BAU wangi kertas, rasa kulit buku bila jejari kita menyentuhnya dan keterujaan menyelak halaman terakhir untuk mengetahui apa kesudahan cerita yang kita baca… itulah pengalaman unik yang menyebabkan kita rasa membaca buku atau novel tak boleh ditukarganti dengan telefon pintar atau mana-mana peralatan digital.
Meskipun semakin banyak kita boleh dapatkan secara online, rakyat Malaysia masih lagi menggemari tulisan yang bercetak.
Perpustakaan Negara melaporkan keahlian dan jumlah buku-buku yang dipinjam kian bertambah sejak beberapa bulan yang lalu.
Akhbar Sunday Star melayari laman Perpustakaan Negara dan mendapati pada bulan Februari, jumlah yang memohon menjadi ahli ialah 2,563 orang dan pada bulan Mei jumlahnya bertambah kepada 4,153 orang.
Jumlah buku yang dipinjam pula ialah 27,293 naskhah pada bulan Februari, 32,390 pada Mac, 34,111 pada April dan 34,436 pada Mei. Kini, para pengunjung boleh memilih juga buku audio, e-buku dan juga bahan-bahan digital yang lain di Perpustakaan Negara.
Namun, buku bercetak masih menjadi pilihan pembaca Malaysia apabila mereka inginkan bacaan santai dan juga dalam kategori bukan fiksyen. Menurut Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia, Arief Hakim Sani Rahmat. “Ini berlaku apabila pembaca hendak lari daripada keriuhan di media sosial.”
“Kita berharap kempen #MalaysiaMembaca yang digerakkan oleh Menteri Pelajaran akan memperoleh curahan dana dan mendapat sokongan orang ramai,” katanya.
Kecintaan rakyat Malaysia kepada buku jelas kelihatan ketika pesta buku dianjurkan bilamana orang ramai berbaris untuk membeli buku.
Kira-kira 650,000 pengunjung telah berkunjung ke BookFest@Malaysia yang berakhir pada 9 Jun yang lalu. Program anjuran Kedai Buku Popular itu kian mendapat sambutan pada saban tahun.
Rakyat Malaysia juga mengunjungi jualan buku Big Bad Wolf yang dibuka selama 24 jam. Petanda-petanda ini amat sihat tetapi banyak lagi yang perlu dilakukan jika kita mahu tabiat membaca rakyat Malaysia menjadi setanding dengan negara-negara maju yang lain.
Menurut laporan Kementerian Pelajaran, di negara-negara maju, rakyatnya membaca 40 buah buku setahun.
Pembaca Malaysia pula hanya membaca 15 buah buku setahun, berdasarkan pada kajian Perpustakaan Negara pada tahun 2014. Untuk rekod, rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku setahun menurut kajian pada tahun 2005.
Dalam pada pihak kementerian berusaha untuk meningkatkan tabiat membaca melalui program Dekad Membaca Kebangsaan, pihak National Union of the Teaching Profession (NUTP) mencadangkan agar perpustakaan sekolah diperindahkan bagi menarik para pelajar untuk membaca.
“Jadikan perpustakaan sebagai tempat pilihan dan bekalkan apa yang mereka mahu,” kata Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan. Pilihan buku-buku juga seharusnya yang terkini untuk mencerminkan keadaan semasa.
Melalui pemerhatiannya, perpustakaan di sekolah-sekolah agak konservatif. “Pengetahuan kita bertambah pada setiap tahun tetapi kebanyakan buku-buku kita masih yang sama,” katanya.
“Sepatutnya ada tempat duduk yang selesa untuk para pelajar. Tempat simpan barang dan mesin kafe perlu ada untuk menggalakkan lebih ramai mengunjunginya.”
Pada Disember 2018, pihak kementerian mengumumkan 2020-2030 sebagai Dekad Membaca Nasional untuk menggalakkan membaca di kalangan rakyat Malaysia. Meskipun 87 % rakyat Malaysia sudah membaca, usaha hendaklah dilakukan untuk menanam tabiat membaca di kalangan masyarakat pula.
Sebuah kempen penggalakkan membaca telah dimulakan untuk tempoh dua dekad melalui pelbagai program. Pihak kementerian juga sedang melaksanakan kempen membaca nasional hingga tahun 2020.
Menurut laporan firma e-commerce Picodi, Malaysia adalah di antara negara yang berbelanja tinggi untuk membeli buku. 76 % pembaca Malaysia membeli sekurang-kurangnya senaskhah buku pada tahun lalu.
Pengarah Eksekutif Kedai Buku Popular, Lim Lee Ngoh berkata, para remaja hari ini tertarik dengan media sosial dan juga permainan video.
“Meskipun begitu, secara umumnya rakyat Malaysia masih membeli dan membaca buku.”
“Daripada pemerhatian kami, para pembaca membeli buku kerana penulis dan juga untuk menambah koleksi.”
Para ibubapa pula lebih suka membeli buku untuk anak-anak mereka kerana berasakan sukar untuk mengawal anak-anak mereka seandainya dibiarkan menatap secara online yang mengandungi pelbagai tarikan lain.
“Malaysia masih membangun. Jika kita
ingin menjadi negara berpengetahuan, cara yang pantas ialah melalui membaca.”
Pautan artikel:
https://www.thestar.com.my/news/nation/2019/06/23/burying-our-noses-in-books/