Buku Melayu di Pesta Buku Antarabangsa Beijing
PUTRAJAYA – Malaysia menjadikan China sebagai ekosistem dinamik terhadap industri perbukuan bagi kedua-dua negara. Saat membanggakan apabila ada buku berbahasa Melayu yang dipamerkan di Pesta Buku Beijing!

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, yang diberikan penghormatan untuk menyampaikan ucaptama sempena Forum Penerbitan Antarabangsa Beijing 2019, berkata Malaysia sentiasa memandang China sebagai destinasi terbaik bagi sektor ekonomi dan budaya.
“Usaha ini termasuk aspek penterjemahan dan pemasaran, perkara ini amat penting bagi memastikan karya-karya besar Malaysia dapat dihebahkan ke serata dunia.
Sehubungan itu, katanya, hubungan kedua-dua negara akan dimanfaatkan sebaiknya untuk meneroka kerjasama lebih luas demi mewujudkan ekosistem dinamik terhadap industri buku Malaysia-China.

“Malaysia kini giat meningkatkan minat membaca dalam kalangan rakyat dan merancakkan pertumbuhan industri buku negara.
“Kepentingan industri buku negara bukan sekadar soal perniagaan semata-mata, namun ia turut menyentuh hal berkaitan silang budaya dan pengukuhan ilmu,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Kelmarin menjadi detik bersejarah buat lapangan sastera negara apabila 10 karya penting Sasterawan Negara telah diterjemahkan dalam bahasa Mandarin dan bakal dipasarkan di seluruh China.
Pelancaran 10 buku antaranya berbahasa Melayu ini telah berlangsung semasa Beijing International Book Fair 2019.Usaha penting ini telah dijayakan melalui kerjasama erat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Guangxi Normal University Press.

10 judul yang terlibat adalah seperti berikut:
1. Srengenge – Shahnon Ahmad
2. Warkah Eropah – A. Samad Said
3. Saudagar Besar di KL – Keris Mas
4. Tivi – Shahnon Ahmad
5. Naratif Ogonshoto – Anwar Ridhwan
6. Salasilah – Zurinah Hassan
7. Postponing Truth and Other Poems – Baha Zain
8. Rimba Harapan – Keris Mas
9. Juara – S. Othman Kelantan
10. Hari-hari Terakhir Seorang Seniman – Anwar Ridhwan
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menaruh kepercayaan penuh terhadap DBP untuk terus meneroka peluang kerjasama seperti ini bagi memastikan karya-karya penting Sasterawan Negara dapat terus dimartabatkan.
Dalam pertemuan Dr. Maszlee dengan Vice Minister, Publicity Department China, Jiang Jianguo, Malaysia telah menyatakan hasrat untuk menjadi negara tamu Beijing International Book Fair bagi tahun 2021, selaras dengan pengiktirafan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia pada tahun 2020.
Jom ke Pesta Buku Beijing!
Pesta Buku Antarabangsa Beijing (BIBF) ke-26 bermula pada 21 – 25 Ogos 2019 dan berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa China (New Venue, Shunyi District). Ia merupakan acara industri penerbitan terbesar di pasaran Asia.

Ia mempersembahkan perdagangan hak cipta global dan karnival membaca untuk industri penerbitan antarabangsa dan pembaca seluruh dunia. Lebih 200,000 pelawat yang terdiri daripada ahli-ahli perniagaan dan orang ramai datang untuk melihat buku dari 56 negara yang berbeza.
BIBF 2019 ditaja oleh Pentadbiran Akhbar dan Penerbitan Kebangsaan, Kementerian Sains dan Teknologi, Kerajaan Rakyat Perbandaran Beijing, Persatuan Penerbit China dan Persatuan Penulis China dan dianjurkan oleh China National Publications Import & Export (Group) Corporation.

