BLOG

Darihal Bertanya dan Menyoal

Darihal Bertanya dan Menyoal

MAAFCAKAP 29.3.2023

Saya mengikuti sebahagian dari sesi soaljawab di antara Jawatankuasa Perdagangan dan Tenaga Perumahan Amerika Syarikat dengan Ketua Pegawai Eksekutif TikTok, Chew Shou Zi yang diadakan baru-baru ini.

Amerika Syarikat berhasrat mengenakan arahan perundangan yang dinamakan Akta Sekatan yang memberi kuasa kepada Jabatan Perdagangannya melarang teknologi asing (dibaca; China) daripada mengancam keselamatan negara itu. Sesi itu mendapat kecaman dari kalangan netizen khususnya pelanggan TikTok Amerika sendiri kerana dikatakan menyekat kebebasan warga negaranya.

Berikutan itu, banyak parodi yang sarkastik telah dicipta oleh penggemar TikTok, mengecam apa yang disifatkan sebagai langkah tolol oleh Senat Amerika Syarikat. Konten pilihan parodi  ialah mengenai soalan Wakil Senat, Richard Hudson iaitu, “Apakah TikTok mempunyai akses kepada data Wi-Fi di rumah?”

Soalan tidak masuk akal  itu jelas mengelirukan Shou Zi kerana Wi-Fi adalah gelombang radio yang berfungsi sebagai penghubung tanpa wayar untuk internet. Ia membolehkan penggunanya berkomunikasi tanpa kabel. Jelas, Wi-Fi tidak boleh menyimpan data. Namun, oleh kerana disoal begitu, Shou Zi  yang terpinga-pinga telah menjawab juga, “… jika pengguna menghidupkan Wi-Fi… maaf, saya mungkin tak faham soalan.”

Ini adalah satu contoh jelas, apabila seseorang itu menyoal, dia boleh bertanya apa sahaja mengikut apa yang dia ingini. Dan, bila seseorang itu disoal, dia terpaksa menjawab walaupun jawapannya bakal menjeratnya. Sebaliknya, apabila seseorang itu bertanya, dia akan mengemukakan pertanyaan yang mudah difahami oleh orang yang ditanya supaya dia boleh menjawab.

Istilah ‘bertanya’ dan ‘menyoal’ adalah sinonim tetapi mempunyai perbezaan yang halus. ‘Bertanya’ itu lebih santai kerana mahukan maklumat, keterangan lanjut mahupun sebagai satu permintaan. Pertanyaan itu lebih ‘jujur’ kerana orang yang bertanya biasanya ingin tahu.

Sebaliknya ‘menyoal’ pula adalah proses untuk menyelidik mengenai sesuatu perkara. Biasanya soalan itu mempunyai maksud untuk mendengar jawapan menurut kehendak orang yang bertanya. Si penyoal biasanya sudah ada jawapan di dalam kepalanya.

Kita juga biasa bertanya. Kita bertanya, ‘apa khabar?’ ‘sihat, ke?’ ‘pukul berapa akan sampai?’ atau ‘sudah berpunya atau belum?’ Pertanyaan itu lebih berbasa-basi,  membuatkan orang yang bertanya dan orang yang menjawab itu berasa selesa untuk berbual hal-hal selanjutnya.

Menyoal pula lebih serius. Ia digunakan dalam peperiksaan. Kita akan sebut sebagai soalan peperiksaan, bukannya pertanyaan peperiksaan. Kita juga disoal dalam temuduga dan di dalam mahkamah. Malah, kita akan disoal Munkar dan Nakir; bukannya ditanya kedua-dua malaikat itu.

Walau bagaimana pun, soalan mahupun pertanyaan itu adalah satu bentuk ‘serangan.’ Menjawab pula adalah satu bentuk ‘pertahanan.’ Sebab itulah, soalan-soalan samada dalam bentuk provokasi mahupun interogasi biasanya akan menggugat pihak yang menjawab.

Anak kecil yang tidak henti-henti bertanya kepada ayahnya boleh menggugat kesabaran orang tuanya. Tentu kita ingat iklan Hari Raya Petronas, ‘Burung apa, burung murai’ bila mana si anak naik rengsa dengan soalan berulang-ulang si ayah.

Orang yang disoal biasanya perlu menjawab pada waktu itu juga. Kerana itu, mindanya perlu bekerja mencari jawapan. Dalam keadaan diserang dengan soalan, dia mungkin hilang jawapan sedangkan manusia mempunyai ego di mana dia perlu memberi jawapan segera kerana tidak mahu dilihat sebagai orang yang lembam.

