Edar Buku di China Langkah Bijak
SITI HALIZA YUSOP/BH ONLINE/17 SEP
KUALA LUMPUR: Usaha pengedaran buku dan karya Malaysia ke pasaran China disifatkan langkah bijak berdasarkan senario perkembangan pesat industri buku di negara itu sejak lebih empat dekad lalu.

Gambaran pasaran buku yang memberangsangkan di negara itu antara boleh dilihat daripada laporan Books and Periodicals Distribution Association China.
Menurut laporan itu, republik berkenaan menutup tirai 2018 dengan 225,000 kedai buku dan cawangannya, sekali gus mencatatkan peningkatan 4.3 peratus berbanding 2017.
Usaha menembusi pasaran buku di negara yang mempunyai penduduk teramai di dunia itu tentunya satu idea sangat menguntungkan.
Namun strategi pemasaran bagaimanakah yang benar-benar boleh menjayakan hasrat itu supaya usaha memasarkan karya ke China?

Pengarah Urusan Kumpulan Sasbadi Holding Berhad (Sasbadi), Law Khing Hui, mengakui bukan mudah untuk menarik perhatian pembaca China untuk membaca karya pengarang tanah air.
Sebagai penerbit kata Khing Hui, antara keutamaan perlu diberi perhatian ialah membuat kajian terhadap sasaran pasaran yang perlu dilakukan berpandukan data dan bukannya persepsi semata-mata.
“Penggunaan dan analisis terhadap data ini penting kerana kepelbagaian genre yang ada dalam pasaran menyebabkan kita tidak boleh menggunakan data yang sama.
Produk yang berbeza sifatnya, memerlukan sifat dan strategi berlainan, justeru ciri komersialnya juga tidak sama.
China memiliki data terperinci mengenai jualan bukunya. Maklumat dikumpul bukan hanya membabitkan genre terlaris dan penerbit saja malah mengandungi maklumat mengikut kumpulan umur pembaca,” katanya kepada BH, di sini.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Penerbitan Antarabangsa Beijing 2019 berkata, Malaysia berhasrat meneroka kerjasama untuk memperkenalkan karya hebat sasterawan negara di China.
Khing Hui berkata, naskhah yang membawa unsur tempatan boleh menjadi elemen pelaris unik tetapi faktor lain termasuk ilustrasi menarik dan harga jualan buku di sana perlu diambil kira.
“Penerbit perlu membuat rujukan apa yang disukai pembaca daripada negara itu dan kemudian berbalik kepada keistimewaan kita dengan mengetengahkan unsur tempatan serta menjadikannya sebagai faktor pelaris,” katanya.
Sasbadi baru-baru ini berjaya memeterai memorandum perjanjian persefahaman (MOU) dengan penerbit di China, iaitu People’s Education Press (PEP) di bawah Kementerian Pendidikan China bagi tujuan kerjasama dua hala.
Menurut Khing Hui, perkembangan pesat teknologi pada abad ke-21 menyebabkan kerjasama dengan penerbit lain menjadi keperluan dan bukan sekadar strategi untuk memahami pasaran.

Ini kerana katanya, dengan kecanggihan teknologi, masa diambil bagi membangunkan sesuatu produk semakin singkat, sekali gus menyebabkan jangka hayatnya dalam pasaran semakin pendek.
“Dalam hal penyediaan bahan bagi pelajar pendidikan khas misalnya, tanpa kerjasama Sasbadi terpaksa membangunkan bahan itu dengan sendiri.
“Proses ini memakan masa, malah kami perlu menubuhkan pasukan pakar dan membuat kajian berkali-kali.
“Bagaimanapun melalui kerjasama penerbit luar, semua proses ini tidak perlu dilakukan dari awal, sekali gus menjimatkan lebih banyak masa dan kos,” katanya.
Jom baca mengenai pengedaran buku dan karya di China di pautan asal!
https://www.bharian.com.my/rencana/sastera/2019/09/607718/tembusi-pasaran-buku-china-langkah-bijak
Mencari Jalan Meminimakan Impak
MAAFCAKAP: 18.9.19
Tiba-tiba jerebu datang lagi. Rutin kehidupan seharian kita terganggu. Pagi tampak suram seperti hendak hujan tetapi udara di sekeliling terasa membahang. Malah kesihatan kita turut terjejas. Yang alah dengan jerebu terpaksa memakai topeng. Yang tidak alah pun terpaksa meminum lebih banyak air masak kerana secara tiba-tiba, tekak berasa kering.
