BLOG

Artis-Artis Indonesia Perkenalkan Buku Melalui Sandiwara Sastera

Artis-Artis Indonesia Perkenalkan Buku Melalui Sandiwara Sastera

BPSMP SANGIRAN.INDONESIANA.7.7.2020

Jakarta –Direktorat Jenderal Kebudayaan, Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan, telah melancarkan program Sandiwara Sastra. Ia adalah sebuah sandiwara radio yang menyampaikan karya sastra Indonesia dalam bentuk podcast. Apa yang menarik ialah, ia disampaikan oleh para seniman.

Menteri Pendidikan dan Kebudayaan, Nadiem Anwar Makarim menyambut baik program tersebut. Menurutnya, sastera berperanan dalam memajukan budaya dan membentuk karakter bangsa.

“Sandiwara Sastra bukan hanya sebagai karya seni dan inovasi. Malah, ini adalah jalan untuk mengangkat pembacaan,” ujarnya.

Senada dengan hal tersebut, Direktur Jenderal Kebudayaan, Hilmar Farid amat menghargai komitmen untuk menghidupkan kembali karya sastera melalui para artis Indonesia.

“Dua puluh tahun lalu, sandiwara di radio mengalami cabaran dari media elektronik, televisyen dan akhirnya ia suram. Tapi sekarang secara tiba-tiba ada minat baru terhadap podcast, dan ternyata radio di daerah-daerah juga masih memainkan peranan yang sangat penting. Bagi saya ini tanda bahawa ada komitmen luar biasa dari para seniman untuk menghidupkan kembali karya sastera,” tambahnya.

Sandiwara Sastra merupakan kolaborasi antara Kemendikbud, Yayasan Titimangsa dan KawanKawan Media. Karya sastera ini dihasilkan oleh Happy Salma dan produser Yulia Evina Bhara, serta pengarah Gunawan Maryanto. 

Para aktor dan aktris yang terlibat antara lain Adinia Wirasti, Ario Bayu, Arswendy Bening Swara, Asmara Abigail, Atiqah Hasiholan, Chelsea Islan, Chicco Jerikho, Christine Hakim, Eva Celia, Happy Salma dan Iqbaal Ramadhan. 

Para artis Indonesia sedang bersandiwara di zoom. Pixcredit: javapos

Turut menyumbangkan suara mereka ialah Jefri Nichol, Kevin Ardilova, Lukman Sardi, Lulu Tobing, Marsha Timothy, Mathias Muchus, Maudy Koesnaedi, Najwa Shihab, Nicholas Saputra, Nino Kayam, Oka Antara, Pevita Pearce, Reza Rahadian, Rio Dewanto, Tara Basro, Vino G. Bastian dan Widi Mulia.

Program ini akan mengadaptasi 10 karya sastera Indonesia, yang di antaranya ialah Ronggeng Dukuh Paruk karya Ahmad Tohari; novel Helen dan Sukanta karya Pidi Baiq; cerpen Kemerdekaan karya Putu Wijaya dan cerpen Menunggu Herman karya Dee Lestari.

Sandiwara audio ini dapat didengarkan mulai Rabu, 8 Julai 2020 pukul 17.00 waktu Indonesia Barat melalui podcast audio @budayakita. Setiap episodnya berdurasi 30 minit dan masing-masing disampaikan oleh 3-4 artis yang akan berperanan sebagai narator. 

Bagaimana di Malaysia? Apakah ada mana-mana persatuan penulis ingin mengatur pendekatan memperkenalkan karya para penulis melalui sandiwara sastera di radio. Barangkali Kota Buku boleh memulakan langkah untuk merealisasikannya.

Sumber: https://kebudayaan.kemdikbud.go.id/

*Gambar Utama: Sandiwara Sastra ke udara mulai 8 Julai 2020. Pixcredit: republika.id

Suka atau Benci, Jangan Over

Suka atau Benci, Jangan Over

Saya menonton siaran langsung Sidang Parlimen Malaysia kelmarin kerana hendak ikuti sesi pembentangan usul tukar Yang di Pertua Dewan Rakyat. Meskipun sudah mengagak sidang itu pasti hangat dan riuh, saya hendak tonton juga gelagat Ahli-Ahli Parlimen berikutan dengan perubahan kedudukan kerusi mereka di Parlimen.