2019 menyaksikan ulang tahun ke 70 penubuhan Republik Rakyat China. Ia juga menandakan ulang tahun ke 70 penubuhan hubungan diplomatik antara Romania dan Republik Rakyat China.
Romania mengambil bahagian dalam Pesta Buku Antarabangsa Beijing 2019 sebagai Negara Kehormat yang akan diberi ruang menyampaikan puisi, kesusasteraan dan budaya yang menarik untuk mempromosikan komunikasi dan kerjasama industri penerbitan di pesta buku itu.
Di antara program yang akan diadakan pada pesta buku ini termasuklah Forum Penerbitan Antarabangsa Beijing 2019. Forum ini diadakan dengan tema pusat “Kualiti dan Penyebaran Kandungan.” Forum ini terbahagi kepada tiga segmen iaitu upacara pembukaan dengan ucapan, dialog muka depan Ketua Pegawai Eksekutif dan ucap utama.

Acara ini akan memberi tumpuan kepada pengalaman pengguna baru dan bercakap tentang bagaimana memastikan kualiti kandungan dan penyebaran di bawah keadaan global yang baru.
Selain itu, BIBF dibahagikan kepada beberapa kawasan iaitu bahagian kanak-kanak dan komik, bidang industri, serta buku dan akhbar. Satu lagi fokus adalah bahagian pengawalan hakcipta. Di bahagian ini, para pengunjung boleh mengetahui mengenai tren mutakhir dan fenomena di bawah ruanglingkup tema buku-buku tempatan dan antarabangsa.
Pasaran China merupakan pasaran yang terbesar dan yang paling berkembang pesat di dunia. Dengan jumlah penduduknya 2 bilion, pendidikan merupakan prioriti utama negara itu. Setiap kanak-kanak diwajibkan belajar bahasa Inggeris apabila memasuki alam sekolah. Ini menjadikan bahasa itu bahasa yang penting di negara itu.