Setelah lebih seminggu jerebu melanda, semakin ramai yang ke klinik untuk mendapat rawatan. Ada sekolah yang terpaksa ditutup. Meskipun terdapat ramalan bahawa jerebu akan berakhir dua minggu lagi, siapa yang dapat menjamin yang langit akan membiru, mentari menampakkan wajah dan udara menjadi nyaman kembali?
Sungguh. Akhir-akhir ini hidup kita berdepan dengan situasi yang tiada kepastian. Samada bencana alam berupa kebakaran, kemarau panjang dan ribut taufan; kebarangkalian kenaikan harga minyak, ancaman keganasan di Arab Saudi yang boleh menjadi perang akibat campur tangan Amerika, perang perdagangan Amerika-China atau ketidakpastian kesan Brexit kepada Eropah ~ kesemua ketidakpastian ini bakal memberi kesan kerisauan kepada kita. Dunia tanpa sempadan telah membawa masalah di hujung dunia menjadi masalah kita!
Kita sendiri pun berada dalam keadaan ketidakpastian. Harga barang naik tanpa notis. Jika dahulu satu negara boleh bising dengan kenaikan harga sebuku roti ataupun segelas teh tarik, kini harga air suam naik 10 sen segelas pun sudah bukan jadi bualan. Di arena politik, masing-masing masih bercekau meskipun sudah lebih setahun pilihanraya dah berlalu. Apa jua perubahan di bidang pendidikan akan menimbulkan polemik. Itu belum termasuk lagi perubahan teknologi yang merombak cara hidup kita hingga ia dinamakan disruptive technology.
Siapa yang mahu ketidakpastian? Siapa yang inginkan kocak dan gelombang dalam kehidupan ini seperti tiada penghujungnya? Pendek kata, apa jua hal yang berlaku di sekeliling kita pada hari ini terpaksa kita depani. Hari ini kita belajar mengenai sesebuah aplikasi baharu, esok datang pula aplikasi yang terkini. Jika kita enggan mengambil tahu, barangkali kita terpaksa membuang telefon yang ada kerana ia tidak dapat menampung aplikasi yang baharu itu.
Apakah yang hendak kita buat bila berdepan dengan impak perubahan ini? Cara yang boleh dilakukan ialah menolak apa jua perubahan yang mendatang dengan mengambil sikap tidak mahu ambil tahu. Malah, jika jawapannya ialah meninggalkan dunia moden ini dan pergi ke pedalaman untuk suatu kehidupan baharu tanpa teknologi dan tanpa berita dunia, sanggupkah kita lakukannya? Jika kita sanggup, apakah ahli keluarga kita akan ikut? Jika pun mereka turut sama, apakah ada keluarga lain yang akan bersama membina sebuah komuniti yang terpencil?
Bagaimana pula seandainya kita melawan segala perubahan yang terjadi dengan cara memboikot? Kita agresif mengadakan segala kempen untuk menentang perubahan yang mendatang dengan tidak menggunakan kacamata rasional? Penentangan secara agresif ini lazimnya meletihkan dan kita akan berhenti kepenatan.
Kita boleh juga mengikut arus. Apa yang orang lain buat, kita pun buat sama. Apa yang orang lain gilakan, kita pun turut sama menggilainya. Apabila orang lain tertipu dengan segala perubahan itu, kita pun sama-sama terkulat-kulat. Tetapi, di manakah nilai kemanusiaan kita untuk menaakul apa yang mendatangi kita? Apakah kita rela menjadi umpama binatang ternak dengan herd mentality?
Sebenarnya, apa jua perubahan yang mendatang dalam hidup yang penuh ketidakpastian ini tidak akan ada kesudahannya. Pada asasnya kita sebagai makhluk bernama manusia mempunyai kehendak yang sama seperti moyang kita. Tetapi cara kita memperoleh apa yang diingini itu sudah berubah. Moyang kita dahulu mendapat pisang dengan mencari pokoknya di hutan. Kemudian mereka menanam untuk mendapatkannya. Kita pula mendapatkan pisang di pasaraya. Jika moyang kita hidup di zaman kita, dia tidak akan pandai membeli di pasaraya. Dan, berapa ramai di kalangan kita reti menanam pokok pisang?
Oleh kerana itu, kita tidak boleh menolak perubahan yang mendatang. Suka atau tidak suka, kita terpaksa mengharunginya. Yang boleh kita lakukan ialah meminimakan impak yang bakal berlaku. Misalnya, tarif elektrik yang naik, memang menyakitkan. Namun, kita perlukan tenaga elektrik dan oleh itu kita perlu mencari jalan untuk meminimakan impak melalui cara penjimatan dan menjarakkan tempoh penggunaan.