Situasi dalam tekanan ini akan menghasilkan jawapan yang bodoh. Ini memberi kemenangan moral kepada yang bertanya untuk berasa lebih yakin. Wanita mudah menggugat perasaan kekasihnya dengan satu soalan, ‘You dah tak sayang I, ke?’ Kita tahu apa akan berlaku sekiranya si teman lelaki tidak menjawab dengan menyakinkan!

Jika soalan ialah serangan dan menjawab ialah bertahan, seboleh-bolehnya orang yang disoal perlu meminta masa untuk menjawab agar dapat berfikir dengan tenang. Tetapi sebaliknya, menjawab juga boleh menjadi satu serangan apabila jawapan itu diubah menjadi soalan.

Ramai ahli-ahli politik pandai memutar jawapan dalam bentuk soalan dan ia menjelma menjadi satu serangan. Pendek kata, siapa yang rajin menyoal, dia sebenarnya lebih bijak mengendali situasi.

Menempuh Ramadan Al-Mubarak

Menempuh Ramadan Al-Mubarak

MAAFCAKAP 22.3.2023

Insya-ALLAH mulai esok, kita akan menempuh Ramadan. Sekali lagi kita akan lalui bulan yang penuh barakah ini. Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari r.a menjelaskan bahawa ibadah berpuasa ini adalah untuk-NYA. “ALLAH berfirman, ‘Semua amal anak Adam adalah untuk mereka kecuali puasa. Ia untuk-KU dan AKU yang akan membalasnya.”

Hadis Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a pula menyatakan; “Apabila menjelmanya Ramadan, dibuka pintu-pintu Syurga, ditutup pintu-pintu Neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.”

Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah pula menyatakan; “Sesungguhnya bulan  ini telah datang kepada kamu, di dalamnya terdapat malam di mana amalan ibadat yang dilakukan pada malam tersebut lebih baik dan lebih besar ganjarannya daripada amalan selama seribu bulan.”

Lihatlah betapa ‘bersedianya’ ALLAH untuk meraikan Ramadan dengan membuka pintu Syurga, menutup pintu Neraka dan membelenggu syaitan. Bukan setakat itu sahaja, malah ALLAH menganugerahkan pahala kepada orang berpuasa, menggandakan segala amal soleh sehingga 700 pahala dan bonus tahunan untuk menikmati pahala 1,000 bulan! Itu belum termasuk pahala berpuasa yang ALLAH akan beri mengikut kiraan lain, yang tentunya melebihi gandaan 700 pahala!

Soalnya, ALLAH Maha Kuasa sudah bersedia menyambut Ramadan dengan segala keberkatan yang melimpah ruah untuk hamba-hamba-NYA. Subhan-ALLAH. Tetapi apa pula persediaan kita golongan hamba untuk menyambut Ramadan? Baju raya? Kuih raya? Iftar di sana-sini? Atau, sudah merancang rombongan Mak Cik Kiah balik beraya di kampung?

Tidak terasakah kita? ALLAH sediakan macam-macam untuk kita. Tetapi rupa-rupanya kita ada rancangan lain yang melencong dari tujuan sebenar Ramadan. Seolah-olah kita hendak ‘fast-forward’ sahaja Ramadan untuk berada di bulan Syawal. Kemudian kita akan berpura-pura berkata, “Eh, cepatnya Ramadan pada tahun ini.” Padahal minda kita sudah melangkaui Ramadan  itu sebelum pun bulan itu tiba!

Hanya sekadar ingat mengingatkan; bukan semua kita yang  berfikiran begitu. Ramai lagi yang benar-benar bersedia untuk menghidupkan bulan Ramadan ini. Ramai yang melihat Ramadan sebagai bulan pesta ibadah. Alhamdulilah. Ramai juga yang sudah bersedia barang makanan untuk disedekahkah kepada fakir miskin. Dan, ada yang sudah mengenepikan bajet sedekah dalam talian secara harian.

Al-Quran baharu sudah dipesan agar ia membantu semangat membacanya di bulan mulia ini. Begitu juga jubah dan sejadah yang belum dipakai akan mula diguna untuk ke masjid. Jadual pergerakan keluarga untuk bertarawih di surau dan masjid telah diatur. Ramai juga yang sudah berpakat dengan geng surau untuk sama-sama beriktiqaf di masjid pada 10 malam terakhir Ramadan.

