BLOG

Jalur Gemilang : Di Mana Kau?

Jalur Gemilang : Di Mana Kau?

31 OGOS bakal menjelang. Setiap kali tibanya tarikh keramat ini, layar minda saya akan menayangkan paparan aktiviti yang saya lalui di zaman persekolahan di bandar Mersing pada tahun-tahun 60-an.

  1. Hari Merdeka adalah hari di mana saya dan rakan-rakan sekolah akan berbaris di padang majlis daerah untuk menyanyikan lagu Negaraku, dan lagu Bangsa Johor yang kemudiannya diikuti dengan lagu patriotik seperti Malaysia Berjaya.
  2. Setelah itu, wakil rakyat akan berucap. Sebaik sahaja majlis sambutan itu tamat, kami akan berlari beramai-ramai ke panggung wayang kira-kira setengah kilometer daripada padang majlis daerah.
  3. Pada hari merdeka akan ada tayangan wayang percuma. Biasanya filem Hollywood seperti Tarzan atau filem peperangan seperti Guns of Navarone.
  4. Sebaik sahaja tayangan tamat, kami akan berlari semula ke padang majlis bandaran untuk menyaksikan sukan rakyat. Ada juga lumba basikal dan lumba beca. Di sungai pula akan ada perlumbaan perahu atau bot.
  5. Pada sebelah malam pula saya dan ibubapa akan berjalan dari Kampung Sri Lalang kira-kira satu kilometer dari bandar Mersing untuk menyaksikan pula perarakan kereta berhias.
  6. Kadangkala, ada pula wayang pacak di tengah padang majlis daerah yang menayangkan filem Melayu seperti cerita Ali Baba Bujang Lapok arahan seniman P. Ramlee.
  7. Bagi saya, 31 Ogos adalah tarikh yang punyai erti tersendiri. Radio akan memainkan lagu-lagu patriotik. Televisyen pula menayangkan montaj Tunku Abdul Rahman yang melaung ‘Merdeka! Merdeka! Merdeka!’ di stadium.
  8. Sebagai kanak-kanak, itulah erti kemerdekaan. Ia adalah hari cuti, hari berseronok dan hari di mana banyak sekali Jalur Gemilang dikibarkan. Lurus dan simple sahaja pemahaman saya mengenai apa itu merdeka.
  9. Namun, persepsi yang mudah itu mula berubah apabila Malaysia berdepan dengan konfrantasi dengan Indonesia. Hari-hari, bersama keluarga, saya mendengar berita radio mengenai ancaman negara Indonesia terhadap Malaysia.
  10. Kadangkala abang dapat memutar ke stesyen Radio Kalimantan. Maka laungan perang psikologi Indonesia terhadap Malaysia akan kedengaran. Frasa ‘ganyang Malaysia,’ kerap disebut-sebut juruhebah Indonesia.
  11. Rasa takut dan ngeri mula terasa. Bagaimana jika Indonesia dapat menawan Malaysia? Ayah kata, kita semua akan lari ke hutan. Kita akan berpakaian compang-camping dan hanya makan ubi kayu seperti di zaman Jepun. ‘Teruknya hidup jika kita hilang kemerdekaan,’ begitu detik hati saya.
  12. Apabila tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969 berikutan rasa tidak puashati di antara kaum selepas Pilihanraya Umum ke-3, saya semakin risau. Bagaimana saya hendak hidup dan membesar sekiranya rakyat asyik bergaduh sesama sendiri?
  13. Keadaan ketika itu begitu mencemaskan. Saban hari ada sahaja berita yang mendukacitakan berlaku di sepanjang tempoh itu. Mujur saya tinggal di Mersing, sebuah daerah yang aman dan jauh dari kekecohan di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur.
  14. Keadaan mula kendur apabila para pemimpin politik memainkan peranan untuk meredakan ketegangan ras utama Melayu, Cina dan India. Semua pihak berkuasa tempatan, jabatan dan sekolah disaran untuk menganjurkan majlis beramah mesra di antara ras yang dikenali sebagai Majlis Muhibbah.
  15. Dua noda hitam dalam sejarah negara itu meninggalkan kesan kepada saya akan betapa pentingnya kita menjaga keamanan agar ia akan melestarikan kemerdekaan. Kerana pernah diancam kebimbangan itu, boleh dikatakan bulu roma saya akan merinding apabila melihat Jalur Gemilang berkibar.
  16. Di panggung wayang, saya tidak akan toleh kiri kanan untuk berdiri apabila lagu Negaraku dimainkan. Apa nak malu dengan Negaraku? Bangga lagi, adalah!
  17. Kadangkala, apabila memikirkan itu, saya boleh mengerti mengapa generasi muda pada hari ini tidak dapat menghayati erti kemerdekaan. Bagi mereka, kemerdekaan itu perbarisan yang mereka tonton sambil terbaring di depan TV, pertunjukan bunga api, konsert dan pesta-pestaan. Jalur Gemilang hanyalah bendera yang dikibar ‘di musim kemerdekaan.’
  18. Rasa bangga terhadap negara hanya akan terasa apabila Lee Chong Wei memasuki pertanding akhir Sukan Olimpik. Sukan. Itulah satu-satunya situasi yang akan mencetuskan fenomena rasa bangga kepada negara.
  19. Maaf cakap, lain-lain tidak ada. Kerana apa? Kerana kita tidak punyai apa-apa yang hendak dibanggakan secara bersama-sama.
  20. Generasi ibu bapa saya yang hidup di zaman pemerintahan Jepun dan zaman ancaman komunis lebih punyai rasa sayangkan negara daripada generasi saya. Nyawa mereka di hujung senjata. Kerana itu generasi tua, tidak kira Melayu, Cina dan India amat menghargai kemerdekaan negara.
  21. Kita sanggup bercekau dan hidup penuh dengan prasangka walaupun dah berpuluh tahun hidup bersama. Apakah kita perlu alami kehidupan yang merempat di tanahair sendiri apabila dijajah kuasa besar, baharulah kita sedar betapa tingginya harga sebuah kemerdekaan?
Salahkah Menjadi Penulis Upahan?

