BLOG

Macam Mana Danielle Steel dapat Menulis 179 Buah Novel?

Macam Mana Danielle Steel dapat Menulis 179 Buah Novel?

Danielle Steele - foto oleh Thoughtco
Danielle Steel – foto oleh Thoughtco

TERDAPAT sebuah notis di pejabat Danielle Steel yang tercatat: “Tiada keajaiban. Hanya disiplin.” Notis itu ringkas. Namun apa yang beliau telah kecap selama lima dekad dalam dunia penulisannya itu seolah-olah sebuah keajaiban.

Beliau telah menulis 179 buah buku yang diterjemah dalam 43 bahasa. 22 daripadanya telah diadaptasi untuk televisyen. Danielle menulis tujuh buah novel sebulan! Bukunya terkini, Blessing in Disguise baharu sahaja terbit minggu ini.

Novel Danielle Steele terkini, Blessing in Disguise - foto oleh Goodreads
Novel Danielle Steel terkini, Blessing in Disguise – foto oleh Goodreads

Pada satu-satu masa, beliau menulis 5-6 judul novel. Beliau menulis di antara 20-22 jam sehari. Kadangkala bila beliau berasa tertekan, beliau tak tidur hingga 24 jam!

Danielle menulis di rumahnya di Paris. Kadang-kadang di rumahnya di San Francisco. Beliau masih menggunakan mesin taip Olympia 1946 yang beliau namakan sebagai Olly.

Mesin taip Olympia 1946 - foto oleh mrmatinweb
Mesin taip Olympia 1946 – foto oleh mrmatinweb

“Olly sebuah mesin taip yang besar dan berat. Usianya lebih tua daripada saya. Saya ada 12-15 mesin taip yang saya beli sejak beberapa tahun yang lalu untuk dapatkan alat ganti kerana spesisnya akan pupus!”

Beliau memulakan kerja pada jam 8.30 pagi. Pada waktu pagi dia akan menjamah sekeping roti bakar dan kopi ais tanpa kafein. Setelah makan tengahari, beliau akan mengunyah coklat sambil bekerja.

Bilik kerja Danielle Steel - foto oleh apartmentheraphy
Bilik kerja Danielle Steel – foto oleh apartmentheraphy

“Samada hidup atau mati, hujan atau panas, saya akan duduk dan terus kerja. Kadangkala, bila saya sudahkan sesebuah novel pada sebelah pagi, saya akan mulakan novel berikutnya pada sebelah petang.”

“Saya terus bekerja. Kalau kita menjauhi apa yang kita sedang lakukan, keadaan akan jadi lebih sukar. Jadi, lebih baik terus menulis hingga ada 30 halaman yang perlukan pembetulan daripada duduk melahu.”

“Saya tak akan tidur melainkan setelah betul-betul penat hinggakan saya boleh saja tidur di lantai. Kalau saya dapat tidur selama empat jam, itu boleh dikira sebagai tidur yang cukup.”

Di antara novel-novel Danielle Steele - foto litreactor
Di antara novel-novel Danielle Steel – foto litreactor

“Sesetengah idea saya pada mulanya biasa-biasa sahaja. Tetapi bila saya terus menulis, ia menjelma menjadi sesuatu yang ajaib. Tapi, kadangkala saya rasa seperti mengheret seekor gajah. Cuma akhirnya saya berjaya.”

Kadangkalanya Danielle juga berasa bimbang yang dia gila kerja lalu terasa ingin untuk mencari keseronokan. Kini beliau mengambil cuti penuh selama seminggu untuk berehat bersama keluarga di selatan Perancis.

Keluarganya akan ke pantai sedangkan dirinya akan membaca. Sekali-sekala apabila beliau siap kerjanya awal, beliau akan duduk menonton televisyen selama sejam, biasanya Netflix. Beliau juga shopping; bukan secara online, tetapi beliau lebih selesa bershopping di Paris.

Agatha Christie antara novelis yang dikenali oleh Danielle Steele - foto docutah
Agatha Christie antara novelis yang dikenali oleh Danielle Steel – foto docutah

Tatkala ditanya bilakah beliau akan berhenti menulis, membeli belah di Paris, berehat di selatan Perancis atau tidur aje; Danielle menjawab dengan selamba tetapi serius, “Bila saya mula menulis, saya dan Agatha Christie mempunyai ejen yang sama. Usia saya ketika itu cuma 19 tahun dan Agatha pula dalam usia 90an.

Saya pernah bertemu Agatha dan saya masih ingat lagi apa katanya, “Saya hendak mati dengan tersembam di mesin taip. Saya pun rasa macam tu. Maksud saya, saya mahu menulis dan terus menulis.”

*Petikan tulisan Samantha Leach, Penolong Editor majalah Glamour.