Dalam perbahasan itu, Tun Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi telah bangun membahaskan usul. Seperti lain-lain pembentang, ucapannya dicelah oleh Ahli-Ahli Parlimen lain, meskipun terdapat sisa-sisa rasa hormat dan ruang diberikan kepada Tun. Namun, jika kita meneliti ruangan komen di media sosial Tun seperti Facebook, kita akan dapati kian ramai netizen yang memberi komen itu semakin lantang mengkritik beliau.

Tidak sampai dua tahun yang lalu, Tun Mahathir menerima sanjungan sebagai penyelamat negara daripada apa yang dinamakan sebagai pemerintahan kleptokrasi. Jika kita ingat, ruangan Facebook Datuk Seri Najib ketika itu dikritik kiri dan kanan. Imej Datuk Seri Najib ketika itu amat negatif. Kita tentu ingat betapa imej wajahnya turut dibadutkan.

Apabila Barisan Nasional tewas dalam PRU-14, kritikan terhadap Datuk Seri Najib kian menjadi-jadi. Dalam waktu yang sama, beberapa tindakan parti Pakatan Harapan telah tidak dipersetujui rakyat. Pada ketika itu, hanya Datuk Seri Najib sahaja yang konsisten menjawab segala isu yang menghentam pemerintahan Barisan Nasional. Beliau menggunakan maklumat dan data sebagai bukti.

Dalam waktu yang singkat, beliau diterima kembali oleh netizen. Pandangannya disokong dan tindakan beliau dipuji sehingga lahirlah frasa ‘Bossku’ yang menaikkan nama Datuk Seri Najib kembali. Imej beliau sinonim sebagai jurucakap bagi rakyat. Beliau dikerumuni di mana-mana. Malah, dikatakan di antara faktor kemenangan calon-calon Barisan Nasional di dalam Pilihanraya Kecil adalah kerana pengaruh Datuk Seri Najib.

Lihatlah betapa pandangan umum terhadap dua orang individu ini berubah 360 darjah. Yang disanjung sudah tidak diendahkan. Yang dicemuh dan dijauhi kini disukai. Apakah ini sikap kita? Hari ini menyukai seseorang hingga ke peringkat taksub. Pada hari esoknya dia dibenci sebenci-bencinya? Apakah apabila kita sukakan seseorang, kita tidak terfikir yang satu hari nanti kita mungkin tidak akan menyukainya? Atau seseorang yang kita benci itu akan kita sayang dan suka pada hari esoknya?

Orang tua berkata, buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali. Mengapa sudah tiada pendirian berpada-pada itu? Pendirian menyukai sepenuh hati mahupun membenci sesungguh hati seolah-olah tidak memberi sedikit pun ruang kasihan belas di hati kita. Betapa kita hanya punyai perasaan hitam dan putih, tetapi tiada lagi warna kelabu? Apakah kita masih bersikap seperti orang terdahulu yang jika membenci, dendamnya disimpan hingga ke tujuh keturunan?

Bagaimana pula dalam perhubungan kita sehari-hari? Apakah hari ini kita bertegur sapa dan bertepuk tampar dengan jiran tetangga, tetapi esoknya kita membuat wajah ketat seolah-olah tidak mengenalinya semata-mata kerana kucing jiran kita itu memecahkan pasu bunga? Bagaimana pula perhubungan kita dengan teman-teman sekerja? Apakah begitu juga?

Sekiranya sedemikian, kita sebenarnya punyai masalah dalam perhubungan manusia. Kita punyai pendirian yang ideal dan punyai standard apakah yang baik dan buruk di mata kita tanpa memberi ruang kepada pandangan orang lain terhadap kita. Jika baik, kita setuju segalanya apa yang orang lakukan sehingga ke peringkat ditolak ansur-ansur. Sebaliknya apabila tidak bersetuju, kita terus berseteru seolah-olah sudah patah arang berkerat rotan. Penat, bila perhubungan manusia kita begini.

Seelok-eloknya jika kita sukakan seseorang, kita kenalah tertib untuk menegurnya. Sebaliknya jika bencikan seseorang, janganlah sampai berasa yang kita tak akan menengok mukanya lagi. Bersederhanalah sebagai batas dalam pergaulan.

Novelis Spy Yang Nyaris Ditembak Perisik!

Novelis Spy Yang Nyaris Ditembak Perisik!

DAVID BALDACCI adalah salah seorang novelis aksi thriller Amerika yang berjaya. Beliau adalah seorang peguam sebelum menulis sepenuh masa. Novelnya yang pertama Absolute Power, terbit pada 1996. Setahun kemudian ia dijadikan filem oleh bintang filem lagenda Clint Eastwood. Di antara novel-novelnya yang terkenal adalah The Camel Club, True Blue, Wish You Well dan The Forgotten.