Salahkah Menjadi Penulis Upahan?

GHOST WRITER. Penulis upahan. Adakah mereka orang yang sama? Ia. Pada pendapat Kak Pah mereka adalah orang yang sama. Dan tidak ada salahnya menjadi ghost writer dan penulis upahan itu. Dalam bahasa yang mudah, mereka menulis dan menerima bayaran untuk kerja-kerja penulisan bagi pihak orang lain.

Penulis upahan adalah meraka yang dibayar untuk menulis satu buku, rencana atau apa sahaja bentuk penulisan. Foto ~ natmonitor.com
Penulis upahan adalah meraka yang dibayar untuk menulis satu buku, rencana atau apa sahaja bentuk penulisan. Foto ~ natmonitor.com

Ia bukan satu kesalahan. Nama mereka tidak ditulis pada naskah tulisan mereka tetapi diletak nama orang lain pun bukan satu kesalahan, asalkan ada perjanjian yang dipersetujui bersama. Seingat Kak Pah istilah penulis upahan ini mula popular sejak awal 80-an.

Pada masa itu, ramai ahli politik meminta para penulis ini menulis buku, rencana, makalah atau apa sahaja bentuk penulisan yang boleh sampai kepada masyarakat bagi pihak mereka. Biasanya penulisan berkisar mengenai diri orang yang mengupah, mengenai kisah hidup mereka, mengenai aktiviti politik mereka, malah mengenai jasa baik yang mereka lakukan kepada masyarakat.

Penulis upahan juga dikenali sebagai ghost writer -  Foto ~ annyas.com
Penulis upahan juga dikenali sebagai ghost writer – Foto ~ annyas.com

Pendek kata penulis upahan ini, pada waktu itu sangat sinonim dengan dunia politik. Penulis upahan ini lebih ramai muncul apabila tiba musim pilihanraya. Buku politik, kisah hidup, manifesto, calon pilihan, ramalan jumlah kerusi yang dimenangi, kabinet bayangan dan banyak lagi dijadikan bahan penulisan. Namun keadaan kini sudah berubah. Bahan penulisan penulis upahan atau ghost writer kini sudah pelbagai.