Chef yang Tewas Masterchef UK Muncul dengan Buku Rendangku tak Garing

Chef yang Tewas Masterchef UK Muncul dengan Buku Rendangku tak Garing

Chef Zaleha dengan buku resipinya – foto That Rendang Lady

SETELAH lebih setahun meninggalkan dapur MasterChef UK akibat tersingkir kerana rendangnya tak rangup, Chef Zaleha Kadir-Olpin muncul dengan sebuah buku yang punyai judul menyindir ~ My Rendang Isn’t Crispy and Other Favourite Malaysian Dishes.

Memetik dari Facebook beliau That Rendang Lady, buku ini boleh ditempah secara online. Buku resipi itu akan dilancarkan di Asia pada 1 Julai dan 16 September di United Kingdom.

Nasi lemak rendang ayam – foto hiasan

PIC rendang 2: Nasi lemak rendang ayam – foto hiasan Selain daripada rendang, buku masak Chef Zaleha juga memuatkan makanan Malaysia termasuk laksam dan nasi lemak.  Menurut beliau, resepi dalam buku tersebut adalah resepi turun temurun dari air tangan ibu dan neneknya.

Pada tahun lalu, Zaleha berjaya ke suku akhir rancangan MasterChef UK. Namun beliau disingkirkan kerana jurinya  Gregg Wallace dan John Torode menyatakan rendangnya tidak rangup.

Tiba-tiba berita itu meletup bila warganet Malaysia mempertahankannya hingga Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia Vicki Treadell bertindak menyekolahkan juri-juri pertandingan masakan popular itu.

Jom tonton YouTube Masterchef UK episod rendang tak garing:

Pesta Buku Warsaw – 4 hari, 1500 acara!

Pesta Buku Warsaw – 4 hari, 1500 acara!

Stadium Nasional, Narodowy Warsaw – foto oleh inmypocket

Pesta Buku Warsaw 2019 (Warsaw Book Fair –WBF) akan bermula dari 23 – 26 May 2019, bertempat di Stadium Nasional. Warsaw adalah ibu negara Poland yang sangat terkenal dengan seni bina yang mencerminkan sejarah mereka, bermula dari gereja-gereja Gothic dan istana neoklasik ke blok zaman Soviet dan pencakar langit moden.

Logo Pesta Buku Warsaw

Apa yang menarik ialah, meskipun pesta buku ini diadakan hanya untuk empat hari, 1,500 acara akan berlangsung yang antaranya ialah pelancaran buku baharu, pertandingan, pertunjukan sastera dan seni. Selain itu, pertemuan dengan penulis, promosi buku, konsert serta pameran filem animasi untuk kanak-kanak turut diadakan.

Promoter buku menarik pelanggan di Warsaw Book Fair.

Pameran Buku Warsaw ditubuhkan atas inisiatif penerbit Poland dan pihak penganjur yang berpangkalan di Warsaw. Sempena ulang tahun ke-100 perhubungan diplomatik Romania-Poland (1919/2019) tahun ini dan ‘Romanian Presidency of the EU Council’, Romania akan menunjukkan kepelbagaian kesusasteraannya berserta dengan budaya mereka di Pesta Buku Warsaw.

Reruai di Warsaw Book Festival tahun lalu – foto oleh inmypocket

Pengarang Romania, seperti Varujan Vosganian, pengarang Nagrody Europy Srodkowej “Angelus” 2016 untuk Ksiega szeptów dan Adrian Cioroianu, pengarang koleksi cerita sensasi Piekna opowiesco historii Rumunów akan mengadakan sesi bertemu bersama pembaca Poland di Pameran Buku Warsaw.

Mengapa Penulis Lebih Hebat dari Pak Menteri?

Mengapa Penulis Lebih Hebat dari Pak Menteri?

1. Pernah tak anda menonton pak menteri berucap di sesebuah majlis? Bila dia bangun untuk memulakan ucapan dengan segala mukadimah, kita sudah menumpukan perhatian kepadanya. Kita hendak mendengar apa yang ingin dia sampaikan.

2. Tapi perhatian kita biasanya sekejap sahaja. Selang beberapa minit, pandangan kita akan melilau memerhati pakaian pak menteri, alas meja yang terkibar-kibar dihembus kipas angin, ahli-ahli jemputan lain yang duduk di pentas, kerusi menteri yang kosong, sepanduk di belakang pentas dan apa sahaja yang akan mengurangkan tumpuan kita kepadanya.

3. Bila kita perhati ke sekeliling, mereka yang duduk di kiri dan kanan kita pun ada yang sudah tak tumpukan perhatian. Ada yang berbisik-bisik, melihat mesej di telefon atau memantaukan pandangan mereka ke mana sahaja kecuali ke wajah pak menteri.

