BLOG

TEMPAT BERTEMU SASTERA DAN BUDAYA

TEMPAT BERTEMU SASTERA DAN BUDAYA

Pesta Buku Cukurova . Turkiye . 10-18 Jan 2026

MEMBUKA TIRAI pesta buku tahun 2026 ialah Pesta Buku Çukurova, Turkiye. Ia bakal berlangsung mulai 10 – 18 Januari.

Çukurova adalah daerah yang terkenal dengan kelahiran ramai sasterawan.

Sejarah, perjuangan dan kemakmuran budaya telah melahirkan ramai sasterawan di kalangan mereka seperti sasterawan Turkiye yang tersohor, Yasar Kemal.

Pesta buku yang mula dianjur pada 2008 ini akan melangsungkan edisinya yang ke-18. Para peminat buku berpeluang untuk mengetahui keunikan alam dan tradisi sastera daerah ini.

Dianggarkan lebih 300 pepamer dan lebih 500 penulis akan memeriahkan pesta buku ini.

Pesta Buku Cukurova diadakan di Adana International Fair & Congress Center, Adana. Kemasukan adalah percuma.

STEPHEN KING SI TUKANG SAPU

STEPHEN KING SI TUKANG SAPU

BILA anda berhasrat menjadi novelis, fikirkan apa yang anda akan jadi, bukan apa jadi dengan anda sekarang. Siapa anda sekarang tidak penting. Yang mustahak ialah siapa anda pada hari esok. 

Sebelum menjadi penulis novel seram yang paling prolifik di sepanjang zaman, Stephen King pernah melakukan pekerjaan yang berpendapatan rendah untuk menyara keluarganya. 

Ketika usianya dalam 20an, King menjadi tukang sapu di sebuah sekolah sewaktu cuti. Kemudiannya dia bekerja di sebuah kedai dobi komersial. Realiti hidup yang keras ini kemudiannya muncul jelas dalam karya fiksyennya.

Ruang-ruang yang pernah dibersihkannya seperti loker sekolah, tandas dan bilik dandang telah menjadi elemen yang diselitkan dalam penceritaannya. Maka lahirlah Carrie, novel pertama yang ditulisnya pada waktu malam selepas pulang bekerja. 

Pengalaman bekerja King mencetuskan imaginasi yang berjaya. Novel Carrie terbit ketika usianya 26 tahun iaitu pada tahun 1974. 30,000 naskhah terjual bagi cetakan pertama. Jumlah Carrie yang singgah ke tangan pembaca setakat ini ialah 4 juta naskhah!

Dua tahun setelah novel itu diterbitkan, ia diadaptasi menjadi filem pada 1976. Pada 2002, ia dijadikan drama TV dan sekali lagi difilemkan pada 2013.

MEGAT JENARIS NOVEL PENDEKAR

Megat Jenaris ~ mula mencari susur-galur keturunannya apabila ibu saudaranya Mak Mah kerap menceritakan mengenai kehebatan arwah ayahnya, Pahlawan Saputra.

Tok Serindit ~ Ketua Kampung Teraning mengarahkan Megat dan sahabat baiknya, Akub, untuk menjejaki Pak Din yang hilang. Ini membawa Megat Jenaris ke desa asal ayahnya, Kampung Permatang Layang.

Tok Lazim Semerang ~ Pendekar yang menurunkan ilmu persilatan kepada Megat Jenaris. Nalurinya kuat menelah kehandalan pemuda itu hingga mewariskan gelanggang silatnya kepada Megat Jenaris.

Mestika ~ seorang gadis yang Megat Jenaris selamatkan bila gadis itu hanyut di sungai. Peristiwa itu membenihkan bibit-bibit cinta di antara keduanya.

Damak ~ bekas tunangan Mestika yang berasa tewas bila mengetahui Megat Jenaris telah memikat hati gadis itu. Cemburu dan iri hati mula bersarang di sanubari lelaki itu.