Bukan hanya penggiat politik yang memerlukan mereka, malah hampir semua sektor memerlukan seorang penulis untuk membantu menyebarkan maklumat melalui penulisan. Syarikat pengiklanan, syarikat pengeluar produk, jabatan-jabatan tertentu malah orang perseorangan, sangat memerlukan seorang penulis yang baik untuk membantu mereka menghasilkan penulisan yang baik mengenai mereka.

Sharifah Abu Salem menyokong penglibatan dalam industri penulisan dibayar ini.
Sharifah Abu Salem menyokong penglibatan dalam industri penulisan dibayar ini.

Kak Pah menyokong penglibatan mereka dalam industri penulisan yang dibayar ini. Ia merupakan satu lagi ruang menjana pendapatan untuk golongan penulis. Tulislah apa sahaja asalkan ia tidak menyalahi undang-undang dan tidak bertentangan dengan agama. Kak Pah percaya ramai yang memerlukan kemahiran dan kepakaran anda.

Cuma Kak Pah tidak setuju jika para penulis menerima upah untuk menulis sebuah novel, lalu membenarkan orang lain meletakkan nama mereka sebagai penulis novel itu. Bagi Kak Pah, kemampuan menghasilkan karya kreatif adalah satu anugerah besar Dari Yang Maha Esa.

Sanggupkah kita menjual kreativiti dan titik peluh kepada orang yang tidak berhak untuk mendapatkan hak yang Allah sudah anugerahkan kepada kita?

Sharifah Abu Salem (tengah berbaju biru)  bersama para peserta Kursus anjuran syarikatnya

 #misi40kakpah #kursustulisnovel #kursustulisskrip

*Sharifah Abu Salem adalah mantan Editor Kanan di Kumpulan Media Karangkraf. Beliau juga adalah seorang novelis dan penulis skrip drama TV yang berpengalaman.

Berkokok di Kandang Kambing

Berkokok di Kandang Kambing

Masjid dipenuhi jemaah rakyat Malaysia dan juga pekerja asing ~ foto sarawakvoice
Masjid dipenuhi jemaah rakyat Malaysia dan juga pekerja asing ~ foto sarawakvoice

Saya tidaklah lewat sampai ke masjid untuk menunaikan solat Hari Raya Aidil Adha baru-baru ini. Setakat 8.15 pagi, itu dikira awal juga. Namun, apabila saya tiba ke situ, ia sudah pun sesak. Seimbas pandang, saya tahu tidak akan dapat melangkah masuk ke ruang solat di dalam bangunan. Saya mendongak ke langit, langit masih mendung. Ertinya, okey jugalah jika saya mencari tempat duduk di luar masjid yang beratapkan zink.

Sambil melangkah mencari ruang kosong yang sudah dipenuhi oleh para jemaah, tiba-tiba seorang jemaah menggamit lalu berengsot untuk memberikan saya ruang. Alhamdulilah, saya bersalaman dengan jemaah itu seraya berbalas senyuman. ‘Oh, jemaah orang Indonesia,’ kata hati saya.

Baharu sahaja saya duduk selepas solat sunat, saya terasa ada sesuatu yang menyentuh punggung saya. Saya tertoleh dan segera beralih sedikit untuk memberi ruang kepada seorang jemaah dari Bangladesh yang bersujud.

Saya sempat memantau pandangan ke sekeliling. Ruang solat di luar masjid ini dipenuhi dengan jemaah warga Indonesia dan Bangladesh. Hanya sebahagian kecil sahaja para jemaah terdiri dari orang tempatan. Mungkin ramai yang pulang ke kampung. Jadi, merekalah yang memenuhkan masjid. Malah, pada hari-hari biasa untuk solat fardu pun, mereka memenuhi saf hingga sampai lima ke tujuh baris.

Pekerja Bangladesh di Malaysia bersolat Hari Raya ~ foto Astroawani
Pekerja Bangladesh di Malaysia bersolat Hari Raya ~ foto Astroawani

Saya teringat sebelum warga Indonesia dan Bangladesh datang ke negara kita, masjid dan surau boleh dikatakan lengang. Kadangkala hendak sampai ketiga saf pun susah, lebih-lebih lagi untuk solat subuh.

