MAAFCAKAP 22.3.2023
Insya-ALLAH mulai esok, kita akan menempuh Ramadan. Sekali lagi kita akan lalui bulan yang penuh barakah ini. Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari r.a menjelaskan bahawa ibadah berpuasa ini adalah untuk-NYA. “ALLAH berfirman, ‘Semua amal anak Adam adalah untuk mereka kecuali puasa. Ia untuk-KU dan AKU yang akan membalasnya.”
Hadis Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a pula menyatakan; “Apabila menjelmanya Ramadan, dibuka pintu-pintu Syurga, ditutup pintu-pintu Neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.”
Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah pula menyatakan; “Sesungguhnya bulan ini telah datang kepada kamu, di dalamnya terdapat malam di mana amalan ibadat yang dilakukan pada malam tersebut lebih baik dan lebih besar ganjarannya daripada amalan selama seribu bulan.”
Lihatlah betapa ‘bersedianya’ ALLAH untuk meraikan Ramadan dengan membuka pintu Syurga, menutup pintu Neraka dan membelenggu syaitan. Bukan setakat itu sahaja, malah ALLAH menganugerahkan pahala kepada orang berpuasa, menggandakan segala amal soleh sehingga 700 pahala dan bonus tahunan untuk menikmati pahala 1,000 bulan! Itu belum termasuk pahala berpuasa yang ALLAH akan beri mengikut kiraan lain, yang tentunya melebihi gandaan 700 pahala!
Soalnya, ALLAH Maha Kuasa sudah bersedia menyambut Ramadan dengan segala keberkatan yang melimpah ruah untuk hamba-hamba-NYA. Subhan-ALLAH. Tetapi apa pula persediaan kita golongan hamba untuk menyambut Ramadan? Baju raya? Kuih raya? Iftar di sana-sini? Atau, sudah merancang rombongan Mak Cik Kiah balik beraya di kampung?
Tidak terasakah kita? ALLAH sediakan macam-macam untuk kita. Tetapi rupa-rupanya kita ada rancangan lain yang melencong dari tujuan sebenar Ramadan. Seolah-olah kita hendak ‘fast-forward’ sahaja Ramadan untuk berada di bulan Syawal. Kemudian kita akan berpura-pura berkata, “Eh, cepatnya Ramadan pada tahun ini.” Padahal minda kita sudah melangkaui Ramadan itu sebelum pun bulan itu tiba!
Hanya sekadar ingat mengingatkan; bukan semua kita yang berfikiran begitu. Ramai lagi yang benar-benar bersedia untuk menghidupkan bulan Ramadan ini. Ramai yang melihat Ramadan sebagai bulan pesta ibadah. Alhamdulilah. Ramai juga yang sudah bersedia barang makanan untuk disedekahkah kepada fakir miskin. Dan, ada yang sudah mengenepikan bajet sedekah dalam talian secara harian.
Al-Quran baharu sudah dipesan agar ia membantu semangat membacanya di bulan mulia ini. Begitu juga jubah dan sejadah yang belum dipakai akan mula diguna untuk ke masjid. Jadual pergerakan keluarga untuk bertarawih di surau dan masjid telah diatur. Ramai juga yang sudah berpakat dengan geng surau untuk sama-sama beriktiqaf di masjid pada 10 malam terakhir Ramadan.
Jika ALLAH sudah menyediakan landasan yang luas dan terbuka untuk memberi barakah kepada Ramadan, kita pun bagai kecil tapak tangan, nyiru pula ditadahkan. Kesemuanya dibuat agar Ramadan ini bukan sekadar lebih baik daripada tahun-tahun nan lalu, tetapi yang lebih utama ialah mengharap agar ibadah pada tahun ini turut diterima.
Kita adalah manusia yang tidak sempurna lagi pelupa. Pada hari pertama, minggu pertama kita akan tekun menjaga ibadah puasa ini. Apabila menjelang minggu-minggu berikutnya, kita boleh kembali lalai akibat berpuashati dengan prestasi minggu sebelumnya. Akhirnya, perlumbaan yang seharusnya lebih fokus ke garisan penamat tidak berkesudahan seperti yang dihasratkan.
Bagaimana kita ini, ya? Sedangkan solat yang hanya beberapa minit sentiasa hilang khusyuknya, inikan pula masa berpuasa yang mengambil masa sehari suntuk. Lebih-lebih lagi bila kita bebas bergerak dan hanya berpuasa dari makan dan menjaga pandangan, pendengaran dan perkataan. Ditambah pula dengan keadaan sekeliling yang sentiasa menggoda, ia adalah bulan dugaan yang amat mencabar.
Saya gunakan istilah ‘menempuh Ramadan’ pada awal artikel ini agar kita sama-sama tidak berasa berpuasa ini suatu amalan yang ringan, bahkan sesuatu yang ada getirnya. Jika kita ingat berpuasa ini ringan, maka ringanlah ia, asalkan ia tidak diringan-ringankan. Sebaliknya jika kita beranggapan berpuasa ini berat, maka beratlah ia. Tetapi ia jangan pula puasa ini dipayah-payahkan. 30 hari dan 720 jam; ini adalah bulan untuk kita tunduk penuh keabdian.
La haula wala kuwata illabillah. Semoga ALLAH swt membantu kita mengharungi Ramadan. Selamat berpuasa buat semua.