Suasana kampung yang aman menjadi kacau bilau apabila kampung itu diganggu makhluk jelmaan yang melakukan pembunuhan berantai. Tok Lazim Semerang menjadi mangsa dan Mestika turut menjadi sasaran.

Makhluk apakah itu? Megat Jenaris yang menjadi pendekar harapan perlu melindungi kampung dan mengorbankan segala-galanya demi kebenaran dan cinta. Dan dia berjaya membongkar rahsia jelmaan makhluk yang asal usulnya memeranjatkan semua!

Kita Perlu Lebih Ramai Penulis

Kita Perlu Lebih Ramai Penulis

MAAFCAKAP 12.3.25

Sejak menamatkan perkhidmatan di Malakat Mall saya tidak merancang untuk mencari kerja yang bermajikan. Ada juga teman-teman yang mengajak saya menyertai team perniagaan dan pemasaran, namun saya berasakan itu semua sudah saya lalui. Saya cuma mahu bersara bekerja  dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang. Tetapi saya mahu mula bekerja dari 9.00 pagi hingga 12.00 malam sebagai seorang penulis.

14 tahun yang lalu setelah meninggalkan penerbitan Alaf 21 sebagai Pengurus Besarnya, saya menyertai akhbar Sinar Harian pula. Walaupun akhbar juga melibatkan penulisan, tetapi di situ, saya lebih banyak mengurus. Setelah meninggalkan akhbar itu, saya menyertai Malakat Mall, juga dalam pasukan pengurusan perniagaan, bukannya penulisan.

Jadi, dunia menulis sudah jauh ke tepi. Hanya catatan mingguan saya untuk kolum Maaf Cakap inilah yang menjadi medan saya menulis. Tetapi, dua atau tiga jam seminggu untuk menulis sebuah artikel tidak membolehkan seseorang itu menggelar dirinya seorang penulis. Walaupun setiap hari saya menulis di status akaun-akaun media sosial, itu juga tidak boleh menjadikan saya mengaku yang saya adalah seorang penulis.

Seseorang yang menjadi penulis harus menumpukan sekurang-kurangnya 8 jam sehari untuk menulis. Namun, masa itu pun sebenarnya masih belum mencukupi. Seseorang penulis itu harus membuat kerja penulis lebih dari 12 jam, termasuk membaca. Membaca itu pun adalah untuk mendapat idea bahan tulisannya.

Justeru, seseorang yang mahu menjadi seorang penulis perlu memperuntukkan masanya untuk duduk menulis. Jika tidak, dia akan menjadi seorang penulis yang lemau. Malangnya, inilah yang menjadi halangan utama bagi kebanyakan penulis. Saya akan beritahu, mengapa.

Sejak Januari tahun ini, saya menawarkan diri untuk menyampaikan kelas penulisan dengan konsep ‘Menulis Sampai Jadi.’ Saya ingin curahkan pengalaman dan pengetahuan yang ada untuk dikongsikan.

Selain daripada penulis pemula yang menyertai bengkel ini, lebih ramai di kalangan mereka yang hadir adalah terdiri daripada mereka yang pernah menghasilkan karyanya dalam bentuk antologi puisi atau makalah. Menulis puisi, cerpen mahupun artikel hanyalah umpama larian jarak dekat. Mereka tidak harus berputar-putar dalam genre itu. Tetapi, mereka patut mula menulis buku. Kemampuan menyiapkan buku itu umpama seseorang yang berkebolehan untuk berlari jarak jauh.

Namun, setelah beberapa kelas yang saya kendalikan secara bersemuka mahupun secara dalam talian, saya dapati ramai yang lebih selesa bermain di tepian tetapi belum bersedia untuk terjun dan berenang untuk menulis buku. Sebahagian besar mereka yang menyertai program adalah terdiri daripada mereka yang maaf cakap… hanya bermimpi, bukan mempunyai impian menjadi penulis.