Kehadiran masyarakat Indonesia dan juga Bangladesh kini sudah menjadi kebiasaan. Malah, kita sudah tidak berapa kisah dengan mereka kerana mereka bergaul di dalam kelompok masing-masing. Sebahagian besar daripada mereka menjaga adab sopan. Meskipun ada yang nakal dan tidak beradab, ramai lagi dari kalangan mereka yang kaki masjid. Di masjid pula, mereka disantuni oleh jemaah orang tempatan.

Saya teringat pada seorang warga Bangladesh bernama Shah Alam (benar, namanya Shah Alam) yang bertugas di Kumpulan Karangkraf. Dia hanya tukang sapu. Tetapi apabila masuk waktu solat, dialah yang akan melaungkan azan. Apabila imam lambat tiba, dialah yang terus ke hadapan untuk memimpin solat.

Pekerja asing bertugas di sektor pembangunan ~ foto thestar
Pekerja asing bertugas di sektor pembangunan ~ foto thestar

Warga Indonesia dan Bangladesh ini rata-ratanya buruh kasar ~ bekerja membanting tulang empat kerat. Oleh itu, aktiviti seperti menyusun kerusi, melipat meja atau membasuh pinggan sudah menjadi kebiasaan buat mereka apabila adanya aktiviti di masjid. Tidak boleh tidak, mereka terikut dengan budaya Melayu. Sebaik sahaja bersalaman, ramai yang pandai meletakkan jejari ke dada.

Maklumat Jabatan Imigresen Malaysia mencatat 3.3 juta warga asing yang bekerja secara sah di Malaysia pada tahun 2018. Warga Indonesia adalah pekerja asing paling ramai iaitu sekitar 40 % sementara pekerja Nepal sekitar 25 % dan Bangladesh pula 15 % sementara lain-lain kaum sekitar 20 %. Warga Indonesia dan Bangladesh yang rata-ratanya beragama Islam berjumlah lebih 55 % daripada jumlah itu.

Apa yang menariknya, warga asing Indonesia dan Bangladesh kian diterima oleh masyarakat Melayu kerana mereka saudara seagama. Mereka juga nampaknya boleh bertutur bahasa Melayu dengan baik. Cara berpakaian pekerja asing daripada Indonesia terutamanya sudah saling tak tumpah dengan cara berpakaian masyarakat Melayu.

Jelas sekali, asimilasi mereka dengan budaya tempatan menjadikan mereka tidak kekok dengan cara orang Melayu. Pekerja asing daripada Nepal dan Vietnam juga menampakkan usaha mereka untuk mengenali dengan budaya rakyat Malaysia. Mungkin kerana perbezaan agama, pekerja Nepal dan Vietnam nampak kurang sedikit kemesraannya.

Daripada segi statistik keseluruhan, 3.3 juta orang adalah angka yang besar. Namun jika dilihat dari sudut sosiologi keinginan mereka untuk asimilasi dengan budaya tempatan menampakkan yang mereka sudah suka tinggal lebih lama di negara ini. Biasanya golongan yang tidak suka dengan budaya tempatan akan buat-buat tak tahu dan buat hal-hal sendiri hingga mengganggu sensitiviti orang tempatan itu sendiri.

Awang hitam hanya datang untuk cari makan ~ foto ppim
Awang hitam hanya datang untuk cari makan ~ foto ppim

Malah, seperti sebilangan warga Afrika misalnya, mereka tidak berasa hormat pun dengan orang tempatan kerana mereka hanya datang ke mari untuk cari makan dan tidak lebih daripada itu.

Orang yang ada budaya dan bahasa akan mengembik bila masuk ke kandang kambing. Mereka akan cepat belajar budaya tempatan meskipun hanya beberapa tahun datang ke negara ini. Mereka yang tiada budaya dan tak reti bahasa, akan berkokok tidak henti-henti walaupun telurnya sebiji.

