Terperangkap di Dalam Cita-Cita
Sewaktu di sekolah dahulu, cikgu pernah bertanya apakah cita-cita saya? Cikgu bertanya secara berdepan-depan dan semua murid boleh mendengar soalannya. Saya pun kata yang saya ingin menjadi seorang askar kerana ayah saya pernah bertugas sebagai askar. Saya juga mahu menjadi seorang posmen kerana kerap melihat pakcik posmen menghantar surat di kampung dan saya mahu menjadi seorang guru kerana saya amat menghormati cikgu saya.
Ramai kawan-kawan sekelas saya yang mempunyai cita-cita yang lebih kurang begitu juga seperti mahu menjadi anggota polis, askar, ahli bomba, posmen dan guru. Pada hari ini cikgu-cikgu turut bertanya kepada murid-murid soalan yang serupa mengenai cita-cita. Cuma bezanya murid-murid sekarang lebih terdedah dengan dunia kerjaya. Pilihan mereka pula adalah kepada kerjaya yang profesional seperti pensyarah, chef, peguam, arkitek dan akauntan.
Di sekolah, cikgu bertanya mengenai cita-cita. Di rumah juga ibubapa akan bertanya mengenai cita-cita. Sejak dari zaman persekolahan, pelajar diasuh untuk punyai sesebuah cita-cita. Mereka yang tiada cita-cita atau kerjaya pilihan akan dianggap sebagai seseorang yang tiada matlamat hidup.
Maka sejak di zaman persekolahan hingga menuntut di institusi pengajian tinggi, seseorang itu akan mengejar cita-cita yang sebenarnya hanyalah sebuah kerjaya. Subjek-subjek pelajarannya dipilih sesuai dengan kerjayanya. Apabila memasuki universiti, seseorang itu memilih kursus yang sepadan dengan cita-citanya.
Dalam pada itu, andainya terdapat mereka yang tidak memperoleh kursus yang menjadi pilihan untuk kerjayanya, dia akan bingung, hilang motivasi, malah sudah berasa gagal di dalam hidup. Seolah-olah cita-cita untuk sesebuah kerjaya itu adalah penentu kejayaan mahupun kegagalan mutlak buat seseorang.
Walau apa pun, walaupun kita memperoleh kursus yang sepadan dengan kerjaya pilihan, ia masih belum menentukan kita mendapat jawatan idaman. Berikutan dengan permintaan pasaran, sebahagian besar daripada kita tidak dapat memilih kerjaya yang kita ingini. Ataupun kita sendiri telah menjawat jawatan yang berbeza kerana kita sendiri telah berubah haluan atau memilih kerjaya lain kerana desakan keperluan untuk bekerja. Maknanya, cita-cita sudah tinggal cita-cita.
Lihatlah, betapa kita semua telah diajar untuk mempunyai cita-cita dan memilih kerjaya. Secara tidak sedar, kita semua diasuh untuk memasuki pasaran pekerjaan untuk memenuhi kehendak pasaran dan pelan pemerintah. Sebahagian besar daripada kita diasuh untuk menjadi pekerja atau makan gaji. Tidak ramai yang punyai pemikiran untuk bekerja sendiri.
Kerana itu, sebaik sahaja kita mendapat pekerjaan, kita berasakan itulah kejayaan. Kita sudah sampai pada garisan penamat. Dapat kerja, makan gaji, kahwin, beli rumah, beli kereta, ada keluarga dan berfantasi untuk hidup happily ever after.
Persoalannya, apakah kita sedar bahawa tujuan bekerja adalah untuk memperoleh rezeki untuk meneruskan kehidupan? Misi kita ialah untuk hidup dengan rezeki yang diperoleh sambil berjasa kepada orang tua, membina keluarga dan membawa kesemuanya ke Jannah. Oleh kerana rezeki itu disalut dengan istilah kerjaya, maka kita sendiri membawa diri untuk berfikir di dalam kotak.
Kita tahu bahawa rezeki itu di tangan ALLAH SWT tetapi kita sendiri tidak dapat mengupas ertinya. Apabila rezeki itu ditentukan oleh Yang Maha Mengatur, ia bukan lagi jenis kerja yang kita buat tetapi makna rezeki yang disampaikan kepada kita.
Bila kita buka pemikiran bahawa apa yang kita peroleh adalah rezeki, maka kerjaya apa yang kita buat sudah menjadi tidak penting. Tanpa kita sedar, kita sendiri sudah melonggarkan kriteria kerjaya sendiri kerana hampir kesemua daripada kita punyai kerja yang bukan menjadi cita-cita asal kita sejak di bangku sekolah.
Apabila kita mengerti bahawa rezeki itulah yang sepatutnya menjadi tujuan, maka kita tidak perlu begitu setia kepada satu-satu bidang meskipun ia sudah tidak menguntungkan atau yang relevan. Ramai di antara kita begitu setia dalam perjuangan kerjayanya hingga berasa berdosa jika meninggalkannya. Kerana itu, ramai yang tidak mahu beralih kepada bidang yang boleh mendatangkan rezeki yang lebih baik.
ALLAH menentukan rezeki kita datang dari sumber yang mana. Kita kenalah mencarinya. Jika kita terus berpaut kepada bidang yang serupa dan berdoa banyak-banyak pun, jika takdirnya rezeki kita berada di bidang yang lain, kita kenalah cari. ALLAH itu Maha Adil. Kita akan dapat apa yang orang lain dapat. Tetapi kita tidak dapat apa yang orang lain dapat kerana kita mencari rezeki di perigi yang buta.
Minat Membaca Meningkat, Tapi Minat Membeli Buku Menurun
MINAT membaca masyarakat Malaysia kian meningkat berdasarkan jumlah yang menjadi ahli Perpustakaan Negara. Terdapat peningkatan jumlah keahlian bilamana 2,563 memohon menjadi ahli pada bulan Februari. Jumlah ini bertambah kepada 4,153 ahli bulan Mei.
Bagaimana pun, ia hanya statistik penambahan peminat buku dan bukannya pembeli buku. Jualan buku terbitan tempatan nampaknya menurun. Menurut MABOPA (Malaysian Book Publishers Association), penurunan ini mengakibatkan para penerbit mengurangkan cetakan buku.
“Rakyat Malaysia gemar membaca. Tetapi kita perlu fokus dan mencari jalan untuk meningkatkan budaya membaca di Malaysia,” demikian ujar Presiden MABOPA, Arief Hakim Sani Rahmat.
Jumlah pendapatan penerbit buku menguncup sebanyak 29 % daripada RM1,192 pada 2014 bilion kepada hanya RM847 juta pada tahun 2016.
“Pendapatan mula menurun pada 2015. Pada tahun 2016 ia semakin mengelongsor apabila kerajaan menamatkan skim baucar buku kepada para pelajar. Satu lagi faktor adalah kurangnya kuasa beli pengguna,” kata Arief.
Industri buku menerima kesan apabila cukai insentif RM1,000 untuk buku digantikan dengan cukai gaya hidup berjumlah RM2,500 dia mana ia melibatkan buku, langganan internet dan lain-lain perbelanjaan pada tahun 2017.

