BLOG

Perginya Subky Latif

Perginya Subky Latif

KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN.SINAR HARIAN.24.6.2020

SEBUT nama tokoh pemimpin Pas, Allahyarham Ahmad Subky Mohd Latif, 80, atau lebih dikenali Subky Latif, pastinya ramai dalam kalangan ahli dan pemimpin parti itu amat mengenali keperibadian beliau yang begitu setia memperjuangkan hala tuju Pas.

Dilahirkan di Setiawan, Perak pada 28 Julai 1940, Subky yang mengasaskan akhbar lidah rasmi Pas, Harakah bersama bekas Naib Presiden parti itu, Datuk Nakhaie Ahmad pada tahun 1978, menjadi mentor dan guru kepada ramai wartawan terkemuka khususnya dari akhbar itu.

Mula menceburi bidang kewartawanan melalui akhbar Utusan Melayu dan Warta Negara di Pulau Pinang pada tahun 1963, karier Subky sebagai seorang wartawan semakin meningkat naik apabila beliau dilantik sebagai wartawan kanan Kumpulan Akhbar Utusan Melayu.

Berlatarbelakangkan tahap pendidikan agak tinggi iaitu MCE dan ilmu bidang agama di sebuah madrasah di Gunong Semanggol, Perak, Subky berkeupayaan menghasilkan penulisan berkualiti tinggi terutama rencana dan pojok selain dianggap setaraf dengan tokoh wartawan tanah air lain seperti bekas Menteri Penerangan, Allahyarham Tan Sri Zainudin Maidin dan Ali Salim Jiro.

Mempunyai minat mendalam dalam bidang penulisan berita, Subky pernah menyertai kursus Diploma Kewartawanan di Internationales Institut für Journalismus, Jerman serta kerap mengikuti kursus sambil belajar di negara-negara luar khususnya negara Eropah.

Selain akhbar Harakah, Subky turut menjadi pengasas dan ketua pengarang kepada beberapa akhbar seperti ‘Suara Rakyat’,’Suara Merdeka’ dan ‘Harian Watan’ serta beberapa majalah seperti ‘Sarina’, ‘Keluarga’, ‘Kisah Cinta’ dan ‘Kritik’.

Sehingga akhir hayatnya, Subky adalah merupakan kolumnis Harakah dan portal HarakahDaily menerusi ruangan tetap ‘Mens Sana in Corpore Sano’ dalam Harakah.

Dalam arena politik, Subky Abdul Latif pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat tahun 1983 hingga tahun 2005; Ketua Penerangan Pas Pusat (tahun 1988); Pesuruhjaya Pas Wilayah Persekutuan (2007) dan Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat.

Sehingga tarikh akhir pemergian Subky pada tanggal 23 Jun 2020, beliau merupakan Pengerusi Sidang As-Sabiqun Pas, platform yang menghimpunkan veteran parti Islam tersebut.

Buku-buku Hasif Karya Subky Latif

Karier Subky dalam politik tidak terhad kepada memegang jawatan parti, bahkan pernah menjadi calon Pas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pelabuhan Kelang pada tahun 1979.

Selain itu, Subky turut bertanding dalam siri pilihan raya umum Malaysia bagi tahun 1982, 1986, 1990, 1995 dan 1999.

Menurut bekas Ketua Pengarang Akhbar Harakah tahun 2000-2004 dan tahun 2011-2013, Zulkifli Sulong, beliau menganggap Allahyarham Subky merupakan seorang ‘guru’ dan mentor yang sangat berjasa kepada perjalanan karier dirinya dan juga Pas.

Meskipun Subky lebih cenderung dianggap sebagai tokoh profesional dalam Pas, beliau menunjukkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada parti apabila menyokong kepimpinan tokoh ulama, Allahyarham Yusof Rawa sebagai Presiden Pas pada tahun 1982 sewaktu berlaku pertembungan dengan bekas bosnya di akhbar Harakah, Nakhaie.

“Bagi saya, Allahyarham Subky merupakan tok guru bukan sahaja kepada diri saya, bahkan juga wartawan terkemuka Harakah lain termasuk seorang lagi bekas Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman.

“Sepanjang saya mengenali Allahyarham, beliau sangat setia kepada Pas dan menyokong pemilihan Allahyarham Yusof Rawa sebagai Presiden Pas berbanding bekas bosnya di Harakah, Nakhaie meskipun dari segi idea, mereka banyak berbeza pendapat,” katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian hari ini.

