuh baris dari skrin, di kerusi bahagian tengah. Kerana minat, saya pernah menjadi satu-satunya penonton filem di dalam pawagam. Saya masih ingat yang saya menonton filem Nixon sendirian bila tamat tayangan.
Namun begitu, saya pernah keluar panggung kerana tidak sukakan sesebuah filem. Filem Abraham Lincoln; Vampire Hunter sungguh menjengkelkan kerana plot ceritanya yang berterabur. Saya keluar panggung 10 minit setelah tayangan.
Bagi saya, skrin besar terbentang luas dan runut bunyi yang menggema, cukup untuk mengalirkan hormon adrenalin dan dopamine yang menjadikan saya sentiasa peka dengan suasana sekeliling dan kreatif. Ia menjadikan menonton di saluran Astro mahupun Netflix, tidak dapat menyaingi suasana dan pengalaman menonton di pawagam. Lagi pula, orang rumah tak kuasa menyediakan bertih jagung sebagai jajan kita melayani minat!
Bila Pula Dapat Baca Novel Mat Kilau?
FILEM MAT KILAU telah mencatat sejarah perfileman Malaysia. Sehingga artikel ini ditulis, kutipannya telah mencecah RM80 juta walaupun baru ditayang tidak sampai sebulan. Di sebalik kehebatan filem itu, kelihatan kelibat novel Mat Kilau diedar di kalangan kenamaan pada malam Tayangan Perdana pada 23 Jun lalu.
Para peminat novel tertanya-tanya siapakah yang menulis novel Mat Kilau? Layar Minda menyelusuri dan dapat menghubungi penulisnya, RAMLAH RASHID. Ikuti temubual kami…
Saya terpandang novel MAT KILAU dalam media sosial dan juga melihat nama Ramlah Rashid di depan buku sebagai penulisnya. Apakah saudari adalah penulisnya secara solo atau sebagai penulis bersama?
Saya penulis bersama. Ia berdasarkan filem dan skrip asal serta sedikit perbincangan dengan penulis asal skrip Tuan Haji Shahruddin Dali.
Ceritakan bagaimana penerbit mendapatkan saudari untuk menulis novel ini…
Penerbitnya Tuan Haji Shahruddin menghubungi penulis Maizura Mohd Ideris menyatakan hasratnya. Maizura pula menghubungi saya menawarkan pada saya menulis novel itu.
Pada mulanya saya ragu kerana saya adalah penulis novel popular. Namun saya ada juga menulis novel sastera di DBP. Tapi novel itu tidaklah begitu sasteranya. Saya juga ada menulis USANG, sebuah novel bertemakan sejarah, yang menang saguhati dalam Sayembara Sempena 50 Tahun merdeka. Saya kata, saya akan cuba.
Bila ia bermula?
Saya terima tawaran menulis novel MAT KILAU pada September 2020. Saya diminta Tuan Haji Shahruddin siapkan dalam masa tiga bulan. Saya setuju, tapi saya terlanggar deadline kerana ada bahagian yang saya tak puas hati dan nak kaji lagi.
Dia kata okey sebab filemnya pun belum boleh ditayang sebab PKP. Alhamdulilah, saya dapat siapkan novel itu sebelum MAT KILAU mula ditayangkan di pawagam.
Macam mana Puan menulis dari skrip filem itu?
Saya diberi peluang untuk menonton filem Mat Kilau yang belum ada sound track lagi di waktu itu. Filem itu mengambil waktu dua minggu penentangan Mat Kilau di Tembeling, Pahang. Daripada tontonan selama dua jam itu saya pun menulis. Tapi lepas itu saya masih tidak puas hati dan minta untuk melihat skrip filem itu. Kemudian saya buat lagi perubahan.
Jadi, Puan ambil seluruh skrip itu untuk dipadankan dengan novel yang Puan tulis?
Tidak. Konten dari filem hanya lebih kurang 20 % sahaja iaitu di penghujung novel itu. Ending novel MAT KILAU itu disudahkan seperti di dalam filem.
Sejarah MAT KILAU yang Puan tulis adalah sejarah sebenar?
Ya. Sejarah sejak dia lahir, sampai dia dipaksa melarikan diri dari Pahang.
Bagaimana pula dengan watak-watak di dalam novel itu? Apakah puan masukkan watak-watak di dalam filem ke novel?
Watak-watak di dalam filem itu saya masukkan dari awal sebab nama-nama itu memang ada. Ada juga watak fiksyen seperti watak Wahid. Saya tak jumpa namanya dalam buku-buku dan juga di internet yang saya selusuri.
