BLOG

VEKTOR karya Ahmad Erhan Bukan Novel Klise. Betul Ke?

VEKTOR karya Ahmad Erhan Bukan Novel Klise. Betul Ke?

AHMAD ERHAN adalah nama baharu yang menjengah ke dunia penulisan novel. Membesar di Alor Setar, Kedah, beliau adalah seorang peminat cendol, durian, burger, dan roti bom. Dalam diam, beliau sudah mempunyai dua buah novel iaitu Tempur (2016) dan Vektor yang baru sahaja diterbitkan.

Meskipun sibuk, Ahmad Erhan sempat meluangkan masa untuk temubual eksklusif ini.

Cover novel Vektor karya Ahmad Erhan
Cover novel Vektor karya Ahmad Erhan

Vektor ni, novel apa, Erhan? Cuba cerita sikit…

Vektor adalah novel kedua saya. Ia mengisahkan tentang seorang bapa yang cuba menyelamatkan anak kecilnya yang diculik oleh sekumpulan penjenayah antarabangsa. Ya, kedengarannya klise sekali, kan? Haha! Tetapi tidak bermakna jalan ceritanya sama dengan filem-filem pasal penculikan yang pernah ditayangkan sebelum ini. Cerita ini saya olah versi saya. Vektor sebenarnya lebih dari sekadar kisah penculikan.

Mana dapat idea nak menulis Vector, ni?

Vektor sebenarnya tercetus dari kritikan saya terhadap beberapa buah filem aksi berkenaan penculikan seperti Taken (Liam Neeson), Man On Fire (Denzel Washington) dan beberapa buah filem lagi. Kedengaran seperti inspirasi dari filem-filem ini. Tetapi sebenarnya tidak, malah ianya adalah bertentangan.

Sebagai contoh, di dalam filem Taken, Bryan yang mahu menyelamatkan anaknya itu bercerai dengan isterinya. Watak Creasy  di dalam Man On Fire ada masalah trauma perang dan ketagihan arak. Begitu juga watak Leftenan Hanna dalam filem Heat, juga mempunyai masalah keluarga. Watak Will di dalam Unstoppable juga ada family problem. Watak hero yang mempunyai masalah keluarga terutamanya perceraian adalah klise bagi saya.

Jadi, Vector pulak bagaimana?

Watak Firaz di dalam novel saya ialah seorang lelaki yang orang kata ‘family man’, seorang yang normal. Tidak ada masalah jiwa dan mempunyai kehidupan yang stabil.  Saya buat begitu kerana saya berasa agak mual melihat watak-watak utama filem kenapa mesti ada masalah keluarga atau konflik diri?

Saya kurang gemar sesuatu yang klise. Tapi saya akui, tanpa sedar saya sendiri tidak dapat lari dari klise itu 100%, haha! Kerana kadang-kadang klise itu diperlukan oleh sesetengah bahagian cerita untuk pergerakan plot. Walaupun saya tidak suka, saya tak boleh mengelaknya 100%.

Apa yang Erhan suka mengenai novel ini?

Apa yang saya suka ya? Hmm… Mungkin rekabentuk kulit bukunya kot haha!

Ada tak mana-mana adegan dalam novel ini yang mentisukan hati Erhan?

(AWAS SPOILER! SILA SKIP JIKA ANDA BELUM BACA VEKTOR!)

Tak ada. Tapi, yang terlintas di kepala saya ialah ketika Agnes melihat ayahnya dibunuh di depan mata tanpa dapat melakukan apa-apa. Dia hanya mampu tengok sahaja. Ayahnya dibunuh pula oleh pengkhianat dalaman yang di luar jangka.  Dua kejutan dalam satu masa inilah yang menghambat emosi. Saya berasa begitu marah bila menulis babak ini! Setiap kali terkenangkan babak ini, kemarahan Agnes seperti mengalir dalam diri saya. Haha!

Satu lagi adegan adalah babak Firaz yang diberitahu dia ada kurang 26 jam untuk dapatkan anaknya semula. Jika tidak, nyawa anaknya di dalam ancaman. Firaz dah tak ada masa untuk berfikir dan mengharap kepada orang lain untuk menyelesaikan masalah penculikan anaknya.

