MAAFCAKAP 24.4.2024
Baru-baru ini saya dikunjungi sekumpulan pelajar sebuah kolej. Mereka datang kerana inginkan tajaan projek kelas bimbingan untuk para pelajar sekolah. Saya teruja dengan idea itu bila teringat yang saya pernah terlibat dalam beberapa buah program kelas bimbingan ketika menjadi ahli persatuan pelajar di kolej.
Sambil berbincang, mata saya terjeling salah seorang pelajar yang tunduk menulis biji butir perbincangan. Gayanya seperti seorang stenographer yang membuat trengkas. Saya menegur dan bertanya apa yang dia tulis? Lantas siswa gempal dan berkaca mata itu mengangkat buku nota dan menyelak helaian-helaian kertas yang tertulis isi perbincangan.
Saya menganggarkan yang dia sudah menulis 7-8 halaman konten mesyuarat kami yang baru berlangsung 30 minit. Lantas saya berkata yang dia tidak perlu menulis dengan begitu terperinci kerana nota-notanya itu bukan untuk menjawab soalan peperikaan.
Bila kawan-kawannya yang lain, tergelak, saya pun bertanya, betul tak, yang lain pun sama perangainya? Masing-masing akan menyalin nota kuliah hingga berhelai-helai halaman? Masing-masing tersenyum simpul sambil mengangguk.
Begitulah tabiat kita bila mendengar kuliah sambil menyalin nota. Tabiat itu dibawa sejak zaman persekolahan. Kita menyalin kata-kata cikgu kerana tidak mahu tertinggal apa-apa isi. Kita mahu sebanyak mungkin fakta untuk dihafal dan ditulis apabila menjawab soalan peperiksaan kelak.
Namun, itu di zaman persekolahan. Fakta yang disampaikan oleh cikgu itu biasanya padat dan objektif. Dan, jawapan di dalam peperiksaan di sekolah pun bersandarkan kepada fakta. Sementara itu di kolej, jawapan soalan peperiksaan memerlukan kemahiran pemikiran kreatif dan membuat analisa supaya seseorang pelajar itu boleh merumus pendapatnya sendiri.
Tetapi, oleh kerana terbawa-bawa dengan suasana pembelajaran di sekolah, mereka yang menjejakkan kaki di kolej pun turut menyalin nota pensyarah seperti mana di sekolah. Bukan itu sahaja, mereka yang telah menceburi bidang pekerjaan pun masih membawa sikap menyalin nota kelas, seminar dan bengkel dengan membuat pendekatan yang serupa. Padahal, dalam dunia pekerjaan, yang diperlukan ialah kefahaman dari apa yang disampaikan agar seseorang itu boleh membuat tafsiran sendiri.
Yang perlu difahami ialah konsep sesebuah perkara. Jadi, yang patut dicatat hanyalah kunci kata, glosari dan istilah subjek yang dibicarakan. Mungkin yang dicatat bukannya tulisan, tetapi dalam bentuk rajah dan sketsa. Dari kefahaman itu, kita membina kerangka dan mengolah kefahaman kita sendiri yang mana ia boleh selari ataupun berbeza sama sekali dari apa yang disampaikan.
Saya biasa juga bertemu dengan mereka yang mahu menceburi sesebuah bidang samada untuk jadi penulis, peniaga mahupun jurujual. Mereka menghadiri kursus demi kursus, bengkel demi bengkel dan seminar demi seminar. Mereka hadiri program yang percuma dan yang mengenakan bayaran hingga ribuan ringgit. Tetapi ramai di kalangan mereka yang telah menghadiri sesi-sesi itu tidak tahu hendak bermula dari mana meskipun telah menghadiri lebih lima buah program.
Pada pendapat saya, ramai di kalangan mereka terlalu bergantung dengan penyampai. Mereka cuba salin semua nota dan mengambil foto slaid yang terpampang di skrin. Mereka sibuk menyalin kesemuanya kerana berasa rugi jika tertinggal mana-mana poin. Mereka percaya, ilmu yang disalin sepenuhnya tidak mungkin gagal kerana ia lahir dari mulut penceramah.
Mereka berasakan bahawa para penceramah, dengan deretan rekod kejayaan yang diuar-uarkan itu tidak mungkin memberi mereka ilmu yang membawa kegagalan. Bayangkan, jika kesemua mereka di dalam sebuah dewan kuliah menyalin seluruh apa yang disampaikan oleh penceramah, di mana datangnya niche yang menjadi keunikan dan strategi sesebuah usaha itu?
Lagi pula, apabila kita asyik menyalin apa yang disampaikan oleh penceramah, maknanya kita percaya, kejayaan itu hanya dapat dicapai dengan ‘membuat fotostat’ ilmu penceramah. Sedangkan, seandainya seseorang itu dapat memilih fakta dan idea yang sesuai dengan dirinya, dia akan mempunyai pendekatan yang tersendiri dalam menangani realiti dalam bidang yang mereka ceburi.
Apa sahaja bidang ilmu sebenarnya tidak boleh diistilahkan sebagai cabang-cabang ilmu yang terasing dan terpisah dalam kluster-klusternya. Ilmu sebenarnya saling berkait di antara satu sama lain.
Seorang doktor pakar bedah perlu tahu seni menjahit untuk merapatkan luka pesakit yang telah dibedah. Seorang ustaz perlu tahu ilmu persembahan untuk menyampaikan ceramah di hadapan ribuan penonton. Yang penting bagi kita bukannya mencari ilmu bahkan kunci ilmu itu sendiri. Ketekunan menyalin nota amat-amat asas bagi seorang penuntut.