MAAFCAKAP: 18.9.19

Tiba-tiba jerebu datang lagi. Rutin kehidupan seharian kita terganggu. Pagi tampak suram seperti hendak hujan tetapi udara di sekeliling terasa membahang. Malah kesihatan kita turut terjejas. Yang alah dengan jerebu terpaksa memakai topeng. Yang tidak alah pun terpaksa meminum lebih banyak air masak kerana secara tiba-tiba, tekak berasa kering.

Setelah lebih seminggu jerebu melanda, semakin ramai yang ke klinik untuk mendapat rawatan. Ada sekolah yang terpaksa ditutup. Meskipun terdapat ramalan bahawa jerebu akan berakhir dua minggu lagi, siapa yang dapat menjamin yang langit akan membiru, mentari menampakkan wajah dan udara menjadi nyaman kembali?

Sungguh. Akhir-akhir ini hidup kita berdepan dengan situasi yang tiada kepastian. Samada bencana alam berupa kebakaran, kemarau panjang dan ribut taufan; kebarangkalian kenaikan harga minyak, ancaman keganasan di Arab Saudi yang boleh menjadi perang akibat campur tangan Amerika, perang perdagangan Amerika-China atau ketidakpastian kesan Brexit kepada Eropah ~ kesemua ketidakpastian ini bakal memberi kesan kerisauan kepada kita. Dunia tanpa sempadan telah membawa masalah di hujung dunia menjadi masalah kita!

Kita sendiri pun berada dalam keadaan ketidakpastian. Harga barang naik tanpa notis. Jika dahulu satu negara boleh bising dengan kenaikan harga sebuku roti ataupun segelas teh tarik, kini harga air suam naik 10 sen segelas pun sudah bukan jadi bualan. Di arena politik, masing-masing masih bercekau meskipun sudah lebih setahun pilihanraya dah berlalu. Apa jua perubahan di bidang pendidikan akan menimbulkan polemik. Itu belum termasuk lagi perubahan teknologi yang merombak cara hidup kita hingga ia dinamakan disruptive technology.

Siapa yang mahu ketidakpastian? Siapa yang inginkan kocak dan gelombang dalam kehidupan ini seperti tiada penghujungnya? Pendek kata, apa jua hal  yang berlaku di sekeliling kita pada hari ini terpaksa kita depani. Hari ini kita belajar mengenai sesebuah aplikasi baharu, esok datang pula aplikasi yang terkini. Jika kita enggan mengambil tahu, barangkali kita terpaksa membuang telefon yang ada kerana ia tidak dapat menampung aplikasi yang baharu itu.

Apakah yang hendak kita buat bila berdepan dengan impak perubahan ini? Cara yang boleh dilakukan ialah menolak apa jua perubahan yang mendatang dengan mengambil sikap tidak mahu ambil tahu. Malah, jika jawapannya ialah meninggalkan dunia moden ini dan pergi ke pedalaman untuk suatu kehidupan baharu tanpa teknologi dan tanpa berita dunia, sanggupkah kita lakukannya? Jika kita sanggup, apakah ahli keluarga kita akan ikut? Jika pun mereka turut sama, apakah ada keluarga lain yang akan bersama membina sebuah komuniti yang terpencil?

Bagaimana pula seandainya kita melawan segala perubahan yang terjadi dengan cara memboikot? Kita agresif mengadakan segala kempen untuk menentang perubahan yang mendatang dengan tidak menggunakan kacamata rasional? Penentangan secara agresif ini lazimnya meletihkan dan kita  akan berhenti kepenatan.

Kita boleh juga mengikut arus. Apa yang orang lain buat, kita pun buat sama. Apa yang orang lain gilakan, kita pun turut sama menggilainya. Apabila orang lain tertipu dengan segala perubahan itu, kita pun sama-sama terkulat-kulat. Tetapi, di manakah nilai kemanusiaan kita untuk menaakul apa yang mendatangi kita? Apakah kita rela menjadi umpama binatang ternak dengan herd mentality?

Sebenarnya, apa jua perubahan yang mendatang dalam hidup yang penuh ketidakpastian ini tidak akan ada kesudahannya. Pada asasnya kita sebagai makhluk bernama manusia mempunyai kehendak yang  sama seperti moyang kita. Tetapi cara kita memperoleh apa yang diingini itu sudah berubah. Moyang kita dahulu mendapat pisang dengan mencari pokoknya di hutan. Kemudian mereka menanam untuk mendapatkannya. Kita pula mendapatkan pisang di pasaraya. Jika moyang kita hidup di zaman kita, dia tidak akan pandai membeli di pasaraya. Dan, berapa ramai di kalangan kita reti menanam pokok pisang?

Oleh kerana itu, kita tidak boleh menolak perubahan yang mendatang. Suka atau tidak suka, kita terpaksa mengharunginya. Yang boleh kita lakukan ialah meminimakan impak yang bakal berlaku. Misalnya, tarif elektrik yang naik, memang menyakitkan.  Namun, kita perlukan tenaga elektrik dan oleh itu kita perlu mencari jalan untuk meminimakan impak melalui cara penjimatan dan menjarakkan tempoh penggunaan.

Harga barangan keperluan yang naik perlu ditangani dengan meminimakan impak melalui pembelian barangan di tempat-tempat yang murah harganya. Pendek kata, apa jua masalah yang berlaku, yang kita benci ia terjadi kepada kita, perlu didepani dengan mencari cara meminimakan impaknya.

Kita kenalah berfikir mencari jalan keluar. Meskipun berfikir itu memenatkan, tidak berfikir pun akhirnya menjadikan diri stres tanpa mengetahui apa sebabnya.