MAAFCAKAP 12.3.25
Sejak menamatkan perkhidmatan di Malakat Mall saya tidak merancang untuk mencari kerja yang bermajikan. Ada juga teman-teman yang mengajak saya menyertai team perniagaan dan pemasaran, namun saya berasakan itu semua sudah saya lalui. Saya cuma mahu bersara bekerja dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang. Tetapi saya mahu mula bekerja dari 9.00 pagi hingga 12.00 malam sebagai seorang penulis.
14 tahun yang lalu setelah meninggalkan penerbitan Alaf 21 sebagai Pengurus Besarnya, saya menyertai akhbar Sinar Harian pula. Walaupun akhbar juga melibatkan penulisan, tetapi di situ, saya lebih banyak mengurus. Setelah meninggalkan akhbar itu, saya menyertai Malakat Mall, juga dalam pasukan pengurusan perniagaan, bukannya penulisan.
Jadi, dunia menulis sudah jauh ke tepi. Hanya catatan mingguan saya untuk kolum Maaf Cakap inilah yang menjadi medan saya menulis. Tetapi, dua atau tiga jam seminggu untuk menulis sebuah artikel tidak membolehkan seseorang itu menggelar dirinya seorang penulis. Walaupun setiap hari saya menulis di status akaun-akaun media sosial, itu juga tidak boleh menjadikan saya mengaku yang saya adalah seorang penulis.
Seseorang yang menjadi penulis harus menumpukan sekurang-kurangnya 8 jam sehari untuk menulis. Namun, masa itu pun sebenarnya masih belum mencukupi. Seseorang penulis itu harus membuat kerja penulis lebih dari 12 jam, termasuk membaca. Membaca itu pun adalah untuk mendapat idea bahan tulisannya.
Justeru, seseorang yang mahu menjadi seorang penulis perlu memperuntukkan masanya untuk duduk menulis. Jika tidak, dia akan menjadi seorang penulis yang lemau. Malangnya, inilah yang menjadi halangan utama bagi kebanyakan penulis. Saya akan beritahu, mengapa.
Sejak Januari tahun ini, saya menawarkan diri untuk menyampaikan kelas penulisan dengan konsep ‘Menulis Sampai Jadi.’ Saya ingin curahkan pengalaman dan pengetahuan yang ada untuk dikongsikan.
Selain daripada penulis pemula yang menyertai bengkel ini, lebih ramai di kalangan mereka yang hadir adalah terdiri daripada mereka yang pernah menghasilkan karyanya dalam bentuk antologi puisi atau makalah. Menulis puisi, cerpen mahupun artikel hanyalah umpama larian jarak dekat. Mereka tidak harus berputar-putar dalam genre itu. Tetapi, mereka patut mula menulis buku. Kemampuan menyiapkan buku itu umpama seseorang yang berkebolehan untuk berlari jarak jauh.
Namun, setelah beberapa kelas yang saya kendalikan secara bersemuka mahupun secara dalam talian, saya dapati ramai yang lebih selesa bermain di tepian tetapi belum bersedia untuk terjun dan berenang untuk menulis buku. Sebahagian besar mereka yang menyertai program adalah terdiri daripada mereka yang maaf cakap… hanya bermimpi, bukan mempunyai impian menjadi penulis.
Bagi saya, penulis sebenar adalah seseorang yang berjaya menulis buku. Dia menulis novelnya, apa jua buku bukan fiksyennya mahu pun sebuah buku antologi puisi atau cerpen. Antologi itu pun mengandungi hanya karya dia seorang sepenuhnya.
Setelah seseorang itu mencuba-cuba menulis, kemudian dia berjaya menerbitkan karyanya bersama penulis-penulis yang lain dalam bentuk antologi, dia sepatutnya melangkah lebih jauh menulis buku pula. Dia perlu berkembang dan tingkatkan daya penghasilan karyanya.
Sebenarnya jumlah penulis kita tidak ramai berdasarkan jumlah buku yang terbit di negara ini. Endemik Covid-19 yang menjejaskan penerbitan buku negara hanya merekodkan 23,317 naskhah buku diterbitkan pada 2022 dan 24,826 naskhah buku terbit pada tahun berikutnya.
Sedangkan, Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) mensasarkan untuk menerbitkan sebanyak 35,000 judul buku setahun menjelang tahun 2030. Ia adalah 1 % jangkaan pertambahan penduduk Malaysia yang dijangka mencapai 35 juta orang pada tahun itu.
Yang pasti, kita tiada jumlah penulis seramai 35,000 orang untuk menghasilkan sebuah buku seorang pada tahun itu. Jika mereka yang berbakat pun, belum dapat beralih dari cerpen, puisi dan antologi, sasaran yang dirangka tidak akan kesampaian.
Syarikat penerbitan buku semakin banyak. Jumlah terbitan mereka juga turut bertambah. Ramai juga di kalangan penulis mengusahakan buku swaterbit. Dan, melihat pada sambutan di setiap pestabuku dan jualan di kedai-kedai, pasarannya semakin meningkat.
Pada hari ini sudah terdapat penulis yang mempunyai pendapatan tujuh angka. Ganjarannya semakin menjamin kehidupan. Justeru, tidak ada sebab mengapa seseorang yang sudah boleh menulis untuk tidak menghasilkan buku.