Bagi saya, penulis sebenar adalah seseorang yang berjaya menulis buku. Dia menulis novelnya, apa jua buku bukan fiksyennya mahu pun sebuah buku antologi puisi atau cerpen. Antologi itu pun mengandungi hanya karya dia seorang sepenuhnya.

Setelah seseorang itu mencuba-cuba menulis, kemudian dia berjaya menerbitkan karyanya bersama penulis-penulis yang lain dalam bentuk antologi, dia sepatutnya melangkah lebih jauh menulis buku pula. Dia perlu berkembang dan tingkatkan daya penghasilan karyanya.

Sebenarnya jumlah penulis kita tidak ramai berdasarkan jumlah buku yang terbit di negara ini.  Endemik Covid-19 yang menjejaskan penerbitan buku negara hanya merekodkan 23,317 naskhah buku diterbitkan pada 2022 dan 24,826 naskhah buku terbit pada tahun berikutnya.

Sedangkan, ​Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) mensasarkan untuk menerbitkan sebanyak 35,000 judul buku setahun menjelang tahun 2030. Ia adalah 1 % jangkaan pertambahan penduduk Malaysia yang dijangka mencapai 35 juta orang pada tahun itu.

Yang pasti, kita tiada jumlah penulis seramai 35,000 orang untuk menghasilkan sebuah buku seorang pada tahun itu. Jika mereka yang berbakat pun, belum dapat beralih dari cerpen, puisi dan antologi, sasaran yang dirangka tidak akan kesampaian.

Syarikat penerbitan buku semakin banyak. Jumlah terbitan mereka juga turut bertambah. Ramai juga di kalangan penulis mengusahakan buku swaterbit. Dan, melihat pada sambutan di setiap pestabuku dan jualan di kedai-kedai, pasarannya semakin meningkat.

Pada hari ini sudah terdapat penulis yang mempunyai pendapatan tujuh angka. Ganjarannya semakin menjamin kehidupan. Justeru, tidak ada sebab mengapa seseorang yang sudah boleh menulis untuk tidak menghasilkan buku.

Tiada Batas Tentu Akan Terbabas

Tiada Batas Tentu Akan Terbabas

MAAFCAKAP 5.2.2025

Pada tahun 1991 saya ditawarkan jawatan sebagai Pengarang Urusan (Managing Editor) majalah GELIHATI, sebuah majalah kartun. Walaupun sejak di bangku sekolah saya biasa membaca komik kartun berbahasa Inggeris seperti Beano, Dandy, Topper dan Beezer, tiba-tiba saya menyedari bahawa mengendalikan sebuah majalah humor bukannya mudah.

Di waktu itu tiada lagi internet. Lantas saya ke Perpustakaan Negara Malaysia yang ketika itu terletak di  Wisma Sachdev/Thakurdas, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. Saya susur dari rak ke rak mencari buku-buku mengenai humor. Akhirnya saya kendong Encyclopedia Britannica dan duduk membaca.

Sedari kecil, kita belajar humor bila diagah emak. Emak akan tutup seluruh mukanya dengan tapak tangan. Kita yang kecil akan hairan kerana muka emak sudah hilang. Tiba-tiba emak membalikkan tangannya lalu menyergah. Kita terkejut tetapi gembira bila nampak muka emak tersengih lebar. Bila emak tertawa, maka kita pun ikut tertawa. Emak lakukan perbuatan itu berulang kali dan kita akan ikut tertawa mengekek. Tanpa kita sedari, emak sedang mengajar kita apa itu humor.

Jadi, humor adalah kebolehan untuk menanggap sesuatu yang dizahirkan dengan cara kelakar dan menghiburkan. Bukan semua orang faham sesuatu humor. Ada orang yang tidak akan ketawa walaupun orang lain tertawa terbahak-bahak. Sebab itu humor perlu diajar. Sesetengah siri komedi memasukkan  laugh track iaitu rakaman suara orang ketawa untuk mengajak penonton TV ikut ketawa bersama.