Zulkifli yang kini merupakan pegawai media kepada bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad dari Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, sewaktu bersama Pas, Subky banyak memainkan peranan penting dalam mendekatkan parti itu dengan pengundi bukan Islam terutama pengundi Cina.

Menurutnya, Subky berjaya meyakinkan kepimpinan Pas untuk menggunakan pendekatan itu bagi meraih sokongan pengundi bukan Melayu kerana beliau berpendapat, tanpa sokongan mereka, parti itu tidak boleh pergi jauh.

“Satu lagi jasa terbesar Allahyarham Subky kepada Pas adalah menubuhkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) As-Sabiqun yang menjadi platform menghimpunkan penyokong veteran parti pada saat krisis kepimpinan Pas yang menyaksikan tertubuhnya Amanah selepas itu.

“Pada saat itu, ramai veteran Pas yang merasakan terpinggir setelah beberapa pemimpin lama parti seperti Mohamad Sabu keluar parti dan menubuhkan Amanah dengan muka baharu mengisi ruang kepimpinan Pas.

“Tindakan pantas Subky ternyata berjaya menghalang penyokong veteran Pas dari keluar parti secara beramai-ramai dan bagi saya, gerakan itu mungkin gagal dibendung parti itu jika tidak kerana kebijaksanaan Allahyarham,” katanya.

Dari aspek penulisan dan editorial, Zulkifli berpendapat keupayaan Subky menentukan pengisian berita tidak dapat disangkal lagi.

“Secara peribadi, hubungan saya dengan Allahyarham Subky memang sangat rapat dengan kali terakhir saya berhubung dengan beliau menerusi panggilan video pada tiga hari lalu.

“Pemergian beliau tidak mengejutkan kerana saya memang sudah mengetahui keadaan kesihatan Allahyarham Subky sewaktu beliau dirawat di Pusat Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) cawangan Kuantan, Pahang sebelum ini.

“Bagi saya, pemergian beliau satu kehilangan besar bukan sahaja terhadap industri media, bahkan landskap politik tanah air,” katanya.

Allahyarham Subky meninggal dunia di rumahnya di Taman Karak Utama, Gombak pada jam 11.05 semalam akibat penyakit sejenis penyakit darah dikenali myelodysplastic syndromes (MDS).

Beliau meninggalkan seorang balu, Naznah Taha lima anak iaitu Dang Fatiha, Hang Muhammad Iftitah, Abdul Latif Rahbar, Muhammad Ramadhan Subky dan Ahmad Huzaifah.

Pautan asal:
https://www.sinarharian.com.my/article/89170/BERITA/Nasional/Perginya-Subky-Latif-tokoh-wartawan-dan-pemikir-politik-kritis

*Gambar Utama oleh TheSunDaily.

Wajah Di Sebalik Jenama

Wajah Di Sebalik Jenama

Saya terpegun dan kemudian tertawa bila melihat video bos-bos Mydin Malaysia berpakaian ala-mafia sambil menari. Pengarah Urusannya Datuk Dr. Ameer Ali Mydin, Pengarah Eksekutif, Ahimmat Mydin dan Salim Mydin serta Pengarah ITnya Murad Ali menari untuk video dalam Tik-Tok! Mereka siap menggayakan aksi Sunglasses Challenge yang kini sedang popular dalam laman sosial video itu untuk meraikan Happy Father’s Day.

Dato Dr. Ameer Ali Mydin kini kerapkali tampil mempromosikan pasaraya Mydin. Bila ada musim perayaan ataupun promosi jualan, wajahnya akan muncul mempromosikan kempennya. Wajahnya kini sinonim dengan jenama Mydin. Bagi yang tidak biasa dengan pendekatan pemasaran ini, mereka akan kata buat apalah Datuk Ameer berlakon sampai begitu.

Mengapa tidak gunakan model atau artis untuk melariskan barangan? Cara begitu memang boleh dilakukan. Tetapi, pendekatan yang dibuat oleh Datuk Ameer ini adalah pendekatan pemasaran meletakkan wajah di sebalik jenama atau the face behind the brand.

