MAAFCAKAP 5.2.2025
Pada tahun 1991 saya ditawarkan jawatan sebagai Pengarang Urusan (Managing Editor) majalah GELIHATI, sebuah majalah kartun. Walaupun sejak di bangku sekolah saya biasa membaca komik kartun berbahasa Inggeris seperti Beano, Dandy, Topper dan Beezer, tiba-tiba saya menyedari bahawa mengendalikan sebuah majalah humor bukannya mudah.
Di waktu itu tiada lagi internet. Lantas saya ke Perpustakaan Negara Malaysia yang ketika itu terletak di Wisma Sachdev/Thakurdas, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. Saya susur dari rak ke rak mencari buku-buku mengenai humor. Akhirnya saya kendong Encyclopedia Britannica dan duduk membaca.
Sedari kecil, kita belajar humor bila diagah emak. Emak akan tutup seluruh mukanya dengan tapak tangan. Kita yang kecil akan hairan kerana muka emak sudah hilang. Tiba-tiba emak membalikkan tangannya lalu menyergah. Kita terkejut tetapi gembira bila nampak muka emak tersengih lebar. Bila emak tertawa, maka kita pun ikut tertawa. Emak lakukan perbuatan itu berulang kali dan kita akan ikut tertawa mengekek. Tanpa kita sedari, emak sedang mengajar kita apa itu humor.
Jadi, humor adalah kebolehan untuk menanggap sesuatu yang dizahirkan dengan cara kelakar dan menghiburkan. Bukan semua orang faham sesuatu humor. Ada orang yang tidak akan ketawa walaupun orang lain tertawa terbahak-bahak. Sebab itu humor perlu diajar. Sesetengah siri komedi memasukkan laugh track iaitu rakaman suara orang ketawa untuk mengajak penonton TV ikut ketawa bersama.
Berbalik kepada pencarian saya mengenai humor, saya kaget bila mendapati ada lebih 10 jenis humor yang tercatat di dalam ensiklopedia itu. Ada jenis slapstick iaitu lawak bodoh yang melibatkan fizikal pelaku seperti lawak The Three Stooges atau Charlie Chaplin. Ada juga humor jenis situation comedy atau sitcom di mana situasi yang menimbulkan kelakar. Adegan ‘cubaan’ dalam filem Pendekar Bujang lapok adalah sebuah contoh komedi situasi.
Dalam adegan itu Pendekar Mustar memberitahu Bujang Lapok yang sedang berwirid, anaknya dilarikan orang. Oleh kerana Pendekar Mustar pernah berpesan, ketika beramal, jangan pedulikan apa jua yang terjadi kerana ia hanyalah cubaan; maka ketiga-tiga Bujang Lapok tidak mempedulikan gesaan Pendekar Mustar. Sebaliknya mereka hanya menjawab ‘cubaan.’
Black humour adalah jenaka yang menyakitkan bagi watak, tetapi ia kelakar bagi yang melihat. Ia termasuk dalam kategori tragic comedy atau kelakar dalam tragedi. Seseorang yang terjatuh bila terpijak kulit pisang itu menyakitkan tetapi ia begitu menghiburkan buat kita yang melihatnya. Blue humour pula adalah humor berbaur lucah.
Walaupun humor itu boleh melegakan stres bilamana kita akan tertawa terbahak-bahak hingga keluar airmata, namun ia juga ada batas-batasnya. Adalah tidak bagus bila kita berbuat lawak bila kita melakukan kesalahan seperti menendang palang parkir. Begitu juga bila berbuat sesuatu yang merosak atau mencederakan atas nama prank. Bila kita menggunakan teknologi AI di mana kita menayangkan aksi seseorang bakal pengantin berkungfu dengan jurunikah, ia kelakar, tetapi tidak manis.
Humor tidak menghalalkan cara. Tindakan aktivis Fahmi Reza yang membuat lukisan berunsur humor satira ke atas Yang Di Pertua Negeri Sabah, Tan Sri Musa Aman baru-baru ini telah mengkibatkan beliau ditahan polis.
‘Pun’ adalah humor yang bermain dengan perkataan yang mempunyai dua maksud. Lawak ‘pun’ mengenai daging ham untuk ‘kopi hamsup’yang kononnya menimbulkan rasa risau pelawak Harith Iskander kerana terdapat perkataan ‘ham’ telah menimbulkan kemarahan orang ramai.
Semua perkara ada batasnya. Apa jua bidang yang kita kongsikan dengan orang lain perlu ada pertimbangan. Kita boleh bercakap mengenai keselamatan, tetapi tidak boleh melewati batas hasutan. Kita boleh memperjuangkan agama tetapi jangan sampai menuduh orang lain sesat kerana berbeza pandangan. Kita boleh menjulang bangsa tetapi jangan sampai assabiyah iaitu menyokong perbuatan sebangsa meskipun salah.
Begitu jugalah humor. Buatlah apa sahaja untuk menghibur dan dihiburkan. Tetapi jika orang tidak suka atau tidak boleh terima, jangan kata dia tiada sense of humour seolah-olah tiada sense of humour itu satu kesalahan. Sebab, ada ramai orang yang tiada sense of belonging, sense of pride, malah sense of religion. Apabila kita ada sesuatu yang orang lain tiada, jangan pandang rendah padanya seolah-olah ia suatu kesalahan. Serupa juga bila kita ada sesuatu kekurangan yang orang lain ada, mengapa kita berasa okey dengan kekurangan itu?