Pihak berkuasa Jepun telah menamakan suspek yang membakar studio Kyoto Animation (KyoAni). Shinji Aoba kini ditahan di hospital dan sedang dirawat kerana melecur.
Berita asal: https://layarminda.com/2019/07/19/sedihnya-siapa-yang-sanggup-bakar-studio-anime-ini/
Api telah marak di studio KyoAni pada Khamis yang meragut 33 nyawa dan mencederakan ramai lagi. Orang ramai yang melihat penahanan Shinji, terdengar beliau merungut bahawa syarikat itu telah mencuri ideanya.
Pihak polis berkata, suspek telah memasuki bangunan dan menumpahkan cecair mudah terbakar dari sebuah bekas sebelum menyalakannya sambil menjerit ‘kau mati!’
Berikutan dengan tragedi itu, berpuluh-puluh rakyat telah berhimpun di luar studio dengan membawa bunga dan menghulurkan doa.
Kempen pungutan derma yang dilancarkan berikutan kebakaran itu telah berjaya mengumpul lebih USD $1.3 juta setakat ini.
KyoAni adalah syarikat yang menerbitkan filem dan novel grafik yang dipandang tinggi kerana kualiti hasil kerjanya.
Apa yang kita tahu mengenai suspek?
Koresponden BBC Tokyo, Rupert Wingfield-Hayes berkata rakaman CCTV dari stesyen minyak berhampiran telah merakam suspek mengisi dua bekas dengan petrol sebelum insiden.
Shinji menuduh studio animasi itu telah memplagiat novelnya. Dalam pada itu, laporan akhbar NHK mendapati, Shinji mempunyai rekod jenayah dan pernah dipenjara kerana mencuri di sebuah kedai serbaneka.
Apa yang terjadi?
Api mula membakar pada hari Khamis, jam 10.30 pagi waktu tempatan. Saksi melaporkan kedengaran letupan yang kuat diikuti dengan api memarak dan kelihatan ramai mangsa kebakaran melompat keluar dari tingkap.
Hampir 70 mangsa berada di dalam bangunan ketika ia terbakar. 36 yang lain sedang dirawat di hospital.
Pihak berkuasa melaporkan ramai mangsa ditemui bertimpa-timpa di tangga tingkat tiga berhampiran dengan bumbung. Mereka rebah ketika cuba menyelamatkan diri.
Agensi berita Kyodo melaporkan pihak bomba mendapati pintu ke bumbung didapati terkunci, mengakibatkan mangsa terperangkap. Bangunan itu juga didapati tidak mempunyai alat keselamatan kebakaran seperti perenjis air dan sumber air untuk melawan api.
Momoko Higuchi, seorang arkitek pula berpendapat, tangga pusing bangunan tiga tingkat itu menyebabkan api mudah marak kerana ruangnya seperti sebuah serombong. “Apabila petrol bertemu api, hasilnya adalah seperti sebuah bom.”