Kedudukan Firaz adalah seperti mulitple trap di dalam permainan catur. Kerana bagi Firaz dalam masa 26 jam itu, kalau polis gagal selamatkan anaknya, anaknya akan mati. Jika dia duduk menunggu sahaja juga anaknya mati. Kalau anaknya berjaya diselamatkan selepas 26 jam juga akan mati. Anaknya diculik bukan untuk kes tebusan. Ini adalah penculikan yang tidak boleh dirunding, kerana wang tebusan tidak bermain di dalam konflik ini.

Saya meletakkan diri saya pada kedudukan Firaz. Waktu ini, dengan sendirinya ketakutan akan hilang dari diri anda. Anda sudah tidak peduli apa. Feeling to save someone that we love is actually really powerful. It pushes the fear away. Stail tak ayat orang putih saya?

Bagaimana Erhan menulis novel ini? Menurut turutan dari bab satu hingga akhir atau bagaimana?

Haha! Saya sebenarnya cukup lemah nak cerita bahagian ini. Sebenarnya penulisan Vektor agak berterabur. Tidak menentu. Walaubagaimana berterabur pun, saya akan pastikan pangkalan cerita atau orang putih panggil story base-nya kukuh.

Untuk yang belum tahu, ‘story base’ ini adalah satu tempat kita akan himpunkan segala data berkenaan cerita yang hendak ditulis. Ia mengandungi, sinopsis cerita, maklumat setiap watak, maklumat setiap pihak yang berkonflik, latar zaman, latar peristiwa, garis masa, rangka kisah dan apa sahaja perencah yang kita mahu goreng.

Story base ini adalah tempat rujukan saya untuk berkarya. Bagi saya, kalau story-base sesebuah cerita itu kukuh, maka senang hendak menulis sesebuah novel itu dari mana-mana bahagian pun. Sama ada ikut turutan bab ataupun tidak. Ia seperti seseorang yang bermain boneka bertali (puppeteer). Alat pengawal bertali itu adalah story base, anggota-anggota tubuh boneka yang bersambung tali itu  Mungkin anda sukar nak faham. Saya simpulkan di sini, teknik penulisan saya adalah seperti seorang pemain boneka mengawal boneka bertalinya (marionette).

Saya peninglah bila Erhan cakap teknik pengkaryaan macam ni. Boleh tak bagi saya pening lagi?

Saya juga menulis novel dengan kaedah yang saya panggil ‘layer’ atau lapisan. Tulisan kali pertama (base writing) saya akan tulis ikut sesuka hati berdasarkan pangkalan cerita. Peringkat ini saya abaikan typo ke, tatabahasa betul ke salah ke, saya akan terus tulis sampai siap. Setelah siap, saya akan buat semakan kali pertama (Layer 1). Peringkat ini baru saya betulkan apa yang silap, apa yang kena cantas, apa yang kena tambah. Semakan kedua (Layer 2) pun begitu. Selalunya hasil yang agak cantik adalah pada ‘layer’ ke-3 atau 4.

Dan bagi saya, peringkat yang paling kritikal ketika menulis novel ialah pangkalan cerita (story base) dan semakan pertama (Layer 1), bukan base-writing . Selalunya semakan pertama memang saya cukup hati-hati. Bagi saya, saya sebenarnya menulis novel pada semakan pertama. Layer 1 kadang-kadang merubah hampir 30-40% dari base-writing.

Okeylah.  Dari 1 hingga 5 bintang, berapa bintang Erhan berikan pada novel ini?

Lima bintang!

Biar betul. Tapi kenapa beri 5 bintang?

Walau bagaimana berhati-hatinya kita, kita tetap tidak akan lari dari kesilapan, sama ada nampak atau tidak nampak sahaja. Itu memang kelemahan kita sebagai manusia. Begitu juga dengan Vektor. Bukanlah sebuah karya yang sempurna. Tetapi mengenangkan betapa susah payahnya saya mahu menyiapkan novel ini, sudah tentu saya akan beri 5 bintang. Bintang yang sebenar adalah dari pembaca. Buruk bagaimana pun karya saya, saya akan tetap dengan hipkoritnya memberi 5 bintang haha!