Banyak syarikat sudah menggunakan pendekatan ini. Bila kita nampak Tony Fernandez, kita akan ingat Air Asia. Bila kita nampak wajah Mark Zuckerberg, kita akan ingatkan Facebook. Wajah Richard Branson pula dengan Virgin Group dan begitu juga bila kita terpandangkan wajah Recep Tayyip Erdogan, kita akan ingatkan negara Turki.

Ledakan maklumat dan ledakan internet mengasak minda kita sebagai pengguna. Ia tak nampak akan mereda. Tiap hari ada sahaja produk baharu yang lahir bersama jenamanya. Dan, dengan pengetahuan dan teknologi yang dikongsikan (shared knowledge and technology), banyak produk punyai kualiti yang hampir serupa.

Bandinglah sebuah jenama selfon dengan selfon yang lain. Kita akan dapati kualitinya hampir sama. Begitu juga jika kita memilih mesin basuh, komputer, set pinggan mangkuk mahupun kasut; kita akan dapati kualitinya hampir sama. Kita menyukai sesuatu jenama teh bobba pun kerana jenamanya. Rasanya lebih kurang sahaja.

Jadi, apakah faktor yang boleh membezakan dari sebuah jenama dengan sebuah jenama yang lain? Apabila harga, kualiti, estatik, spesifikasi dan kesemuanya hampir sama, yang boleh membezakan di antara satu jenama dengan jenama yang lain adalah manusia di belakangnya. Inilah dia the face behind the brand! Ia mengahwinkan jenama dengan wajah seseorang.

Apabila wajah seseorang itu dikaitkan dengan sesebuah produk, orang akan ingat dengan sesebuah produk itu. Cristiano Ronaldo, pemain bolasepak terkenal dipilih untuk menjadi duta produk Nike, watak James Bond dengan kereta Aston Martin dan penyanyi Taylor Swift dengan Diet Coke.

Di negara kita ini terdapat juga selebriti yang memunculkan wajah mereka untuk memahat jenama produk di minda kita sebagai pengguna. Penyanyi Siti Nurhaliza tampil untuk mempromosikan Simplysiti, Neelofa dengan busana dan tudungnya dan Datuk Aliff Shukri dengan produk AS Legacynya. Hasilnya begitu memberangsangkan.

Menggunakan wajah untuk melariskan produk ternyata amat berkesan kerana ia dengan mudah dapat mengelus di minda pengguna sesebuah jenama yang dipromosikan. Justeru itu, apabila kita menyebut jenama pasaraya seperti Aeon, Tesco, Giant dan Mydin, kita lebih mesra dengan Mydin kerana ada wajah Datuk Ameer di sebalik jenama itu.

Dalam pada itu, dalam puluhan ribu produk-produk keluaran tempatan, sebahagian besar tidak menggunakan pendekatan mengaitkan wajah di sebalik jenama. Sebab itulah apabila ke pasaraya, kita sukar memilih produk keluaran tempatan kerana di antara sebabnya ialah kerana tiada wajah di sebalik produk itu untuk membantu ia dikenali.

Bajet pemasaran sering tidak dimasukkan ke dalam kos pengeluaran sesebuah produk tempatan. Sebab itulah tidak banyak produk tempatan dimunculkan dalam bentuk iklan sebagai usaha pemasaran. Akhirnya sesebuah produk itu hanya laris di kawasan lokaliti dan tidak menjangkau ke peringkat nasional. Sudah banyak produk kita yang setanding dengan produk antarabangsa. Kita tewas kerana ketinggalan menggunakan pemasaran sebagai senjata!

*Gambar Utama diolah dari gambar oleh Gerd Altmann dari Pixabay

KLWBC 2020: Pak Malim Yang Tak Terlupakan

KLWBC 2020: Pak Malim Yang Tak Terlupakan

ZAINAL RASHID AHMAD.ASTRO AWANI.22 JUN

KEMBALINYA Mohamed Ghazali Abdul Rashid: 4 Mac 1949 – 18 Jun 2020.

Pada era budak jalanan memenuhi meja dan kehidupan warung kopi – adalah tidak wajar ia menjadi dunia gaul seorang penjawat awam yang kanan dan berkedudukan.

Terutama seperti Malim Ghazali Pk yang waktu itu sudah berjawatan tinggi dalam perkhidmatan awam.

Namun, anak Perak ini tidak mempedulikan semua jurang status yang ada.

