MAAFCAKAP 14.9.2022
Kemangkatan Ratu Elizabeth II menjadi di antara berita utama samada di media elektronik mahu pun media sosial. Mendiang yang menjadi satu-satunya pemimpin wanita paling lama di dunia menemui ajalnya pada usia 96 tahun. Sebagai insan, kita turut berduka.
Namun, sebagai pemimpin negara Britain dan ketua bagi negara-negara Komanwel, ramai warga dari negara-negara India, Pakistan, New Zealand, Afrika Selatan, Malaysia dan 52 lagi warga negara-negara Komanwel mengingati mendiang sebagai seorang ketua penakluk dan perampas hasil mahsul dan kedaulatan negara-negara yang dijajahnya.
Pandangan negatif terhadap Queen Elizabeth (QE) ini dikongsikan melalui banyak bukti-bukti bergambar, tulisan dan video yang tular. Justeru itu, kita terima pemergian beliau seadanya. Tetapi tidak perlu pula hingga meratapi.
Jika tiada maklumat-maklumat dan fakta-fakta yang dibongkar ini, sebahagian besar dari kalangan kita akan berduka dan memuji-muji mendiang sebagai pemimpin negara ‘yang memberi kita kemerdekaan.’
Soalnya sekarang ialah, sudah sebegitu lama kita menganut kepercayaan bahawa British adalah ‘penjajah yang baik’ berbanding dengan penjajah Portugis dan Belanda. Para pemimpin kita pergi ke London untuk menuntut kemerdekaan melalui rundingan dan kita diberi kembali kedaulatan kita yang telah dirampas itu.
Begitu aman damai lagi harmoni kita menuntut kemerdekaan sehinggakan kita pandang segala-galanya molek. Dan kita melihatnya sebagai takdir, tanpa berasa curiga dengan penjajah. Malah, kita dididik untuk menghormati pula penjajah secara berlebih-lebihan.
Suatu ketika dahulu, ramai anak Malaysia memilih London sebagai tempat menyambung pelajaran. Ramai juga berimpian untuk bercuti sambil beri makan merpati di Trafalgar Square. Graduan Oxford dan Cambridge dianggap graduan yang hebat, padahal universiti yang kekal hebat kerana prestasi hingga ratusan tahun. Sedangkan graduan yang lahir dari universiti yang hebat belum tentu hebat sehingga dia menunjukkan kehebatannya di universiti kehidupan pula.
Malah pada hari ini, English Premier League (EPL) menjadi liga luar negara pilihan, bukan Laliga Sepanyol atau Campeonato Brasileiro Brazil. Tidak mengapalah kita berminat dengan EPL berbanding dengan liga bolasepak neara-negara lain.
Tetapi yang hendak dinyatakan ialah betapa pakcik-pakcik dan abang-abang kitalah yang menyukai EPL hinggakan kita terikut menjadikan liga English itu sebagai liga kegemaran. Kita ada kelab-kelab peminat bolasepak seperti kelab penyokong Manchester United dan Arsenal.
Tetapi tidak ramai ahli kelab penyokong pasukan Juventus, Itali atau Bayern Munich, German. Padahal, kelab-kelab ini juga tidak kurang hebatnya. Inilah pengaruh dan pilihan generasi awal yang dipindahkan kepada generasi seterusnya.
Sejarah tidak berubah, tetapi sudut pandang terhadapnya boleh beranjak sekiranya kita memperoleh maklumat baharu mengenainya. Begitu juga dalam banyak hal, pandangan kita terhadap sesuatu itu akan berubah kerana kemodenan.
Sementelah kita telah merdeka selama 65 tahun, barangkali mungkin satu generasi (30 tahun) lagi kita akan dapat melupakan feel great pada British sebagai sebuah negara yang pernah menjadi ‘tuan’ kita.
Yang pasti, generasi pada hari ini mempunyai pandangan yang hebat terhadap individu-individu dan bukan lagi negara. Maknanya, manusia seperti Elon Musk, Bill Gates dan Mark Zuckerberg akan lebih dikenali. Mereka dikenali sebagai manusia bisnes yang kaya.
Generasi akan datang tidak dapat menghormati mereka yang tokoh dari segi kepimpinan samada pemimpin negara, pemikir atau lain-lain bidang kepakaran. Tiada nama individu-individu hebat yang diperkatakan selain daripada golongan bisnes. Kalau adapun mereka di kalangan selebriti sahaja yang diminati.
Tiada lagi imej negara hebat seperti ‘The American Dream,’ ‘The Great Britain’ atau ‘Land of The Rising Sun’ bagi negara Jepun. Tiada negara yang akan dilihat hebat. Maknanya, generasi akan datang akan tiada rujukan untuk melihat kehebatan di depan mata kerana dunia akan ketandusan dari segi kehebatan negara mahupun ketokohan manusia.
Mereka hanya dapat inspirasi melalui kehebatan tokoh-tokoh dan keagungan empayar dalam sejarah. Sejarah adalah cerita semalam yang tidak lagi terbentang di depan mata. Soalnya, berapa ramai kini yang mampu melihat menggunakan mata hati?