Saya saya dapat tahu PTS pernah menerbitkan novel Mat Kilau dan berusaha mendapatkannya tetapi jawapan yang saya terima – ‘novel Mat Kilau sudah tidak dicetak lagi.’
Saya berbincang dengan Tuan Haji Shahruddin berkenaan watak Wahid, beliau minta saya kekalkan di dalam novel kerana filem dan novel ada fiksyen.
Apakah novel ini adaptasi daripada filem atau ia gabungan dua penceritaan iaitu 80 peratus kisah benar dan 20 % fiksyen?
Kita tak pasti apakah sejarah keseluruhan Mat Kilau. Dan saya hanya mampu minta penjelasan beberapa orang guru sejarah, tetapi apa yang diceritakan kepada saya sangat sedikit. Iaitu apa yang tertulis di internet dan di skrip filem.
Kalau ada pun yang mengaku cucu dan cicit, cerita mereka tentang allahyarham Mat Kilau hanya berkisar kisah di penghujung usianya. Mat Kilau meninggal dunia pada 1970.
Jadi barangkali dalam kenyataan cucunya usianya 6-7 tahun ketika allahyarham meninggal dunia. Maknanya, menurut pengamatan saya, cerita Mat Kilau adalah cerita atas cerita atas cerita.
Jadi, kisah Mat Kilau yang difilemkan ini adalah kisah allahyarham di usia 20an, baru berkahwin ketika kemasukan British buat kali pertama di Pahang. Endingnya dia keluar dari Pahang.
Apa yang di internet, saya ikuti dan saya sesuaikan melalui imaginasi saya sendiri. Tetapi sebenarnya dalam novel saya ini, bukan semuanya sejarah Mat Kilau tetapi ia adalah budaya Melayu di zaman itu.



Jadi ia bukan sebuah novel sejarah?
Tuan Haji Shaharuddin kata, ini adalah novel fiksyen yang menggunakan karektor sebenar. Saya bertanya di mana saya nak dapatkan sumbernya sebab movie ini terlalu simple. Untuk novel, jika ia sebuah novel sejarah, saya kena kaji sejarahnya.
Saya minta dari penerbit di mana saya nak dapatkan sejarahnya. Tapi penerbit kata, kita bukan nak kata ini novel sejarah. Ini adalah fiksyen. Kalau ia novel sejarah, ia dah jadi biografi.
Jadi, novel Mat Kilau adalah adaptasi dari filem yang mana juga memasukkan elemen-elemen sebenar. Ia ada real story dan fiksyen di hujung novel? Kalau pengkaji sejarah hendak ambil ia sebagai bahan sejarah, tak bolehlah.
Mereka kenalah kaji dan perbetulkan apa yang tak tepat di dalam novel itu. Kalau kita lihat pada banyak buku-buku sejarah, ada banyak campurannya. Saya bercakap begini untuk mengalas kata. Manalah tahu, ada yang kata… ‘ini bukan buku sejarah…’
Sekarang ini Puan mengambil masa tiga bulan untuk menyiapkan novel ini…
Iya, tapi kemudian, novel ini dipinda dan setelah berbincang dengan penerbit, ada beberapa perkara yang sensitif yang terpaksa dikeluarkan.
Tapi ada bahagian yang sesuai dari imaginasi penulis sendiri telah dimasukkan. Akhirnya keseluruhan novel itu siap setelah tujuh atau lapan bulan iaitu pada 2021.
Di mana nak dapatkan novel ini?
Alhamdulilah, sesiapa yang berminat boleh membuat pesanan pra-cetak melalui Shopee. Harganya RM28.90 sahaja.
Sekarang masih menulis?
Kini saya menulis skrip drama radio dan TV. Untuk buku, novel Mat Kilau inilah kerana hendak mencabar diri kerana dah lama tidak menulis novel. Saya pula dah kurang berminat pada novel-novel popular. Sebaliknya saya lebih berminat dengan novel-novel seperti novel Mat Kilau.
…………………..
RAMLAH RASHID, 57, penulis novel Mat Kilau Ramlah Rashid dilahirkan pada 1 Ogos 1965, di Teluk Sareh Empai, Parit, Perak. Beliau mendapat pendidikan awal di SK Teluk Sareh, SMK Sultan Muzaffar Shah 1 dan Kolej Yayasan Anda.
Beliau yang kini merupakan penjawat awam di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) telah menghasilkan pelbagai genre penulisan kreatif seperti puisi, cerpen dan novel.


