Pesta Buku Selangor Bermula 27 Februari
SHAH ALAM, 17 JAN: Orang ramai dijemput memeriahkan Pesta Buku Selangor 2020 yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini mulai 27 Februari hingga 8 Mac ini.
Pesta selama 11 hari anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor bermula pada jam 10 pagi hingga 9 malam manakala bagi Sabtu dan Ahad dilanjutkan hingga jam 10.30 malam.
Penganjuran Pesta Buku Selangor 2020 (PBS2020) selama 11 hari bermula 27 Februari ini menyasarkan kehadiran 500,000 pengunjung.
Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Mastura Muhamad berkata pihaknya selaku penganjur optimis sasaran itu mampu dicapai kerana PBS2019 berjaya mencatatkan kehadiran lebih 498,000 pengunjung.
“Tahun sebelumnya (2018) kita pernah capai kehadiran hampir 515,000 pengunjung. Diharap akan lebih ramai hadir pada penganjuran kali ini,” katanya kepada SelangorKini.
Mastura berkata semua negeri menjalinkan kerjasama bagi mempromosikan setiap penganjuran pesta buku untuk menarik lebih ramai pengunjung terutama penulis baharu.
PBS2020 akan berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) dari jam 10 pagi hingga 9 malam dan dilanjutkan kepada 10.30 malam bagi hari Sabtu dan Ahad.
Sumber: SelangorKini
Rahsia Membaca Menurut Tun M
SINAR HARIAN.DATUK A KADIR JASIN.16.2.2020
TIDAK ada agama atau kepercayaan yang memberi keutamaan kepada membaca lebih daripada Islam. Justeru, kalau kita benar-benar mengamalkan perintah tersebut, kita sudah lama menjadi manusia dan negara yang berpengetahuan tinggi.
Kita sering diingatkan tentang ayat satu hingga lima surah al-Alaq menyeru manusia supaya membaca.
Malangnya, kajian akademik dan pemerhatian rambang tidak membuktikan hal itu. Sebaliknya tabiat dan kegemaran membaca semakin menurun.
Malah, ada pakar mengatakan Malaysia adalah antara negara yang rakyatnya paling kurang membaca. Keadaan ini menjadi bertambah buruk berikutan ledakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Ini amatlah merugikan kerana ledakan ICT sepatutnya memudahkan kebolehcapaian kepada maklumat dan ilmu.
Sebagai penulis yang turut terlibat dengan penerbitan, saya bimbang hal ini bukan andaian lagi tetapi adalah kenyataan. Bilangan yang membaca akhbar, majalah dan buku semakin kecil.
Benarlah seperti kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ketika melancarkan Dekad Membaca Kebangsaan di Universiti Kebangsaan Malaysia pada Khamis lalu bahawa pengaruh teknologi digital terhadap masyarakat begitu besar sehingga sumber bacaan tradisional seperti surat khabar dan buku semakin diketepikan.
Katanya, banyak syarikat akhbar gulung tikar kerana jualan yang merosot manakala buku tinggal mengumpul debu di perpustakaan atau di atas rak.
Namun demikian, Dr Mahathir yakin ini tidak bermakna rakyat Malaysia berhenti membaca. Yang berubah ialah kaedah penyampaian bahan bacaan di mana hampir semua akhbar mempunyai versi digital dan buku juga diterbitkan dalam format itu.
Setiap kali saya ditanya mengenai penulisan khususnya bagaimana menjadi wartawan, penulis dan pengucap yang baik, saya kata dengan banyak membaca.
Hakikatnya adalah mustahil seseorang itu boleh berfikir, menulis dan berucap dengan baik kalau dia tidak membaca. Membaca, berfikir dan menulis adalah kegiatan tiga serangkai.
Dalam kaitan itu, pandangan Dr Mahathir mengenai membaca daripada sudut sains adalah amat berguna kerana beliau bukan sahaja seorang doktor perubatan tetapi juga seorang pemikir dan penulis yang diiktiraf dunia.
Katanya, amalan membaca menjadi salah satu kaedah senaman dan latihan minda yang berkesan. Ia membantu memperkuat rangkaian otak dan merangsang pertumbuhan rangkaian saraf baru.
Jika seseorang itu membaca sesuatu berulang kali, apa yang dibacanya itu akan lebih melekat di ingatan. Dengan itu dia tidak mudah lupa.