Novel-novel David Baldacci. Pixcredit: Author Don Masszendio

Ikuti temubual dengan beliau:

Bila anda siap menulis, apakah anda berasa mahu menjauhi karya anda?

Saya bukan penulis yang mengira berapa perkataan yang saya tulis pada setiap hari. Ramai rakan-rakan penulis lain yang misalnya mempunyai sasaran 2,000 perkataan sehari. Apabila mereka capai sasaran itu, mereka tutup komputer dan pergi bermain golf.

Saya pula tidak menentu. Saya akan menulis panjang pada satu-satu masa. Kemudian saya boleh tinggalkan menulis hingga seminggu!

Apakah ia tidak membimbangkan saudara kerana segala idea akan tersimpan di dada?

Pada masa dulu, saya akan berasa bimbang bila tidak menulis. Tapi saya tidak pernah melewati tarikh dalam tempoh 14 tahun ini. Cuma sebab mengapa saya begitu suka menulis ialah, saya gemar mengejutkan orang melalui penulisan saya. 

Bagaimana anda menjaga diri sebagai penulis? Contohnya, saudara mesti menjaga tangan saudara sebagai alat menulis. Dengan itu saudara tidak akan ambil sukan lasak seperti bungee jump…

Saya main bolasepak dan juga bergusti di kolej. Saya banyak juga belayar. Dalam keadaan itu, tangan saya biasa tercedera. Saya tak terfikir pun untuk menjaga tangan saya sampai macam tu.

Apakah hak mutlak anda sebagai penulis?

Hak mutlak saya ialah mengubah realiti mengikut apa yang saya mahu. Saya boleh memindahkan bangunan, negara, waktu dan juga generasi. Saya juga boleh mengubah sejarah. Apa yang ahli politik tak boleh buat, saya boleh buat.

Oleh kerana saudara banyak sangat menulis tentang CIA dan FBI, apakah mereka datang mencari saudara? 

Selalu! Saya pernah di telefon oleh pihak agensi angkasa lepas NASA. Mereka mahu saya melawat ke pusat operasi mereka kerana berasa saya mungkin boleh menjadikan tempat itu sebagai lokasi novel saya yang akan datang. 

Saya terima pelawaan dan pergi melawat ke pusat operasi itu. Di sana salah seorang pegawai mereka berkata, mereka berasa bengang dengan sebuah filem berjudul ‘Enemy of the State.’ Dalam filem itu, para pegawai National Security Council yang mengendalikan satelit digambarkan sebagai jahat. 

Novel terkini Walk The Wire. Pixcredit: amazon.in

Sedangkan mereka di NASA adalah lebih jahat daripada itu. Kerana itu pegawai itu meminta saya menulis tentang mereka dengan imej yang lebih jahat!

Ramai daripada mereka dalam pelbagai badan kerajaan membaca novel saya. Ramai di antara mereka yang memberitahu saya, jika mahukan apa-apa bantuan dalam penulisan, saya boleh hubungi mereka. 

Saya pernah ke CIA pada suatu waktu untuk membuat penyelidikan. Mereka amat bekerjasama. Saya ditemukan dengan pelbagai staf dan dibenarkan bertanya. Ketika menaiki lif bersama pegawai yang mengiringi saya, tiba-tiba seorang ejen yang berselisih dengan kami tiba-tiba mengacukan pistol dan menjerit… ‘Hey, you!’ 

Saya terkejut dengan perlakuan itu. Dia bertanya saya, ‘Apakah awak David Baldacci?’ Saya menjawab, ‘Saya tak tahu! Tapi awak ada baca ke, novelnya?’

Ejen itu menjawab, ‘Oh saya suka baca novel dia!’ 

Saya pun lantas berkata, ‘Sayalah David Baldacci!’ 

Kata ejen itu, ‘Saya berasa lega bila awak mengaku yang awak adalah David Baldacci.’

‘Kenapa awak rasa lega?’

‘Saya nampak awak dan saya rasa saya kenal awak. Tapi saya tak tahu bagaimana saya kenal awak. Saya terfikir-fikir apakah awak orang yang saya kenal, atau seseorang yang saya pernah tangkap!’