Perang Dingin Perpustakaan dan Penerbit di Amerika

Perang Dingin Perpustakaan dan Penerbit di Amerika

2 Ogos 19, West, edition.cnn.com

Baru-baru ini, syarikat Macmillan Publishing telah menerima kecaman daripada pihak perpustakaan berikutan dengan keputusannya mengenai jualan e-buku baharu.

Bangunan perpustakaan Negara Amerika Syarikat ~ foto wikipedia
Bangunan perpustakaan Negara Amerika Syarikat ~ foto wikipedia

Syarikat itu memutuskan, apabila sesebuah buku baharu diterbitkan, pihak perpustakaan hanya boleh membeli hanya SATU naskhah e-buku setelah dua bulan ia berada di pasaran.

Tindakan Macmillan adalah gambaran yang terjadi kepada syarikat-syarikat penerbitan yang mencari jalan untuk bernafas berikutan dengan penguasaan pasaran buku-buku digital oleh Amazon. Pihak penerbit melihat perpustakaan adalah di antara sebabnya.

Namun, pihak perpustakaan pula menafikan. Public Library Association, sebuah persatuan perpustakaan berkata, bahan-bahan elektronik yang diedarkan oleh perpustakaan meningkat pada kadar yang tinggi. Pada 2017 sahaja, perpustakaan awam meminjamkan 391 juta buku kepada ahli-ahlinya.

Ibupejabat Syarikat Macmillan di New York, foto ~ nypost
Ibupejabat Syarikat Macmillan di New York, foto ~ nypost

Namun, lebih 60 % daripada mereka akan membeli buku di pasaran setelah mereka membacanya di perpustakaan. Ini bermakna, perpustakaan juga dijadikan tempat pameran dan rujukan oleh para pembaca sebelum membeli sesebuah buku baharu.

Lagi pula, perpustakaan memberi ruang pameran percuma pada 16,000 lokasinya di seluruh Amerika. Sepatutnya Macmillan mencari jalan menang-menang dengan pihak perpustakaan dan bukannya menyalahkan perpustakaan yang telah berjaya meningkatkan jumlah pembaca.

Pihak perpustakaan membeli e-buku dengan harga pasaran. Dan mereka membeli banyak e-buku. Namun mereka bersedia untuk berunding kerana memahami kekangan yang dihadapi oleh pihak penerbit.

E-buku kian popular kerana boleh diakses melalui komputer ~ foto novelthatsells
E-buku kian popular kerana boleh diakses melalui komputer ~ foto novelthatsells

Dalam pada itu, pihak perpustakaan mempunyai lain cara menangani buku-buku bercetak. Setelah pihak perpustakaan membelinya, mereka boleh pinjamkan, menualnya, dermakan ataupun meminjamkannya kepada perpustakaan yang lain.

Tetapi untuk e-buku, keadaannya berbeza walaupun bagi pembaca kedua-duanya adalah serupa, cuma berbeza platform. Sesebuah perpustakaan tidak boleh meminjamkan e-buku. Dan ia tidak boleh pula dijual.

Meskipun e-buku boleh ditatap oleh lebih ramai pembaca pada satu-satu masa, atas dasar persefahaman bahawa syarikat penerbitan adalah sebuah entiti perniagaan, pihak perpustakaan juga mengawal jumlah pembaca pada satu-satu masa. 

Pihak perpustakaan berasakan yang penerbit berlaku tidak adil apabila membuat peraturan menjual jumlah buku yang samarata kepada semua perpustakaan. Perpustakaan Awam Los Angeles yang mempunyai 18 juta ahli berbeza dengan perpustakaan di Vermont yang hanya mempunyai 1,200 ahli. Seharusnya perpustakaan besar perlu mendapat peruntukan untuk mendapatkan lebih banyak e-buku.

Perpustakaan di Amerika masih ramai pengunjung ~ foto theatlantic
Perpustakaan di Amerika masih ramai pengunjung ~ foto theatlantic

Selain Macmillan, lima lagi penerbit buku turut mengetatkan penjualan e-buku kepada pihak perpustakaan awam. Ini bermakna, suasana dingin penerbit dan perpustakaan akan berpanjangan jika tiada jalan penyelesaian ditemui.