4. Hati masing-masing berdoa agar pak menteri memendekkan ucapan supaya majlis segera tamat. Bolehlah kita bangun untuk ke tempat makan atau terus keluar daripada majlis. Tetapi kita mula mengeluh kalau pak menteri meneruskan ucapannya melebihi setengah jam dan buat wajah meluat apabila pak menteri nampaknya seperti tidak mahu berhenti bercerita.

5. Sebaliknya sedar tak kita, apabila kita membuka lembaran sebuah novel, kita mula memasang niat untuk menumpukan perhatian kepada bacaan itu? Dari halaman pertama, beralih ke halaman dua, tiga, empat belas hingga seterusnya, kita asyik membaca hingga tidak sedar yang kita telah membaca lebih sejam.

Penulis lebih hebat dari menteri!
Penulis lebih hebat dari menteri! Gambar oleh Rudy dan Peter Skitterians dari Pixabay

6. Perasan tak, apabila pembaca membuka sesebuah novel, itu bererti mereka sedang berkomunikasi dengan si penulisnya? Dan mereka sanggup mendengar celoteh si penulis dalam bentuk tulisan.

7. Yang menariknya, orang yang sedang mengikuti cerita si penulis hanyalah seorang. Bukan berbelas, berpuluh, beratus, bukan beribu. Tetapi… pembaca yang satu-satunya itulah yang khusyuk menatap tulisan kita. Dia boleh membaca selama berjam-jam lamanya.

8. Hebatnya kita para penulis. Apa azimat yang kita ada hingga seseorang itu boleh mengikuti cerita kita hingga sebegitu lama? Orang politik yang bercakap tidak sampai sejam pun tak dapat tarik perhatian para penontonnya sebegitu lama sepertimana seseorang penulis mengekalkan perhatian pembacanya.

9. Kalau kata-kata pak menteri itu akan dilupakan sebaik sahaja seseorang itu keluar daripada dewan perasmian, cerita yang disampaikan oleh penulis itu akan diingati oleh pembaca walaupun bertahun-tahun selepas itu.

10. Justeru itu, penulis itu orang yang hebat. Kita boleh katakan yang penulis lebih hebat dari Pak Menteri. Dia boleh memukau pendengar walaupun dia tidak berdiri di depan mata khalayaknya.

Membaca Buku Membina Kelestarian Mental

Membaca Buku Membina Kelestarian Mental

MESKIPUN kita dapati masyarakat Malaysia makin suka membaca, kita masih tidak nampak membaca buku dijadikan satu budaya. Masih tidak ramai yang membaca buku di dalam LRT, di taman-taman rekreasi ataupun di mana-mana tempat menanti seperti di bank atau kaunter-kaunter jabatan kerajaan. Sebaliknya kita makin kerap menekur ke telefon pintar masing-masing.

Membaca buku membina kelestarian mental
Membaca buku membina kelestarian mental

Kehebatan siaran televisyen membuatkan mata kita terpaku ke skrin TV. Ia bukan sahaja mengambil alih masa untuk aktiviti riadah, komunikasi di dalam keluarga dan malah juga tabiat membaca.

Siaran hiburan yang disertai dengan warna, bunyi dan suara membuatkan kita terpukau sehingga ramai di antara kita yang memperuntukkan sejumlah masa dalam sehari untuk menonton TV. Rancangan TV yang berbentuk pengetahuan pula, bila disiar dengan menggunakan kesan khas imej dan bunyi kian menjadikan kita asyik hingga kita mempunyai tanggapan bahawa kononnya kita sedang belajar dan bukan berhibur.

Tanggapan ini juga mengurangkan minat seseorang untuk membaca. Padahal, aktiviti menonton apa bentuk siaran pun adalah sejenis aktiviti pasif dalam konteks meningkatkan kecerdasan minda dalam menganalisa sesuatu perkara yang dibentangkan.

Bila kita memperkatakan mengenai tabiat membaca, mengapakah lazimnya ia bermaksud tabiat membaca buku? Bukankah membaca juga termasuk membaca majalah, akhbar malah membaca daripada sesebuah artikel di dalam laman internet? Bagi saya, terdapat kelainan kesan yang membezakan di antara membaca buku, akhbar, majalah mahupun daripada laman di internet.

Apa yang dibaca di akhbar biasanya berbentuk berita atau maklumat. Maklumat belum tentu lagi menjadi pengetahuan. Lagi pula, berita-berita biasanya disiarkan dalam bentuk cebisan yang pendek-pendek. Ketika membaca sesebuah berita, ekor mata pula akan tertarik dengan berita berhampiran. Ini membuatkan seseorang yang menatap akhbar, tidak dapat menatapnya dengan penuh konsentrasi.