Jika ALLAH sudah menyediakan landasan yang luas dan terbuka untuk memberi barakah kepada Ramadan, kita pun bagai kecil tapak tangan, nyiru pula ditadahkan. Kesemuanya dibuat agar Ramadan ini bukan sekadar lebih baik daripada tahun-tahun nan lalu, tetapi yang lebih utama ialah mengharap agar ibadah pada tahun ini turut diterima.

Kita adalah manusia yang tidak sempurna lagi pelupa. Pada hari pertama, minggu pertama kita akan tekun menjaga ibadah puasa ini. Apabila menjelang minggu-minggu berikutnya, kita boleh kembali lalai akibat berpuashati dengan prestasi minggu sebelumnya. Akhirnya, perlumbaan yang seharusnya lebih fokus ke garisan penamat tidak berkesudahan seperti yang dihasratkan.

Bagaimana kita ini, ya? Sedangkan solat yang hanya beberapa minit sentiasa hilang khusyuknya, inikan pula masa berpuasa yang mengambil masa sehari suntuk. Lebih-lebih lagi bila kita bebas bergerak dan hanya berpuasa dari makan dan menjaga pandangan, pendengaran dan perkataan. Ditambah pula dengan keadaan sekeliling yang sentiasa menggoda, ia adalah bulan dugaan yang amat mencabar.

Saya gunakan istilah ‘menempuh Ramadan’ pada awal artikel ini agar kita sama-sama tidak berasa berpuasa ini suatu amalan yang ringan, bahkan sesuatu yang ada getirnya. Jika kita ingat berpuasa ini ringan, maka ringanlah ia, asalkan ia tidak diringan-ringankan. Sebaliknya jika kita beranggapan berpuasa ini berat, maka beratlah ia. Tetapi ia jangan pula puasa ini dipayah-payahkan. 30 hari dan 720 jam; ini adalah bulan untuk kita tunduk penuh keabdian.

La haula wala kuwata illabillah. Semoga ALLAH swt membantu kita mengharungi Ramadan. Selamat berpuasa buat semua.

Mentega Terbang Ialah Butterfly

Mentega Terbang Ialah Butterfly

Maafcakap 8.3.2023

Melihat kepada respon daripada pelbagai pihak, kontroversi filem Mentega Terbang akan diperkatakan buat beberapa lama lagi. Dialog dan lakonannya jelas bertentangan dengan akidah Islam seperti yang diulas oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar. Menurutnya, hasil penelitian Jakim mendapati dalam filem ini terdapat pertentangan dengan akidah dan cara kehidupan umat Islam di Malaysia yang beraliran Mazhab Syafie.

Selain itu, para asatizah seperti mantan Menteri Agama; Dr. Zulkifli Al-Bakri, Pendakwah bebas; Ustazah Asma’ Harun, Personaliti Sidang Kalam; Ustaz Noor Derus dan Personaliti Video React; Ustaz Syihabudin Ahmad termasuk Pendakwah terkenal Ustaz Wadi Anuar telah tampil untuk menegur terhadap konten filem itu. PPIM, Wanita UMNO, Pas dan Seniman, turut menggesa pihak berwajib mengambil tindakan.

Lapan laporan polis telah dibuat di seluruh negara dan PDRM telah membuka satu kertas siasatan di bawah tiga seksyen undang-undang. Finas dan SKMM turut membuat kajian menurut ruang lingkup tanggungjawab masing-masing.

Yang menariknya ialah bila mana Zabidi Mohamed, seorang bekas peguam dan majistret yang yang juga seorang penulis dalam industri kreatif telah disaman oleh penerbit, pengarah dan penulis skrip filem itu kerana lantang mengkritik Mentega Terbang.

Bagaimana pun, kita belum tahu apakah naskhah itu adalah sebuah agenda terancang untuk memperlekeh agama Islam mahupun mempersendanya tanpa bukti-bukti nyata menurut undang-undang hingga perbicaraan dijalankan dan hukuman dijatuhkan.

Saya cenderung untuk melihat kontroversi filem ini berpunca dari discipline myopia atau rabun disiplin para pembikinnya. Discipline myopia adalah sindrom yang dialami oleh sesiapa sahaja yang terlalu mengagungkan disiplin ilmu yang dianuti. Sesiapa sahaja boleh terjerlus ke dalam situasi ini akibat taksub bahawa ilmu yang diterokai itu mengatasi ilmu-ilmu yang lain.

