MAAFCAKAP 21.9.2022
Filem Mat Kilau yang ditayang mulai 23 Jun 2022, setakat artikel ini ditulis telah mengaut hampir RM100 juta melalui kutipan di pawagam-pawagam Malaysia, Singapura dan Brunei. Ia mendapat pujian yang melangit dari segenap pihak.
Tayangan filem itu di Netflix sejak 16 September 2022 terus melonjak menjadikan filem itu sebagai filem top 10 pilihan di Netflix tempatan. Walaupun begitu, filem Mat Kilau menerima komen, kritik dan juga kejian dari mereka yang menontonnya di kediaman masing-masing.
Sementara itu di Indonesia pula, sambutannya hampir suam kerana pelbagai faktor. Antaranya, menurut komen-komen netizen di sana, Indonesia mempunyai lebih banyak filem-filem kepahlawanan seperti Sang Kiyai (2013), Kartini (2017) dan Sultan Agung (2018). Jadi mereka tidak hairan dengan Mat Kilau.
Filem Mat Kilau ditonton oleh tiga khalayak iaitu penonton filem di pawagam Malaysia, di pawagam Indonesia dan penonton di Netflix. Tiga tempat, tiga jenis khalayak, tetapi masing-masing mempunyai persepsi yang berbeza mengenai filem Mat Kilau yang satu.
Maka saya teringat kisah tiga orang buta yang menyentuh seekor gajah. Yang memegang ekor mengatakan gajah itu seperti ular, yang mencuit telinga mengatakan gajah itu seperti kipas sementara yang memegang kakinya mengatakan gajah itu seperti tiang. Mereka bertiga berbicara mengenai binatang yang sama tetapi menurut persepsi yang ditelah melalui sentuhan.
Masalahnya ialah apabila mereka bertiga mati-mati mengatakan gajah itu menurut sudut ‘pandang’ masing-masing. Ketiga-tiganya betul walaupun tidak tepat untuk memperkatakan tentang gajah itu. Namun, mereka bertiga bertegang urat mempertahankan kebenaran menurut persepsi masing-masing.
Begitu juga dengan para penonton filem Mat Kilau. Yang ke pawagam di Malaysia barangkali ada yang tidak pernah mendengar nama Mat Kilau. Tetapi mereka kenal dengan pelakon Adi Putra, Fattah Amin dan Beto Khusyairi. Dalam panggung yang gelap, dengan kesan audio yang berdentum-dentam serta kesan reaksi dari para penonton lain yang bertepuk, bersorak dan menangis, filem itu berjaya meruntun emosi mereka.
Sebaliknya mereka yang menonton di rumah boleh sahaja menontonnya pada siang hari. Di ruang yang terang benderang, ada sejambak bunga, kerusi, meja, bingkai gambar, bunyi hon lori ‘paper lama’ yang lalu di depan rumah dan telefon yang sering berdenting-denting, tumpuan pada filem itu akan sentiasa terganggu.
Yang menonton di Netflix melanggannya kerana ingin tahu apa bagusnya filem itu. Lagi pula, mereka menonton tetapi tidak memperoleh kesan dari tontonan itu berbanding bila menatapnya di pawagam. Jadi, mereka ‘rasionalise’ lalu merumus bahawa filem itu berdasarkan tontonan dan bukannya penghayatan. Mata dan akal tetapi tidak diturutsertakan dengan hati.
Bagi para penonton filem di Indonesia, filem itu biasa-biasa sahaja kerana mereka tidak kenal siapa Mat Kilau, Adi Putra, Fattah Amin dan Beto Khusyairi. Kerana tidak kenal, minda mereka asyik bekerja untuk ‘berkenalan’ dengan watak-wataknya. Bahasa Melayu juga memerlukan mereka mengerah fikiran untuk memahami dialog yang sedikit asing buat mereka.
Begitulah juga kita. Kita sering bercakap mengenai orang, benda dan perkara yang sama tetapi akan punyai persepsi yang berbeza menurut pengalaman, pengetahuan dan tanggapan kita. Kita bercakap mengenai personaliti politik seperti Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob, benda seperti iPhone atau media sosial seperti Tik-Tok yang masing-masing akan mengemukakan sudut pandang yang positif mahupun negatif.
Tetapi kita lebih buruk dari kisah tiga orang buta itu. Sekurang-kurangnya ada kekurangan yang sama buat mereka kerana berhujah sebagai insan yang tak nampak. Sebaliknya kita yang cukup sifat ini boleh sahaja membaca, menyelidik dan mengkaji apabila kita menerima sesebuah maklumat dari orang lain yang bercanggah dengan apa yang kita percaya.
Setelah meneliti, baharulah kena bila kita memperteguh pendirian yang sama ataupun mengubah persepsi setelah mendapat pengetahuan yang baharu. Begitu pun, kita tidak boleh memaksa orang lain untuk menerima pendirian kita meskipun kita mempunyai pandangan yang holistik.
Sekali lagi, kita perlu menerima bahawa ada orang tidak mahu berfikir serta mencari maklumat mengenai sesuatu perkara. Justeru itu, meskipun kita lebih betul, namun pada banyak ketika, kita perlu biarkan orang lain dengan pandangan yang tidak tepat. Ini adalah kerana orang itu mempunyai sudut pandang bahawa tidak salah dia berpegang pada maklumat yang salah.
Dalam begitu banyak maklumat yang tiba kepada kita dalam satu hari untuk apa kita menghabiskan masa bertekak mengenai sesuatu terutamanya di media sosial? Jika kita rasa kita adalah seorang keyboard warrior dengan bertonyeh di media sosial, takut-takut kita sebenarnya hanya seorang keyboard worrier yang bimbang jika sesuatu pandangan yang berbeza dari kita itu adalah malapetaka dunia!