BILA anda berhasrat menjadi novelis, fikirkan apa yang anda akan jadi, bukan apa jadi dengan anda sekarang. Siapa anda sekarang tidak penting. Yang mustahak ialah siapa anda pada hari esok.
Sebelum menjadi penulis novel seram yang paling prolifik di sepanjang zaman, Stephen King pernah melakukan pekerjaan yang berpendapatan rendah untuk menyara keluarganya.
Ketika usianya dalam 20an, King menjadi tukang sapu di sebuah sekolah sewaktu cuti. Kemudiannya dia bekerja di sebuah kedai dobi komersial. Realiti hidup yang keras ini kemudiannya muncul jelas dalam karya fiksyennya.
Ruang-ruang yang pernah dibersihkannya seperti loker sekolah, tandas dan bilik dandang telah menjadi elemen yang diselitkan dalam penceritaannya. Maka lahirlah Carrie, novel pertama yang ditulisnya pada waktu malam selepas pulang bekerja.
Pengalaman bekerja King mencetuskan imaginasi yang berjaya. Novel Carrie terbit ketika usianya 26 tahun iaitu pada tahun 1974. 30,000 naskhah terjual bagi cetakan pertama. Jumlah Carrie yang singgah ke tangan pembaca setakat ini ialah 4 juta naskhah!
Dua tahun setelah novel itu diterbitkan, ia diadaptasi menjadi filem pada 1976. Pada 2002, ia dijadikan drama TV dan sekali lagi difilemkan pada 2013.


