Logo Pesta Buku Nepal
Logo Pesta Buku Nepal

Pesta Buku Antarabangsa Nepal 2019 yang akan berlangsung mulai 14 hingga 20 Ogos 2019 bertempat di Bhrikuti Mandap Exhibition Hall, Pradharshani Marga, Kathmandu, Nepal terpaksa dibatalkan.

Pembatalan itu berikutan daripada bantahan terhadap levi 10 % yang dikenakan ke atas buku-buku import yang bertujuan untuk melindungi industri penerbitan tempatan dan menggalakkan membaca. Berikutan dengan levi itu, kebanyakan syarikat penerbitan dan juga pengedar-pengedar buku tidak mampu untuk mendapatkan buku-buku import untuk dipamerkan di pesta buku itu.

Menurut Ajit Baral, pengasas bersama syarikat FinePrint, pihak kerajaan telah mencampuri hak pembaca dengan mengenakan cukai kastam terhadap buku. “Oleh kerana cukai 10 peratus itu, harga buku akan meningkat. Inilah yang menyebabkan pihak penerbit tidak dapat mengimport buku,” kata Baral.

Ajit Baral, pengasas syarikat FinePrint ~ foto Inct
Ajit Baral, pengasas syarikat FinePrint ~ foto Inct

Laman web Nepal International Book Fair memaparkan hanya tiga penerbit yang akan menyertai pesta buku itu. Kebanyakan penerbit tidak mahu menyertai pesta buku pada kali ini dan penganjur pesta,  Global Exposition and Management, terpaksa membatalkan pesta buku untuk tahun ini.

Tahun ini merupakan ulang tahun ke-23 pesta buku ini. Dianggarkan sekitar 50,000 pelawat dan 65 peserta pameran akan berkunjung ke pesta buku ini. Setelah bertahun-tahun, pesta buku telah berkembang menjadi titik pertemuan penting bagi penerbit buku, penulis, pengedar, pengarang, penterjemah dan semua peminat buku. Ianya merupakan acara yang penting dalam budaya sastera di Nepal.

Selain daripada pameran dan jualan buku, pesta buku ini juga merupakan manifestasi kreativiti, budaya membaca, ekspresi idea dan tempat berkongsi pengalaman dan kepakaran di kalangan peserta. Pameran ini akan menjadi peluang unik bagi peserta pameran dan pelawat untuk meneroka, menilai dan memahami permintaan semasa, keutamaan dan trend pasaran dalam sektor penerbitan.

Pameran Pesta Buku Nepal tahun lalu ~ foto myrepublica
Pameran Pesta Buku Nepal tahun lalu ~ foto myrepublica

Di antara objektif untuk pameran buku Nepal tahun ini adalah menyemai tabiat membaca di kalangan orang-orang dari semua peringkat umur, meningkatkan populariti penerbitan bercetak, menggambarkan kemajuan teknologi dalam sektor penerbitan, membantu penulis dan penerbit baru, empromosikan sektor penerbitan Nepal serta mewujudkan pangkalan perdagangan untuk penerbit antarabangsa.

Sayangnya, objektif itu tidak dapat dicapai kerana pembatalan pesta buku itu.

Sumber berita:
https://myrepublica.nagariknetwork.com/mycity/news/custom-duty-on-books-causes-cancellation-of-book-fair