BLOG

Mesej Di Tengah Malam

Mesej Di Tengah Malam

Malam telah larut. Malah sudah pun pagi. Jam 12.30 pagi, begitu. Aku sedang menyudahkan manuskrip HURU-HARAku. Tiba-tiba sebuah mesej tiba di kotak PMku.

Pada mulanya aku tak mahu melayaninya. Namun, mesej dari PM Facebook biasanya memaparkan ikon si pengirimnya. Cuma ikon yang diguna adalah gambar langit. Kalau ikonnya bergambar bunga, mungkin pengirimnya wanita. Atau jika gambar bola, mungkin sekali lelaki. Hati terasa hendak mengheret sahaja ikon itu keluar dari skrin kerana ia mengganggu tumpuan mata.

Tetapi tak sampai hati pula kerana mana tahu mesej yang diterima itu dari seseorang yang hendak minta tolong. Tak mengapalah bila ALLAH hantar orang itu mencari aku pada malam begini. Barangkali aku dipilih untuk membantu.

Setelah mengeluh pendek, aku buka mesej itu.
‘Oh, dari seorang gadis yang pernah menghadiri bengkel penulisanku dulu,’ kata hatiku.

‘Assalamualaikum. Boleh bantu? Bagaimana hendak menulis novel yang mantap?’ 

Begitulah soalan si pengirim. Dalam hatiku berkata, soalan ini bisa kujawab dengan sebuah kuliah satu hari. Mana mungkin aku beri jawapan pada soalan yang begitu general ini sekadar dua tiga para?

‘Tajuk soalan itu begitu luas. Boleh khususkan?’ soalku.

‘Bagaimana saya hendak mantapkan sebuah scene pergaduhan?’

Soalan ini memerlukan aku beri lakaran mengenai setting, mood, latar tempat dan dialog. Ini memerlukan masa dan aku tak rasa dia boleh memahami apa yang aku sampaikan dalam waktu sesingkat ini. Tapi aku ingin juga membantu.

‘Boleh kirimkan scenenya?’ cadangku.

Seketika sahaja aku terima babak pergelutan dua orang lelaki. Aku baca dan mengeluh lagi.

‘Terlalu banyak dialog. Orang bergaduh tak banyak bercakap seperti orang dulu bergaduh sambil berbalas pantun!’ jawabku.

Aku memandang jam. Dekat jam 1.00 pagi. Aku perlu sudahkan babak tulisanku pada malam ini juga. Tapi, aku mesti bantu teman penulis yang dalam kebingungan ini.

DAN AKU TITIPKAN RAHSIA INI…

‘You buka Youtube… sila key-in perkataan ‘movie fighting scenes.’ Kat situ, you boleh pilih babak bergaduh di lorong belakang, di dalam restoran, di dapur, di bangunan tinggi, di dalam air dan macam-macam. Pilih video yang sesuai dengan babak. Kemudian, prosakan apa aksi yang dilihat.’

Saya tekan ‘enter’ dan mengirim respon. Kemudian saya menyambung kerja. Setelah siap menulis, saya tutup komputer dan masuk tidur.

Pagi esoknya, imej ikonnya melompat ke skrin sebaik sahaja saya buka Facebook.

‘Terima kasih, tuan.’ Ringkas jawapannya.

‘Sama-sama.’ Kujawab ringkas juga di dalam hati.

*Imej Utama oleh Sasin Tipchai dari Pixabay

Pesta Buku Antarabangsa Sharjah Diteruskan

Pesta Buku Antarabangsa Sharjah Diteruskan

SHARJAHUPDATE.6.7.2020

EMIRIYAH ARAB BERSATU – Pestabuku Antarabangsa Sharjah tetap akan dilangsungkan pada November ini. Bagaimana pun segala SOP ketat bagi mengekang covid-19 akan tetap dipatuhi.

Pestabuku antarabangsa itu akan dianjurkan di Sharjah Expo Centre dari 4-14 November akan datang. Kesemua reruai telah habis ditempah oleh pepamer dari seluruh dunia. 