Membaca dengan banyak juga boleh mempertingkatkan kecerdasan emosi (emotional intelligence atau EQ) dan kecerdasan intelektual (intelligence Quotient atau IQ) seseorang.
Kedua-dua unsur kecerdasan itu, kata Dr Mahathir, amat penting bagi membolehkan seseorang menangani pelbagai keadaan dan merebut peluang pembangunan diri.
Jadi marilah kita membaca supaya menjadi lebih bermaklumat, cerdas minda dan kuat tubuh badan. Tidak salah kita menggunakan komunikasi digital, termasuk platform media sosial, untuk membaca, menimba ilmu dan berkongsi maklumat benar dan berguna.
* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara
Memberi dan Memohon Maaf
Gambar oleh Antonios Ntoumas dari Pixabay
Saya tidak menyangka telah menulis lebih 550 artikel untuk kolum Maaf Cakap di akhbar Sinar Harian. Pada minggu pertama memegang jawatan sebagai Ketua Pengarang akhbar ini pada ketika itu, saya diberi penghormatan untuk menulis.
Saya tidak mahu menulis untuk kolum Lidah Pengarang kerana berasakan sudut pandang saya sebagai anggota editorial terhadap sesebuah isu akan menjadikan akhbar Sinar Harian tidak berkecuali. Kerana itu saya memilih untuk menulis hal-hal yang jarang sekali menyentuh isu semasa, sebaliknya hal-hal human interest di kolum yang saya namakan ‘Maaf Cakap.’
‘Maaf cakap’ adalah frasa berlapik yang digunakan oleh orang Melayu apabila hendak memberi komen mengenai sesuatu perkara yang sensitif. Dengan menggunakan frasa ‘maaf cakap’ sebagai pelapik kata, seseorang itu dapat menegur dengan lebih jujur.
Saya menggunakan konsep ‘maaf cakap’ yang digabung dengan pengalaman saya sebagai insan yang kerap melakukan kesilapan. Saya catat dan paparkan muhasabah diri itu untuk dikongsi bersama para pembaca kerana kesilapan-kesilapan saya itu adalah juga kesilapan yang biasa dilakukan oleh orang lain. Mudah-mudahan, kita sama-sama memperoleh manfaat.
Maaf itu berkait rapat dengan kesilapan dan kesalahan. Maaf itu dipohon. Maaf juga boleh diberi. Lazimnya orang yang bersalah itu memohon maaf, sementara orang yang tidak bersalah itulah yang memaafkan. Masalah akan berlarutan sekiranya orang yang bersalah itu tidak mahu memohon maaf. Begitu juga sekiranya yang dipohon maaf itu tidak mahu memaafkan.
Apabila tiada saling bermaafan, maka kedua-duanya akan menanggung kesakitan, samada yang bersalah ataupun yang sebaliknya. Pilihlah samada mahu menanggung kesakitan tidak memaafkan atau melapangkan dada apabila saling bermaafan dan move on.
Kerana itulah, maaf itu sebenarnya adalah ubat apabila saling bermaaf-maafan. Walaupun pada lazimnya seseorang itu boleh berkata bahawa dia boleh memaafkan tetapi tidak boleh melupakan, manusia yang memaafkan itu biasanya akan dapat melupakan kerana manusia itu pelupa sifatnya. Sebaliknya, yang tidak memaafkan itulah yang tidak boleh melupakan.
Namun, jika diteliti akan firman ALLAH SWT, kita sewajarnya memberi maaf kepada mereka yang melakukan kesalahan. “Jika kamu menyatakan sesuatu kebaikan atau menyembunyikan atau memaafkan sesuatu kesalahan (orang lain), maka sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Kuasa.” (Surah An-Nisa’: 149).
Soal samada setelah orang yang dimaafkan itu melakukan kesalahan kembali, itu adalah di antara dia dengan ALLAH SWT. Sebaliknya, kita yang memaafkan itu amat disukai ALLAH. Pilihlah, samada hendak mencari kesukaan ALLAH SWT ataupun kesukaan hati untuk tidak memaafkan.
