BLOG

Lain Orang, Lain Sudut Pandang

Lain Orang, Lain Sudut Pandang

MAAFCAKAP 21.9.2022

Filem Mat Kilau yang ditayang mulai 23 Jun 2022, setakat artikel ini ditulis telah mengaut hampir RM100 juta melalui kutipan di pawagam-pawagam Malaysia, Singapura dan Brunei. Ia mendapat pujian yang melangit dari segenap pihak.

Tayangan filem itu di Netflix sejak 16 September 2022 terus melonjak menjadikan filem itu sebagai filem top 10 pilihan di Netflix tempatan. Walaupun begitu, filem Mat Kilau menerima komen, kritik dan juga kejian dari mereka yang menontonnya di kediaman masing-masing.

Sementara itu di Indonesia pula, sambutannya hampir suam kerana pelbagai faktor. Antaranya, menurut komen-komen netizen di sana, Indonesia mempunyai lebih banyak filem-filem kepahlawanan seperti Sang Kiyai (2013), Kartini (2017) dan Sultan Agung (2018). Jadi mereka tidak hairan dengan Mat Kilau.

Filem Mat Kilau ditonton oleh tiga khalayak iaitu penonton filem di pawagam Malaysia, di pawagam Indonesia dan penonton di Netflix. Tiga tempat, tiga jenis khalayak, tetapi masing-masing mempunyai persepsi yang berbeza mengenai filem Mat Kilau yang satu.

Maka saya teringat kisah tiga orang buta yang menyentuh seekor gajah. Yang memegang ekor mengatakan gajah itu seperti ular, yang mencuit telinga mengatakan gajah itu seperti kipas sementara yang memegang kakinya mengatakan gajah itu seperti tiang. Mereka bertiga berbicara mengenai binatang yang sama tetapi menurut persepsi yang ditelah melalui sentuhan.

Masalahnya ialah apabila mereka bertiga mati-mati mengatakan gajah itu menurut sudut ‘pandang’ masing-masing. Ketiga-tiganya betul walaupun tidak tepat untuk memperkatakan tentang gajah itu. Namun, mereka bertiga bertegang urat mempertahankan kebenaran menurut persepsi masing-masing.

Begitu juga dengan para penonton filem Mat Kilau. Yang ke pawagam di Malaysia barangkali ada yang tidak pernah mendengar nama Mat Kilau. Tetapi mereka kenal dengan pelakon Adi Putra, Fattah Amin dan Beto Khusyairi. Dalam panggung yang gelap, dengan kesan audio yang berdentum-dentam serta kesan reaksi dari para penonton lain yang bertepuk, bersorak dan menangis, filem itu berjaya meruntun emosi mereka.

Sebaliknya mereka yang menonton di rumah boleh sahaja menontonnya pada siang hari. Di ruang yang terang benderang, ada sejambak bunga, kerusi, meja, bingkai gambar,  bunyi hon lori ‘paper lama’ yang lalu di depan rumah dan telefon yang sering berdenting-denting, tumpuan pada filem itu akan sentiasa terganggu.

Yang menonton di Netflix melanggannya kerana ingin tahu apa bagusnya filem itu. Lagi pula, mereka menonton tetapi tidak memperoleh kesan dari tontonan itu berbanding bila menatapnya di pawagam. Jadi, mereka ‘rasionalise’ lalu merumus bahawa filem itu berdasarkan tontonan dan bukannya penghayatan. Mata dan akal tetapi tidak diturutsertakan dengan hati.

Bagi para penonton filem di Indonesia, filem itu biasa-biasa sahaja kerana mereka tidak kenal siapa Mat Kilau, Adi Putra, Fattah Amin dan Beto Khusyairi. Kerana tidak kenal, minda mereka asyik bekerja untuk ‘berkenalan’ dengan watak-wataknya. Bahasa Melayu juga memerlukan mereka mengerah fikiran untuk memahami dialog yang sedikit asing buat mereka.

Begitulah juga kita. Kita sering bercakap mengenai orang, benda dan perkara yang sama tetapi akan punyai persepsi yang berbeza menurut pengalaman, pengetahuan dan tanggapan kita. Kita bercakap mengenai personaliti politik seperti Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob, benda seperti iPhone atau media sosial seperti Tik-Tok yang masing-masing akan mengemukakan sudut pandang yang positif mahupun negatif.