Pada tahun lalu, 18,663 judul dari kategori bahasa dan sastera diterbitkan, menurut statistik buku-buku yang terdaftar di bawah Akta Depositori Perpustakaan.
Rakyat Malaysia membaca 15 buku setahun menurut kajian Perpustakaan Negara pada tahun 2014. Namun ia masih jauh daripada standard antarabangsa iaitu 40 judul buku setahun.
Arief berkata, pihak persatuan yakin, tabiat membaca akan meningkat sejajar dengan pertumbuhan ekonomi dan kemajuan sosialnya.
“Kami harap pihak kerajaan akan membantu merangsang budaya membaca melalui insentif cukai, khususnya yang melibatkan bahan bacan, derma buku dan royalti daripada menulis.
“Walaupun terdapat insentif, tetapi kita perlukan lebih banyak insentif lain terutamanya kerana kos sara hidup yang meningkat.”
Arief juga berharap pihak perpustakaan akan memperoleh dana untuk membeli dan menyimpan koleksi buku-buku terbaharu.
Pada bulan Mac, adalah dilaporkan Menmteri Pelajaran Dr. Maszlee Malik berkata beliau akan mengembalikan baucar buku RM250 yang telah dilaksanakan sebelum ini pada tahun depan.
Pada waktu ini, pihak kementerian hanya memberi RM100 pada setiap pelajar di bawah program Bantuan Pendidikan Tinggi Pelajar.
Bantuan yang dikenali sebagai Kad Diskaun Siswa ini disalurkan ke kad debit para pelajar. Ini membolehkan mereka membeli bahan bacaan, alatulis, peralatan komputer dan juga akses internet.
Meskipun masa telah berubah, pihak kementerian percaya, budaya membaca adalah kunci kepada masyarakat yang membangun,
‘Pihak sekolah telah menjalankan pelbagai usaha untuk meningkatkan minat para pelajar kepada budaya membaca dengan mengadakan minggu membaca dan juga melaksanakan program Nadi Ilmu Amalan Membaca, NADI.”
Artikel asal:
https://www.thestar.com.my/news/nation/2019/06/23/malaysians-love-reading-but-fewer-local-books-sold/
Judith Krantz Meninggal Dunia Tetapi Kaya Raya dengan 10 Novel
Judith Krantz, novelis yang mempesona jutaan pembaca telah meninggal dunia pada 22 Jun lalu. Meskipun hanya menulis 10 buah novel di sepanjang hayatnya, jualan novelnya mencapai 80 juta naskhah. Punca kematian wanita berusia 91 tahun adalah kerana sakit tua.

