Secara rutin, kelmarin saya ke Kelinik Kesihatan Kelana Jaya untuk mendapatkan bekalan ubat diabetik. Cuma pada kunjungan itu, saya tidak dibenarkan masuk ke ruang pesakit luar. Hanya mereka yang ada temujanji dengan doktor sahaja dibenarkan. Saya serahkan borang pesanan ubat dan dipinta menunggu ubat di khemah luar kelinik. Mereka yang datang untuk mengambil bekalan ubat seperti saya, juga tidak disediakan kerusi. Begitulah norma baharu akibat covid-19.

Saya teringat tatkala bekerja dahulu. Ketika itu, pihak syarikat mempunyai kelinik panel sebuah hospital swasta. Untuk pemeriksaan berkala, saya dibawa petugas ke sebuah suite. Ada sofa, TV dan hidangan makanan seperti kek, biskut, sandwic serta minuman kopi, teh, oren dan air mineral. Seketika sahaja, ada petugas yang datang untuk mengambil darah. Walaupun menunggu lebih dua jam sebelum bertemu doktor, saya dapat berehat dan bertenang di suite yang dingin lagi sunyi.

Kita dan hospital tidak dapat dipisah. Berkunjung ke hospital pula adalah suatu pengalaman yang menarik. Sewaktu kecil, saya pernah menghidap demam malaria yang dikenali sebagai deman kura-kura hingga menggigil seluruh tubuh. Saya pernah tinggal di wad pada usia 10 tahun akibat tangan patah. Kemudiannya pada tahun 2013, saya masuk hospital kerana kandungan gula yang tinggi di dalam badan.

Menemani ayah dan emak ke hospital adalah pengalaman yang tidak dapat saya lupakan. Kami menaiki beca. Selepas berjumpa doktor, emak akan belanja saya aiskrim. Melawat seseorang yang sakit pula adalah pengalaman yang lumrah. Arwah nenek, ibu dan ayah saya pernah menghidap sakit yang berpanjangan. Hampir setiap hari saya akan berkunjung ke hospital. Ada ketikanya mengikut giliran menemani mereka untuk bermalam. Saudara-mara, kawan-kawan dan juga para pekerja saya juga pernah saya ziarahi apabila mereka dimasukkan ke wad.

Sebenarnya tiada bezanya di antara pusat perubatan swasta dan juga kerajaan dari segi layanan profesional para doktornya. Cuma dengan doktor swasta, mereka melayani kita sebagai kenalan. Dari segi ramainya pesakit, di hospital swasta pun tidak kurang ramainya. Adakalanya menunggu di hospital swasta memakan masa berjam-jam juga seperti di hospital kerajaan. Dari segi itu, menunggu di mana-mana hospital pun okey sahaja. Bila kita tenggelam dengan buku atau telefon, kita tidak terasa masa yang berlalu.

Seperti juga para pembaca, saya punyai anggota keluarga, saudara mara, sahabat handai dari kalangan petugas di hospital. Adik ipar saya adalah seorang doktor yang mempunyai sebuah kelinik. Tiga orang anak saudara saya adalah juga doktor. Ramai di antara kawan-kawan saya adalah petugas di hospital dari kalangan nurse, pembantu perubatan dan juga pengawal keselamatan. Justeru itu, meskipun hospital adalah tempat yang kalau boleh kita jauhi, kita tetap akan mengunjunginya bila sampai masa dan keadaannya.

Apabila terjadinya covid-19 yang menyebabkan suasana tegang dan kritikal di hospital, seperti ramai orang yang lain, saya juga berasa hiba bila melihat video-video para petugas yang terpaksa menggunakan plastik sampah sebagai pakaian ketika peringkat awal PKP dahulu. Saya tatap video rayuan dari para petugas hospital yang meminta orang ramai mematuhi PKP sebagai langkah menyekat virus itu.

Dengan kapasiti yang terhad kerana terpaksa work from home, saya sempat juga membantu mengkoordinasi bantuan beberapa NGO yang membekal peralatan PPE ke pihak hospital, kelinik kesihatan dan juga kelinik desa. Dapatlah saya carikan pihak yang punyai dana dan juga pihak media yang tolong menghebahkan permintaan bantuan peralatan serta sidang media pihak NGO.

Kita semua dibantu untuk sihat sejak dari kecil hingga dewasa. Malah, kita dijagai oleh pihak hospital. Bila tidak sihat, kita merujuk ke situ. Jasa pihak hospital dan para petugasnya memang tidak dapat kita balas. Oleh kerana itu, apabila mereka melakukan sesuatu yang tak pernah mereka buat iaitu meminta bantuan kita semua, kita muncul untuk membantu meringankan beban yang mereka tanggung.

Itu sahaja balasan dari kami rakyat Malaysia. Itulah jua tanda ucapan terima kasih daripada kami.

*Gambar Utama oleh cromaconceptovisual dari Pixabay