Amboi. Over pulak puji tu. Tak apalah, sebab itu karya Erhan sendiri.
Tapi sekarang sedang buat novel apa pulak?

Novel berikut bertajuk Dominasi. Buat masa ini, setakat itu sahaja maklumat yang boleh dibocorkan. Segala kemaskini terbaru berkenaan Dominasi akan saya naikkan secara berkala di laman Facebook saya; Ahmad Erhan dan Instagram; juga Ahmad Erhan.

Ada harapan Erhan ke dengan novel ini?

Harapan… harap pembaca suka novel ini dan mempromosinya kepada kenalan-kenalan yang lain. Ia adalah sebuah novel debar aksi (action thriller). Jadi, bagi sesiapa yang selalu merungut kata novel-novel berbahasa Melayu asyik-asyik cinta, ini adalah satu alternatif anda.

Pemikiran Masyarakat yang Lemau

Pemikiran Masyarakat yang Lemau

Tatkala menjalankan tugas, saya bertemu dengan pelbagai ragam pemikiran manusia. Biasa juga berdepan dengan berbagai kerenah dan bersemuka dengan bermacam tahap pemikiran. Saya selalu bertemu dengan anak muda yang pandai berhujah dan terjumpa juga dengan orang berusia yang bercakap macam budak-budak. Kesemuanya membuat saya pelik dan mula mengerti akan kata-kata orang dahulu, kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapa.

Kadangkala saya berurusan dengan orang yang nampak selamba dan toya. Tetapi bila bercakap, ayat-ayatnya tersusun bagai sebuah teks ucapan yang betul nahunya. Ada ketikanya saya bercakap dengan individu yang tampak hebat lagi berpersonaliti. Bagaimana pun, apabila bertukar pendapat, kata-katanya begitu klise, yang saya pernah dengar di mana-mana.

Mengapa terjadi begitu? Mengapa usia itu tidak dapat mencerminkan tahap pemikiran seseorang? Bukankah sedari kecil, apabila seseorang itu memasuki tadika, dia dilatih untuk mengenal abjad dan hafal turutan nombor? Lazimnya hampir kesemua daripada mereka dapat mengenal dan menghafal abjad dan nombor-nombor itu.

Kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapa - masyarakat yang lemau pemikiran
Kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapa – masyarakat yang lemau pemikiran

Menginjak ke darjah satu, dua, tiga dan seterusnya… kesemua pelajar mendapat ilmu yang sama. UPSR menjadi pengukur tahap pemahaman mereka. Apabila memasuki sekolah menengah, ada pula PT3, SPM, STPM dan pelbagai peperiksaan yang menyeragamkan kesemua kefahaman para pelajar secara setara.

Di universiti pula, walaupun masing-masing mengambil jurusan yang berbeza, mereka kesemua akhirnya mempunyai kemahiran asas berfikir yang hampir serupa. Mereka terlatih dalam pemahaman dan kefahaman, berfikiran secara kritikal, menyelesai masalah, mentafsir, menganalisa dan merumus. Jadi, secara asasnya, apabila mereka keluar dari menara gading, masing-masing mempunyai aras pemikiran yang setara.

Sistem pelajaranlah yang menyelaraskan tahap pemikiran para pelajar mengikut usia. Sukatan pelajaran yang tertentu telah membentuk dan menjadi acuan agar kesemua mereka yang belajar hingga ke tahap universiti akan mempunyai satu aras pemikiran yang setara.

Jadi, mengapa juga kita akan terjumpa para pensyarah yang boleh tertipu dalam skim yang palsu? Mengapa kita temui ahli-ahli politik yang berhujah dengan alasan-alasan yang kartun? Bagaimana pula kita temui ahli perniagaan yang membina empayar dengan cara menipu dan tidak dengan cara menggembleng pemikiran intelektualnmya untuk memperoleh untung?