Kita lihat dalam bidang perubatan allopathy misalnya, kerap berlaku bilamana terdapat di kalangan pengamalnya yang tidak meyakini perubatan lain seperti ayurveda dan akupuntur meskipun terdapat banyak bukti-bukti keberkesannya.

Pakar perakaunan dan ekonomi di dalam sesebuah syarikat yakin cara penjimatan yang efektif ialah dengan cara pembuangan pekerja. Tetapi bagi pakar sumber manusia pula, pekerja dilihat sebagai aset tenaga manusia yang mampu mengukuhkan syarikat.

Seseorang jurutera sivil boleh mengambil keputusan untuk meredah kawasan tadahan hujan untuk membina lebuhraya kerana ia menjimatkan jarak sehingga 100 kilometer. Pandangannya tentu sekali bertentangan dengan pendirian pakar sains alam sekitar.

Dalam bidang seni, discipline myopia memang kerap berlaku di kalangan para penggiatnya. Atas nama seni, banyak pelanggaran kepada disiplin ilmu-ilmu lain kerana seni itu dianggap bebas lepas melangkaui undang-undang dan segala hukum; tidak keterlaluan juga hukum-hukum agama.

Berbalik kepada filem Mentega Terbang, saya sendiri pada mulanya bingung memikirkan apa makna mentega terbang itu sendiri. Namanya sahaja ‘tidak boleh jual’ jika dilihat dari sudut komersial popular. Namun para pembikinnya melihat ia dari sudut seni. Lalu, nama Mentega Terbang diterjemah langsung dari bahasa Inggeris iaitu Butterfly. Oleh kerana seni diutamakan, maka nama itu kelihatan artistik.

Setelah menonton filem dan meneliti beberapa ulasan di laman-laman internet, banyak sekali kontroversi yang ditayangkan hingga saya kerap terganggu dengan apa yang disampaikan. Dari sudut seni, filem itu bagus kerana bisa memprovok fikiran. Namun, atas nama seni, eksperimenlah sejauh dan seboleh mungkin.

Tetapi hal agama ini amat sensitif kepada semua agama. Atas nama seni dan jalan cerita, kita tidak boleh tunjukkan sekumpulan orang Hindu memakan daging lembu atau orang Kristian mematahkan salib.
Walaupun terdapat amalan-amalan yang dilihat tidak logik melalui akal dalam apa jua agama, ia adalah pegangan. Dalam Islam ia dinamakan iman. Iman adalah sesuatu yang spiritual yang tidak kena dikupas secara tuntas dan dipersoal dari sudut seni filem. Ia berada di aras yang berbeza dari hal-hal keduniaan.

Hal-hal agama bukan sahaja ada batasnya tetapi ia bertembok.

Di Mana Hendak Letak Muka?

Di Mana Hendak Letak Muka?

MAAFCAKAP1.3.2023

Beberapa buah akhbar di Amerika Syarikat telah menghentikan siaran kartun ‘Dilbert’ kerana kartunisnya Scott Adams dikatakan telah mengeluarkan kata-kata rasis di media YouTube melalui podcast hariannya, Real Coffee with Scott Adams pada 23 Februari lalu.

Ketika mengulas sebuah topik ‘Is it okey to be white?’ keluaran Rasmussen Reports; sebuah organisasi bancian terkenal di Amerika Syarikat, Adams memberi komen mengenai pandangan ramai yang mengatakan ‘adalah okey menjadi kulit putih.’

Beliau mengatakan golongan kulit hitam Amerika sebagai hate group lantas menyarankan kepada golongan kulit putih Amerika supaya menjauhi golongan ini. Komen beliau telah menimbulkan kemarahan di media sosial dan desakan agar karyanya di akhbar-akhbar dihentikan.

Akibatnya, siri ‘Dilbert’ mengenai dunia korporat telah dihentikan dari Los Angeles Times, the Washington Post, Star Tribune dan the USA Today. Menurut laporan Good Morning America, kartun Dilbert disiarkan oleh lebih 2,000 akhbar di 65 negara dalam 25 bahasa.

