ADAM BARNHARDT – September 8, 2019 – ComicBook.com
Membaca komik itu bukan aktiviti untuk semua orang. Demikian menurut Menteri Budaya Rusia, Vladimir Medinsky. Tatkala Vladimir Medinsky muncul di Moscow International Book Fair, beliau berkata, orang dewasa yang membaca komik adalah orang bongok.

“Komik adalah untuk mereka yang lemah membaca,” katanya di tapak pesta itu. “Saya punyai pandangan yang buruk terhadap komik. Komik adalah seperti gula getah kerana ia bukan makanan. Komik adalah untuk kanak-kanak yang baharu hendak belajar membaca, buat mereka di usia tujuh atau lapan tahun. Jadi, orang dewasa yang membaca komik adalah seperti mengaku bahawa, ‘Aku bongok. Sebab itu aku baca komik!”

Medinsky kemudiannya menyudahkan komennya dengan berkata, ‘ada kemungkinan boleh’ untuk orang dewasa untuk menghimpun komik, tetapi bukan untuk membacanya. Seperti dijangka, komen beliau meletus di media sosial Rusia. Pembaca komik, kedai dan penerbit bersatu untuk mempertahankan komik.
“Pelik sangatlah bila saya dengar dengan komen yang macam ni. Banyak sekali pusat komik atau sudut komik terdapat di pelbagai jabatan kerajaan dan juga perpustakaan di seluruh pelosok negara,” kata Dmitry Yakovlev, penganjur Boomfest, sebuah acara penerbitan. “Kerajaan memperuntukan dana untuk aktiviti ini. Banyak buku dibeli. Ada ramai petugas yang bekerja di pusat-pusat buku ini. Barangkali Medinsky tak tahu akan hal ini.”

Di Moscow, tuan punya kedai komik, Ivan Chernyavsky berkata, mungkin para pegawai Rusia takutkan komik. “Mereka anggap komik itu adalah propaganda Amerika. Komik adalah sesuatu yang pelik buat orang Rusia.”
Di kedainya sendiri, dia biasa menemui orang Rusia yang melarang anak mereka membaca komik dengan berkata, “Bacalah sesuatu yang normal!”
Komen Medinsky ini senada dengan komen pedas Bill Maher, seorang pelawak Amerika pada awal tahun ini. Pada Januari lalu, Bill menyindir mereka yang mendakwa komik sebagai salah satu cabang seni.

Katanya, “Boleh tak kita berhenti dari berpura-pura bahawa cerita di dalam buku komik itu bagus sangat? Oh, tolonglah… setiap cerita adiwira itu sama aje. Mulanya, seseorang yang tak ada kuasa memperoleh kuasa. Dia akan belajar untuk menggunakan kuasa itu… kemudian dia menemui kehebatan. Justice League, kisah yang berapi-api. Iron Man, kisah yang berapi-api. Spider-Man, kisah yang berapi-api. Captain Amerika juga kisah yang berapi-api!”
Pautan asal mengenai Vladimir Medinsky dan komik:
https://comicbook.com/comics/2019/09/09/russian-culture-minsiter-vladimir-medinsky-comics-morons-comment/
Jom tengok video betapa orang Rusia sukakan komik dengan cosplay:
https://www.youtube.com/watch?v=0cAeFH3AGOY