Tetapi kita lebih buruk dari kisah tiga orang buta itu. Sekurang-kurangnya ada kekurangan yang sama buat mereka kerana berhujah sebagai insan yang tak nampak. Sebaliknya kita yang cukup sifat ini boleh sahaja membaca, menyelidik dan mengkaji apabila kita menerima sesebuah maklumat dari orang lain yang bercanggah dengan apa yang kita percaya.

Setelah meneliti, baharulah kena bila kita memperteguh pendirian yang sama ataupun mengubah persepsi setelah mendapat pengetahuan yang baharu. Begitu pun, kita tidak boleh memaksa orang lain untuk menerima pendirian kita meskipun kita mempunyai pandangan yang holistik.

Sekali lagi, kita perlu menerima bahawa ada orang tidak mahu berfikir serta mencari maklumat mengenai sesuatu perkara. Justeru itu, meskipun kita lebih betul, namun pada banyak ketika, kita perlu biarkan orang lain dengan pandangan yang tidak tepat. Ini adalah kerana orang itu mempunyai sudut pandang bahawa tidak salah dia berpegang pada maklumat yang salah.

Dalam begitu banyak maklumat yang tiba kepada kita dalam satu hari untuk apa kita menghabiskan masa bertekak mengenai sesuatu terutamanya di media sosial? Jika kita rasa kita adalah seorang keyboard warrior dengan bertonyeh di media sosial, takut-takut kita sebenarnya hanya seorang keyboard worrier yang bimbang jika sesuatu pandangan yang berbeza dari kita itu adalah malapetaka dunia!

Yang Dijunjung Hebat atau Musibat?

Yang Dijunjung Hebat atau Musibat?

MAAFCAKAP 14.9.2022

Kemangkatan Ratu Elizabeth II menjadi di antara berita utama samada di media elektronik mahu pun media sosial. Mendiang yang menjadi satu-satunya pemimpin wanita paling lama di dunia menemui ajalnya pada usia 96 tahun. Sebagai insan, kita turut berduka.

Namun, sebagai pemimpin negara Britain dan ketua bagi  negara-negara Komanwel, ramai warga dari negara-negara India, Pakistan, New Zealand, Afrika Selatan, Malaysia dan 52 lagi warga negara-negara Komanwel mengingati mendiang sebagai seorang ketua penakluk dan perampas hasil mahsul dan kedaulatan  negara-negara yang dijajahnya.

Pandangan negatif terhadap Queen Elizabeth (QE) ini dikongsikan melalui banyak bukti-bukti bergambar, tulisan dan video yang tular. Justeru itu, kita terima pemergian beliau seadanya. Tetapi tidak perlu pula hingga meratapi.

Jika tiada maklumat-maklumat dan fakta-fakta yang dibongkar ini, sebahagian besar dari kalangan kita akan berduka dan memuji-muji mendiang sebagai pemimpin negara ‘yang memberi kita kemerdekaan.’

Soalnya sekarang ialah, sudah sebegitu lama kita menganut kepercayaan bahawa British adalah ‘penjajah yang baik’ berbanding dengan penjajah Portugis dan Belanda. Para pemimpin kita pergi ke London untuk menuntut kemerdekaan melalui rundingan dan kita diberi kembali kedaulatan kita yang telah dirampas itu.

Begitu aman damai lagi harmoni kita menuntut kemerdekaan sehinggakan kita pandang segala-galanya molek. Dan kita melihatnya sebagai takdir, tanpa berasa curiga dengan penjajah. Malah, kita dididik untuk menghormati pula penjajah secara berlebih-lebihan.

Suatu ketika dahulu, ramai anak Malaysia memilih London sebagai tempat menyambung pelajaran. Ramai juga berimpian untuk bercuti sambil beri makan merpati di Trafalgar Square. Graduan Oxford dan Cambridge dianggap graduan yang hebat, padahal universiti yang kekal hebat kerana prestasi hingga ratusan tahun. Sedangkan graduan yang lahir dari universiti yang hebat belum tentu hebat sehingga dia menunjukkan kehebatannya di universiti kehidupan pula.