Kelmarin, melalui siaran langsung di YouTube, beliau mengulas mengenai reaksi akhbar-akhbar yang menghentikan siaran kartunnya. Melalui topik, ‘Apa yang Saya Hendak Buat Bila Semua Media Besar Mengambil Tindakan Terhadap Saya,’

Dalam siarannya, Adams menjawab sebuah soalan apakah beliau ada mengumpul aset yang membawa maksud, tindakan media menghentikan kartunnya akan menjejaskan ekonominya. Beliau menjawab dengan selamba, ‘Mengumpul aset? Saya sendiri adalah asset.’ Dia berani!

Meskipun dihujani dengan ribuan hentaman dari pelbagai sudut, Adams kelihatan tenang memberi komennya seraya menghirup sekole kopi. Setakat artikel ini ditulis, 70 ribu warga maya telah menonton siaran itu, lebih 4,500 yang telah memberikan komen dan lebih 3,000 memberi tanda suka. Jumlah itu belum termasuk berita, ulasan dan komen-komen yang kian menular ke merata media.

Di sebalik situasi yang dihadapi Scott Adams, apa yang membuatkan beliau begitu tenang berdepan dengan situasi sebegitu? Mendepani dengan kritikan benar-benar mencabar emosi seseorang bukan kesukaan kebanyakan orang.

Namun, ada insan yang mempunyai ketahanan emosi dan fikiran hingga mampu mengharungi tempoh itu kerana memahami tindakan sendiri. Mereka percaya akan pendirian sendiri lalu fokus kepada jalan yang mereka pilih hingga mampu mengharungi arus yang bertentangan.

Yakin diri juga memampukan seseorang itu bertahan dengan pendiriannya. Malah, dia menjadikan kritik sebagai cara untuk dia belajar dan memperbaiki kelemahan. Caranya, dia tidak memperibadikan segala kritik dan serangan. Dia menyerap hentaman dengan meyakini bahawa yang dikritik adalah pandangannya, bukan dirinya.

Nilai-nilai yang menjadi pegangan seseorang itu adalah panduannya mengharungi segala bentuk cabaran. Ia dianggap sebagai rintangan dalam kembaranya menuju ke matlamat peribadinya. Tentunya, sokongan dari mereka di sekeliling menjadi benteng untuk menyerap segala tekanan. Bantuan dari langit melalui doa dan solat akan menjadikan seseorang itu yakin berpaut kepada apa yang diyakininya.

Saban hari, ada sahaja berita dan peristiwa insan-insan yang berdepan dengan segala kritikan yang melintas di skrin telefon kita. Samada mereka itu Pak Menteri, golongan selebriti, para ustaz, atlit, usahawan, jutawan, malah sesiapa sahaja nampaknya berdepan dengan keadaan itu.

Mari bertanya kepada diri, apakah reaksi kita bila berdepan dengan jutaan kritikan manusia? Ramai di antara kita tidak sanggup berdepan dengan situasi sebegitu. Ramai yang tidak berani lalu lebih sanggup mendiamkan diri kerana di mana hendak letak muka bila menjadi sasaran orang?

Namun, ALLAH itu Maha Adil. Semua kita akan berdepan dengan situasi menjadi perhatian dan kritikan manusia. Namun, keadilan Tuhan itu menyebabkan DIA menyesuaikan tahap dan kadar kritikan masyarakat terhadap kita.
Bukankah ALLAH ‘tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya?’ (Al-Baqarah: 286).

Kerana itu, bersedialah untuk berdepan dengannya dalam emosi dan fikiran yang tenang. Hidup ini seperti mengharungi sungai. Air, ikan, rumpaiair dan sampah sarap akan mendatangi; tetapi kesemuanya akan berlalu, Insya-ALLAH.

Mari Bersahabat Dengan Hati Nurani

Mari Bersahabat Dengan Hati Nurani

MAAFCAKAP 7.2.2023

ALLAH kurniakan manusia akal, nafsu dan hati nurani. Hati nurani berasal dari bahasa Latin iaitu conscientia atau dalam bahasa Inggeris sebagai conscious yang bermaksud kesedaran. Hati nurani juga disebut sebagai suara hati, suara batin atau kata hati.

Imam Ghazali mengertikan hati dengan menggunakan istilah qalb atau dalam bahasa kita disebut, kalbu. Kalbu pula terjadi dari unsur fizikal dalam bentuk daging yang kita kenali sebagai hati. Kalbu dalam unsur spiritual inilah yang disebut sebagai hati nurani.

Secara umumnya, hati nurani adalah kesedaran moral yang tersemat di dalam hati manusia dan ia mempengaruhi tingkah laku seseorang. Biasanya hati nurani muncul dalam bentuk bisikan halus yang datang dari jiwa yang paling dalam.