Suasana di Pestabuku Antarabangsa Sharjah pada 2018. Pixcredit: businesswire

Pengumuman ini adalah petanda bahawa industri penerbitan tempatan dan antarabangsa sedang pulih. Banyak pestabuku antarabangsa seperti pestabuku London, Paris Abu Dhabi dan Kuala Lumpur telah dibatalkan.

“Sokongan industri penerbitan dalam waktu yang mencabar ini amat menggembirakan. Ini menjadikan kami komited untuk menganjurkan pestabuku di luar kebiasaan. Ini akan menguntungkan para pembaca dan juga pasaran tempatan dan antarabangsa,” ujar Pengerusi Sharjah Book Authority, Ahmad Al Ameri.

“Kami komited untuk menyediakan SOP yang terbaik di tapak pameran untuk mempastikan keselematan pihak peserta dan juga para pengunjung.”

Pada tahun lalu, lebih 2 juta pengunjung telah datang ke pestabuku itu.

Sharjah adalah salah sebuah bandaraya di negara Emiriyah Arab Bersatu. Dua lagi bandarayanya ialah Dubai dan Abu Dhabi.

Pautan asal:

https://www.sharjahupdate.com/2020/07/the-2020-sharjah-international-book-fair-will-go-ahead-with-restrictions

Makanan Kedai, Makan Di Rumah

Makanan Kedai, Makan Di Rumah

MAAFCAKAP 8.7.2020

Covid-19 telah memunculkan pelbagai kebiasaan baharu. Yang paling ketara ialah penjarakkan sosial di tempat awam, pemakaian pelitup hidung, suhu tubuh diambil sebelum memasuki mana-mana premis tumpuan awam dan kekerapan membasuh tangan. 

Betapa pun apabila di rumah, kebiasaan baharu seperti meletak tangan di dada mengganti bersalaman, sudah berkurangan. Malah, kita sudah berani menunjukkan rasa kasih kepada saudara dengan berpelukan. Begitu juga, penjarakkan sosial di rumah sudah tidak diamalkan. Menonton TV untuk berita terkini sebagai rutin wajib harian dari pak menteri sudah mula dialpakan.

Cuma, muncul pula kebiasaan baharu sampingan yang menjadi budaya kehidupan iaitu memesan makanan secara atas talian dengan menggunakan perkhidmatan home delivery. Jika dahulu, hon motorsikal di depan rumah itu petanda ada posmen menghantar surat, kini bunyi hon motorsikal mahupun kereta itu petanda ada makanan yang dipesan dah tiba.

Saya teringat sewaktu kecil dahulu di kampung, para penjaja makanan seperti aiskrim, kacang putih, roti kaya, sate, mi dan rojak kerap bersimpang-siur membunyikan loceng basikal mereka untuk menarik pelanggan. Terdapat juga makcik-makcik yang berjalan kaki menjaja kuih muih Melayu khususnya goreng pisang. Begitulah bentuk home delivery pada waktu dahulu. Dengan mendengar sahaja, saya boleh membezakan mana satu loceng penjaja aiskrim atau mana satu loceng basikal penjaja kacang putih sebelum berlari keluar untuk membeli.

Beralih kepada home delivery berbentuk moden, ia bermula apabila restoran makanan segera menyediakan perkhidmatan menghantar pesanan kepada para pelanggan. Syarikat makanan segera seperti piza, burger dan ayam goreng telah memulakan kebiasaan ini. Hanya beberapa tahun dahulu, penghantaran piza ke rumah dilihat sebagai pelik oleh jiran-jiran. Timbul pertanyaan, mengapa tidak makan sahaja di restoran? 

