Danielle Steele - foto oleh Thoughtco
Danielle Steel – foto oleh Thoughtco

TERDAPAT sebuah notis di pejabat Danielle Steel yang tercatat: “Tiada keajaiban. Hanya disiplin.” Notis itu ringkas. Namun apa yang beliau telah kecap selama lima dekad dalam dunia penulisannya itu seolah-olah sebuah keajaiban.

Beliau telah menulis 179 buah buku yang diterjemah dalam 43 bahasa. 22 daripadanya telah diadaptasi untuk televisyen. Danielle menulis tujuh buah novel sebulan! Bukunya terkini, Blessing in Disguise baharu sahaja terbit minggu ini.

Novel Danielle Steele terkini, Blessing in Disguise - foto oleh Goodreads
Novel Danielle Steel terkini, Blessing in Disguise – foto oleh Goodreads

Pada satu-satu masa, beliau menulis 5-6 judul novel. Beliau menulis di antara 20-22 jam sehari. Kadangkala bila beliau berasa tertekan, beliau tak tidur hingga 24 jam!

Danielle menulis di rumahnya di Paris. Kadang-kadang di rumahnya di San Francisco. Beliau masih menggunakan mesin taip Olympia 1946 yang beliau namakan sebagai Olly.

Mesin taip Olympia 1946 - foto oleh mrmatinweb
Mesin taip Olympia 1946 – foto oleh mrmatinweb

“Olly sebuah mesin taip yang besar dan berat. Usianya lebih tua daripada saya. Saya ada 12-15 mesin taip yang saya beli sejak beberapa tahun yang lalu untuk dapatkan alat ganti kerana spesisnya akan pupus!”

Beliau memulakan kerja pada jam 8.30 pagi. Pada waktu pagi dia akan menjamah sekeping roti bakar dan kopi ais tanpa kafein. Setelah makan tengahari, beliau akan mengunyah coklat sambil bekerja.

Bilik kerja Danielle Steel - foto oleh apartmentheraphy
Bilik kerja Danielle Steel – foto oleh apartmentheraphy

“Samada hidup atau mati, hujan atau panas, saya akan duduk dan terus kerja. Kadangkala, bila saya sudahkan sesebuah novel pada sebelah pagi, saya akan mulakan novel berikutnya pada sebelah petang.”

“Saya terus bekerja. Kalau kita menjauhi apa yang kita sedang lakukan, keadaan akan jadi lebih sukar. Jadi, lebih baik terus menulis hingga ada 30 halaman yang perlukan pembetulan daripada duduk melahu.”

“Saya tak akan tidur melainkan setelah betul-betul penat hinggakan saya boleh saja tidur di lantai. Kalau saya dapat tidur selama empat jam, itu boleh dikira sebagai tidur yang cukup.”

Di antara novel-novel Danielle Steele - foto litreactor
Di antara novel-novel Danielle Steel – foto litreactor

“Sesetengah idea saya pada mulanya biasa-biasa sahaja. Tetapi bila saya terus menulis, ia menjelma menjadi sesuatu yang ajaib. Tapi, kadangkala saya rasa seperti mengheret seekor gajah. Cuma akhirnya saya berjaya.”

Kadangkalanya Danielle juga berasa bimbang yang dia gila kerja lalu terasa ingin untuk mencari keseronokan. Kini beliau mengambil cuti penuh selama seminggu untuk berehat bersama keluarga di selatan Perancis.

Keluarganya akan ke pantai sedangkan dirinya akan membaca. Sekali-sekala apabila beliau siap kerjanya awal, beliau akan duduk menonton televisyen selama sejam, biasanya Netflix. Beliau juga shopping; bukan secara online, tetapi beliau lebih selesa bershopping di Paris.

Agatha Christie antara novelis yang dikenali oleh Danielle Steele - foto docutah
Agatha Christie antara novelis yang dikenali oleh Danielle Steel – foto docutah

Tatkala ditanya bilakah beliau akan berhenti menulis, membeli belah di Paris, berehat di selatan Perancis atau tidur aje; Danielle menjawab dengan selamba tetapi serius, “Bila saya mula menulis, saya dan Agatha Christie mempunyai ejen yang sama. Usia saya ketika itu cuma 19 tahun dan Agatha pula dalam usia 90an.

Saya pernah bertemu Agatha dan saya masih ingat lagi apa katanya, “Saya hendak mati dengan tersembam di mesin taip. Saya pun rasa macam tu. Maksud saya, saya mahu menulis dan terus menulis.”

*Petikan tulisan Samantha Leach, Penolong Editor majalah Glamour.