Berbalik kepada pencarian saya mengenai humor, saya kaget bila mendapati ada lebih 10 jenis humor yang tercatat di dalam ensiklopedia itu. Ada jenis slapstick iaitu lawak bodoh yang melibatkan fizikal pelaku seperti lawak The Three Stooges atau Charlie Chaplin. Ada juga humor jenis situation comedy atau sitcom di mana situasi yang menimbulkan kelakar. Adegan ‘cubaan’ dalam filem Pendekar Bujang lapok adalah sebuah contoh komedi situasi.

Dalam adegan itu Pendekar Mustar memberitahu Bujang Lapok yang sedang berwirid, anaknya dilarikan orang. Oleh kerana Pendekar Mustar pernah berpesan, ketika beramal, jangan pedulikan apa jua yang terjadi kerana ia hanyalah cubaan; maka ketiga-tiga Bujang Lapok tidak mempedulikan gesaan Pendekar Mustar. Sebaliknya mereka hanya menjawab ‘cubaan.’

Black humour adalah jenaka yang menyakitkan bagi watak, tetapi ia kelakar bagi yang melihat. Ia termasuk dalam kategori tragic comedy atau kelakar dalam tragedi. Seseorang yang terjatuh bila terpijak kulit pisang itu menyakitkan tetapi ia begitu menghiburkan buat kita yang melihatnya. Blue humour pula adalah humor berbaur lucah.

Walaupun humor itu boleh melegakan stres bilamana kita akan tertawa terbahak-bahak hingga keluar airmata, namun ia juga ada batas-batasnya. Adalah tidak bagus bila kita berbuat lawak bila kita melakukan kesalahan seperti menendang palang parkir. Begitu juga bila berbuat sesuatu yang merosak atau mencederakan atas nama prank. Bila kita menggunakan teknologi AI di mana kita menayangkan aksi seseorang bakal pengantin berkungfu dengan jurunikah, ia kelakar, tetapi tidak manis.

Humor tidak menghalalkan cara. Tindakan aktivis Fahmi Reza yang membuat lukisan berunsur humor satira ke atas Yang Di Pertua Negeri Sabah, Tan Sri Musa Aman baru-baru ini telah mengkibatkan beliau ditahan polis. 

‘Pun’ adalah humor yang bermain dengan perkataan yang mempunyai dua maksud. Lawak ‘pun’ mengenai daging ham untuk ‘kopi hamsup’yang kononnya menimbulkan rasa risau pelawak Harith Iskander kerana terdapat perkataan ‘ham’ telah menimbulkan kemarahan orang ramai.

Semua perkara ada batasnya. Apa jua bidang yang kita kongsikan dengan orang lain perlu ada pertimbangan. Kita boleh bercakap mengenai keselamatan, tetapi tidak boleh melewati batas hasutan. Kita boleh memperjuangkan agama tetapi jangan sampai menuduh orang lain sesat kerana berbeza pandangan. Kita boleh menjulang bangsa tetapi jangan sampai assabiyah iaitu menyokong perbuatan sebangsa meskipun salah.

Begitu jugalah humor. Buatlah apa sahaja untuk menghibur dan dihiburkan. Tetapi jika orang tidak suka atau tidak boleh terima, jangan kata dia tiada sense of humour seolah-olah tiada sense of humour itu satu kesalahan. Sebab, ada ramai orang yang tiada sense of belonging, sense of pride, malah sense of religion. Apabila kita ada sesuatu yang orang lain tiada, jangan pandang rendah padanya seolah-olah ia suatu kesalahan. Serupa juga bila kita ada sesuatu kekurangan yang orang lain ada, mengapa kita berasa okey dengan kekurangan itu?

Iklan

Petikan Terpilih

BELI MAAFCAKAP 4 – KLIK GAMBAR!

LAYAR SOROT

BELI DI BOOKDEPOSITORY

LANGGAN LAYARMINDA

[mc4wp_form id=”572″]