Sejarah penghantaran makanan ke rumah sebenarnya bermula pada tahun 1768 di Korea untuk golongan bangsawan. Di India, penghantaran makanan dikirim menggunakan basikal dan keretapi; disediakan dalam mangkuk tingkat. Kesibukan manusia mengembangkan perkhidmatan ini menjadi suatu industri. Salah sebuah syarikat penghantaran makanan yang terkenal iaitu Foodpanda mula beroperasi di Asia Tenggara pada tahun 2012. Syarikat yang dipunyai oleh warga Jerman ini terus berkembang hingga mempunyai perkhidmatan dari lebih 27,000 buah restoran dan meliputi 193 buah negara pada hari ini.

Covid-19 telah menjadikan perkhidmatan penghantaran makanan ke rumah sebagai suatu kebiasaan. Anak-anak remaja memesan apa sahaja makanan dari Starbucks, Tealive, Chatime dan juga dari restoran makanan segera dan restoran kesukaan mereka. Harganya tentulah lebih mahal daripada membelinya di restoran. Ada ketikanya, segelas minuman berharga RM5.00 dikenakan caj penghantaran RM5.00 juga. Kita tahu tetapi tidak ambil kisah apabila membayar lebih untuk sesuatu yang makin sedikit!

Perkhidmatan home delivery ini semakin menjarakkan kekerapan makan semeja bersama keluarga. Jika dahulu, seluruh keluarga menghadap hidangan yang serupa. Apa yang emak masak, itulah yang dimakan. Lama kelamaan, si anak mula memilih makanan yang terhidang. Ada yang tak makan sayur, tak makan pedas, tak makan ulam. Kemudian anak-anak minta emak membuat burger, kentang goreng atau lasagna. Akhirnya, anak-anak lebih suka memesan makanan secara online dan ibu dan ayah pula yang tumpang semangkuk!

Pada asalnya, kita ingin tinggal di sebuah kawasan perumahan yang berdekatan dengan taman rekreasi, pasaraya dan jabatan kerajaan agar semuanya boleh dikunjungi dengan berjalan kaki. Kini apabila semua itu ada berhampiran, kita tidak mahu keluar rumah meskipun untuk makan-makan.

Pengalaman makan di restoran itu juga adalah satu bentuk kehidupan bersosial. Kita berbual sebelum makanan sampai. Kita toleh ke kiri dan ke kanan melihat manusia lain; mendengar bunyi dan suara sebagai petanda yang kita bernafas. Kini, dengan perkhidmatan home delivery, kita keluar rumah apabila mendengar hon kenderaan, menerima makanan seraya angguk-angguk dan kemudian menonong masuk semula ke dalam rumah. 

Akhirnya makanan di dalam rumah semakin banyak yang terbuang apabila luput tarikh. Kita makan menu sendiri yang berbeza dari anggota keluarga yang lain. Kita makan sendirian meskipun anggota keluarga ada di ruang yang sama. Kita tenggelam dalam dunia maya yang jadi tembok ciptaan kita sendiri!

*Imej Utama diadaptasi dari imej oleh mohamed Hassan dari Pixabay

Mengapa Takut Secara Berjemaah?

Mengapa Takut Secara Berjemaah?

MAAFCAKAP 1.7.2020

Pada artikel sebelum ini, saya menyentuh mengenai video bos-bos Mydin Malaysia yang berpakaian ala-mafia sambil menari dalam video Tik-Tok! Sekali pandang, kita akan tertawa melihat gelagat mereka. Tetapi kemudian terfikir pula mengapa mereka sanggup muncul dalam video sosial Tik-Tok? Bukankah media ini mainan budak-budak yang entah apa-apa?

Sebenarnya, media sosial pada hari ini adalah juga platform pemasaran yang berkesan. Kesemua pasaraya pesaing Mydin seperti Tesco, Aeon dan Giant turut muncul di pelbagai media sosial terkenal seperti Twitter, Instagram termasuk juga Youtube. Justeru itu, ia bukannya sesuatu yang ganjil atau tindakan mentah pasaraya Mydin.