Lagi pula sebagai insan, kita pasti punyai banyak dosa dengan ALLAH SWT. Justeru itu, bagaimanakah pula sekiranya istighfar dan taubat kita tidak diterima ALLAH kerana kita sentiasa melakukan kesalahan secara berulang? Seandainya kita yang melakukan kesalahan demi kesalahan itu tidak malu memohon ampun, mengapa pula kita sombong untuk memaafkan kesalahan orang lain?
Tentulah sebagai manusia, rasa sakit hati kerana dianiayai itu bukan mudah dilupakan begitu sahaja. Ibarat orang yang dilanggar dan sedang mengerang kesakitan, mana mungkin dia memaafkan begitu sahaja walaupun yang melanggarnya itu benar-benar tidak sengaja.
Kerana itu, segerakan hilangnya benci itu dengan mendekati Yang Maha Menyayangi. Seka airmata dan iringi dengan senyuman. Lupakan kesakitan, tetapi ingatkan iktibar yang datang bersamanya.
Anak Malaysia Menang Anugerah di Perancis
CYBERJAYA – Anak syarikat Kumpulan Brainy Bunch, Brainy Bones Studio berjaya melakar sejarah apabila animasi tempatan yang dihasilkan mereka dinobat pemenang Anugerah Animasi Terbaik di Festival Filem 4 Antarabangsa Du Sur Les Handicap 2020 (FIFH) di Lyon, Perancis.
Pengarah Urusan Brainy Bones Hilmi Ismail berkata beliau bangga dengan pencapaian pasukannya dan menganggap tersebut sebagai titik permulaan untuk meningkatkan lagi semangat pasukan mereka.
“Kemenangan ini menjadi pemangkin semangat dan mendorong kami untuk menghasilkan lebih banyak animasi berkualiti tinggi untuk dipersembahkan kepada penonton,” katanya dalam satu kenyataan dari Lyon, Perancis hari ini.
Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan sokongan.
“Terima kasih kepada semua orang yang terus menyokong kami sepanjang tahun ini. Kami berharap akan ada lebih banyak kejayaan yang akan datang dalam masa terdekat, “katanya.

Brainy Bones Studio mempertaruhkan ‘KRING’ yang menceritakan bagaimana seorang guru bernama Suraya memainkan peranan membantu seorang murid yang mempunyai masalah disleksia.
Menurut Hilmi, filem pendek, KRING! dicipta untuk mengiktiraf peranan yang kurang dihargai dan meningkatkan kesedaran tentang masalah disleksia di kalangan pelajar.
“Kami juga ingin mengalu-alukan lebih banyak animator untuk mencipta kandungan yang lebih bermakna dengan nilai tinggi untuk penonton.
Kami memerlukan lebih banyak filem dan animasi yang dapat memberikan impak positif kepada penonton, “katanya.
Hilmi juga membuka peluang kepada semua animator di dunia, terutamanya animator Malaysia untuk menyertai mereka untuk membina platform animasi pertama di dunia.
Dalam filem ini, Suraya menghadapi cabaran membantu salah seorang pelajar yang memerlukan muridnya yang mempunyai masalah dengan pelajarannya di sekolah dan mempunyai imaginasi ljar kotak.
Suraya bimbang pelajarnya gagal dalam kelas tetapi selepas menghabiskan berjam-jam melihat lukisannya, Suraya mendapati murid lelaki itu sedang belajar tetapi dengan cara yang berbeza.
Suraya memutuskan untuk mengambil masa tambahan untuk mengajar budak menggunakan kaedah yang dia selesa dengan lukisan.
Babak akhir filem pendek sangat menarik kerana ia mampu membuat orang menangis.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Brainy Bunch Mohd Fadzil Hashim berkata Kring! Dibuat untuk menghargai sumbangan guru.
“Kami juga ingin mempamerkan keupayaan pasukan kami untuk menghasilkan animasi etika yang berkualiti,” katanya.
Mohd Fadzil juga berkata Brainy Bones akan melancarkan platform animasi orang ramai dalam talian untuk mewujudkan filem animasi etika kelas dunia menggunakan animator dunia melalui IP yang dikongsi sebagai animator bebas.