Malah, Pak Malim sangat akrab dengan anak seni yang berpeleseran di Pasar Budaya pada akhir dekad 80-an.

Pak Malim memang tidak memilih status rakan mengopi.

Pada waktu itu juga – Pak Malim sudah mula melangkah ke penerbitan sitkom TV dan memiliki syarikat penerbitan sendiri.

Walaupun sudah terkenal dalam dunia sastera, Pak Malim gigih berusaha memulakan langkah menuju ke penerbitan TV.

Malah, waktu itu, impian utamanya ialah menerbitkan filem layar lebar. Itu cita-citanya yang tidak kesampaian.

Malah, kisah yang ditutur dan ditulisnya dalam skrip pada 1988 masih dibualkan apabila kami bertemu semula dan mengopi pada 2018.

“Aku masih nak filemkan kisah ini. Orang perlu melihat uniknya kehidupan masyarakat Orang Asli dalam filem cinta yang penuh dengan budaya,” kata Pak Malim.

Kami berdua berbual di warung Jalan Tallala, Kuala Lumpur. Fokusnya tetap menerbitkan filem, sama seperti yang diungkapkan hampir tiga dekad lalu.

Pak Malim tetap menyimpan impian menerbitkan filem kisah cinta seorang pemuda Melayu dan gadis Orang Asli.

Ini juga skrip filemnya yang saya baca pada 1988. Waktu itu, Pak Malim menumpangkan saya di pejabatnya.

“Kau baca dan buat pecahan babak, dan nanti kita tengok kosnya.”

Saya budak yang hanya ada pengalaman kecil menjadi kru drama Nasir Jani. Menerima skrip filem yang siap dengan lakon layar sesuatu yang “besar” untuk ditangani.

Di pejabatnya, Pak Malim menyediakan saya tempat tidur yang selesa, sebuah gitar dan buku-buku untuk dibaca.

“Saya rasa Pak Malim kena bincang dengan orang yang dah level pengarah filem sebab skrip ini besar,” kata saya.

Kami berbual setiap hari apabila Pak Malim datang ke pejabat filemnya dan memberikan wang saku untuk belanja makan.

Waktu itu, dia sangat berusaha untuk mencari dana memulakan filemnya.

“Kau rasa cerita itu bagus tak?” Tanya Pak Malim.

“Kisah ini banyak penggambaran dalam hutan dan pemilihan pelakon akan menjadi isu besar,” jawab saya.

Waktu itu, selepas membaca skrip dan lakon layar yang ditulisnya, saya tidak boleh bayangkan siapakah aktres yang mampu memikul watak gadis Orang Asli yang sangat luar biasa itu.

Skrip filemnya penuh dengan momen romantik dan senario lokasi di hutan dengan sinematografi yang luar biasa.

Pada saya, ia bukan skrip untuk tilikan budak hingusan yang baru terdedah pada pembikinan tiga buah drama macam saya.

Walaupun filem “Medicine Man” arahan John McTiernan (1992) belum dihasilkan pada waktu itu – tetapi sekarang saya boleh gambarkan – itulah standard filem yang mahu dihasilkan Pak Malim.

Selepas seminggu menelaah dan menyusun pecahan babak dan lokasi di pejabatnya – scene perbualan 30 tahun lalu terasa berulang lagi.

Sesuatu yang amat deja vu. Momen di pejabatnya pada 1988 hidup kembali di warung mamak Jalan Tallala pada 2018.

“Aku masih nak buat filem itu. Tetapi lebih kemas skripnya sekarang kalau ditulis semula. Aku yakin ada potensi untuk pawagam,” katanya.

Kami berbual lama; dia masih seorang Malim Ghazali Pk yang tegar dan obses pada dunia Orang Asli. Dia tetap penulis senior yang saya hormati seperti seorang bapa.

Sisi buku dan ilmu

Pak Malim dilahirkan pada 4 Mac 1949 dan membesar dengan pengalaman akrab dengan masyarakat Orang Asli di Perak.

Bapanya, Abdul Rashid sangat bersikap terbuka pada sikap anaknya yang ketika masih kecil sangat mendekati masyarakat Orang Asli.

Itu proses pembesaran yang mempengaruhi fikiran dan expose Pak Malim pada “alam hutan” dan Orang Asli.

