MAAFCAKAP 31.8.2022

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke-65. Alhamdulilah, kita sudah merdeka selama ini. Semoga kita terus merdeka 100 tahun, malah 1,000 tahun lagi. Ini negara kita semua, negara bagi seluruh warganegara Malaysia.

Samada anda bangsa Melayu, kaum Cina, India, Kadazan, Iban dan sesiapa sahaja yang mempunyai kad pengenalan biru, anda adalah warga negara Malaysia. Dalam pada itu, sekiranya anda penduduk tetap atau pendatang yang sah, malah tanpa izin; sekiranya anda punyai perasaan cintakan negara ini sepenuh hati, rasa cinta anda kepada negara ini bukanlah satu jenayah. Teruskan untuk tumpahkan rasa cinta anda kepada tanah yang bertuah ini.

Orang Melayu menurut sejarah memang mewarisi negara ini sejak ratusan tahun yang lalu. Ia adalah fakta. Generasi dan tamaddun Melayu sudah berakar di negara ini. Malah dari sudut sosiologi, sekiranya mereka juga datang dari mana-mana wilayah di Nusantara ini, mereka hanya hanya berpindah randah di alam Melayu. 

Justeru itu, perasaan sebagai tuan tanah, rasa bangga yang dilaung dengan tangan terjulang ke udara usah dibimbangkan oleh sesiapa pun. Mereka bertanjak dan berbusana Melayu, siap dengan keris tersisip di pinggang hanya melahirkan perasaan untuk menjiwai semangat Melayu.

Mereka hanya memanifestasi sumpah pendekar penuh bangga kerana mempunyai nenek moyang yang sentiasa menyabung nyawa menentang penjajah sejak ratusan tahun yang lalu. Setelah fajar merdeka menyingsing cahaya hingga berpuluh tahun lamanya, mari kita sama-sama rasai semangat itu.

Ketahuilah seandainya ada lagi mana-mana penjajah yang datang dengan niat serong, mereka akan ditentang habis-habisan oleh cucu-cicit Melayu yang masih ada. Selepas barisan pihak tentera, inilah barisan yang berada di bahagian belakang yang akan menyongsong dan menghalau penjajah di hari muka.

Sebab itu, walaupun mereka menggarang wajah seperti ingin menelan apa yang ada di depan mata, mereka tidak akan langgar undang-undang atau memporak-perandakan negara. Sebab, bukankah mereka adalah pewaris pusaka tanah air yang menjaga tanah air ini?

Dalam pada itu, orang Melayu tidak akan cemburu seandainya terdapat sesiapa dari kalangan kaum Cina, India atau mana-mana kaum lain yang bangun lalu berkata, “Wahai umat Melayu! Malaysia bukan hak kamu sahaja! Kami juga ada hak!

Kami juga mahu mendapat segala keistimewaan kami sebagai warganegara. Kami yang lahir di negara Malaysia yang berdaulat, yang berteduh di bawah payung Jalur Gemilang akan turut mempertahankan negara ini hingga ke titisan darah yang terakhir dari segala ancaman musuh.”

Ucapkanlah. Jangan malu-malu dan ragu-ragu meminta apa yang hak. Bukankah ini juga tanah tumpahnya darahmu? Usah berasa kekok untuk ikrarkan juga kesetiaan yang tidak berbelah bahagi menjunjung kedaulatan Raja, agama rasminya serta bahasa Melayunya. Sumpah setia ini akan disambut dengan salaman dan pelukan penuh kesyukuran oleh orang Melayu. Generasi tua pelbagai kaum sudah lama tunjukkan teladan kesetiaan ini. Anak-anak muda perlu teruskan kesepaduan semangat ini.

Mari kita berfikiran jauh melepasi sempadan kaum, sentimen agama dan segala unsur parochialisme. Selagi kita berpandangan sempit, memikir untuk merebut kehendak dan bahagian yang kecil di bumi sekangkang kera ini, maka selagi itulah kita asyik berdengki dan bercemburu sesama kita.

Sebaliknya, mari pandangan jauh melangkau sempadan negara hingga berwawasan untuk menakluk dunia. Hanya dengan melihat jauh sahaja kita akan sedar betapa banyaknya masa kita terbuang melayan kerenah kecil dan remeh yang bertahun-tahun lamanya.

Dunia sudah melihat Malaysia dengan sebelah mata. Jangan biarkan dunia berpaling dan tidak mahu memandang kita lagi. Ini tugas kita semua untuk mengembalikan maruah Malaysia di mata dunia.  Andaikan di dada kita ada tersisip Jalur Gemilang. Bawalah bendera itu ke mana-mana kerana ia adalah warna-warna yang mencerminkan diri kita sebagai warga Malaysia.

Merdeka! Merdeka!! Merdeka!!!