Kita adalah manusia yang punyai paradigma pemikiran. Ia bagus kerana memudahkan kita mengendalikan kehidupan seharian. Namun, apabila sesuatu yang sama datang dalam bentuk yang baharu, kita menjauhkan diri daripadanya. Kita tidak mahu mempelajari sesuatu yang baharu dan bimbang tidak pandai mengendalikannya.

Sebelum ini pun, apabila Facebook mula diperkenalkan pada orang awam pada tahun 2004, ramai yang meremehkannya. Ramai di antara kita yang menganggap Facebook itu tidak lebih dari sebuah permainan dan membuang masa. Namun, lama kelamaan ia menjadi platform perniagaan, persahabatan dan juga dakwah. Namun, apabila ia mula diterima sebagai salah sebuah media yang boleh dimanfaatkan, muncul pula Twitter, Instagram dan YouTube. Sekali lagi, kita menolaknya dahulu sebelum menerimanya.

Tik-Tok jugabukan sekadar memaparkan video tarian dan insiden yang kelakar dan gila-gila, malah sudah mula dipenuhi dengan video-video yang mempunyai nilai. Tatkala kes George Floyd sedang panas di Amerika, terdapat banyak sekali video demonstrasi dari merata pelosok Amerika yang dikongsikan oleh pelayar Tik-Tok. Malah, suasana Masjidilharam yang sunyi berikutan dengan covid-19 turut dipaparkan dengan banyaknya melalui Tik-Tok.

Maka benarlah kata penulis British, Andrew Smith. Ujarnya, “Kita adalah musuh kepada apa yang kita tidak tahu.” Dahulu, orang Melayu tidak mahu anak-anak mereka belajar di sekolah Inggeris kerana takut anak-anak mereka menjadi Kristian. Terdapat kes orang Melayu membuang televisyen kerana dikatakan merosakkan akidah. Terdapat juga kepercayaan bahawa menjadi kakitangan kerajaan itu lebih selamat kerana kerjanya tetap dan berpencen sedangkan berniaga itu dianggap tidak akan menjamin masa depan seseorang.

Yang terkini pun, ramai di kalangan kita yang paranoid dengan covid-19. Di sebalik kesibukan orang ramai yang keluar rumah, masih terdapat di kalangan masyarakat yang tidak mahu keluar kerana bimbang dijangkiti. Kita kenalah terima hakikat bahawa covid-19 tidak akan terhapus sama sekali seperti juga aids, denggi dan juga batuk kering. Dalam pada itu, kita patut menjaga diri dari covid-19 dengan mengamalkan penjarakkan sosial dan membasuh tangan. Selepas itu, kita hanya berdoa agar terhindar dari apa jua penyakit sebgai senjata terakhir.

Salah satu ciri yang jelas dalam masyarakat kita ialah ketakutan secara berjemaah. Maksud saya, kebimbangan terhadap sesuatu itu mudah sahaja mengakibatkan penolakan total oleh masyarakat tanpa usul periksa. Suatu ketika dahulu, apabila stesen TV Astro muncul menawarkan khidmat mereka, ramai di kalangan kita beranggapan tawaran berpuluh-puluh saluran TV itu akan merosakkan masyarakat. 

Imejnya mula berubah apabila ia mewujudkan saluran Astro Oasis yang memaparkan rancangan agama secara keseluruhan. Saluran ini mendapat sambutan dan TV3 mula memperbanyakkan rancangan agamanya dan pihak kerajaan membuka saluran TV Hijrah. 

Kita patut menerima sesuatu dengan fikiran yang terbuka namun berhati-hati. Tetapi, jika kita lihat sesuatu itu bertentangan dengan nilai dan hukum, di era kuasa pengguna ini, kitalah yang boleh mengubahnya. Kita tidak perlu lagi takut secara berjemaah dengan menjauhi sesuatu yang dianggap memudaratkan kita akhirnya. Sebaliknya kita patut mendekatinya secara beramai-ramai untuk mengubahnya mengikut apa yang kita mahukan. 

Andainya sesuatu itu dilihat negatif, kita patut bertindak secara berjemaah dengan mengerumuninya hingga mengubah ia menjadi positif pula. Tingkatkan kebenaran agar kebatilan itu kalah dan tenggelam.

