MAAFCAKAP 20.7.2022

Bila saya catat dua minggu lepas bahawa filem Mat Kilau telah mengheret mereka yang sudah lama tidak ke pawagam untuk masuk panggung, sayalah di antara mereka itu. Kerana Covid-19, saya terpaksa mengenepikan kesukaan saya menonton di pawagam. Dan kerana Mat Kilau, saya kembali ke panggung.

Pada tahun lalu, sebelum fasa endemik, saya pergi menonton sebuah siri Marvel di sebuah pawagam terkenal. Saya tidak suka pada SOPnya kerana semua harus dilakukan secara atas talian; dari pembelian tiket hinggalah untuk mendapatkan bertih jagung. 

Kini, peraturan menonton di pawagam sudah seperti sebelum PKP. Namun untuk pembelian tiket dan bertih jagung, ia dilakukan secara atas talian di luar pawagam. Akan tiba masanya nanti, kaunter jegung bertih pun tidak diperlukan. Sebaliknya, mesin layan diri sahaja yang disediakan. Tenaga manusia hanya diperlukan untuk mengawasi perjalanan mesin kod QR di pintu masuk.

Suasana di pawagam pada hari ini sudah jauh berbeza berbanding dengan tahun 60-an. Di tempat saya membesar di bandar Mersing, terdapat dua buah panggung wayang. Satu daripadanya tidak berbumbung sepenuhnya. Bila hujan, para penonton akan berlari ke kawasan yang berbumbung untuk menonton sambil berdiri. Jika panggung wayang begitu wujud pada hari ini, tentulah ia akan menjadi bahan tular di Tiktok.

Sebelum tayangan bermula, panggung wayang akan memainkan pelbagai lagu. Tidak sunyi sepi seperti panggung wayang pada hari ini. Jajan wajib bagi penonton di waktu itu bukannya jagung bertih, tetapi kuaci. Bila hampir semua penonton mengunyah kuaci Cap Helang, bunyinya lebih kuat dari memamah jagung bertih. Kasut pun boleh tenggelam dengan kulit kuaci. 

Harga tiket pula hanya 65 sen untuk dewasa dan 40 sen untuk kanak-kanak. Dengan harga itu, saya mampu mengumpul duit untuk menonton. Dengan 40 sen juga, saya biasa mengheret seorang kawan untuk masuk percuma kerana penjaga pintu ialah orang kampung. 

Pantang ada filem yang mula ditayang, saya pasti akan menonton, tidak kira samada filem Melayu, Hindustan mahupun filem Inggeris. Tempat kegemaran saya di waktu kanak-kanak adalah di kerusi paling hadapan sebab seronok melihat skrin besar terpampang di depan mata.

Sewaktu menuntut di kolej, saya biasa menonton dengan kawan-kawan di panggung wayang Rex atau Cathay di Kelang. Kedua-dua panggung wayang itu adalah jenama gergasi seperti Tanjung Golden Village dan Golden Screen Cinemas pada hari ini. 

Bila bekerja di Kuala Lumpur, saya tetap meluangkan masa untuk menonton. Di era cineplex di mana terdapat 7-8 buah panggung wayang sebelah menyebelah di kompleks membeli-belah, saya pernah menonton dua buah filem secara berikutan, back-to-back. Biasanya pada hari Khamis, filem baharu akan mula ditayang. Staf saya tahu sangat mengapa saya suka ambil cuti separuh hari pada hari itu.

Saya lebih banyak menonton bersendirian daripada menonton dengan kawan-kawan ataupun keluarga. Kerusi kegemaran saya ialah di baris G, iaitu tujuh baris dari skrin, di kerusi bahagian tengah. Kerana minat, saya pernah menjadi satu-satunya penonton filem di dalam pawagam. Saya masih ingat yang saya menonton filem Nixon sendirian bila tamat tayangan. 

Namun begitu, saya pernah keluar panggung kerana tidak sukakan sesebuah filem. Filem Abraham Lincoln; Vampire Hunter sungguh menjengkelkan kerana plot ceritanya yang berterabur. Saya keluar panggung 10 minit setelah tayangan.

Bagi saya, skrin besar terbentang luas dan runut bunyi yang menggema, cukup untuk mengalirkan hormon adrenalin dan dopamine yang menjadikan saya sentiasa peka dengan suasana sekeliling dan kreatif. Ia menjadikan menonton di saluran Astro mahupun Netflix, tidak dapat menyaingi suasana dan pengalaman menonton di pawagam. Lagi pula, orang rumah tak kuasa menyediakan bertih jagung sebagai jajan kita melayani minat!