Video pesta buku Beijing yang lalu:
https://v.youku.com/v_show/id_XMzEzNzgxOTk5Mg==.html?spm=a2h3j.8428770.3416059.1&refer=seo_operation.liuxiao.liux_00003311_3000_QfMVj2_19042900
Mengapa Tiada Maaf Bagimu?
MAAFCAKAP: 21.8.19
Hujung minggu lalu, suasana di kawasan perumahan saya riuh rendah dengan kehadiran ramai kanak-kanak. Maklumlah cuti sekolah. Mereka semua adalah anak-anak yang mengikut ibu bapa mereka ke rumah jiran saya. Biasalah dengan kanak-kanak, mereka bermain tidak tentu masa. Risau juga bila terdengar bunyi hon kereta yang melalui jalan di depan rumah saya. Bimbang akan keselamatan budak-budak itu.
Sambil duduk mengunyah keropok, saya perhati kanak-kanak yang sedang bermain. Adatlah kanak-kanak, dalam bermain, bergurau senda, berkejar-kejaran dan bertolak-tolak, pasti akan terjadi pertengkaran seandainya ada yang tidak puas hati dengan permainan.
Tiba-tiba terdengar raungan. Salah seorang kanak-kanak itu tidak puas hati kerana kereta mainannya dilenyek tayar basikal abangnya. Sambil berjalan menggenyeh matanya yang berair, terdengarlah kata-kata… ‘Kabar mak…” Maknanya si adik mahu mengadu kesalahan abangnya kepada ibu mereka. Si abang berlari-lari datang untuk memujuk, tetapi si adik meronta, enggan disentuh. Lantas dia berkata, ‘Tak nak kawan!’
Bila melihat gelagat mereka, lantas saya teringat perangai saya dengan abang saya lebih kurang begitu juga. Bila marahkan abang akibat bergaduh, perasaan saya memang membenci terhadap abang saya. Pada waktu itu, saya memang tidak mahu berkawan lagi dengan abang kerana dosanya kepada saya dirasakan begitu besar. Saya tak akan ampunkan dosa dia!
Tapi sebentar sahaja. Tidak sampai setengah jam, kami akan bermain semula. Abanglah yang selalu datang memujuk dengan cara menggeletek. Bila ketawa, hilang langsung perasaan benci dan perasaan tidak mahu kawan lagi. Begitulah kita di zaman kanak-kanak. Berkawan sebentar, bergaduh pun sekejap. Bila suka, kita tidak berasa cacat celanya kawan kita. Tapi bila bermasam muka, yang tinggal, cuma rasa dendam.
Bila mengimbas kembali suasana itu, saya terfikir ada di antara kita pada hari ini yang terbawa-bawa perangai di zaman kanak-kanak itu hingga ke hari ini. Tanpa kita sedari, perangai kebudak-budakan itu masih menjadi sikap kita dalam pergaulan. Tapi cuma separuh jalan sahaja iaitu bila berkawan begitu akrab, bila bergaduh terus tidak pandai berbaik semula.
Kita mudah bergaul dengan sesiapa sahaja. Kita juga boleh mudah mempercayai mereka yang baharu kita kenali. Kadangkalanya kita lebih akrab dengan kawan-kawan yang baharu, daripada kawan-kawan lama kita. Malah, berlaku situasi bilamana kita boleh abaikan kawan-kawan lama kita kerana kehadiran kawan yang baharu.
Namun, apabila terjadi sesuatu perselisihan pendapat lalu terjadinya pertengkaran, kita boleh tutup langsung pintu rundingan. Kita akan kata “tiada maaf bagimu!”. Kita tidak boleh berselisih apatah lagi bertembung pandangan dengannya. Kalau pun terpaksa bersalam bila terserempak, kita bersalam jugalah. Jangan tidak, kata orang. Rupa-rupanya, kita takut juga terputus silaturrahim. Bimbang akan dosa yang menimpa kelak.
Lihatlah ekstrim dalam dua situasi ini. Ketika baik, kawan kita itulah manusia sempurna. Ketika bergaduh, dia langsung tidak berguna dan harus dinyahkan daripada kamus kehidupan. Mengapa kita terlupa pada pesan orang tua-tua, buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali-kali?
Maaf cakap, kita ini selalu sangat terlupa pada kata-kata hikmat itu. Lihatlah ruang lingkup pergaulan kita. Dengan adik beradik, biasa terjadi perbalahan hingga tidak bertegur sapa. Padahal masing-masing sepusat sepusing. Dengan kariah surau pun biasa kita nampak persahabatan dan kerenggangan yang begitu. Ia juga biasa terjadi dengan rakan sekerja.
Dan yang paling kerap dan menyerlah ialah pandangan dan penilaian kita terhadap tokoh-tokoh pemimpin di sekeliling kita. Pada mulanya kita suka dan sokong mereka tanpa soal. Apabila pendirian mereka sudah berubah dan tidak seiring dengan citarasa kita, kita membenci mereka.
Malah kadangkala bukan setakat membenci tetapi kita tambah lagi dengan mengutuk, memfitnah dan memaki mereka, seolah-olah sebelum ini kita tidak pernah sayangkan mereka sebagai pemimpin kita.
Mengapa kita bertindak begini? Mengapa kita tidak mahu segera move on seperti kita di zaman kanak-kanak iaitu mudah bergaduh dan cepat melupa dan memaafkan? Memaafkan itu ubat. Tiada maaf bagimu? Tidak memaafkan itulah racun!

“Cute Twins Baby Fighting Over – Funny Cute Video” oleh Fun and Fails 18 September 2018 dengan 14 juta tontonan setakat Ogos 2019.
7 Tips Penulisan Nora Roberts
NORA Roberts menulis novel romantik. Namun sebagai JD Robb, beliau menulis novel thriller romantis. Nora Roberts amat prolifik. Beliau boleh menyudahkan sebuah novel dalam masa 45 hari. Sudah sedekad beliau menulis sepantas itu. Novel-novelnya kerap berada di carta novel-novel popular. Tetapi, bagaimana beliau menulis? Berikut adalah 7 tips penulisan Nora Roberts:

1.Tulislah sebaik mungkin. Jangan risaukan esok. Jangan juga berangan-angan hendak sudahkan sesebuah novel lima atau sepuluh tahun akan datang. Yang penting, sekarang!. Pastikan buku yang sedang anda tulis sekarang adalah novel yang terbaik.
2.Bina asas menulis secara konsisten. Sebuah cerita yang baik tidak akan diingati selepas lima tahun. Jadi, berikan cerita yang baik secara berkala agar pembaca anda akan menjadi follower anda.

