APAKAH kita jujur dengan karya sendiri? Maksud saya, jujur dalam ertikata kita mahu tulisan kita terhasil sebagai sebuah karya yang terbaik. Bagaimana pula kita menilai kejujuran sendiri? Bagi saya, ada dua ciri kita mengukur kejujuran.

Pertama, jujur dalam menghasilkan fakta yang tepat. Inilah cabaran yang utama. Pembaca pada hari ini adalah golongan yang bijak. Ramai di kalangan mereka adalah golongan profesional.

Kerana itu, sebagai contoh jika kita menulis mengenai babak di ICU hospital. Kita tidak boleh menggambarkan sebuah keluarga 7-8 orang masuk ke wad lalu berbual dengan pesakit.

Sebabnya, prosedur di wad ICU, mengizinkan hanya dua orang pelawat pada satu-satu masa. Bayangkan jika ada pembaca yang menatap novel kita itu dari kalangan petugas di hospital. Tentu mereka akan persoalkan keanehan lebih dua orang pelawat pesakit pada satu-satu masa.

Fakta yang tidak tepat atau yang salah akan mematikan selera pembaca. Mereka marah kerana kita seolah-olah mempersenda kebijaksanaan mereka.

Justeru itu, kita mesti merujuk sesuatu fakta itu daripada orang yang tahu atau melayari internet untuk mendapat fakta yang tepat.

Kedua, jujur bahawa karya kita itu seronok dibaca. Sebaik sahaja kita siapkan sesebuah bab, kita akan berasa lega. Sebabnya, segala idea yang merenyam di dalam fikiran telah dapat ditumpahkan ke atas kertas atau di skrin komputer.

Bila kita baca kembali apa yang tertulis, kita berasa puas. Hati pun mengusik, ‘Fuh! Hebatnya aku!’ Lantas, kita terus menonton TV atau tarik selimut. Seronok sebab target penulisan hari ini telah pun tercapai. Tapi, nanti dulu…

Apa yang kita tulis buat kali pertama itu selalunya terasa ada umph pada ketika itu. Sebabnya, pada ketika kita menulis, kita seronok apabila idea datang mencurah-curah.

Kita seronok kerana kita dapat menulis sampai lima halaman dan siapkan sebuah bab. Namun, percayalah keseronokan itu palsu.

Hadapi realiti bahawa tulisan itu masih belum mantap. Perap tulisan itu selama sejam. Boleh juga kita peram sehingga esok. Selepas beberapa lama, tataplah kembali tulisan kita.

Sewaktu menatapnya, tingkatkan perasaan, bukannya perasan. Tatkala itu, kita akan dapati ejaan yang salah, penggunaan istilah yang berulang atau kita sendiri tak faham apa yang kita tulis!

Mengapa jadi begitu? Sebabnya, tatkala kita menulis, kita memakai topi novelis. Tetapi apabila membaca semula setelah beberapa ketika ia diketepikan, kita memakai topi seorang pembaca! Sejujurnya jika kita rasa karya itu tak elok, editlah ia kembali. Jika masih rasa pening-pening lalat bila membacanya, itu tandanya kita sendiri yang reject karya sendiri. Oleh itu, buangkan sahaja tulisan itu dan buat lain.

Penat, tapi itulah dunia penulisan yang kita perlu harungi.

*Terima kasih kerana menyelusuri artikel ini. Anda yang membaca nota ini saya persilakan untuk mencatat pandangan. Kalau ada soalan pun saya alu-alukan. Saya boleh bantu untuk kongsi pandangan. Pembaca yang lain pun boleh turut sama-sama beri pandangan. Mari kita kongsi ilmu untuk kebaikan bersama.