Namun ia jujur dan intuitif iaitu bisikan yang disampaikan itu tiba tanpa memerlukan seseorang itu menaakulnya secara rasional. Lagi pula, ia tercetus secara seperti satu lintasan. Berbeza dengan keadaan bila kita ingin berfikir; kita akan lakukan ia secara sedar bilamana kita duduk termenung seketika untuk mencongak baik-buruk sesuatu ataupun mencari idea.

Hati nurani itu tercetus dalam dua keadaan. Pertama, secara retrospektif iaitu bisikan yang menilai perbuatan-perbuatan lampau untuk menghakimi. Bila kita berbuat yang buruk, hati nurani menyisipkan rasa kesal dan salah. Jika kita berbuat sesuatu yang bagus, ia menyematkan rasa bahagia dan puas hati.

Kedua, hati nurani yang prospektif. Ini pula adalah bisikan yang memberi tanggapan hal-hal masa depan atau yang sedang dilalui saat ini. Contohnya, seseorang itu boleh berasa seronok bila menemui seseorang buat pertama kali atau berasa ‘tak sedap hati’ tanpa sebab. Meskipun tiada apa-apa bukti yang baik atau buruk sebagai tanda, tetapi hati nurani tiba-tiba muncul untuk memberi alamat.

Bukhari dan Muslim menyampaikan sabda Rasulullah saw: “Ingatlah bahwa di dalam jasad itu ada segumpal daging. Jika ia baik, maka baik pula seluruh jasad. Jika ia rosak, maka rosak pula seluruh jasad. Ketahuilah bahawa ia adalah hati.”

Pada hari ini, kita hidup dalam suasana bila mana hampir keseluruhan maklumat sampai dari luar diri. Dan ia menghujani diri tanpa henti. Celik mata, kita dengar bunyi jam. Kemudian kita mencapai telefon untuk menutup deringnya. Biasanya, mata kita akan terlekat dengan mesej-mesej yang sampai.

Sambil membaca mesej, ada pula berita yang mempunyai pautan. Lantas kita buka satu demi satu tanpa menyedari yang waktu subuh sudah hampir. Lantas kita bersiap untuk segera solat dan bergegas keluar kerana tidak suka tersangkut dalam kesesakan jalan raya.

Sambil memandu, telinga kita pula mendengar lagu, mesej serta iklan dari radio. Bila bosan, kita dengar pula ceramah dari telefon. Kita terima sahaja apa yang sampai dari sumber luar diri. Ia berlanjutan dan berselang-seli dengan aktiviti harian kita. Akhirnya kita lara hingga tiada akhirnya.

Kita disibukkan dengan apa yang tiba daripada luar sehinggakan kita terlupa ada banyak sekali mesej-mesej yang disampaikan oleh hati nurani. Kita tidak adil kepada diri sendiri kerana membiarkan bisikan hati nurani berlalu begitu sahaja sedangkan apa yang disampaikannya itu sentiasa jujur dan luhur.

Walau dalam keadaan sebegitu sibuk pun, kita perlu ambil perhatian apa yang disampaikan oleh hati nurani. Mungkin sudah banyak kali ia mengingatkan, ‘kau patut mula berdiet,’ ‘bukankah semalam dah berniat nak hubungi Abang Ngah?’ atau ‘kenapa tidak awalkan solat?’ Duduklah seketika, dengar kembali bisikan hati nurani dan catatkan segala ingatan-ingatan baiknya.

Berilah perhatian kepada hati nurani sebab ia adalah pemandu kehidupan. Ia sentiasa sentiasa hadir sebagai pengingat dan pendinding diri. Sebaliknya jika tidak dijagai malah dipedulikan, jeritan-jeritan yang baik itu boleh berubah kepada bisikan-bisikan yang buruk.

Andainya kita alpa, yang dibimbangi ialah, yang buruk itu muncul dari bisikan syaitan yang telah bertakhta di situ! Dalam keadaan begini, hati nurani bukan lagi sahabat sejati, sebaliknya sudah menjadi musuh dalam selimut!

Iklan

Petikan Terpilih

BELI MAAFCAKAP 4 – KLIK GAMBAR!

LAYAR SOROT

BELI DI BOOKDEPOSITORY

LANGGAN LAYARMINDA

[mc4wp_form id=”572″]