Judith mula terkenal dengan novelnya Scruples yang terbit pada tahun 1978. Jualannya mencapai ke 5 juta naskhah dalam masa dua tahun.
Yang menariknya, Scruples terbit ketika Judith berusia 50 tahun. Menurutnya, novel itu terbit daripada kesunyian apabila anak-anaknya melanjutkan pelajaran. Suaminya Steve yang menggesanya menulis.

Pada awalnya, Judith tidak berani menulis novel kerana hanya mendapat B di dalam subjek penulisan kreatif di kolej. Namun, apabila suaminya membeli sebuah kapalterbang kecil mengajaknya naik bersama, Judith belajar untuk mengatasi rasa takutnya.
Dengan keberanian baharu itu, beliau mula cuba menulis novelnya yang pertama. Scruples disudahkan dalam masa sembilan bulan.
Meskipun beliau hanya dibayar hanya USD50,000 untuk novel itu, buku-bukunya setelah itu kian mendapat sambutan hingga pendapatannya mencecah jutaan dolar. 10 novelnya terjual lebih 80 juta naskhah dan diterjemah ke dalam 50 bahasa.

Scruples ditolak oleh penerbit Simon & Schuster, kerana dikatakan punyai terlalu banyak watak dan plot. Tetapi The Crown Publishing Group menyambar novel itu dengan bayaran USD50,000 sahaja. Tetapi syarikat itu terus membayar USD400,000 untuk novel kedua Judith iaitu Princess Daisy.
Pada tahun 1980, Scruples muncul sebagai siri televisyen. Siri itu diterbitkan oleh Steve Krantz, suami Judith dan menjadi di antara siri yang popular.
Judith lahir pada tahun 1928 di bandaraya New York. Ayahnya adalah seorang eksekutif pengiklanan sementara ibunya adalah seorang peguam.

Pada usia 16 tahun, beliau memasuki Wellesley College. Di sana beliau hanya memperoleh A dalam bahasa Inggeris, B dalam penulisan dan C dalam lain-lain subjek.
Meskipun pensyarahnya menyukai karyanya, beliau tidak mahu memberi Judith markah A kerana beliau lemah dalam ejaan. Setelah tamat pengajian, beliau menjadi wartawan majalah Good Houeskeeping sebelum menjadi editor fesyen.
Pada tahun 1953, beliau menemui Steve Krantz seorang penerbit rancangan televisyen. Mereka berkahwin setahun kemudian. Suaminyalah yang menggalakkan beliau menulis.
Apa yang menariknya, di sebalik kehebatan karya-karyanya, Judith Krantz hanya menulis 10 buah novel di mana novel terakhirnya iaitu The Jewels of Tess Kent ditulis pada tahun 1998.