‘Sistem semasa memberi keuntungan terbesar kepada kapitalis, tetapi dengan platform kami, Animators akan memperoleh hasil yang paling banyak daripada karya mereka,’ katanya.~MBNews
Pautan asal:
Pas Matikan Langkah Musuh Tun M
ANALISIS
Sekitar dua minggu lalu, telah muncul mesej tular kononnya Tun Mahathir mempelawa mereka dari parti pembangkang untuk menubuhkan Pakatan Nasional. Kononnya Tun Mahathir bersama dengan para pemimpin dari parti-parti Bersatu, UMNO, Pas, sebahagian para pemimpin PKR dan parti-parti komponen Barisan Nasional akan menubuhkan kerajaan baharu.
Gosip itu tampak meyakinkan kerana beberapa hari sebelum itu muncul foto-foto para pemimpin Pas yang diketuai oleh DS Haji Hadi Awang telah membuat kunjungan ke kediaman Tun Mahathir. Para peminat politik terus membina gosip yang menarik.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Lokman Nor Adam turut menghidupkan khabar kerjasama itu. Dalam hantaran video di Facebook, beliau mendakwa Ahmad Zahid ‘mengaku ada perancangan UMNO untuk bekerjasama dengan Tun Mahathir bagi membentuk satu pakatan baharu.
Sudah tentu keadaan ini menimbulkan kegusaran mereka di dalam Pakatan Harapan. Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menegaskan pakatan itu sebagai ‘berita tidak betul.’ Dan Ketua Umum Pakatan Harapan, DS Anwar Ibrahim menganggap ia adalah propaganda pembangkang. Akhirnya Tun Mahathir bersuara. Beliau langsung menafikan bahawa beliau ada mempelawa UMNO menubuhkan Pakatan Nasional.
Jadi, apa ceritanya? Mengapa muncul pula gosip penubuhan Pakatan Nasional ini setelah beberapa orang pemimpin PKR menetapkan penyerahan jawatan Perdana Menteri ini dibuat oleh Tun Mahathir pada Mei akan datang? Apakah ia hanya spekulasi golongan pembawang politik yang mengandaikan bahawa Tun Mahathir tidak akan menyerahkan jawatannya kepada DS Anwar Ibrahim?
Yang menariknya, Tun Mahathir dan DS Anwar Ibrahim masih melayan soalan para wartawan mengenai tempoh beliau melepaskan jawatan. Tun mahathir kata akan tetap serahkan dan DS Anwar kata sanggup tunggu. Kedua-duanya boleh sahaja tidak melayan apa jua soalan yang berkaitan dengan penyerahan jawatan. Larang sahaja para wartawan bertanya soalan itu habis cerita! Sebaliknya mengapa masih melayan spekulasi itu? Why?
Kerana itu adalah menarik dan nakal apabila Pas, melalui Timbalan Presidennya Tuan Ibrahim Tuan Man membuat cadangan akan mengusulkan ‘undi percaya’ kepada Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri di sidang Parlimen akan datang. Malah, Pas kelihatan serius dengan rancangannya itu apabila bercadang berbincang dengan UMNO mengenai usul itu.
Sebelum ini pernah timbul khabar angin bahawa akan timbul usul ‘undi tidak percaya’ kepada Tun Mahathir pada sidang Parlimen lalu. Malah, lazimnya ‘undi tidak percayalah’ yang menjadi usul. Betapa pun, usul Pas itu jika diluluskan oleh Yang di Pertua Dewan Rakyat akan punyai kesan yang serupa. Di sebalik hasrat ingin menunjukkan sokongan terhadap kepimpinan Tun Mahathir, statistik hasil dari usul itu sendiri akan menunjukkan berapa ‘undi percaya’ dan berapa pula ‘undi tidak percaya’ yang akan diterima oleh Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri.
Seandainya Tun Mahathir mendapat majoriti ‘undi percaya’ ia menunjukkan kehebatan beliau lebih-lebih lagi kerana menerima sokongan sebahagian besar pembangkang. Dalam pada itu, apakah ramai Ahli-ahli Parlimen yang tidak mahu menyokong usul itu sebagai isyarat ia ‘undi tidak percaya?’
Yang penting, usul Pas itu telah preempt usul yang sebaliknya sekiranya ada. Yang penting juga, Tun Mahathir akan mendapat undi rasmi Ahli-ahli Dewan Rakyat yang menyokongnya terus menjadi Perdana Menteri. Inilah kuasa Dewan Rakyat yang Tun Mahathir maksudkan!