Video temubual:

Gambar Utama: David Baldacci. Pixcredit: UPI.com

Covid 19: Pestabuku Hong Kong Ditangguh

Covid 19: Pestabuku Hong Kong Ditangguh

THESTANDARD.COM.11.7.2020

Hong Kong ~ Majlis Pembangunan Perdagangan Hong Kong telah menangguhkan Pestabuku Antarabangsa Hong Kong. Pengumuman ini dibuat pada saat-saat akhir berlangsung pestabuku itu pada 15 Julai.

Menurut kenyataan majlis itu, situasi pandemik terkini telah memutuskan agar kerajaan menguatkuasakan penjarakkan sosial untuk kepentingan ramai. Meskipun tindakan kawalan telah diatur, keadaan sekarang menyukarkan menularnya penyakit itu. 

Sebelum itu, 200 pempamer telah menggesa pihak penganjur menangguhkan Pesta Buku Antarabangsa Hong Kong 2020 kerana dibimbangi akan melonjakkan kes-kes covid-19 di negara itu.

Setiausaha Kesihatan Sophia Chan siu-chee. Pixcredit: TheStandard.com

38 kes baharu covid-19 telah dikesan kelmarin. Punca jangkitan sembilan daripada mangsa tidak dapat dikenalpasti. Setiausaha Jabatan Kesihatan Hong Kong, Chan Siu-chee berkata, pestabuku itu bakal memberi risiko tinggi.

Menurut Siu-chee lagi, “Peningkatan kes covid-19 dalam waktu yang singkat itu amat membimbangkan. Namun, pihak kerajaan sedang memantau situasi pada setiap masa. 

Menurut seorang pakar mikrobiologi Chinese University, David Hui Shu-cheong, “Perhimpunan ramai seperti pestabuku akan memudahkan jangkitan dan menyukarkan pemantauan terhadap mereka yang terjangkit.

Keadaan di Pestabuku HongKong tahun 2017. Pixcredit: theHoneycombers

Sebelum ini, pihak penganjur berkeras mahu meneruskan pestabuku itu. Malah, mereka mengumumkan pada bulan lalu bahawa mereka akan mengawal keadaan dengan mempastikan para pengunjung membasuh tangan sebelum membelek buku, sentiasa memakai pelitup hidung dan menggalakan para pengunjung datang pada waktu malam di mana keadaannya lebih lengang.

Tindakan Majlis Pembangunan Perdagangan Hong Kong adalah tepat pada masanya. Kita tidak mahu pesta buku menjadi tragedi pula.

*Gambar Utama: Suasana Pestabuku Hong Kong tahun 2019 – (Sumber: tatler hongkong)

Penulis Lithuania Menangi Anugerah Buku Antarabangsa

Penulis Lithuania Menangi Anugerah Buku Antarabangsa

THE BALTIC TIMES. MAGARITA ALPER.2.7.2020

Penulis dan pelukis Monika Vaicenavičienė baru-baru ini telah dianugerahkan  Premio Andersen 2020 Prize di Itali kerana bukunya, “What is a River?”

Buku yang dianugerahkan dalam kategori sastera bukan fiksi kanak-kanak itu pernah diterbitkan dalam bahasa Swedish. Namun kini bukunya telah diterbitkan dalam lebih 10 bahasa. Kini, buku itu akan diterbitkan dalam bahasa Inggeris dan juga Somali.

Menurut Monica, buku What Is A River itu berkisar dalam beberapa kategori – sungai sebagai sebuah perjalanan, sebuah kediaman, sebagai sebuah misteri dan juga sebagai sebuah teka-teki.

Beliau melihat bukunya itu sebagai dokumentari lisan. Untuk menjadikan ia hampir dengan para pembaca, Monika menghidupkan dua watak yang menggabungkan dongeng, mitologi, ekologi dan masalah kita seharian.

Anugerah Anderson ini telah berlangsung sejak 1982. Para pemenangnya diumumkan di Pestabuku Antarabangsa Bologna pada Mac lalu, namun pandemik covid-10 telah membatalkan pestabuku itu.

Pautan Asal: https://www.baltictimes.com/lithuanian_author_wins_prestigious_andersen_children_s_book_award/

Kredit Imej: Laman web Monica Vaicenaviciene

Iklan

Petikan Terpilih

BELI MAAFCAKAP 4 – KLIK GAMBAR!

LAYAR SOROT

BELI DI BOOKDEPOSITORY

LANGGAN LAYARMINDA

[mc4wp_form id=”572″]