Enam karya awalnya menjadi siri televisyen. Scruples (1978), Princess Daisy (1980), Mistral’s Daughter (1982), I’ll Take Manhattan (1986), Till We Meet Again (1988) dan Dazzle (1990).
Empat novel berikutnya adalah Scruples Two (1992), Lovers (1994), Spring Collection (1996) dan The Jewels of Tessa Kent (1998)
Pembaca Malaysia Masih Sayangkan Buku
BAU wangi kertas, rasa kulit buku bila jejari kita menyentuhnya dan keterujaan menyelak halaman terakhir untuk mengetahui apa kesudahan cerita yang kita baca… itulah pengalaman unik yang menyebabkan kita rasa membaca buku atau novel tak boleh ditukarganti dengan telefon pintar atau mana-mana peralatan digital.
Meskipun semakin banyak kita boleh dapatkan secara online, rakyat Malaysia masih lagi menggemari tulisan yang bercetak.
Perpustakaan Negara melaporkan keahlian dan jumlah buku-buku yang dipinjam kian bertambah sejak beberapa bulan yang lalu.
Akhbar Sunday Star melayari laman Perpustakaan Negara dan mendapati pada bulan Februari, jumlah yang memohon menjadi ahli ialah 2,563 orang dan pada bulan Mei jumlahnya bertambah kepada 4,153 orang.
Jumlah buku yang dipinjam pula ialah 27,293 naskhah pada bulan Februari, 32,390 pada Mac, 34,111 pada April dan 34,436 pada Mei. Kini, para pengunjung boleh memilih juga buku audio, e-buku dan juga bahan-bahan digital yang lain di Perpustakaan Negara.
Namun, buku bercetak masih menjadi pilihan pembaca Malaysia apabila mereka inginkan bacaan santai dan juga dalam kategori bukan fiksyen. Menurut Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia, Arief Hakim Sani Rahmat. “Ini berlaku apabila pembaca hendak lari daripada keriuhan di media sosial.”
“Kita berharap kempen #MalaysiaMembaca yang digerakkan oleh Menteri Pelajaran akan memperoleh curahan dana dan mendapat sokongan orang ramai,” katanya.
Kecintaan rakyat Malaysia kepada buku jelas kelihatan ketika pesta buku dianjurkan bilamana orang ramai berbaris untuk membeli buku.
Kira-kira 650,000 pengunjung telah berkunjung ke BookFest@Malaysia yang berakhir pada 9 Jun yang lalu. Program anjuran Kedai Buku Popular itu kian mendapat sambutan pada saban tahun.
Rakyat Malaysia juga mengunjungi jualan buku Big Bad Wolf yang dibuka selama 24 jam. Petanda-petanda ini amat sihat tetapi banyak lagi yang perlu dilakukan jika kita mahu tabiat membaca rakyat Malaysia menjadi setanding dengan negara-negara maju yang lain.
Menurut laporan Kementerian Pelajaran, di negara-negara maju, rakyatnya membaca 40 buah buku setahun.
Pembaca Malaysia pula hanya membaca 15 buah buku setahun, berdasarkan pada kajian Perpustakaan Negara pada tahun 2014. Untuk rekod, rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku setahun menurut kajian pada tahun 2005.
Dalam pada pihak kementerian berusaha untuk meningkatkan tabiat membaca melalui program Dekad Membaca Kebangsaan, pihak National Union of the Teaching Profession (NUTP) mencadangkan agar perpustakaan sekolah diperindahkan bagi menarik para pelajar untuk membaca.
“Jadikan perpustakaan sebagai tempat pilihan dan bekalkan apa yang mereka mahu,” kata Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan. Pilihan buku-buku juga seharusnya yang terkini untuk mencerminkan keadaan semasa.
Melalui pemerhatiannya, perpustakaan di sekolah-sekolah agak konservatif. “Pengetahuan kita bertambah pada setiap tahun tetapi kebanyakan buku-buku kita masih yang sama,” katanya.
“Sepatutnya ada tempat duduk yang selesa untuk para pelajar. Tempat simpan barang dan mesin kafe perlu ada untuk menggalakkan lebih ramai mengunjunginya.”
Pada Disember 2018, pihak kementerian mengumumkan 2020-2030 sebagai Dekad Membaca Nasional untuk menggalakkan membaca di kalangan rakyat Malaysia. Meskipun 87 % rakyat Malaysia sudah membaca, usaha hendaklah dilakukan untuk menanam tabiat membaca di kalangan masyarakat pula.
Sebuah kempen penggalakkan membaca telah dimulakan untuk tempoh dua dekad melalui pelbagai program. Pihak kementerian juga sedang melaksanakan kempen membaca nasional hingga tahun 2020.
Menurut laporan firma e-commerce Picodi, Malaysia adalah di antara negara yang berbelanja tinggi untuk membeli buku. 76 % pembaca Malaysia membeli sekurang-kurangnya senaskhah buku pada tahun lalu.
Pengarah Eksekutif Kedai Buku Popular, Lim Lee Ngoh berkata, para remaja hari ini tertarik dengan media sosial dan juga permainan video.
“Meskipun begitu, secara umumnya rakyat Malaysia masih membeli dan membaca buku.”
“Daripada pemerhatian kami, para pembaca membeli buku kerana penulis dan juga untuk menambah koleksi.”
Para ibubapa pula lebih suka membeli buku untuk anak-anak mereka kerana berasakan sukar untuk mengawal anak-anak mereka seandainya dibiarkan menatap secara online yang mengandungi pelbagai tarikan lain.
“Malaysia masih membangun. Jika kita
ingin menjadi negara berpengetahuan, cara yang pantas ialah melalui membaca.”
Pautan artikel:
https://www.thestar.com.my/news/nation/2019/06/23/burying-our-noses-in-books/
Buku Cetak Mesrakan Hubungan Ibubapa – Anak
SUDAH menjadi amalan, ibubapa yang menyampaikan bedtime stories untuk anak-anak kecil mereka. Kini ibubapa punyai pilihan samada menggunakan buku ataupun tablet. Namun, baru-baru ini, kajian menunjukkan kanak-kanak lebih gemarkan buku berbanding dengan tablet.