Harga barangan keperluan yang naik perlu ditangani dengan meminimakan impak melalui pembelian barangan di tempat-tempat yang murah harganya. Pendek kata, apa jua masalah yang berlaku, yang kita benci ia terjadi kepada kita, perlu didepani dengan mencari cara meminimakan impaknya.
Kita kenalah berfikir mencari jalan keluar. Meskipun berfikir itu memenatkan, tidak berfikir pun akhirnya menjadikan diri stres tanpa mengetahui apa sebabnya.
Menulis Novel Cinta Macam Makan Nasi Lemak!
MENULIS NOVEL CINTA MACAM MAKAN NASI LEMAK!
ADA orang kata, menulis novel cinta ni amat mudah. Kisah kahwin paksa, kahwin kontrak, kahwin selepas ditangkap khalwat, mula-mula benci atau lama-lama rindu. Ah, sebut apa pun jalur plotnya, akhirnya boy dan girl tu kahwin juga. Mudah sangat.
- Itu orang kata. Tapi cuba tanya novelis. Apa yang mereka akan jawab? Mereka akan ceritakan bahawa menulis novel cinta ini bukan mudah. Sebabnya? Sebut apa sahaja jalur plot… cinta tiga segi, empat segi, lapan segi… cinta sebelum nikah, cinta selepas nikah, berpisah dan bertemu dan berpisah, hero mati kemudian hidup balik… hampir kesemuanya sudah jadi jalur cerita orang lain.
- Novel cinta akan berakhir dengan hanya dua kesudahan. Pertama, pasangan kekasih itu melangkah ke jinjang pelamin. Kedua, angan pelamin mereka musnah. Kahwin atau tak kahwin, itulah kesimpulan yang akan mengakhiri cerita.
- Bagaimana pun jika anda penulis baru dan nak menulis novel cinta juga? Macam mana nak tulis jika semua jalan cerita dah boleh diagak kesudahannya? Bila boleh diagak, tentu pembaca tak akan suka. Bila tak suka, mereka tak akan beli novel kita. Jadi, bagaimana? Kerana itu, menulis novel cinta ini bukannya senang.
- Tetapi jangan risau. Sebab, menulis novel genre lain seperti thriller, sejarah, bisnes, fantasi sci-fi atau apa sahaja, memang pun sukar juga. Kerana itu, tulis sahaja cerita cinta anda. Walaupun plotnya sama seperti cerita cinta orang lain, jangan pula lupa, nama watak, latar tempat, latar masa, dialog dan gaya penulisannya adalah tulisan anda. Orang lain tak boleh tiru. Itulah kelainan yang orang cari.
- Sama jugalah jika kita lihat semua manusia ada dua biji mata, dua lubang hidung dan satu mulut. Meskipun pada asasnya muka manusia adalah sama, tetapi mengapa kita tidak jemu-jemu melihat wajah-wajah manusia kalau kita duduk bersidai di kompleks membeli-belah untuk memerhati manusia?
- Sebabnya, walaupun ada persamaan di antara seorang manusia dengan seorang manusia yang lain, terdapat perbezaan yang membuatkan manusia itu berbeza. Selain daripada sifat-sifat asas manusia seperti dua tangan, dua kaki dan satu kepala, ciri-ciri lain seseorang manusia seperti suaranya, ketawanya, senyumannya, reaksinya apabila berdepan dengan kejutan misalnya akan menjadikan seseorang manusia itu unik. Malah sifat-sifat yang unik itulah yang menjadikan seseorang itu menarik.
- Cinta umpama makanan bagi manusia kerana ia adalah fitrah insan. Manusia lahir hasil daripada perhubungan cinta. Kerana itu, walaupun terdapat lain-lain genre novel, pembaca masih boleh kekal menyukai novel cinta. Malah, mereka tidak akan jemu dengan novel-novel cinta.
- Kerana itu, novel cinta adalah umpama nasi lemak. Meskipun semalam kita sudah menjamah nasi lemak untuk sarapan, pada pagi ini kita masih boleh menjadikan nasi lemak sebagai sarapan. Esoknya pun boleh.
- Yang patut dibuat oleh penulis novel ialah menjadikan hidangannya itu sebagai santapan yang terbaik. Oleh itu, ia perlu punyai asas ramuan yang lengkap seperti nasi lemak; ia perlu ada nasi, timun, ikan bilis, sepotong telur dan secubit sambal. Asas ramuan yang lengkap sudah cukup baik untuk menarik pelanggan menjamahnya.