Pihak istana Negara pun mengucapkan takziah kepada keluarga beliau – pixcredit FB Istana Negara

Lahir di Malim Nawar dan bersekolah di Gunung Panjang mempengaruhi dunia masa kecil Pak Malim terhadap pergaulan dan pemerhatian pada masyarakat Orang Asli.

Itu kesan yang tak terlupakan dan hidup segar dalam ingatannya. Sesiapa yang akrab pada karya Pak Malim juga pasti dapat melihat cerapan yang luas dan dekat mengenai pengaruh alam hutan ini.

Apa pun, pada saya, Pak Malim meninggalkan cerapan kenangan yang lain.

Saya melihatnya sebagai individu biasa, sebagai lelaki perenung yang menyimpan banyak impian. Malah, sentiasa berusaha memenuhkan impiannya.

Saya memilih bahagian ini sebagai rakaman tribut mengenang penulis hebat ini.

Sisi paling tidak dilupakan ialah buku-buku yang diberikannya.

“Ambillah, kalau kau suka tapi kenalah baca,” katanya.

Di meja pejabat ‘filemnya’ 30 tahun lalu, saya melihat dua buah buku edisi mewah dan sangat eksklusif — novel “The Resurrection” karya Leo Tolstoy dengan edisi kulit tebal dan kumpulan puisi “The Song of the Stormy Petrel” karya Maxim Gorky.

Menariknya novel “The Resurreruction” ini bergerak dari tangan ke tangan dan turut dibaca Johari Hamid dan Loloq. Manakala penyanyi To’ki membaca “The Song of the Stormy Petrel“.

“Terima kasih bang…,” saya terus mengambilnya.

Pada usia 21 tahun – itulah buku terhebat dan termewah pernah saya miliki. Saya sangat bangga menunjukkan buku itu pada pelukis terkenal, Aris Aziz.

“Apa benda yang Malim tak bagi orang?” tanya Aris.

Aris antara rakan kopi Pak Malim dalam korum bagi orang dewasa. Saya tidak akan berani duduk semeja di Restoran Hameed Pasar Seni kalau korumnya senior. Ada adat yang mengaturnya. Kecuali kalau anda dijemput duduk bersama.

“Makanlah,” pelawa Pak Malim.

“Apa saja yang kau nak….”

Selalunya kalau saya segan atau hanya senyum, Pak Malim akan bangun sendiri dan berjalan ke kaunter. Dia akan memilih lauk dan hidangan. Itu akhlaknya yang luar biasa dalam meladeni anak muda.

Saya boleh menangis kalau mengingatkan perkara ini. Peristiwa yang selama tiga dekad kuat melekat dalam ingatan dan tak pernah terlupakan.

Seorang Pak Malim yang berkedudukan, punya wang, reputasi, senior dan sohor – tetapi sangat berbudi bahasa.

Pada usia tua sekarang, setiap kali bertemu orang lebih muda, saya akan berusaha menghormati mereka, mencontohi pekerti Pak Malim.

Ini pengalaman “ilmu” yang tidak boleh dipelajari daripada penulis melalui bukunya. Kita belajar melalui akhlak yang tercatat pada perlakuan mereka.

Apabila khabar pemergian Pak Malim dikongsi di laman WhatApps grup wartawan veteran pada 18 Jun lalu, saya terkedu.

Saya melihat kelibat seorang lelaki berkemeja kemas, bertali leher dan sepatu hitam berkilat.

Lelaki budiman yang bangun ke kaunter dan memesan makanan terbaik untuk seorang budak muda yang tidak memiliki apa-apa.

Itu Pak Malim yang tak terlupakan.

Al Fatihah.

Artikel asal: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/klwbc-2020-pak-malim-yang-tak-terlupakan-248173

*Gambar Utama dari Sinar Harian.

Kita dan Hospital Berpisah Tiada

Kita dan Hospital Berpisah Tiada

Secara rutin, kelmarin saya ke Kelinik Kesihatan Kelana Jaya untuk mendapatkan bekalan ubat diabetik. Cuma pada kunjungan itu, saya tidak dibenarkan masuk ke ruang pesakit luar. Hanya mereka yang ada temujanji dengan doktor sahaja dibenarkan. Saya serahkan borang pesanan ubat dan dipinta menunggu ubat di khemah luar kelinik. Mereka yang datang untuk mengambil bekalan ubat seperti saya, juga tidak disediakan kerusi. Begitulah norma baharu akibat covid-19.