Menurut Gregory P.Weaver, M.D., dari Cleveland Children Clinic, para penyelidik mendapati bahawa lebih banyak interaksi akan terjadi apabila ibubapa menggunakan buku untuk bercerita dengan anak-anak mereka.
Para ibubapa pula lebih banyak bersoal jawab dengan si anak berbanding jika mereka menggunakan tablet. Apabila ibubapa menggunakan tablet, apa yang dibincangkan lebih banyak mengenai bagaimana menggunakan tablet itu dan bukannya mengenai cerita di dalam buku itu.

Menurut Dr. Weaver, membacakan buku kepada anak-anak adalah di antara cara yang terbaik untuk mengajar kemahiran bahasa. Tambahan pula, anak-anak dapat mengajuk ibubapa mereka cara menyebut dan mengatur ayat.
Katanya lagi, kanak-kanak belajar melalui penggabungan konsep. Apabila menggunakan buku, ia memberi peluang untuk berdiskusi secara bertimbal-balik yang mana inilah proses belajar sebenarnya.
Kajian dari University of Michigan, C.S Mott Children’s Hospital juga mendapati interaksi di antara ibubapa dan anak mereka lebih kerap berlaku sekiranya mereka menggunakan buku berbanding tablet.
Menurut Tiffany Munzer, M.D., “Kami mendapati apabila ibubapa dan anak mereka membaca buku bercetak, mereka lebih kerap berbual dan kualiti interaksi mereka menjadi lebih baik.”

Pasukan penyelidik mengkaji tabiat itu daripada 37 pasang ibubapa dan anak-anak mereka di antara 1-2 tahun di sebuah makmal yang direkabentuk seperti ruang tamu di rumah. Setiap ibubapa membaca buku melalui tiga format iaitu buku bercetak, buku yang mempunyai asas elektronik dan buku yang mempunyai kesan bunyi.
Ibubapa yang membaca dari buku bercetak lebih banyak bertanya kepada anak-anak berbanding dengan buku-buku yang dilengkapi peralatan elektronik. Alat-alat elektronik itu menjadikan ibubapa malas berbual dengan anak-anak mereka.
Nampaknya buku cetak lebih menarik sebagai cara mengajar anak bercakap dan memahami pelbagai konsep. Bedtime stories adalah budaya di barat. Namun di negara kita, apakah budaya bercerita melalui bedtime stories ini menjadi amalan ibubapa kepada anak-anak mereka?
PAUTAN ASAL: https://pediatrics.aappublications.org/content/143/4/e20182012https://www.aappublications.org/news/2019/03/25/electronicbooks032519?utm_source=TrendMD&utm_medium=TrendMD&utm_campaign=AAPNews_TrendMD_0