3.Menulis adalah kerjaya. Jadikan ia kerja. Andainya anda seorang doktor atau seorang tukang, anda tentu sekali tidak buat kerja-kerja lain. Oleh itu, jadikan kerjaya menulis ini sepenting mana-mana kerjaya lain.
4.Kita bukan cari masa, kita peruntukan masa. Jagalah disiplin dan jadikan menulis suatu keutamaan. Jika kita sayangkan sesuatu, tentu kita peruntukan masa untuk apa yang kita suka.

5.Jangan menunggu ilham. Tugas anda adalah duduk dan menulis. Tak ada masa untuk kata tak ada idea. Yang ada hanyalah menulis.
6.Tulislah apa yang anda suka baca. Jangan bimbangkan jualan. Sebaliknya tulislah sebuah buku yang anda suka baca. Jika kita suka, kita akan curahkan segala perasaan ke dalam tulisan kita.

7.Nasihat paling penting ~ BICHOK: Butt In Chair, Hands On Keyboard. (Punggung di kerusi, tangan di komputer). Dalam lain perkataan, duduk dan menulislah. Menulislah kerana ia sebuah tugas, bukannya hobi. Menulislah setiap hari. Jangan berhenti.
Kami harap 7 tips penulisan Nora Roberts ini dapat membantu anda menginspirasi diri untuk menghasilkan karya anda sendiri!
Artikel asal:
Jalur Gemilangku yang Pucat
JALUR GEMILANGKU YANG PUCAT
Petang Ahad lalu, saya menolong isteri untuk mengemas. Ada peralatan yang boleh disimpan semula di setor.
Sedang ingin menyisip kain saperah ke dalam laci, saya terpandang kain berjalur putih merah yang terperosok. Jalur Gemilang! Saya teringat yang bulan ini sudah bulan Ogos. Dalam masa dua minggu lagi 31 Ogos bakal menjelang. Hari Merdeka! Wah! Seronoknya rasa hati kerana Jalur Gemilang ini akan diseterika dan diikat ke sebatang kayu. Kemudian ia akan dipacak di hadapan rumah!
Bendera kebanggaan ini segera dibuka. Hati ini tersentap sedikit kerana bendera ini nampaknya sudah pucat dan kusam. ‘Patut diganti,’ kata hati ini. Saya merenung Jalur Gemilang. Jejari saya berlari mengikut kelok bintang. Fikiran melayang dan terimbau ke zaman sekolah. Tatkala matapelajaran lukisan, saya akan punyai masalah melakar bintang pecah 14. Biasanya bentuknya akan senget benget.
Dalam matapelajaran sivik, saya mengenali makna bendera ini. Saya sudah hafal, Jalur Gemilang mengandungi 14 jalur merah dan putih yang sama lebar. Jalur paling atas berwarna merah dan yang paling bawah berwarna putih. Ia adalah tanda keanggotaan yang sama dalam persekutuan 13 buah negeri dan sebuah kerajaan persekutuan.
Petak berwarna biru tua di atas sebelah kiri membawa ke bawah hingga atas jalur merah yang kelima itu maknanya perpaduan rakyat Malaysia. Anak bulan ialah tanda Islam sebagai agama rasmi. Bintang pecah 14 itu juga adalah tanda perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan. Warna kuning pada anak bulan dan bintang itu ialah warna Diraja bagi Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja.
Tatkala saya menjadi pengawas sekolah, inilah bendera yang akan saya puncakkan pada hari perhimpunan. Masih segar lagi dalam ingatan tatkala kali pertama saya menaikkan bendera ini secara perlahan-lahan ketika semua pelajar menyanyikan lagu Negaraku. Oleh kerana tidak biasa, bendera itu sampai ke puncak tiang walaupun lagu belum selesai dinyanyikan!
