BLOG

Perginya Seorang Sahabat dan Mentor

Perginya Seorang Sahabat dan Mentor

Saya bangkit subuh dan menatap mesej pemergian Dato’ Abd. Jalil Ali, Penasihat Editorial akhbar Sinar Harian. Semoga ALLAH swt mencucuri rahmat ke atas ruh allahhyarham dan dihimpunkan bersama ruh-ruh mereka yang beriman. Al-fatihah.

Dia seorang yang baik hati. Itulah komen kami semua apabila bercakap mengenai allahyarham Dato’ Abd. Jalil Ali. Sekali pandang, komen itu bagai komen yang biasa. Tetapi, tanyalah mereka yang telah berbual, berbincang dan bermesyuarat bersamanya. Kalau pun beliau ingin mempertahankan hujah dalam suasana mesyuarat yang panas pun, beliau berhujah dengan tegas tetapi tidak pernah timbul urat leher ataupun mukanya naik merah menahan amarah. Pendek kata, beliau sentiasa tenang dalam apa jua keadaan.

Emilya Zulaikha, satu-satunya novel allahyarham bersama Alaf 21; menggunakan nama samaran Ariff Affandy

Saya mengenali allahyarham sejak bertugas di Kumpulan Karangkraf. Perhubungan kami berubah dari sebagai staf dan mentor, menjadi rakan setugas dan akhirnya sebagai sahabat. Tatkala menjadi Editor majalah Gelihati, beliau telah pun menjadi Ketua Pengarang Majalah Kumpulan Karangkraf. Allahyarham kerap juga memberi idea-idea kelakar untuk majalah humor itu. Kemudian apabila saya bertugas sebagai Pengurus Pemasaran, pada banyak ketika, beliaulah yang menjadi orang koordinator apabila saya inginkan kerjasama di antara para editor dan Jabatan Pemasaran.

Saya teringat bagaimana saya menggalakkan allahyarham menulis novel ketika saya mengendalikan syarikat penerbitan buku, Alaf 21. Oleh kerana saya suka tulisan-tulisan beliau sebagai Boonlert Pratchai di akhbar Bacaria suatu ketika dahulu, saya percaya allahyarham boleh menulis fiksyen dengan baik.

Saadiah Mohamed saya tugaskan menjadi editor bagi novelnya. Allahyarham menulis berpuluh artikel sebulan untuk pelbagai majalah di Kumpulan Karangkraf seperti Nona, Keluarga, Mingguan Wanita dan Pengantin. Kerana itu, masanya amat terhad. Namun, akhirnya lahirlah novelnya berjudul Emilya Zulaikha dengan nama samaran Ariff Affandy. Itulah satu-satunya novel beliau bersama Alaf 21.

Tulisan-tulisan allahyarham sebagai kolumnis di pelbagai majalah memang diminati ramai. Berikutan dengan permintaan para pembaca, tulisan-tulisannya dihimpun dan diterbitkan. Bermula dengan buku Asam Garam Gula & Kopi yang mendapat sambutan, lima lagi bukunya diterbitkan iaitu  Teh Tarik Kurang Manis, Kopi O Tanpa Gula, Asam Pedas Sirap Bandung, Cendol Pulut Santan Lebih dan Dari Menara KL.

Sewaktu saya menjadi Ketua Pengarang Kumpulan Akhbar Sinar Harian, allahyarham menjadi Penasihat Editorialnya. Saya kerap kali berbincang dengan beliau kerana bilik kami sebelah menyebelah. Sebagai sebuah akhbar, team editorial akan bermesyuarat dua kali sehari. Apabila timbul isu-isu yang perlukan pertimbangan naluri, kepada beliaulah saya merujuk.

Pernah juga terjadi insiden bilamana allahyarham akan terus menelefon para editor saya untuk menyuarakan pendapatnya. Apabila editor merujuk pula kepada saya, jawapan saya kepada mereka agak mudah. Kata saya, “Dalam 10 perkara yang kita tanya bos Jalil, biasanya dia akan jawab ‘yes!’ Jadi, bila dia kata sekali ‘no,’ korang dah tak perlu tanya saya. Jawapan saya wajib ‘no’ juga!” Bagi saya, perkataan ‘no’ itu adalah kuasa vetonya.

Setelah saya bersara, saya pasti singgah untuk bersembang dengan beliau apabila saya ke Sinar Harian. Dia rajin bertanya tentang perkembangan saya. Kata-katanya sebelum kami berpisah selalunya ialah, “Kalau engkau datang ke Sinar, singgahlah jumpa aku. Aku nak tau juga cerita orang pencen ni, haha,” selorohnya bersama gelak. 

Cuma akhir-akhir ini, saya tak berpeluang untuk bersembang dengan allahyarham apabila ke pejabat Sinar Harian. Bila saya intai ke bilik pejabatnya, ianya gelap. 