- Sama juga, apabila menulis novel cinta, ia perlu ada ramuan asas yang lengkap seperti pandang pertama, pertemuan pertama, berkenalan, mengingat, mengenang, merindu lalu menyintai. Yang membezakannya daripada novel yang lain ialah latarbelakang watak, karektornya, pemilihan perkataannya, latar masa, latar tempat serta kerjaya.
- Seperti nasi lemak, pelanggan akan mencuba resipi kita. Penulis kena cari resipi rahsia agar pembacanya tak lari, malah akan datang lagi.
Hanya Orang Bongok Aje Yang Baca Komik!
ADAM BARNHARDT – September 8, 2019 – ComicBook.com
Membaca komik itu bukan aktiviti untuk semua orang. Demikian menurut Menteri Budaya Rusia, Vladimir Medinsky. Tatkala Vladimir Medinsky muncul di Moscow International Book Fair, beliau berkata, orang dewasa yang membaca komik adalah orang bongok.

“Komik adalah untuk mereka yang lemah membaca,” katanya di tapak pesta itu. “Saya punyai pandangan yang buruk terhadap komik. Komik adalah seperti gula getah kerana ia bukan makanan. Komik adalah untuk kanak-kanak yang baharu hendak belajar membaca, buat mereka di usia tujuh atau lapan tahun. Jadi, orang dewasa yang membaca komik adalah seperti mengaku bahawa, ‘Aku bongok. Sebab itu aku baca komik!”

Medinsky kemudiannya menyudahkan komennya dengan berkata, ‘ada kemungkinan boleh’ untuk orang dewasa untuk menghimpun komik, tetapi bukan untuk membacanya. Seperti dijangka, komen beliau meletus di media sosial Rusia. Pembaca komik, kedai dan penerbit bersatu untuk mempertahankan komik.
“Pelik sangatlah bila saya dengar dengan komen yang macam ni. Banyak sekali pusat komik atau sudut komik terdapat di pelbagai jabatan kerajaan dan juga perpustakaan di seluruh pelosok negara,” kata Dmitry Yakovlev, penganjur Boomfest, sebuah acara penerbitan. “Kerajaan memperuntukan dana untuk aktiviti ini. Banyak buku dibeli. Ada ramai petugas yang bekerja di pusat-pusat buku ini. Barangkali Medinsky tak tahu akan hal ini.”

Di Moscow, tuan punya kedai komik, Ivan Chernyavsky berkata, mungkin para pegawai Rusia takutkan komik. “Mereka anggap komik itu adalah propaganda Amerika. Komik adalah sesuatu yang pelik buat orang Rusia.”
Di kedainya sendiri, dia biasa menemui orang Rusia yang melarang anak mereka membaca komik dengan berkata, “Bacalah sesuatu yang normal!”
Komen Medinsky ini senada dengan komen pedas Bill Maher, seorang pelawak Amerika pada awal tahun ini. Pada Januari lalu, Bill menyindir mereka yang mendakwa komik sebagai salah satu cabang seni.

Katanya, “Boleh tak kita berhenti dari berpura-pura bahawa cerita di dalam buku komik itu bagus sangat? Oh, tolonglah… setiap cerita adiwira itu sama aje. Mulanya, seseorang yang tak ada kuasa memperoleh kuasa. Dia akan belajar untuk menggunakan kuasa itu… kemudian dia menemui kehebatan. Justice League, kisah yang berapi-api. Iron Man, kisah yang berapi-api. Spider-Man, kisah yang berapi-api. Captain Amerika juga kisah yang berapi-api!”
Pautan asal mengenai Vladimir Medinsky dan komik:
https://comicbook.com/comics/2019/09/09/russian-culture-minsiter-vladimir-medinsky-comics-morons-comment/
Jom tengok video betapa orang Rusia sukakan komik dengan cosplay:
https://www.youtube.com/watch?v=0cAeFH3AGOY
Ingatan untuk Pemain Industri Buku
MAAFCAKAP: 11.9.19
Selain daripada, Frankfurter Buchmesse ataupun Frankfurt Book Fair iaitu pesta buku yang paling terbilang di dunia, mereka di dalam industri buku kini turut memerhatikan Beijing International Book Fair 2019 (BIBF). Pesta buku yang baharu sahaja berlangsung pada Ogos lalu di Beijing telah menjadi mercutanda dan juga penanda aras kepada industri buku dunia.
Pesta buku itu dibanjiri 320,000 pengunjung dan lebih separuh daripada 2,600 peserta di pesta buku itu adalah daripada lebih 95 buah negara. Apa yang istimewanya pesta buku ini? Selain daripada penganjurannya di negara yang mempunyai paling ramai penduduk di muka bumi ini, China juga terkehadapan dalam teknologi maklumatnya. Teknologi 5G yang kini dikuasainya dapat diaplikasikan dengan selesa dan dengan jayanya.