*Gambar Utama diolah dari gambar oleh Henryk Niestrój dari Pixabay

Penerbit Buku Minta Maaf

Penerbit Buku Minta Maaf

ZUBIR SULAIMAN.SINAR HARIAN.30.6.2020

SHAH ALAM – Penerbit buku ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia’ yang mengundang kontroversi kerana kulit buku tersebut didakwa menghina Jata Negara tampil memohon maaf hari ini.

Pengarah dan pengasas syarikat penerbitan Gerakbudaya, Chong Ton Sin berkata, pihaknya tidak berniat untuk menghina lambang negara.

Sekumpulan ahli NGO membuat laporan polis Pixcredit: sinarharian

“Kami memang tak sengaja mahu hina atau apa-apa. Kalau ada pihak atau kalau sesiapa rasa kurang senang atau menyinggung perasaan mereka, saya minta maaf.

“Pada masa depan kita akan lebih sensitif,” katanya kepada Malaysiakini.

Buku terbabit mendapat perhatian sejak beberapa hari kebelakangan ini kerana penggunaan gambar yang dikatakan menghina Jata Negara.

Ia turut mengundang sekumpulan pemuda dari MIC, MCA, UMNO dan Pas membuat laporan polis dan mendesak pihak berkuasa untuk menyiasat serta mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat kerana didakwa menghina Jata Negara.

Datuk Seri Hamzah Zainudin, Menteri Dlam Negeri

Semalam Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kementeriannya telah mengarahkan pihak polis menjalankan siasatan segera berhubung perkara tersebut.

Dalam pada itu, Ton Sin menjelaskan bahawa imej pada kulit buku itu adalah dari sebuah lukisan yang pernah dipamerkan di negara ini beberapa tahun lalu dan penggunaannya di kulit buku itu diatur antara pelukis serta pengarang buku tersebut.

Begitupun katanya, beliau tidak pasti sama ada editor buku tersebut yang menghubungi pelukis itu atau sebaliknya untuk mendapatkan lukisan terbabit bagi kulit buku itu.

“Kulit buku ini satu lukisan sudah lama beberapa tahun dulu. Ada pamer di sebuah pameran di Sarawak dan lukisan itu dikatakan sudah habis dijual.

“Pada masa itu saya sebenarnya bimbang juga tetapi saya tidak pula kata jangan sebaliknya serah kepada mereka untuk buat keputusan,” katanya.

Ton Sin turut memaklumkan bahawa pihak polis telah mengunjungi pejabatnya di Petaling Jaya petang semalam namun beliau tiada pada waktu itu dan bersedia memberikan kerjasama berhubung perkara itu.

Difahamkan editor buku tersebut, Kean Wong enggan memberikan komen berhubung perkara itu atas nasihat peguamnya.

Buku ‘Rebirth’ yang dikatakan menghina jata negara. pixcredit: ohbulan

Sementara itu, pereka grafik buku terbabit, Fahmi Reza berkata, imej yang digunakan pada kulit buku itu adalah lukisan yang pernah dipamerkan secara terbuka enam tahun lalu.

“Bagi yang tak tahu, artwork yang digunakan sebagai rekabentuk kulit buku yang didakwa menghina Jata Negara sebenarnya sebuah lukisan minyak lama.

“Pernah dipamerkan dalam sebuah art exhibition yang terbuka pada orang awam di sebuah galeri di KL, enam tahun dulu masa zaman Barisan Nasional (BN) pada tahun 2014,” katanya di Twitter.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/90099/BERITA/Nasional/Penerbit-buku-didakwa-hina-Jata-Negara-mohon-maaf

Iklan

Petikan Terpilih

BELI MAAFCAKAP 4 – KLIK GAMBAR!

LAYAR SOROT

BELI DI BOOKDEPOSITORY

LANGGAN LAYARMINDA

[mc4wp_form id=”572″]