ANALISIS
Sekitar dua minggu lalu, telah muncul mesej tular kononnya Tun Mahathir mempelawa mereka dari parti pembangkang untuk menubuhkan Pakatan Nasional. Kononnya Tun Mahathir bersama dengan para pemimpin dari parti-parti Bersatu, UMNO, Pas, sebahagian para pemimpin PKR dan parti-parti komponen Barisan Nasional akan menubuhkan kerajaan baharu.
Gosip itu tampak meyakinkan kerana beberapa hari sebelum itu muncul foto-foto para pemimpin Pas yang diketuai oleh DS Haji Hadi Awang telah membuat kunjungan ke kediaman Tun Mahathir. Para peminat politik terus membina gosip yang menarik.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Lokman Nor Adam turut menghidupkan khabar kerjasama itu. Dalam hantaran video di Facebook, beliau mendakwa Ahmad Zahid ‘mengaku ada perancangan UMNO untuk bekerjasama dengan Tun Mahathir bagi membentuk satu pakatan baharu.
Sudah tentu keadaan ini menimbulkan kegusaran mereka di dalam Pakatan Harapan. Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menegaskan pakatan itu sebagai ‘berita tidak betul.’ Dan Ketua Umum Pakatan Harapan, DS Anwar Ibrahim menganggap ia adalah propaganda pembangkang. Akhirnya Tun Mahathir bersuara. Beliau langsung menafikan bahawa beliau ada mempelawa UMNO menubuhkan Pakatan Nasional.
Jadi, apa ceritanya? Mengapa muncul pula gosip penubuhan Pakatan Nasional ini setelah beberapa orang pemimpin PKR menetapkan penyerahan jawatan Perdana Menteri ini dibuat oleh Tun Mahathir pada Mei akan datang? Apakah ia hanya spekulasi golongan pembawang politik yang mengandaikan bahawa Tun Mahathir tidak akan menyerahkan jawatannya kepada DS Anwar Ibrahim?
Yang menariknya, Tun Mahathir dan DS Anwar Ibrahim masih melayan soalan para wartawan mengenai tempoh beliau melepaskan jawatan. Tun mahathir kata akan tetap serahkan dan DS Anwar kata sanggup tunggu. Kedua-duanya boleh sahaja tidak melayan apa jua soalan yang berkaitan dengan penyerahan jawatan. Larang sahaja para wartawan bertanya soalan itu habis cerita! Sebaliknya mengapa masih melayan spekulasi itu? Why?
Kerana itu adalah menarik dan nakal apabila Pas, melalui Timbalan Presidennya Tuan Ibrahim Tuan Man membuat cadangan akan mengusulkan ‘undi percaya’ kepada Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri di sidang Parlimen akan datang. Malah, Pas kelihatan serius dengan rancangannya itu apabila bercadang berbincang dengan UMNO mengenai usul itu.
Sebelum ini pernah timbul khabar angin bahawa akan timbul usul ‘undi tidak percaya’ kepada Tun Mahathir pada sidang Parlimen lalu. Malah, lazimnya ‘undi tidak percayalah’ yang menjadi usul. Betapa pun, usul Pas itu jika diluluskan oleh Yang di Pertua Dewan Rakyat akan punyai kesan yang serupa. Di sebalik hasrat ingin menunjukkan sokongan terhadap kepimpinan Tun Mahathir, statistik hasil dari usul itu sendiri akan menunjukkan berapa ‘undi percaya’ dan berapa pula ‘undi tidak percaya’ yang akan diterima oleh Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri.
Seandainya Tun Mahathir mendapat majoriti ‘undi percaya’ ia menunjukkan kehebatan beliau lebih-lebih lagi kerana menerima sokongan sebahagian besar pembangkang. Dalam pada itu, apakah ramai Ahli-ahli Parlimen yang tidak mahu menyokong usul itu sebagai isyarat ia ‘undi tidak percaya?’
Yang penting, usul Pas itu telah preempt usul yang sebaliknya sekiranya ada. Yang penting juga, Tun Mahathir akan mendapat undi rasmi Ahli-ahli Dewan Rakyat yang menyokongnya terus menjadi Perdana Menteri. Inilah kuasa Dewan Rakyat yang Tun Mahathir maksudkan!