Malah pada hari ini, English Premier League (EPL) menjadi liga luar negara pilihan, bukan Laliga Sepanyol atau Campeonato Brasileiro Brazil. Tidak mengapalah kita berminat dengan EPL berbanding dengan liga bolasepak neara-negara lain.

Tetapi yang hendak dinyatakan ialah betapa pakcik-pakcik dan abang-abang kitalah yang menyukai EPL hinggakan kita terikut menjadikan liga English itu sebagai liga kegemaran. Kita ada kelab-kelab peminat bolasepak seperti kelab penyokong Manchester United dan Arsenal.

Tetapi tidak ramai ahli kelab penyokong pasukan Juventus, Itali atau Bayern Munich, German. Padahal, kelab-kelab ini juga tidak kurang hebatnya. Inilah pengaruh dan pilihan generasi awal yang dipindahkan kepada generasi seterusnya.

Sejarah tidak berubah, tetapi sudut pandang terhadapnya boleh beranjak sekiranya kita memperoleh maklumat baharu mengenainya. Begitu juga dalam banyak hal, pandangan kita terhadap sesuatu itu akan berubah kerana kemodenan.

Sementelah kita telah merdeka selama 65 tahun, barangkali mungkin satu generasi (30 tahun) lagi kita akan dapat melupakan feel great pada British sebagai sebuah negara yang pernah menjadi ‘tuan’ kita.

Yang pasti, generasi pada hari ini mempunyai pandangan yang hebat terhadap individu-individu dan bukan lagi negara. Maknanya, manusia seperti Elon Musk, Bill Gates dan Mark Zuckerberg akan lebih dikenali. Mereka dikenali sebagai manusia bisnes yang kaya.

Generasi akan datang tidak dapat menghormati mereka yang tokoh dari segi kepimpinan samada pemimpin negara, pemikir atau lain-lain bidang kepakaran. Tiada nama individu-individu hebat yang diperkatakan selain daripada golongan bisnes. Kalau adapun mereka di kalangan selebriti sahaja yang diminati.

Tiada lagi imej negara hebat seperti ‘The American Dream,’  ‘The Great Britain’ atau ‘Land of The Rising Sun’ bagi negara Jepun. Tiada negara yang akan dilihat hebat. Maknanya, generasi akan datang akan tiada rujukan untuk melihat kehebatan di depan mata kerana dunia akan ketandusan dari segi kehebatan negara mahupun ketokohan manusia.

Mereka hanya dapat inspirasi melalui kehebatan tokoh-tokoh  dan keagungan empayar dalam sejarah. Sejarah adalah cerita semalam yang tidak lagi terbentang di depan mata. Soalnya, berapa ramai kini yang mampu melihat menggunakan mata hati?

Tumpahnya Darahku dan Darahmu

Tumpahnya Darahku dan Darahmu

MAAFCAKAP 31.8.2022

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke-65. Alhamdulilah, kita sudah merdeka selama ini. Semoga kita terus merdeka 100 tahun, malah 1,000 tahun lagi. Ini negara kita semua, negara bagi seluruh warganegara Malaysia.

Samada anda bangsa Melayu, kaum Cina, India, Kadazan, Iban dan sesiapa sahaja yang mempunyai kad pengenalan biru, anda adalah warga negara Malaysia. Dalam pada itu, sekiranya anda penduduk tetap atau pendatang yang sah, malah tanpa izin; sekiranya anda punyai perasaan cintakan negara ini sepenuh hati, rasa cinta anda kepada negara ini bukanlah satu jenayah. Teruskan untuk tumpahkan rasa cinta anda kepada tanah yang bertuah ini.

Orang Melayu menurut sejarah memang mewarisi negara ini sejak ratusan tahun yang lalu. Ia adalah fakta. Generasi dan tamaddun Melayu sudah berakar di negara ini. Malah dari sudut sosiologi, sekiranya mereka juga datang dari mana-mana wilayah di Nusantara ini, mereka hanya hanya berpindah randah di alam Melayu. 

Justeru itu, perasaan sebagai tuan tanah, rasa bangga yang dilaung dengan tangan terjulang ke udara usah dibimbangkan oleh sesiapa pun. Mereka bertanjak dan berbusana Melayu, siap dengan keris tersisip di pinggang hanya melahirkan perasaan untuk menjiwai semangat Melayu.