Saya teringat tatkala bekerja dahulu. Ketika itu, pihak syarikat mempunyai kelinik panel sebuah hospital swasta. Untuk pemeriksaan berkala, saya dibawa petugas ke sebuah suite. Ada sofa, TV dan hidangan makanan seperti kek, biskut, sandwic serta minuman kopi, teh, oren dan air mineral. Seketika sahaja, ada petugas yang datang untuk mengambil darah. Walaupun menunggu lebih dua jam sebelum bertemu doktor, saya dapat berehat dan bertenang di suite yang dingin lagi sunyi.

Kita dan hospital tidak dapat dipisah. Berkunjung ke hospital pula adalah suatu pengalaman yang menarik. Sewaktu kecil, saya pernah menghidap demam malaria yang dikenali sebagai deman kura-kura hingga menggigil seluruh tubuh. Saya pernah tinggal di wad pada usia 10 tahun akibat tangan patah. Kemudiannya pada tahun 2013, saya masuk hospital kerana kandungan gula yang tinggi di dalam badan.

Menemani ayah dan emak ke hospital adalah pengalaman yang tidak dapat saya lupakan. Kami menaiki beca. Selepas berjumpa doktor, emak akan belanja saya aiskrim. Melawat seseorang yang sakit pula adalah pengalaman yang lumrah. Arwah nenek, ibu dan ayah saya pernah menghidap sakit yang berpanjangan. Hampir setiap hari saya akan berkunjung ke hospital. Ada ketikanya mengikut giliran menemani mereka untuk bermalam. Saudara-mara, kawan-kawan dan juga para pekerja saya juga pernah saya ziarahi apabila mereka dimasukkan ke wad.

Sebenarnya tiada bezanya di antara pusat perubatan swasta dan juga kerajaan dari segi layanan profesional para doktornya. Cuma dengan doktor swasta, mereka melayani kita sebagai kenalan. Dari segi ramainya pesakit, di hospital swasta pun tidak kurang ramainya. Adakalanya menunggu di hospital swasta memakan masa berjam-jam juga seperti di hospital kerajaan. Dari segi itu, menunggu di mana-mana hospital pun okey sahaja. Bila kita tenggelam dengan buku atau telefon, kita tidak terasa masa yang berlalu.

Seperti juga para pembaca, saya punyai anggota keluarga, saudara mara, sahabat handai dari kalangan petugas di hospital. Adik ipar saya adalah seorang doktor yang mempunyai sebuah kelinik. Tiga orang anak saudara saya adalah juga doktor. Ramai di antara kawan-kawan saya adalah petugas di hospital dari kalangan nurse, pembantu perubatan dan juga pengawal keselamatan. Justeru itu, meskipun hospital adalah tempat yang kalau boleh kita jauhi, kita tetap akan mengunjunginya bila sampai masa dan keadaannya.

Apabila terjadinya covid-19 yang menyebabkan suasana tegang dan kritikal di hospital, seperti ramai orang yang lain, saya juga berasa hiba bila melihat video-video para petugas yang terpaksa menggunakan plastik sampah sebagai pakaian ketika peringkat awal PKP dahulu. Saya tatap video rayuan dari para petugas hospital yang meminta orang ramai mematuhi PKP sebagai langkah menyekat virus itu.

Dengan kapasiti yang terhad kerana terpaksa work from home, saya sempat juga membantu mengkoordinasi bantuan beberapa NGO yang membekal peralatan PPE ke pihak hospital, kelinik kesihatan dan juga kelinik desa. Dapatlah saya carikan pihak yang punyai dana dan juga pihak media yang tolong menghebahkan permintaan bantuan peralatan serta sidang media pihak NGO.

Kita semua dibantu untuk sihat sejak dari kecil hingga dewasa. Malah, kita dijagai oleh pihak hospital. Bila tidak sihat, kita merujuk ke situ. Jasa pihak hospital dan para petugasnya memang tidak dapat kita balas. Oleh kerana itu, apabila mereka melakukan sesuatu yang tak pernah mereka buat iaitu meminta bantuan kita semua, kita muncul untuk membantu meringankan beban yang mereka tanggung.

Itu sahaja balasan dari kami rakyat Malaysia. Itulah jua tanda ucapan terima kasih daripada kami.

