Sudah seminggu Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2019 (PBAKL 2019) melabuhkan tirainya. Ia meninggalkan pelbagai kenangan buat warga buku. Ada penulis yang tersenyum meleret kerana buku-bukunya laris atau terpilih untuk menerima anugerah. Tidak kurang juga yang membawa pulang duka kerana bukunya laris tak seberapa.

Begitu juga terdapat penerbit yang masih tak menang tangan asyik menambah stok buku yang panas dan laris. Ada juga penerbit yang hanya memeluk tubuh yang kedinginan akibat dewan pamerannya sunyi danlengang.

Penulis berpeluang menapak dan menyusur dewan-dewan dan singgah ke reruai yang pelbagai di PWTC pada suatu petang untuk menghirup aura PBAKL 2019 pada tahun ini. Ada dewan yang sesak, ada yang lengang. Pendek kata, ia tidak sentiasa tepu dengan pengunjung.

Sempat juga menemubual beberapa orang penulis dan juga petugas di pestabuku kali ini:

RAMAI VIP DATANG

Elly Jalil merasakan PBAKL kali ini kurang pemasaran.
Elly Jalil merasakan PBAKL kali ini kurang pemasaran.

Bagi ELLY JALIL penulis buku Tip Memikat Temuduga Swasta melihat sambutan baik peminat-peminat buku. “ Sambutan pengunjung bagus pada minggu pertama berbanding tahun sebelum ini. Tetapi kuasa membeli agak kurang. Mungkin kerana kurang pemasaran dan banyak penerbit yang tidak terlibat sama.”

Elly turut melihat sedikit perbezaan di PBAKL 2019 kali ini bilamana kelihatan ramai tokoh-tokoh yang hadir. “Penglibatan golongan besar atau VIP seperti menteri dan lain-lain ramai pada kali ini.”

Di kalangan menteri yang hadir di PBAKL 2019 kali ini ialah Menteri Pelajaran, Dr,. Maszlee Malik, Menteri Wilayah Persekutuan,  YB Khalid Samad dan juga mantan Perdana Menteri DS Najib Tun Razak.

PROMOSI BERBALOI

Novelis romantis, Aisya Sofea kata sambutan hujung minggu menggalakkan
Novelis romantis, Aisya Sofea kata sambutan hujung minggu menggalakkan

Novelis romantis AISYA SOFEA pula melihat sambutan yang menggalakkan para pengunjung, “Sambutan dari orang ramai amat memberangsangkan terutamanya pada hujung minggu.” Beliau yang muncul dengan novel terkini Antara Cinta Kita rasa berbaloi kerana sering mempromosi novelnya di media social sebelum PBAKL 2019 berlangsung.

BANYAK ACARA HIDUPKAN SUASANA

Novelis Ramlee Awang Murshid rasa syukur sambutan peminat
Novelis Ramlee Awang Murshid rasa syukur sambutan peminat

Novelis Thriller No 1 Malaysia, RAMLEE AWANG MURSHID pula bersyukur kerana sambutan para peminat terhadap novel terbaharunya Anding Ayangan 2. Beliau hanya hanya dapat meluangkan masa pada hujung minggu mendapati sambutan baik para pengunjung.

“Kalau di hujung minggu, sambutan sangat memberangsangkan seperti tahun-tahun lalu.

Banyak acara yang diselangseli dengan hiburan di pentas utama memeriahkan suasana pesta ini.”

Bagaimana pun, keceriaan para penulis tidak dikongsi sama oleh para penerbit. Secara keseluruhannya mereka berasakan ada kurangnya sambutan pada PBAKL kali ini.

BUKU LAMA MASIH DICARI

Editor Ruby Aksah kata orang masih cari buku-buku lama di PBAKL 2019.
Editor Ruby Aksah kata orang masih cari buku-buku lama di PBAKL 2019.

RUBY AKSAH, seorang Editor di Alaf 21 mendapati sambutan yang suram pada kali ini.

“Sambutan pesta buku kurang memberangsangkan terutamanya pada 3-4 hari-hari awal pestabuku.

Sabtu dan Ahad minggu pertama pun tidak ramai pengunjung yang berehat di ruang legar premis. Hanya setelah melebihi 6 hari, baharulah kelihatan lebih ramai para pengunjung.”

Betapa pun, beliau mendapati para pengunjung masih mencari buku-buku lama. “Selain daripada buku-buku baharu, buku-buku lama tetap dicari pengunjung kerana mereka mengambil kesempatan memborong buku murah dan buku-buku yang sudah tiada terjual di kedai-kedai.”

SUASANA YANG SENDU

Editor Mazuen kata PBAKL 2019 sendu.
Editor Mazuen kata PBAKL 2019 sendu.

Bagi MAZUEN YAHAYA, Editor Grup Buku Karangkraf berasa kurang ceria apabila dikemukakan persoalan mengenai sambutan di PBAKL 2019.  Katanya, “Pesta buku kali ni saya agak sendu terutamanya pada hari-hari biasa. Rombongan pelajar sekolah yang datang pun tak begitu membantu jualan.” 

Pandangannya turut dikongsi oleh rakan sejawatnya RUZITA AWALUDDIN. “Pengunjung tak seramai tahun lepas. Keunikan macam tak ada.”

Ruzita kata PBAKL 2019 tiada keunikan
Ruzita kata PBAKL 2019 tiada keunikan.

Banyak faktor yang memberi kesan terhadap sambutan di PBAKL 2019. Antaranya barangkali kerana ia diadakan pada permulaan cuti sekolah. Lazimnya pada minggu pertama cuti sekolah, para ibubapa akan membawa anak-anak pulang ke kampong atau melancong.

Mereka hanya akan kembali pada hujung cuti sekolah. Itulah sebabnya lebih ramai pengunjung dilihat ke PBAKL 2019 pada tiga hari terakhir pesta. Keadaan ekonomi turut menjadi penyebab pestabuku kali ini kurang mendapat sambutan.

BUKU MASIH DIGILAI

Diskaun yang besar oleh para penerbit membantu melariskan jualan. Meskipun sesetengah pihak mengatakan ia tidak sihat untuk industri, namun kalangan penerbit terpaksa bertindak demikian kerana keadaan terdesak.

Betapa pun, buku masih digemari.  Andainya ia tidak disukai tentu sekali buku berharga RM1.00 tidak akan disambar peminat buku. Maknanya, kalau tak bagus, diberi percuma pun orang tak mahu!