TREN penurunan jualan akhbar cetak di negara ini masih berlaku. Semua akhbar perdana berada di tahap ICU. Pihak editorialnya semakin kerap bermesyuarat. Strateginya bukan lagi untuk meningkatkan jualan mahupun menawan pasaran. Sebaliknya untuk memanjangkan hayat masing-masing. Namun semuanya sudah maklum dan menerima hakikat bahawa masa depan akhbar cetak sunggguh gelap. Maaf cakap, menunggu masa untuk ditutup.

Ini adalah kerana kita sendiri tidak lagi menunggu akhbar yang sampai di depan pintu rumah seperti dahulu. Di kala itu, sebaik sahaja akhbar tiba, kita akan tertanya-tanya berita apakah yang akan menjadi tajuknya. Apa yang dipilih oleh editorial sesebuah akhbar, maka itulah yang menjadi berita utama. Itulah yang akan kita tatap sebagai santapan minda utama di pagi hari.

Kini, tidak lagi. Kita mencari berita yang kita sukai melalui internet. Yang suka politik akan membaca berita politik. Yang minat sukan akan mencari berita sukan. Yang gemarkan hiburan akan mendapatkan berita hiburan. Kita buat keputusan apa yang kita ingin baca pada satu-satu hari.

Lain manusia, lain pula pilihannya. Oleh sebab akhbar cetak mempunyai formula ramuan yang tetap, ia tidak fleksibel untuk memuaskan hati ramai orang. Kerana itu, akhbar cetak bukan lagi pilihan. Dalam pada itu, akhbar dalam talian juga berdepan dengan cabaran portal-portal berita yang menyajikan cerita-cerita yang garing dan segar.

Portal-portal berita yang memberatkan cerita ini biasanya dianggotai tidak sampai 10 orang tenaga kerja. Oleh kerana kecil, mereka pantas dan peka meneka selera semasa pembaca. Mereka akhirnya menjadi pilihan dan kegilaan hingga boleh beridiri teguh dengan kos operasi yang teramat rendah. Akhbar-akhbar perdana tidak terlawan dengan situasi ini kerana saiznya itu sendiri memakan kos yang begitu tinggi.

Betapa pun, sekiranya kita hanya melihat ia sebagai sebuah tren pilihan pembaca dalam konteks perniagaan, ia tiada bezanya dengan mana-mana perniagaan lain. Samada kenderaan, pakaian, peralatan mahupun makanan, siapa yang paling kerap muncul di skrin komputer dialah yang paling diingati dan kemungkinan besar akan menjadi pilihan.

Tetapi mari kita lihat akhbar dalam konteks asal yang murni sebagai penyaji santapan minda untuk manusia. Dan kita bertanya pula, santapan minda yang bagaimanakah yang baik? Jawapannya tentulah santapan minda yang penuh dengan khasiat pengetahuan, maklumat, ketelusan, ketulusan serta kebenaran yang disampaikan dengan penuh berimbang.

Begitulah asalnya peranan akhbar apabila ia menjadi medium penyampaian maklumat pada kurun ke-17 di Eropah. Setelah ia diterima pembaca, akhbar menjadi saluran maklumat oleh kerajaan setempat. Di zaman Perang Dunia Pertama dan Kedua, akhbar berperanan untuk membarakan semangat rakyat agar terus menyokong kerajaan.

Setelah peperangan tamat, akhbar terus bertempat di hati para pembaca. Ia amat berpengaruh dan kerap dijadikan sebagai pembentuk public opinion dan alat pemerintah. Tetapi akhbar-akhbar juga punyai pendirian untuk memainkan peranan semak dan imbang. Suaranya selalu mewakili rintihan hati rakyat. Malah, ia menjadi elemen yang penting dalam pembangunan negara. Malah diberi jolokan sebagai The Fourth Estate.

Namun, sejak kemunculan internet yang turut melahirkan media sosial, peranan akhbar yang sebenarnya kian diketepikan. Sesiapa sahaja bebas untuk memilih santapan minda masing-masing. Maknanya rakyat tidak dapat disatukan sebagai sebuah warga negara yang punyai kekuatan sebagai sebuah pasukan. Akhirnya pemerintah tidak dapat membentuk keseragaman pemikiran rakyat. Rakyat tidak akan lagi menjadi sumber manusia bagi sesebuah negara.

Apa akan berlaku kelak? Kerajaan bercakap fasal satu perkara, rakyat pula akan bercakap mengenai satu perkara yang lain. Kerana inginkan kebebasan fikiran, suara kerajaan tidak akan didengar. Pemerintah akan hilang rakyat sebagai asetnya. Kalau pun ada hubungan kerajaan dengan rakyat, ia hanyalah daripada segi cukai, denda ataupun urusan kehidupan.

Apabila rakyat tidak pedulikan kerajaan, pemerintah akan buat apa yang dia suka hingga boleh menyeleweng. Kalau pun ada di kalangan rakyat yang mempersoalkan penyelewengan pemerintah, suara mereka tidak akan kedengaran. Sebabnya, sebilangan besar rakyat hanya mahu mendengar irama yang mereka gilai.

Surat khabar tiada peranan sebagai pembentuk pemikiran rakyat. Ia akhirnya akan padam dan tenggelam lalu hanyut bersama rakyat yang sudah jadi zombie akibat sihir teknologi di akhir zaman. Di waktu itu, tiada apa perkara pun yang akan menyatukan rakyat kecuali bencana alam!