Pada perhimpunan minggu berikutnya, kawan saya lagi parah. Oleh kerana berkhayal, walaupun Negaraku sudah hampir tamat, bendera masih setengah tiang. Maka kelam-kabutlah dia menaikkannya agar bendera berada dipuncak sebaik sahaja baris akhir ‘Raja kita selamat bertakhta,’ habis dinyanyikan.
Setiap kali dalam perkhemahan pengakap, Jalur Gemilang akan dikibar. Semua pengakap akan memberi tabik hormat tatkala bendera dinaikkan dan kami sama-sama bernyanyi Negaraku. Saya pernah kena ketuk ketampi oleh Ketua Patrol semata-mata kerana hujung bendera menyentuh tanah.
Sesudah berusia sebegini, saya tidak jadi menutup TV jika lagu Negaraku dimainkan. Hendak tatap dahulu imej bendera yang berkibar. Biar bulu roma meremang dan semangat akan terasa apabila menghela nafas yang dalam. Setiap melewati Dataran Merdeka, saya akan menjeling dan melangut menatap Jalur Gemilang yang berkibar megah.
Saya mengeluh lalu merenung Jalur Gemilang yang kini terbentang di depan mata. Entah mengapa, pada petang ini saya tidak berasa apa-apa apabila menatapnya. Malah, tiba-tiba saya berasa begitu sayu kerana tercari-cari perasaan bangga hingga naik bulu roma yang tak kunjung tiba.
Mengapa? Mengapa perasaan hambar ini kurasa? Saya merenung bendera yang terbentang dan cuba mengingati maknanya. Makna jalur pada bendera menggambarkan satu laluan yang lurus, hala tuju yang sama dan arah yang sama yang dianuti oleh rakyat negara ini. Pada realitinya, ia tidak begitu. Kini kita tidak satu hati. Sungguh bercelaru dengan intrig demi intrig di dalam dunia politiknya. Tidak kiralah, samada pihak BN atau PH sama sahaja. Jalur-jalur politiknya kian terpisah.
Gemilang pula bermaksud bercahaya, terang benderang dan cemerlang. Dengan kadar ringgit yang kian merudum, buruk urus ekonomi, ketidaktelusan keputusan, krisis kepercayaan, pengurusan pentadbiran yang nampaknya makin berat sebelah, penguatkuasaan yang terganggu, kelemahan membendung persepsi dan kepimpinan yang lemah, rakyat semakin jauh dapat mengharungi kehidupan dengan penuh gigih, taat dan bersatu padu bagi menjaga nama dan menaikkan imej negara.
Warna Merah pada bendera itu melambangkan kesanggupan, keberanian, kegagahan dan kegigihan rakyat. Sedangkan hakikatnya kita tidak nampak keberanian kepimpinan menerajui negara dalam mengharugi pancaroba ketidaktentuan di dunia . Warna Biru yang melambangkan perpaduan hidup yang rukun dan damai kini tidak menjadi kerana kita kian terganggu dengan pelbagai masalah yang semakin sehari semakin merunsingkan. Sinar di hujung terowong semakin kelam. Yang tinggal hanyalah secubit perasaan setia kepada Raja dan negara yang dilambangkan dengan warna kuning.
Saya melipat kembali Jalur Gemilang yang pudar. Menangguhkan hasrat untuk mensterikanya. Mungkin saya akan membeli bendera yang baharu. Mudah-mudahan, warna putih, merah, biru dan kuning yang terang akan mengembalikan sedikit semangat saya. Begitu pun, saya tidak mahu menjerit dan melaung ‘Merdeka! Merdeka! Merdeka!’ sambil tangan tergenggam dan terjulang ke udara. Itu semangat buat-buat namanya.
Lagipun, saya mula berasa tidak merdeka!


