Malam telah larut. Malah sudah pun pagi. Jam 12.30 pagi, begitu. Aku sedang menyudahkan manuskrip HURU-HARAku. Tiba-tiba sebuah mesej tiba di kotak PMku.

Pada mulanya aku tak mahu melayaninya. Namun, mesej dari PM Facebook biasanya memaparkan ikon si pengirimnya. Cuma ikon yang diguna adalah gambar langit. Kalau ikonnya bergambar bunga, mungkin pengirimnya wanita. Atau jika gambar bola, mungkin sekali lelaki. Hati terasa hendak mengheret sahaja ikon itu keluar dari skrin kerana ia mengganggu tumpuan mata.

Tetapi tak sampai hati pula kerana mana tahu mesej yang diterima itu dari seseorang yang hendak minta tolong. Tak mengapalah bila ALLAH hantar orang itu mencari aku pada malam begini. Barangkali aku dipilih untuk membantu.

Setelah mengeluh pendek, aku buka mesej itu.
‘Oh, dari seorang gadis yang pernah menghadiri bengkel penulisanku dulu,’ kata hatiku.

‘Assalamualaikum. Boleh bantu? Bagaimana hendak menulis novel yang mantap?’ 

Begitulah soalan si pengirim. Dalam hatiku berkata, soalan ini bisa kujawab dengan sebuah kuliah satu hari. Mana mungkin aku beri jawapan pada soalan yang begitu general ini sekadar dua tiga para?

‘Tajuk soalan itu begitu luas. Boleh khususkan?’ soalku.

‘Bagaimana saya hendak mantapkan sebuah scene pergaduhan?’

Soalan ini memerlukan aku beri lakaran mengenai setting, mood, latar tempat dan dialog. Ini memerlukan masa dan aku tak rasa dia boleh memahami apa yang aku sampaikan dalam waktu sesingkat ini. Tapi aku ingin juga membantu.

‘Boleh kirimkan scenenya?’ cadangku.

Seketika sahaja aku terima babak pergelutan dua orang lelaki. Aku baca dan mengeluh lagi.

‘Terlalu banyak dialog. Orang bergaduh tak banyak bercakap seperti orang dulu bergaduh sambil berbalas pantun!’ jawabku.

Aku memandang jam. Dekat jam 1.00 pagi. Aku perlu sudahkan babak tulisanku pada malam ini juga. Tapi, aku mesti bantu teman penulis yang dalam kebingungan ini.

DAN AKU TITIPKAN RAHSIA INI…

‘You buka Youtube… sila key-in perkataan ‘movie fighting scenes.’ Kat situ, you boleh pilih babak bergaduh di lorong belakang, di dalam restoran, di dapur, di bangunan tinggi, di dalam air dan macam-macam. Pilih video yang sesuai dengan babak. Kemudian, prosakan apa aksi yang dilihat.’

Saya tekan ‘enter’ dan mengirim respon. Kemudian saya menyambung kerja. Setelah siap menulis, saya tutup komputer dan masuk tidur.

Pagi esoknya, imej ikonnya melompat ke skrin sebaik sahaja saya buka Facebook.

‘Terima kasih, tuan.’ Ringkas jawapannya.

‘Sama-sama.’ Kujawab ringkas juga di dalam hati.

*Imej Utama oleh Sasin Tipchai dari Pixabay