MAAFCAKAP 29.3.2023

Saya mengikuti sebahagian dari sesi soaljawab di antara Jawatankuasa Perdagangan dan Tenaga Perumahan Amerika Syarikat dengan Ketua Pegawai Eksekutif TikTok, Chew Shou Zi yang diadakan baru-baru ini.

Amerika Syarikat berhasrat mengenakan arahan perundangan yang dinamakan Akta Sekatan yang memberi kuasa kepada Jabatan Perdagangannya melarang teknologi asing (dibaca; China) daripada mengancam keselamatan negara itu. Sesi itu mendapat kecaman dari kalangan netizen khususnya pelanggan TikTok Amerika sendiri kerana dikatakan menyekat kebebasan warga negaranya.

Berikutan itu, banyak parodi yang sarkastik telah dicipta oleh penggemar TikTok, mengecam apa yang disifatkan sebagai langkah tolol oleh Senat Amerika Syarikat. Konten pilihan parodi  ialah mengenai soalan Wakil Senat, Richard Hudson iaitu, “Apakah TikTok mempunyai akses kepada data Wi-Fi di rumah?”

Soalan tidak masuk akal  itu jelas mengelirukan Shou Zi kerana Wi-Fi adalah gelombang radio yang berfungsi sebagai penghubung tanpa wayar untuk internet. Ia membolehkan penggunanya berkomunikasi tanpa kabel. Jelas, Wi-Fi tidak boleh menyimpan data. Namun, oleh kerana disoal begitu, Shou Zi  yang terpinga-pinga telah menjawab juga, “… jika pengguna menghidupkan Wi-Fi… maaf, saya mungkin tak faham soalan.”

Ini adalah satu contoh jelas, apabila seseorang itu menyoal, dia boleh bertanya apa sahaja mengikut apa yang dia ingini. Dan, bila seseorang itu disoal, dia terpaksa menjawab walaupun jawapannya bakal menjeratnya. Sebaliknya, apabila seseorang itu bertanya, dia akan mengemukakan pertanyaan yang mudah difahami oleh orang yang ditanya supaya dia boleh menjawab.

Istilah ‘bertanya’ dan ‘menyoal’ adalah sinonim tetapi mempunyai perbezaan yang halus. ‘Bertanya’ itu lebih santai kerana mahukan maklumat, keterangan lanjut mahupun sebagai satu permintaan. Pertanyaan itu lebih ‘jujur’ kerana orang yang bertanya biasanya ingin tahu.

Sebaliknya ‘menyoal’ pula adalah proses untuk menyelidik mengenai sesuatu perkara. Biasanya soalan itu mempunyai maksud untuk mendengar jawapan menurut kehendak orang yang bertanya. Si penyoal biasanya sudah ada jawapan di dalam kepalanya.

Kita juga biasa bertanya. Kita bertanya, ‘apa khabar?’ ‘sihat, ke?’ ‘pukul berapa akan sampai?’ atau ‘sudah berpunya atau belum?’ Pertanyaan itu lebih berbasa-basi,  membuatkan orang yang bertanya dan orang yang menjawab itu berasa selesa untuk berbual hal-hal selanjutnya.

Menyoal pula lebih serius. Ia digunakan dalam peperiksaan. Kita akan sebut sebagai soalan peperiksaan, bukannya pertanyaan peperiksaan. Kita juga disoal dalam temuduga dan di dalam mahkamah. Malah, kita akan disoal Munkar dan Nakir; bukannya ditanya kedua-dua malaikat itu.

Walau bagaimana pun, soalan mahupun pertanyaan itu adalah satu bentuk ‘serangan.’ Menjawab pula adalah satu bentuk ‘pertahanan.’ Sebab itulah, soalan-soalan samada dalam bentuk provokasi mahupun interogasi biasanya akan menggugat pihak yang menjawab.

Anak kecil yang tidak henti-henti bertanya kepada ayahnya boleh menggugat kesabaran orang tuanya. Tentu kita ingat iklan Hari Raya Petronas, ‘Burung apa, burung murai’ bila mana si anak naik rengsa dengan soalan berulang-ulang si ayah.

Orang yang disoal biasanya perlu menjawab pada waktu itu juga. Kerana itu, mindanya perlu bekerja mencari jawapan. Dalam keadaan diserang dengan soalan, dia mungkin hilang jawapan sedangkan manusia mempunyai ego di mana dia perlu memberi jawapan segera kerana tidak mahu dilihat sebagai orang yang lembam.

Situasi dalam tekanan ini akan menghasilkan jawapan yang bodoh. Ini memberi kemenangan moral kepada yang bertanya untuk berasa lebih yakin. Wanita mudah menggugat perasaan kekasihnya dengan satu soalan, ‘You dah tak sayang I, ke?’ Kita tahu apa akan berlaku sekiranya si teman lelaki tidak menjawab dengan menyakinkan!

Jika soalan ialah serangan dan menjawab ialah bertahan, seboleh-bolehnya orang yang disoal perlu meminta masa untuk menjawab agar dapat berfikir dengan tenang. Tetapi sebaliknya, menjawab juga boleh menjadi satu serangan apabila jawapan itu diubah menjadi soalan.

Ramai ahli-ahli politik pandai memutar jawapan dalam bentuk soalan dan ia menjelma menjadi satu serangan. Pendek kata, siapa yang rajin menyoal, dia sebenarnya lebih bijak mengendali situasi.