MAAFCAKAP 7.2.2023
ALLAH kurniakan manusia akal, nafsu dan hati nurani. Hati nurani berasal dari bahasa Latin iaitu conscientia atau dalam bahasa Inggeris sebagai conscious yang bermaksud kesedaran. Hati nurani juga disebut sebagai suara hati, suara batin atau kata hati.
Imam Ghazali mengertikan hati dengan menggunakan istilah qalb atau dalam bahasa kita disebut, kalbu. Kalbu pula terjadi dari unsur fizikal dalam bentuk daging yang kita kenali sebagai hati. Kalbu dalam unsur spiritual inilah yang disebut sebagai hati nurani.
Secara umumnya, hati nurani adalah kesedaran moral yang tersemat di dalam hati manusia dan ia mempengaruhi tingkah laku seseorang. Biasanya hati nurani muncul dalam bentuk bisikan halus yang datang dari jiwa yang paling dalam.
Namun ia jujur dan intuitif iaitu bisikan yang disampaikan itu tiba tanpa memerlukan seseorang itu menaakulnya secara rasional. Lagi pula, ia tercetus secara seperti satu lintasan. Berbeza dengan keadaan bila kita ingin berfikir; kita akan lakukan ia secara sedar bilamana kita duduk termenung seketika untuk mencongak baik-buruk sesuatu ataupun mencari idea.
Hati nurani itu tercetus dalam dua keadaan. Pertama, secara retrospektif iaitu bisikan yang menilai perbuatan-perbuatan lampau untuk menghakimi. Bila kita berbuat yang buruk, hati nurani menyisipkan rasa kesal dan salah. Jika kita berbuat sesuatu yang bagus, ia menyematkan rasa bahagia dan puas hati.
Kedua, hati nurani yang prospektif. Ini pula adalah bisikan yang memberi tanggapan hal-hal masa depan atau yang sedang dilalui saat ini. Contohnya, seseorang itu boleh berasa seronok bila menemui seseorang buat pertama kali atau berasa ‘tak sedap hati’ tanpa sebab. Meskipun tiada apa-apa bukti yang baik atau buruk sebagai tanda, tetapi hati nurani tiba-tiba muncul untuk memberi alamat.
Bukhari dan Muslim menyampaikan sabda Rasulullah saw: “Ingatlah bahwa di dalam jasad itu ada segumpal daging. Jika ia baik, maka baik pula seluruh jasad. Jika ia rosak, maka rosak pula seluruh jasad. Ketahuilah bahawa ia adalah hati.”
Pada hari ini, kita hidup dalam suasana bila mana hampir keseluruhan maklumat sampai dari luar diri. Dan ia menghujani diri tanpa henti. Celik mata, kita dengar bunyi jam. Kemudian kita mencapai telefon untuk menutup deringnya. Biasanya, mata kita akan terlekat dengan mesej-mesej yang sampai.
Sambil membaca mesej, ada pula berita yang mempunyai pautan. Lantas kita buka satu demi satu tanpa menyedari yang waktu subuh sudah hampir. Lantas kita bersiap untuk segera solat dan bergegas keluar kerana tidak suka tersangkut dalam kesesakan jalan raya.
Sambil memandu, telinga kita pula mendengar lagu, mesej serta iklan dari radio. Bila bosan, kita dengar pula ceramah dari telefon. Kita terima sahaja apa yang sampai dari sumber luar diri. Ia berlanjutan dan berselang-seli dengan aktiviti harian kita. Akhirnya kita lara hingga tiada akhirnya.
Kita disibukkan dengan apa yang tiba daripada luar sehinggakan kita terlupa ada banyak sekali mesej-mesej yang disampaikan oleh hati nurani. Kita tidak adil kepada diri sendiri kerana membiarkan bisikan hati nurani berlalu begitu sahaja sedangkan apa yang disampaikannya itu sentiasa jujur dan luhur.
Walau dalam keadaan sebegitu sibuk pun, kita perlu ambil perhatian apa yang disampaikan oleh hati nurani. Mungkin sudah banyak kali ia mengingatkan, ‘kau patut mula berdiet,’ ‘bukankah semalam dah berniat nak hubungi Abang Ngah?’ atau ‘kenapa tidak awalkan solat?’ Duduklah seketika, dengar kembali bisikan hati nurani dan catatkan segala ingatan-ingatan baiknya.
Berilah perhatian kepada hati nurani sebab ia adalah pemandu kehidupan. Ia sentiasa sentiasa hadir sebagai pengingat dan pendinding diri. Sebaliknya jika tidak dijagai malah dipedulikan, jeritan-jeritan yang baik itu boleh berubah kepada bisikan-bisikan yang buruk.
Andainya kita alpa, yang dibimbangi ialah, yang buruk itu muncul dari bisikan syaitan yang telah bertakhta di situ! Dalam keadaan begini, hati nurani bukan lagi sahabat sejati, sebaliknya sudah menjadi musuh dalam selimut!