Mereka hanya memanifestasi sumpah pendekar penuh bangga kerana mempunyai nenek moyang yang sentiasa menyabung nyawa menentang penjajah sejak ratusan tahun yang lalu. Setelah fajar merdeka menyingsing cahaya hingga berpuluh tahun lamanya, mari kita sama-sama rasai semangat itu.

Ketahuilah seandainya ada lagi mana-mana penjajah yang datang dengan niat serong, mereka akan ditentang habis-habisan oleh cucu-cicit Melayu yang masih ada. Selepas barisan pihak tentera, inilah barisan yang berada di bahagian belakang yang akan menyongsong dan menghalau penjajah di hari muka.

Sebab itu, walaupun mereka menggarang wajah seperti ingin menelan apa yang ada di depan mata, mereka tidak akan langgar undang-undang atau memporak-perandakan negara. Sebab, bukankah mereka adalah pewaris pusaka tanah air yang menjaga tanah air ini?

Dalam pada itu, orang Melayu tidak akan cemburu seandainya terdapat sesiapa dari kalangan kaum Cina, India atau mana-mana kaum lain yang bangun lalu berkata, “Wahai umat Melayu! Malaysia bukan hak kamu sahaja! Kami juga ada hak!

Kami juga mahu mendapat segala keistimewaan kami sebagai warganegara. Kami yang lahir di negara Malaysia yang berdaulat, yang berteduh di bawah payung Jalur Gemilang akan turut mempertahankan negara ini hingga ke titisan darah yang terakhir dari segala ancaman musuh.”

Ucapkanlah. Jangan malu-malu dan ragu-ragu meminta apa yang hak. Bukankah ini juga tanah tumpahnya darahmu? Usah berasa kekok untuk ikrarkan juga kesetiaan yang tidak berbelah bahagi menjunjung kedaulatan Raja, agama rasminya serta bahasa Melayunya. Sumpah setia ini akan disambut dengan salaman dan pelukan penuh kesyukuran oleh orang Melayu. Generasi tua pelbagai kaum sudah lama tunjukkan teladan kesetiaan ini. Anak-anak muda perlu teruskan kesepaduan semangat ini.

Mari kita berfikiran jauh melepasi sempadan kaum, sentimen agama dan segala unsur parochialisme. Selagi kita berpandangan sempit, memikir untuk merebut kehendak dan bahagian yang kecil di bumi sekangkang kera ini, maka selagi itulah kita asyik berdengki dan bercemburu sesama kita.

Sebaliknya, mari pandangan jauh melangkau sempadan negara hingga berwawasan untuk menakluk dunia. Hanya dengan melihat jauh sahaja kita akan sedar betapa banyaknya masa kita terbuang melayan kerenah kecil dan remeh yang bertahun-tahun lamanya.

Dunia sudah melihat Malaysia dengan sebelah mata. Jangan biarkan dunia berpaling dan tidak mahu memandang kita lagi. Ini tugas kita semua untuk mengembalikan maruah Malaysia di mata dunia.  Andaikan di dada kita ada tersisip Jalur Gemilang. Bawalah bendera itu ke mana-mana kerana ia adalah warna-warna yang mencerminkan diri kita sebagai warga Malaysia.

Merdeka! Merdeka!! Merdeka!!!

Malaysia: Apakah Aku Mencintaimu?

Malaysia: Apakah Aku Mencintaimu?

MAAFCAKAP 17.8.2022

‘Do you love me?’ Itulah soalan yang kerap ditanya oleh seorang gadis kepada pacarnya. Ia adalah soalan yang mengharapkan jawapan ‘Iya’ dari Sang Pria. Andai jawapannya seperti yang diharap, maka gembiralah si gadis setelah memperoleh kepastian. Sukalah si jejaka kerana membikin pasangannya bahagia.

Soalan ‘apakah kau sayangi daku’ itu biasa ditanya oleh seseorang yang mengharapkan jawapan yang mengundang kepastian. Si mama akan bertanya si anak, atau si adik akan bertanya kakaknya. Pengakuan ‘aku sayang padamu’ adalah kenyataan yang lahir dari emosi. Kerana emosilah seseorang itu mampu melakukan yang luarbiasa demi yang disayangi, sebagaimana metafora, ‘lautan api sanggup kurenangi.’

