DALAM penulisan, waktu berperanan penting untuk menghidupkan latar masa. Ia adalah garis waktu cerita yang disampaikan, samada sehari, seminggu, sebulan ataupun bertahun. Waktu juga membantu pembaca untuk membayangkan suasana persekitaran.

Misalnya, babak yang bermula pada jam 8.00 pagi dengan kesibukan orang ramai pergi bekerja akan menghidupkan gambaran di minda pembaca. Begitu juga, babak pulang pada jam 8.00 malam juga membantu pembaca untuk membayangkan suasana jalanraya pada waktu itu.

Selain daripada masa, gambaran cuaca juga memberi mood kepada penceritaan. Ia adalah elemen treatment  yang berkesan. Seorang novelis legend, Ernest Hemingway yang menulis novel The Old Man and The Sea memberi ulasan yang tegas tentang pentingnya melakar cuaca dalam karya.

Kata Ernest Hemingway di dalam buku ‘On Writing’: “Remember to get the weather in your damn book ~ weather is very important.”  Jangan lupa untuk memasukkan keadaan cuaca dalam karya anda. Cuaca itu amat penting. Kata-katanya benar.

Sejak saya menemui tips ini beberapa tahun yang lalu, ia menjadi salah satu daripada rencah penulisan yang saya gunakan. Cuaca memainkan peranan penting untuk mengasyikkan pembaca. Ia juga menaikkan mood penulis itu sendiri.

Cuaca adalah kejadian alam. Cuaca berkait rapat dengan unsur api, air, angin dan tanah. Kita mempunyai keeempat-empat unsur itu. Sebab itulah pembaca akan asyik dengan lakaran api, air, angin dan tanah di dalam penulisan kerana ia berkait rapat dengan elemen di dalam diri mereka sendiri!

Cuba bayangkan rupa cuaca pada perkataan-perkataan ini: hujan renyai, hujan lebat, ribut, taufan, puting beliung atau tsunami. Panas terik mentari, angin kencang, kilat sabung menyabung, guruh berdentum dan petir menyambar.

Setiap perkataan mengenai cuaca yang disampaikan akan terus membina gambaran di layar minda pembaca. Ini membantu pembaca untuk melihat melalui tulisan itu. Dalam ertikata lain, ia membina cinema of the mind ~ wayang di dalam minda.

Perjumpaan hero dan heroin di sebuah taman boleh sahaja digambarkan dengan mudah. Tetapi, iringkan dengan hujan lebat dan angin kencang hingga menerbangkan payung mereka… pertemuan yang simple boleh menjadi begitu dramatik dan romantik.

Begitu juga, hero dan heroin yang sama berpisah di taman dalam cuaca yang buruk, dengan kilat sambar menyambar, selain daripada menghidupkan layar minda pembaca, ia juga menyentuh hati pembaca kerana keadaan cuaca itu menggambarkan betapa berkecamuknya hati mereka.

Justeru itu, selain daripada dialog, lakaran cuaca boleh meruntun jiwa pembaca.