Sebaik sahaja kita bangun dari tidur, kita melakukan beberapa hal peribadi. Kita ke bilik mandi, menyuci diri, mengambil wuduk dan bersolat. Pada hari-hari kita bekerja, kita akan bergerak ke tempat kerja samada menggunakan pengangkutan awam atau peribadi. Kesemua ini berjalan lancar dan tersusun kerana kita yang mengendali hal-hal peribadi ini. Ia menjadi rutin.
Namun, sebaik sahaja tiba di pejabat, kita tidak boleh lakukan apa yang kita ingin lakukan mengikut susunan kerja di dalam kepala. Ada ketikanya belum pun sempat duduk, teman sepejabat sudah mengajak kita menemaninya bersarapan. Hasrat membuka komputer untuk menyambung tugasan menulis laporan yang belum siap terus tertangguh.
Pulang dari sarapan, teman di meja sebelah minta kita membantunya membetulkan komputer yang asyik terpadam. Sebaik sahaja selesai, bos sudah panggil ke biliknya. Kita menjangka ada tugasan baharu tetapi rupa-rupanya bos meminta kita mengagih sekotak mempelam harumanis.
Ketika sibuk bergerak dari meja ke meja mengagih buah mempelam, kita ternampak Mr. Gopal sudah tersengih-sengih di ruang tamu. Baharulah teringat bahawa kita ada temujanji dengan kontraktor untuk berbincang mengenai renovasi dewan seminar.. Niat asal untuk menyiapkan laporan sudah tertangguh. Sempatkah ia siap sebelum mesyuarat bermula dalam masa 30 minit?
Setiap hari kita merancang tugasan samada dengan menyusunnya di fikiran atau ditulis di mana-mana. Biasanya kita tidak akan dapat lakukan apa yang kita rancang itu sepenuhnya kerana ada sahaja sesuatu perkara yang menjengah hingga kita terpaksa mendahulukan apa yang kadangkalanya tiada pun dalam senarai tugasan kita pada satu-satu hari.
Yang mendahulukan atau mengkemudiankan sesuatu senarai tugas adalah apa yang disebut sebagai prioriti. Prioriti atau keutamaan adalah tahap kepentingan atau kesegeraan sesuatu tugasan, isu atau perkara. Apabila ia menjadi keutamaan, masa perlu diberikan kepada perkara itu berbanding dengan hal-hal yang lain yang pada mulanya dijadikan keutamaan.
Namun, di sebalik keutamaan segala tugasan, apakah kita sedari bahawa kita juga perlu memilih keutamaan peranan kita sebagai hamba-NYA, kemudian peranan sebagai anak, sebagai ibu atau bapa, suami atau isteri?
Selama ini ramai orang yang hanya memberi keutamaan kepada apa yang dianggap sebagai peranan utamanya di dunia. Padahal, ia hanyalah alat supaya keutamaan sebenar dapat dipenuhi. Sejak kecil kita diajar bahawa peranan kita yang utama ialah sebagai seorang pelajar; belajar rajin-rajin supaya pandai.
Selepas pandai dan berkelulusan, kita diajar supaya mengutamakan kerja dan kerjaya. Yang lain kesemuanya ditolak ke tepi kerana ia tidak pernah dilihat sebagai keutamaan. Akhirnya, yang menjadi keutamaan seseorang ialah jawatan, kerja dan kerjaya. Ramai yang tidak memenuhi keutamaannya sebagai anak, suami atau isteri atau ayah dan ibu semata-mata kerana kerja.
Tetapi tunggulah apabila seseorang itu bersara dan dia akan berdepan dengan kesukaran menyusun prioriti kerana keutamaannya selama ini adalah kerja, sedangkan kerjanya sudah tiada lagi!
Kerja dan pekerjaan hanyalah alat untuk memenuhi keutamaan sebenar kita yang berperanan kepada mereka yang ditakdirkan berada di sekeliling kita. Anak, isteri, suami, ibu dan bapa itu bagai tiada ganti. Mereka umpama oksigen bagi kita kerana apabila kelemasan dalam hidup, kepada merekalah kita berpaling dan hampiri.
Justeru, mereka tidak boleh dilayani secara celam-celum atau mengikut apa yang sempat. Bila kita tidak berada di sisi seorang anak pada Hari Apresiasi Pelajar Cemerlang, kita kata yang kita sibuk, padahal sebenarnya anak itu bukan menjadi keutamaan. Kita rasa semuanya okey kerana si ibu menemani. Tetapi suatu hari nanti si anak akan tercerita betapa sayunya bila si ayah tidak dapat hadir pada hari dia menerima hadiah sekotak pensil warna. Baharulah kita tahu apa yang kita anggap kecil itu besar maknanya.
Begitulah juga, ramai yang terjebak dan tersungkur bila memilih keutamaan hidup di dunia semata-mata hingga ALLAH pun diketepikan! Keterlibatan dalam rasuah, khianat, dendam, dengki, menipu atau menyeleweng terjadi apabila seseorang itu memilih kesenangan dunia sebagai keutamaan.
Akan menyesal kelak apabila tidak memilih ALLAH sebagai keutamaan kerana akan tiba saatnya segala-galanya yang dipinjamkan itu terpaksa dipulangkan. Yang kekal hanya ALLAH. Bayangkan jika kita tidak memilih-NYA sebagai keutamaan!