Setelah merenung, saya cenderung untuk mengatakan bahawa sebahagian besar mereka yang telah tamat zaman pendidikan masing-masing telah membuang buku jauh-jauh dari diri mereka. Pendekata, mereka tidak lagi mahu atau suka membaca. Keterujaan untuk menimba ilmu sudah tiada lagi dalam kamus hidup mereka. Akhirnya, usia mental mereka telah terhenti sebaik sahaja mereka mendapat segulung ijazah.

Keseronokan mencari ilmu sudah hilang dari sanubari mereka. Mata mereka lebih meliar bila berkunjung ke butik pakaian kerana riang melihat pelbagai jenis pakaian. Mereka terlalu seronok menatap menu sajian di restoran. Tetapi ramai ibubapa yang bertahap intelektual hanya membelek majalah di gedung-gedung buku sementara menanti si anak mendapatkan novel siri kegemarannya.

Keinginan untuk menambah ilmu sudah mati. Bila usia semakin lanjut dan ilmu tidak bertambah, otak yang ada semakin berkarat. Ia mudah lemah bila tidak diberi santapan minda berupa bahan-bahan bacaan. Akibatnya, sebilangan besar daripada mereka membuat keputusan hidup bersandarkan dengan apa yang orang lain lakukan. Bukan hasil dapatan original diri sendiri hasil dari bahan bacaan yang lain daripada orang lain.

Kita berdepan dengan masyarakat yang lemau pemikiran. Jika mereka setuju pada sesebuah pandangan, mereka akan mengulas balik apa yang mereka perolehi secara bombastik dan berlebih-lebihan umpama burung kakak tua. Sebaliknya jika mereka tidak setuju dengan sesebuah pendapat,  mereka bukannya memberi pandangan yang kontra terhadap pendapat itu. Sebaliknya, membelasah si pemberi pendapat itu sekali!

Kerana Jualan Novel Laris, Penjual Mahu Penerbit Hulur Derma

Kerana Jualan Novel Laris, Penjual Mahu Penerbit Hulur Derma

Penjual-penjual buku Perancis kini menggesa penerbit novel The Hunchback of Notre-Dame agar menghulur derma untuk pembinaan semula katedral Notre-Dame yang terbakar baru-baru ini.

Dua tuanpunya kedai buku di Paris Amandine Ardouin dan Antoine Bonnet menggesa pendapatan daripada jualan novel Victor Hugo  yang mula terbit pada tahun 1831 boleh membantu pembinaan semula itu.

“Sedihlah bila dapat buat duit dengan tragedi ini. Sebab itu, kami ambil keputusan untuk membahagikan pendapatan itu untuk membaikpulih,” kata Ardouin kepada majalah Livre Hebdo. Sebelum ini Presiden Emmanual Marcon menggesa ramai pihak menghulur derma untuk pembinaan semula katedral Notre-Dame itu.

Salah satu cover karya Victor Hugo
Salah satu cover karya Victor Hugo

Hanya beberapa jam setelah kebakaran besar itu, jualan novel The Hunchback of Notre-Dame melonjak naik di senarai terlaris carta Amazon. Harganya pula ialah RM21.00 untuk versi cetakan biasa dan RM199.00 untuk versi kulit keras.

Penguin Classics, di antara penerbit novel itu memaparkan ‘tiada stok’ di portal niaganya.

Kebakaran katedral Notre-Dame PADA 17 April lalu telah menggamit nostalgia warga Perancis untuk mendapatkan novel The Hunchback of Notre-Dame karya Victor Hugo.

Berita berkaitan:
Kebakaran gereja Notre-Dame: Bagaimana Tragedi itu Menaikkan Jualan Novel
*sumber: BBC

Novelis Nora Roberts Saman Novelis Brazil

Novelis Nora Roberts Saman Novelis Brazil

Novelis Nora Roberts telah menyaman seorang penulis Brazil atas aspek pelanggaran hakcipta. Beliau mendakwa penulis Cristiane Serruya telah membuat pelbagai plagiat.