Artikel di dalam majalah pula, meskipun lebih panjang, namun ia belum juga dapat memberi kesan yang mendalam terhadap si pembaca. Dia mungkin memperoleh maklumat dan juga pengetahuan asas mengenai apa yang dibacanya tetapi ia belum cukup untuk meningkatkan kecerdasan otak khususnya daya analisa terhadap sesuatu perkara yang dibentangkan.

Membaca laman-laman di internet pula boleh memberi kelainan. Seseorang boleh melayari pelbagai laman yang berkaitan dengan apa yang diingininya. Namun, oleh kerana capaiannya begitu luas, seseorang itu perlu banyak menapis maklumat pula kerana sebahagian daripada apa yang diperoleh di laman web adalah sampah terhormat ataupun maklumat yang belum tentu ada kredibilitinya.

Justeru itu, membaca buku adalah jawapan kepada tabiat membaca yang terbaik. Ambil lah sebuah buku yang bagus dan tataplah. Apabila sehelai demi sehelai halaman diselak, ia adalah sebuah perjalanan yang panjang. Ertinya, ia adalah satu senaman minda yang lama. Jika membaca akhbar adalah umpama lari jarak dekat, membaca majalah mahupun melayari internet adalah larian jarak jauh, membaca buku pula adalah suatu maraton.

Bila membaca buku, otak dilatih untuk menumpukan fikiran terhadap sesuatu dalam jangka masa yang panjang. Ini adalah kerana, sesebuah buku lazimnya hanya membicarakan sesuatu topik dengan mendalam. Ia berbeza dengan akhbar dan majalah yang memaparkan sesuatu yang berbentuk selayang pandang. Kerana itu, bila membaca buku, kita menjadi lebih kreatif dan analitikal.

Seorang penulis buku sebenarnya menurunkan apa yang berselirat di dalam mindanya di atas kertas. Fikiran itu disusun semula dari segi struktur ayat, nahu dan bahasa agar mudah difahami oleh si pembaca. Justeru itu, bila kita membaca sesebuah buku, kita juga sedang menjalin perhubungan psikik dengan si penulis. Penulisnya tiada di sisi, tetapi tulisannyalah yang kita tatap. Apa yang diteliti adalah pemikirannya yang sudah tersusun.

Setelah kita membaca halaman terakhir dan menutup bukunya, kita juga sebenarnya sudah menghadam sebahagian daripada minda si penulis. Bayangkan, penulis mungkin mengambil masa lebih setahun untuk menyiapkan tulisannya. Kita hanya mengambil masa semalam untuk meratah apa yang dihidangnya!

Saya teringat sebuah lawak seorang teman ketika di kampus dahulu. Ketika itu, fahaman komunis dan Mao Tse Tung begitu digeruni. Teman saya itu dengan selamba berkata, “Kalau engkau nak tahu, aku boleh lebih pandai dari Mao Tse Tung.”

“Bagaimana?” tanya saya.

“Aku akan lebih pandai daripada Mao Tse Tung kalau aku baca kesemua buku tulisannya dan kemudian aku baca senaskhah buku lain!”

Meskipun ia lawak, namun, secara literal, kita boleh berfikiran seperti si penulis seandainya kita membaca buku-bukunya. Tentu sekali bila kita membaca pelbagai jenis buku dari pelbagai penulis, kita juga sebenarnya ‘berkawan’ dengan mereka. Cara berfikir kita juga akan turut berubah dan terlahir ketika bergaul.

Jika kita rajin memerhati, kita akan dapati seseorang yang rajin membaca biasanya bukan berbual, tetapi berbicara. Dia tidak memperkatakan hal-hal klise bila bercakap. Selepas bertanya khabar secara berbasa basi, dia akan memperkatakan perkara di sebalik cerita dan berita.

Dia tidak akan bercakap mengenai calon manakah yang akan menang dalam sesebuah pilihanraya, tetapi apakah nilai-nilai yang dipegang oleh parti-parti yang bertanding. Dia tidak akan memperkatakan mengenai gempa di Padang, tetapi apa yang berlaku di kerak laut kepulauan Tonga. Dia tidak akan memperkatakan mengenai bencana alam, tetapi mesej yang Tuhan hendak sampaikan kepada kita.

Orang tak membaca boleh sahaja berpengetahuan luas. Orang membaca selalunya berfikiran mendalam. Pertuturan kita menggambarkan apa yang kita baca.

Kalau kita malas membaca, apa yang kita cakap itu sama seperti orang lain!

Iklan

Petikan Terpilih

BELI MAAFCAKAP 4 – KLIK GAMBAR!

LAYAR SOROT

BELI DI BOOKDEPOSITORY

LANGGAN LAYARMINDA

[mc4wp_form id=”572″]