*Gambar Utama oleh cromaconceptovisual dari Pixabay

Dewan Bahasa Kena Lebih Berani

Dewan Bahasa Kena Lebih Berani

PROF DATUK DR AWANG SARIYAN.BERITA HARIAN.12 JUN 2020

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ditubuhkan pada 22 Jun 1956 sebagai hasil perjuangan golongan ahli bahasa, sasterawan, wartawan, pendidik dan agamawan melalui Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Kedua (1954) serta Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga (1956).

Bahasa dan persuratan Melayu diangkat pejuang kemerdekaan sebagai antara asas nasionalisme dan perjuangan menuntut kemerdekaan.

Selama lebih enam dekad DBP melaksanakan perancangan bahasa, khususnya dalam bidang pembinaan dan pengembangannya, selepas bahasa Melayu ditetapkan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa undang-undang, bahasa ilmu dan pendidikan serta bahasa bagi segala ranah peradaban negara.

Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 152, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 dan Akta Pendidikan (1961, Pindaan 1996) menjadi lunas undang-undang negara untuk pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan itu.

DBP bergerak dengan berasaskan Akta DBP 1959 (Semakan 1978, Pindaan dan Peluasan 1995). Akta 213 menetapkan enam tujuan utama DBP iaitu:

Pertama, untuk membina dan memperkaya bahasa kebangsaan (bahasa Melayu) dalam semua bidang, termasuk sains dan teknologi.

Kedua, untuk memperkembang bakat sastera, khususnya dalam bahasa kebangsaan.

Ketiga, untuk mencetak atau menerbitkan atau membantu dalam percetakan atau penerbitan buku, majalah, risalah dan lain-lain bentuk kesusasteraan dalam bahasa kebangsaan dan dalam bahasa lain.

Keempat, untuk membakukan ejaan dan sebutan serta membentuk istilah yang sesuai dalam bahasa kebangsaan.

Kelima, untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul dan akhir sekali, untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan supaya ia akan digunakan secara meluas bagi segala maksud mengikut undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

Empat tujuan pertama dapat dikatakan mencapai kemantapan. Contohnya, melalui penggubalan istilah dalam 300 bidang dan sub bidang ilmu, apabila terhasil kira-kira satu juta istilah dalam bahasa Melayu.

Tujuan kedua terus ditingkatkan untuk mengembangkan bakat sastera melalui pelbagai kegiatan, pada peringkat negara dan serantau melalui Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) dan Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write Award). Untuk tujuan ketiga pula, penerbitan dalam bentuk buku ilmiah, buku umum, buku teks, ensiklopedia, kamus, karya sastera, buku istilah, jurnal dan majalah diupayakan DBP sejak awal penubuhannya dengan jumlah terbitan mencecah 15,000 judul.

Tujuan keempat berkaitan pembakuan bahasa terlaksana sejak awal penubuhan DBP, bermula pemantapan sistem ejaan baharu Rumi dan penggubalan istilah.

Usaha itu turut dilakukan pada peringkat serantau melalui Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM).

Tatabahasa dan sebutan diusahakan pembakuannya dan menjadi asas pelaksanaan dalam sistem pendidikan, pentadbiran dan bidang lain.

Dua tujuan akhir penubuhan DBP berkaitan pengembangan dan peluasan penggunaan bahasa Melayu. Ia agak umum sifatnya dan batas kuasa DBP sekadar ‘menegur dan menasihati’ dalam hal memastikan penggunaan bahasa yang betul.

Aspek ini agak mengehadkan gerak kerja penguatkuasaan DBP. Bagaimanapun, program berdampak besar seperti Program Audit Bahasa Melayu, Penarafan Bintang Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pembentukan Munsyi Muda di jabatan dan agensi kerajaan oleh DBP berjaya meningkatkan peluasan penggunaan bahasa Melayu yang betul.

Peranan DBP adalah mengusahakan kesinambungan kekuatan bahasa dan persuratan Melayu yang usianya melebihi dua alaf.

Usaha DBP melanjutkan perkembangan bahasa Melayu pada abad ketujuh Masihi dalam zaman kerajaan Melayu lama, Sriwijaya, yang kemudian mencapai zaman keemasan pada zaman peradaban Melayu Islam, dari sekitar abad ke-13.

Kini bahasa Melayu masih menghadapi cabaran dari dalam dan luar. Dari dalam, cabaran paling besar ialah pembudayaan bahasa negara dalam kalangan semua golongan.

