MAAFCAKAP 24.4.2024

Filem Sheriff; Narko Integriti, arahan Syafiq Yusof, terbitan Skop Production sedang menuju kejayaan. Belum pun sampai dua minggu, filem yang dilancarkan pada 18 April lalu telah mendapat kutipan pecah panggung RM31 juta.

Ramai yang memberi ulasan, selain daripada para pelakon yang menjadi formula tarikan penonton, jalan cerita yang mempunyai pelbagai kilas plot dan hal-hal teknikal seperti pengarahan, dialog, pencahayaan, kesan khas dan runut bunyi digarap dengan cemerlang.

Namun, yang turut menjadi tarikan ialah keterbukaan penulisan skripnya. Di antara dialog yang mempunyai impak ‘wow’ ialah lafaz, ‘Ini Malaysia… Perdana Menteri pun boleh masuk penjara!’ Ramai yang mengatakan ini adalah dialog yang berani. Tetapi yang lebih berani ialah pihak Perhubungan Awam, Polis Di Raja Malaysia (PDRM). Mereka telah memberi penanda aras yang baharu mengenai keterbukaan PDRM dengan meluluskan dialog  itu.

Hal-hal negatif, malah buruk mengenai anggota PDRM sudah lama berleluasa di media sosial. Video tular anggota polis meminta rasuah atau tindakan fizikal anggota polis ke atas orang awam, begitu mudah diakses oleh netizen. Justeru, keizinan yang diberi kepada filem Sheriff ini sebenarnya adalah keizinan yang sudah sampai masanya.

Di media sosial, kita bukan sahaja dipaparkan dengan tindakan-tindakan pihak polis yang menyalahi undang-undang. Malah, di media sosial juga kita menyaksikan tindakan-tindakan mulia mereka. Video-video anggota polis menyingsing lengan untuk turun ke parit menyelamatkan anak kucing, menolak kereta orang awam yang mati enjin atau mengiringi kenderaan yang membawa seorang ibu yang hendak bersalin memberi kita gambaran bahawa lebih ramai anggota PDRM yang punyai integriti.

Sebenarnya, di mana-mana sahaja ada orang baik dan ada orang yang jahat. Ada penguatkuasa yang bertimbang rasa, ada yang ‘ikut kepala.’ Ada peniaga yang mencari jalan untuk bersedekah, ada peniaga yang suka menipu dalam urusniaga. Ada Ustaz yang menjunjung agama, ada juga yang menunggang agama.

Dunia media sosial yang memberi ruang dan peluang para netizen menyampaikan apa yang mereka temui telah menjadikan kita lebih rasional bila kita memperoleh pelbagai sudut pandang dalam apa jua isu.

Kita dikedepankan dengan pelbagai isu human interest yang melibatkan golongan artis seperti kes-kes rumahtangga yang berantakan angkara ‘penyondol.’ Begitu juga kalangan mereka yang melanggar batas agama dengan perangai yang di luar kesusilaan. Pendedahan golongan artis itu menjadikan apa yang mereka lakukan itu jauh lebih hebat dari drama yang mereka bintangi.

Kita nampak kemunafikan mereka dalam dunia perniagaan. Dalam pada mereka mempamerkan segala kebaikan melalui pelbagai acara kemasyarakatan, diam-diam mereka berkonspirasi mengawal harga pengeluaran barangan yang mereka edar. Apatah lagi dalam dunia politik. Di depan tersenyum, di belakang mencebir; di sini memuji, di sana mengeji.

Sedarkah kita, oleh kerana para netizen di media sosial begitu bebas memaparkan apa yang mereka suka mahu pun benci, baik dan buruk seseorang itu sudah menjadi suatu normalisasi. Kita terbiasa dengan hal baik dan buruk seseorang sehinggakan orang yang jelas bersalah dan dihentam siang dan malam masih mempunyai mereka yang masih menyukai dan menyanjunginya.

Pendek kata, jika seseorang yang dicemuh kerana tindak-tanduknya, dia masih selamba berbuat apa yang dia suka seolah-olah tiada apa-apa cacat yang berlaku pada dirinya. Malah, jika dia berterusan buat-buat tak tahu sambil menayangkan segala kebaikannya, pasti dia akan mengubah pandangan umum  bahawa dia adalah orang yang baik.

Sebaliknya, orang baik yang difitnah jahat, tetapi tidak melawan segala fitnah ke atasnya dengan memaparkan segala kebaikannya, dia kekal dianggap jahat. Inilah mahkamah media sosial. Bagaimanakah cara kita berdepan dengan mahkamah ini?

Jangan jawab segala tuduhan secara langsung. Sebaliknya, tunjukkan lebih banyak kebaikan hingga kisah-kisah keburukan itu tenggelam di lipatan sejarah media sosial. Diamkan diri barang seminggu.

Para netizen (termasuk kita) mempunyai memori yang singkat. Sebentar sahaja cerita kita yang sensasi hari ini akan dilupakan sebab ada cerita baharu lain yang lebih sensasi. Jika tidak sanggup juga melawan, tutup akaun media sosial dan hiduplah di dunia realiti. Berdepanlah dengan realiti sebenar bahawa kita memang mudah dilupakan!