Bagaimana pun, apakah agaknya jawapan kita seandainya negara punyai suara lalu bertanya ‘apakah awak cintakan saya?’ Ramai di kalangan kita yang mampu menjawabnya tanpa ragu-ragu, malah siap dengan menunjukkan  bukti kecintaan mereka.

Anggota tentera yang berkorban nyawa di hutan belantara, anggota polis yang sentiasa dibayangi ajal kerana membanteras penjenayah, kalangan guru yang sanggup ke pedalaman negeri untuk mendidik dan juga ekspatriat yang pulang dari luar negara untuk berkhidmat di negara sendiri adalah di antara mereka yang mampu mengaku ‘aku cintakan negaraku’ dengan bukti tindakan masing-masing.

Malah, ramai di kalangan warganegara yang berusia sebaya atau lebih tua dari negara, tidak kira apa pun bangsa boleh berkata dengan bangganya bahawa ‘kami cintakan kau, Malaysia.’ Sebabnya, ada yang pernah merasa penangan penampar Jepun atau trauma kerana ada anggota keluarga yang disembelih komunis. Mereka serik dijajah.

Mereka bersyukur sangat apabila kita dapat merdeka dan mengibarkan Jalur Gemilang. Mereka melihat kemajuan dan pembangunan negara dengan hasil mahsul dari bumi seperti bijih timah, bijih besi dan bauksit.

Mereka tahu betapa negara mendapat hasil eksport dari getah dan kelapa sawit dan pernah menjadi negara pengeluar terbesar dunia untuk tanaman-tanaman ini. Segala-galanya berubah dan menjadi baik di depan mata. Semakin sehari Malaysia yang dicintai kian makmur.

Namun, bagi anak-anak pasca Merdeka, apa yang membuatkan mereka cintakan negara ini? Benar, sebahagian besar daripada mereka menyanyikan Negaraku di sekolah dan dipupuk semangat oleh para guru agar cintakan negara. Tetapi di luar sekolah, mereka tidak nampak itu. Malah di rumah sendiri rata-rata kalangan ibubapa mereka tidak mengasuh anak-anak cintakan negara; maaf cakap… termasuk kita yang membaca ini.

Pada suatu ketika dahulu, kita berbangga menjadi rakyat Malaysia kerana kehebatan individu-individu yang merangkul pencapaian besar. Datuk Azhar Mansor adalah anak Malaysia pertama yang mengelilingi dunia secara solo. Kemudian kita ada Dato Malik Mydin yang berjaya berenang merentasi Selat Inggeris.

Kita juga berbangga dengan Datuk M. Magendran dan N. Mohandas yang menawan puncak Everest. Dr. Sheikh Muszaphar Shukor pula adalah angkasawan Malaysia yang pertama dan bangga dengan Dr. Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir yang pernah merentas Khutub Utara dan juga Khutub Selatan.

Untuk mencintai negara, kita mesti punyai perasaan bangga terhadapnya. Apakah elemen yang boleh menjadikan kita berbangga menjadi rakyat Malaysia? Kejayaan. Kejayaan mereka yang membawa Jalur Gemilang itulah yang menaikkan semangat kita.

Meskipun sedikit, namun memadailah anak-anak kita meremang bulu roma menyaksikan kejayaan mereka yang merangkul pingat dalam arena sukan seperti dalam Sukan Komanwel baru-baru ini. Ini sahajalah peluang kita melaung ‘Malaysia Boleh!’ atau menyanyikan lagu ‘Saya Anak Malaysia’ sama-sama sebagai warganegara Malaysia.

Selain dari situasi itu kita tiada peluang untuk berasa bangga. Tidak terfikirkah bahawa kita sebenarnya sudah miskin semangat? Jangan tanya pula apa pentingnya semangat itu? Sebab itu menandakan kita sudah papa perasaan!

Iklan

Petikan Terpilih

BELI MAAFCAKAP 4 – KLIK GAMBAR!

LAYAR SOROT

BELI DI BOOKDEPOSITORY

LANGGAN LAYARMINDA

[mc4wp_form id=”572″]