Dalam salah sebuah acaranya, angkasawan wanita China yang pertama, Wang Yaping telah ditemubual secara langsung di tapak pesta. Temubual itu dipancar kepada lebih 80,000 buah sekolah di China dan disaksikan oelh 60 juta pelajar. Apa yang menarik ialah, Wang Yaping tidak ada bersama. Sebaliknya, imej yang menggunakan teknologi 5G memperlihatkan seolah-olah angkawasan itu duduk bersebelahan dengan juruacara! Imejnya muncul ‘sebiji’ kata orang.
Apa pula kena mengena temubual itu dengan pesta buku? Ini adalah sebuah persoalan yang menarik. Tanpa kita sedari, pesta buku semakin jauh melangkah daripada mengutamakan buku sebagai medium membaca. Pengarah BIBF 2019, Liying Lin sendiri mengakui bahawa penerbitan bukan lagi mengenai buku!
Peserta yang datang pun bukan sahaja daripada industri buku cetak malah daripada latarbelakang hiburan, pendidikan dan teknologi. Buku fizikal bukan lagi menjadi medium utama. Sebaliknya platform membaca mula beralih kepada aplikasi video dan audio dengan persembahan kartun dan permainan melalui pelbagai format.
Jika masyarakat Asia belum selesa menjadikan membacakan buku kepada anak-anak mereka sebagai satu budaya keluarga, kini terdapat aplikasi yang membantu. Sebuah syarikat, Ling Technologies menyediakan sebuah robot kecil yang boleh membaca untuk anak-anak. Malah, robot itu boleh diprogram untuk menghasilkan suara ibu atau bapa di anak!
Terdapat pelbagai lagi syarikat yang menghasilkan permainan berbentuk hiburan untuk menggalakkan anak-anak mendapat ilmu, bukan sekadar membaca, malah melalui alat pandang dengar. Alat virtual reality dan juga augmented reality kian popular sebagai medium menyampaikan ilmu.
Melihat pada perkembangan ini, bagaimana pula dengan keadaan di Malaysia? Apa yang saya boleh katakan, kita kian jauh ketinggalan bukan sahaja dalam industri buku, malah dalam industri pembacaan. Malah, kita harus menganut sebuah definasi baharu dalam menuntut ilmu. Ia bukan lagi dengan memperkukuhkan industri buku, sebaliknya memperkasakan industri pembacaan.
Mari kita berfikir di luar kotak. Tamadun dibina melalui pembelajaran ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan pula bukan setakat diperoleh melalui membaca, malah kini melalui tontonan dan pendengaran. Buku cetak pula bukan lagi medium utama untuk memperoleh ilmu.
Kita lihat penumpuan kita semua di dalam industri buku ialah meningkatkan jualan buku, sedangkan buku bukan lagi pilihan utama. Yang lebih penting, kita tidak boleh lagi membina industri buku, sebaliknya industri pembacaan.
Saya pernah berbual dengan seorang penerbit buku pada suatu masa dahulu mengenai masa depan industri buku. Katanya, selagi benda pertama yang disentuh oleh seorang kanak-kanak itu adalah sehelai kertas, industri buku akan kekal. Seandainya saya bertanya lagi soalan itu kepada penerbit tersebut, saya percaya dia tidak akan menggunakan analogi yang serupa.
Pada hari ini, benda pertama yang dipegang oleh kanak-kanak adalah selfon. Dia mula kenal bunyi, imej dan video yang tertayang di skrin telefon. Justeru itu, meskipun apa yang dikatakan oleh generasi lama mengenai buku, generasi esok akan membaca, menonton dan mendengar melalui selfon dan komputernya.
Memang ada di kalangan penerbit buku yang berkata, e-buku mahupun buku audio tidak diminati di Malaysia. Tetapi, bukankah buku cetak tidak lagi diminati? Tunggulah. Tunggulah saat bilamana ada sekumpulan manusia yang memperkenalkan e-buku dan buku audio secara agresif dan komprehensif, generasi esok akan terus merangkul teknologi itu.
Di waktu itu, maaf cakap… mereka yang masih berpaut di dahan rapuh buku cetak akan ternganga dengan kehairanan kerana baharu sedar, teknologi dunia sudah menjalar dan menular di kalangan kita. Mak cik dan pak cik kita pun sudah mula membaca artikel di dalam aplikasi Whatsapp. Bayangkan, mereka juga tidak pentingkan buku cetak lagi.