Di Malaysia belum ada lagi kedengaran berlaku tindakan penerbit menghadkan perpustakaan membeli e-buku. Barangkali kerana tidak ramai yang meminjamnya dari perpustakaan. Barangkali juga tidak ramai yang meminjam buku cetak di perpustakaan kerana rakyat Malaysia sememangnya malas membaca!

https://edition.cnn.com/2019/08/02/opinions/libraries-fight-publishers-over-e-books-west/index.html

Pesta Buku Nepal Dibatal Kerana Tak Cukup Buku Untuk Dipamer

Pesta Buku Nepal Dibatal Kerana Tak Cukup Buku Untuk Dipamer

 Logo Pesta Buku Nepal
Logo Pesta Buku Nepal

Pesta Buku Antarabangsa Nepal 2019 yang akan berlangsung mulai 14 hingga 20 Ogos 2019 bertempat di Bhrikuti Mandap Exhibition Hall, Pradharshani Marga, Kathmandu, Nepal terpaksa dibatalkan.

Pembatalan itu berikutan daripada bantahan terhadap levi 10 % yang dikenakan ke atas buku-buku import yang bertujuan untuk melindungi industri penerbitan tempatan dan menggalakkan membaca. Berikutan dengan levi itu, kebanyakan syarikat penerbitan dan juga pengedar-pengedar buku tidak mampu untuk mendapatkan buku-buku import untuk dipamerkan di pesta buku itu.

Menurut Ajit Baral, pengasas bersama syarikat FinePrint, pihak kerajaan telah mencampuri hak pembaca dengan mengenakan cukai kastam terhadap buku. “Oleh kerana cukai 10 peratus itu, harga buku akan meningkat. Inilah yang menyebabkan pihak penerbit tidak dapat mengimport buku,” kata Baral.

Ajit Baral, pengasas syarikat FinePrint ~ foto Inct
Ajit Baral, pengasas syarikat FinePrint ~ foto Inct

Laman web Nepal International Book Fair memaparkan hanya tiga penerbit yang akan menyertai pesta buku itu. Kebanyakan penerbit tidak mahu menyertai pesta buku pada kali ini dan penganjur pesta,  Global Exposition and Management, terpaksa membatalkan pesta buku untuk tahun ini.

Tahun ini merupakan ulang tahun ke-23 pesta buku ini. Dianggarkan sekitar 50,000 pelawat dan 65 peserta pameran akan berkunjung ke pesta buku ini. Setelah bertahun-tahun, pesta buku telah berkembang menjadi titik pertemuan penting bagi penerbit buku, penulis, pengedar, pengarang, penterjemah dan semua peminat buku. Ianya merupakan acara yang penting dalam budaya sastera di Nepal.

Selain daripada pameran dan jualan buku, pesta buku ini juga merupakan manifestasi kreativiti, budaya membaca, ekspresi idea dan tempat berkongsi pengalaman dan kepakaran di kalangan peserta. Pameran ini akan menjadi peluang unik bagi peserta pameran dan pelawat untuk meneroka, menilai dan memahami permintaan semasa, keutamaan dan trend pasaran dalam sektor penerbitan.

Pameran Pesta Buku Nepal tahun lalu ~ foto myrepublica
Pameran Pesta Buku Nepal tahun lalu ~ foto myrepublica

Di antara objektif untuk pameran buku Nepal tahun ini adalah menyemai tabiat membaca di kalangan orang-orang dari semua peringkat umur, meningkatkan populariti penerbitan bercetak, menggambarkan kemajuan teknologi dalam sektor penerbitan, membantu penulis dan penerbit baru, empromosikan sektor penerbitan Nepal serta mewujudkan pangkalan perdagangan untuk penerbit antarabangsa.

Sayangnya, objektif itu tidak dapat dicapai kerana pembatalan pesta buku itu.

Sumber berita:
https://myrepublica.nagariknetwork.com/mycity/news/custom-duty-on-books-causes-cancellation-of-book-fair

Iklan

Petikan Terpilih

BELI MAAFCAKAP 4 – KLIK GAMBAR!

LAYAR SOROT

BELI DI BOOKDEPOSITORY

LANGGAN LAYARMINDA

[mc4wp_form id=”572″]