Bahasa Melayu belum betul-betul diangkat sebagai bahasa cerminan jati diri negara dalam majlis rasmi, mesyuarat dan pelbagai acara lain.

Tuntutan dasar kepelbagaian bahasa atau multilingualisme turut membuktikan belum utuhnya pembudayaan bahasa.

Perlembagaan Persekutuan membuka ruang besar untuk penggunaan dan pembelajaran bahasa lain, tetapi dalam segala urusan rasmi, bahasa Melayulah bahasa yang wajib digunakan.

Pelaksanaan undang-undang kecil pengiklanan yang mewajibkan pengutamaan bahasa kebangsaan pada iklan, nama bangunan dan kawasan belum dikuatkuasakan sepenuhnya oleh hampir 150 PBT sehingga nama bangunan, kawasan perumahan, bandar dan yang lain masih menayangkan citra asing.

Cabaran ketara juga kepada taraf bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam sistem pendidikan negara.

Terdapat dasar atau program yang bercanggah dasar bahasa kebangsaan dan undang-undang negara seperti Perlembagaan, Akta Bahasa Kebangsaan, Akta Pendidikan dan Akta DBP.

Contoh yang pernah terjadi ialah pengajaran mata pelajaran berasaskan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris di sekolah (PPSMI) dan arahan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa perkuliahan di universiti bagi kursus kritikal seperti perubatan, sains dan teknologi, undang-undang serta kejuruteraan.

Ini semua merencatkan perancangan kerajaan untuk menjadikan bahasa Melayu bahasa utama dalam bidang ilmu dan pendidikan.

Dari luar pula, globalisasi membuka ruang penjajahan linguistik apabila bahasa asing, khususnya bahasa Inggeris mendominasi pelbagai aspek kehidupan, iaitu ilmu, budaya dan media.

Kurang agresifnya negara penerima, termasuk negara kita dalam pembinaan pelantar atau portal yang menjelmakan peranan bahasa Melayu dalam bidang kehidupan menyebabkan bahasa Melayu kian mengecil daerah penggunaannya.

DBP menggunakan pendekatan pelbagai dimensi, peka konteks dan memandang ke hadapan. Dalam usaha mengatasi isu pembudayaan bahasa kebangsaan, pendekatan ‘dakwah’ melalui gerakan ‘menegur dan menasihati’ seperti diperuntukkan dalam Akta DBP memerlukan perubahan.

Pindaan Akta DBP perlu dijadikan kenyataan agar DBP memperoleh punca kuasa untuk mengambil tindakan kepada pihak yang tidak menghormati bahasa kebangsaan.

Dalam menghadapi globalisasi dan kecenderungan budaya membaca terbitan elektronik, DBP perlu mengubah strategi penerbitan bahan bahasa, sastera dan ilmu dengan meningkatkan penerbitan elektronik.

Selain itu, fokus penerbitan DBP perlu lebih kepada karya besar yang menayangkan ketinggian ilmu dalam bidang sains kemanusiaan dan sains tabii.

Inilah peluang DBP melonjakkan kearifan setempat pelbagai bidang ilmu pada peringkat antarabangsa.

DBP perlu dihormati sebagai benteng peradaban negara kerana seperti kata Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, “Negara tanpa bahasa kebangsaan ibarat jasad tanpa roh”.

Saya petik puisi SN Muhammad Haji Salleh untuk menjelaskan erti bahasa dan persuratan kepada bangsa dan negara:

Kata dimuliakan kerana

bahasa itu hablur percaya

kota yang memagar janji

dan penama erti

Padanya ada ilmu tamadun

mengalir pada dakwat

mantiq berbincang di ayat dan

memercikkan wawasan ke akal,

Tiada yang lebih agung dari ilmu

kerana maknanya menyambung

bangsa memanjatkan

hidup dari lumpur ke syurga,

jalan terlurus kepada bijaksana

Penulis ialah Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pautan asal:
https://www.bharian.com.my/rencana/muka10/2020/06/699435/isu-bahasa-kuasa-dbp-jangan-hanya-tegur-nasihat

Iklan

Petikan Terpilih

BELI MAAFCAKAP 4 – KLIK GAMBAR!

LAYAR SOROT

BELI DI BOOKDEPOSITORY

LANGGAN LAYARMINDA

[mc4wp_form id=”572″]