Saman itu dikeluarkan pada pagi Rabu di Rio de Jeneiro di mana Serruya tinggal. Nora Roberts menuduh novel-novel cinta Serruya sebagai ‘sastera tempelan yang menyulam frasa-frasa yang menggambarkan emosi yang seakan-akan apa yang ditulis oleh pihak plaintif.’

Menurut undang-undang Brazil, Nora menyaman dengan nilai 3,000 kali ganda daripada nilai jualan tertinggi karya Serruya.

“Bila kamu plagiat, saya akan cari kamu,” kata Nora kepada The Associated Press dalam temubual menerusi telefon. “Kalau kamu ambil hasil kerja saya, kamu mesti bayar dan saya akan pastikan yang kamu tidak akan menulis lagi.”

Nora menambah, apa jua denda daripada dakwaannya itu akan disedekahkan kepada program buta huruf di Brazil.

Cristiane Serruya, novelis yang dikatakan memplagiat karya Nora Roberts
Cristiane Serruya, novelis yang dikatakan memplagiat karya Nora Roberts

Sementara itu, dalam temubual telefon dengan Associated Press, Cristiane Serruya, seorang penulis swaterbit berkata, beliau masih belum menerima saman daripada Nora. Tetapi beliau mengaku amat fanatik dengan hasil karya penulis terkenal itu.

Namun, Serruya mengaku selalu menggunakan penulis upahan untuk bahagian-bahagian di dalam bukunya. Tetapi beliau tidak dapat menjamin samada ada terdapat bahagian-bahagian yang diplagiat.

Sementara itu, peguam Saulo Daniel Lopez, seorang pakar mengenai hakcipta penulis berkata, kes begini mengambil masa 5 hingga 10 tahun untuk selesai. Jika didapati bersalah, serruya akan terpaksa membayar daripada pendapatan hasil jualan karya-karyanya. Untuk rekod, Serruya juga adalah seorang peguam sebelum menceburkan diri sebagai seorang penulis.

sumber: time.com
piccredit: biography.com

We, The Survivors oleh Tash Aw

We, The Survivors oleh Tash Aw

We, The Survivors
oleh Tash Aw

Bahasa: Inggeris
Genre: Fiksyen
Penerbitan: 18 Mar 2019, HarperCollins Publishers
Halaman: 336
Penulis: Website | Instagram | Twitter | Goodreads

Buy This Book from Book Depository, Free Delivery World Wide

SINOPSIS

Pengakuan seorang pembunuh yang meremukkan, pedih, tidak dapat dilupakan – yang mendedahkan sebuah kisah mengenai kelas, pendidikan dan sebuah takdir yang tidak dapat dielakkan.

Ah Hock adalah seorang lelaki biasa dan tidak berpendidikan yang dilahirkan di sebuah perkampungan nelayan Malaysia dan kini cuba untuk membina laluannya di sebuah negara yang menjanjikan kekayaan dan jaminan kepada semua orang, tetapi dengan menyerahkan hanya kepada beberapa orang yang terpilih. Dengan masyarakat Asia yang berubah di sekelilingnya, seperti ramai yang lain yang terperangkap di dalam dunia pekerjaan yang dibayar dengan gaji yang tidak setimpal yang hanya cukup makan, akhirnya membuatkannya membunuh pekerja asing dari Bangladesh.

Dalam tradisi Camus dan Houellebecq, penerangan Ah Hock yang jelas dan menarik mengenai tahun-tahun yang membawanya kepada perlakuan ganas ini – ianya diceritakan dalam beberapa hari kepada seorang wartawan tempatan yang hidupnya telah mengambil kursus yang berbeza – ianya merupakan potret orang luar seperti tidak lain, pandangan anti-nostalgia mengenai kehidupan manusia dan kemusnahan harapan. Ia adalah karya seorang penulis di puncak kuasa.

Iklan

Petikan Terpilih

BELI MAAFCAKAP 4 – KLIK GAMBAR!

LAYAR SOROT

BELI DI BOOKDEPOSITORY

LANGGAN LAYARMINDA

[mc4wp_form id=”572″]