Dipermainkan Tangan-Tangan Ghaib

Dipermainkan Tangan-Tangan Ghaib

MAAFCAKAP 5.8.2020

Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen ke-14 berlangsung dengan hangat. Bukannya hangat dalam perdebatan pro dan kontra ketika pembentangan usul untuk sesebuah akta baharu, sebaliknya hangat ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong hingga susasana jadi tak keruan. 

Samada kita meluat ataupun tidak, inilah budaya di dalam Parlimen pada hari ini. Namun, jika kita rajin mengintai di kantin Parlimen, kita akan lihat Ahli-Ahli Parlimen dari blok kerajaan mahupun pembangkang elok sahaja duduk bersama menjamu selera. Jadi, yang riuh rendah di dalam Parlimen bagai hendak rak itu, apa?  Iya, mereka juga seperti ahli-ahli gusti di tepian gelanggang. Mereka baik-baik sahaja kerana mereka profesional!

Suasana serius dan berhati-hati kita sewaktu PKP telah berubah 360 darjah akibat penangan mereka. Berita mereka kini berselang-seli dengan berita usaha kerajaan memerangi Covid-19. Nampaknya ahli-ahli politik adalah frontliners dari segi bahan berita. Isu pertumbuhan ekonomi, sosial, malah cerita-cerita golongan artis telah menjadi suam.

Apabila mahkamah menjatuhkan hukuman terhadap mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, ia banyak dibahas dari sudut politik, bukan sangat dari sudut lain seperti kedaulatan undang-undang. Tafsiran yang segera dilihat ialah kesan politik kepada kerajaan Perikatan Nasional.

Oh, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan lega kerana ancaman Najib untuk bertapak kembali ke dalam UMNO semakin pudar. Malah, soalan yang ditanya kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ialah apakah UMNO akan menyertai Perikatan Nasional?

Soalan ini tidak perlu kerana Perikatan Nasional masih belum didaftarkan. Apabila beliau berkata UMNO tidak akan menyertai Perikatan Nasional, ia dikonotasikan seolah-olah sebagai keputusan besar yang akan UMNO ambil berikutan keputusan mahkamah ke atas Datuk Seri Najib. Peliknya, apabila muncul berita Bersatu memohon menyertai Muafakat Nasional, cerita itu tidak diulas dan dianalisa. Terkini, apabila DUN Sabah dibubarkan, topik politik semakin panas dibincangkan khususnya dalam grup-grup Whatsapp.

Namun, kebanyakan debat ini bertitik-tolak daripada pautan sesebuah berita politik dari media online. Cerita Najib, Muhyiddin, Haji Hadi, UMNO, Pas dan Bersatu dibincangkan secara bebas penuh dengan sindiran, ancaman malah dengan kata-kata kesat. Mereka berdebat dari sebuah berita yang dipaut dari akhbar dan blog. Lazimnya apa yang disuarakan begitu membimbang dan membahayakan.

Soalnya, mengapa perbincangan dari media akhbar dan media maya dipindahkan ke dalam kumpulan-kumpulan Whatsapp dan menjadi bahan analisa dan perbincangan? Kebanyakannya pula berupa spekulasi, malah tak betul pun. Sekali pandang, tampak canggihlah hujah-hujahnya. Dua kali perhati, ia amat dangkal kerana sumbernya dari pendapat sekali lalu yang diulas penulis artikel, kemudian ditampal ke dalam kumpulan Whatsapp dan dikomen secara berjemaah hingga tular ke seluruh negara.

Betapa terdapatnya komen seorang Ketua Pemuda Bahagian pun dibincangkan dari pagi hingga ke malam hingga ada yang left group kerana berkecil hati. Sedangkan pucuk pimpinan parti-parti yang terlibat tidak pernah bersuara, malah amat damai ketika duduk sama-sama bermesyuarat. 

Berhati-hatilah. Jangan kerana hendak dilihat impresif sebagai penganalisis, kita sebenarnya termakan dengan permainan mereka yang sengaja menggemburkan berita dan cerita perbezaan pendapat seolah-olah telah berlaku perbalahan. Berhati-hatilah dengan permainan tangan-tangan yang ghaib yang sentiasa baling batu sembunyi tangan! Tangan-tangan itu sudah kembali!

Pelukis Malaysia Erica Eng Terima Anugerah Eisner

Pelukis Malaysia Erica Eng Terima Anugerah Eisner

AZRIL ANNUAR.MALAYMAIL.25.7.2020

Animator dan pelukis Erica Ng telah memenangi Eisner Award melalui komiknya Fried Rice.

Dengan rasa gembira, Erica mengucapkan tahniah kepada ibubapanya, keluarga,  teman-teman serta seluruh rakyat Malaysia kerana memberinya inspirasi melakarkan kisahnya. Beliau turut berterima kasih kepada panel juri kerana mengiktiraf ceritanya.

Erica menerima pencalonan pada 5 Jun lalu. Ia mengisahkan Min, seorang gadis dari Batu Pahat, Johor yang berkunjung ke rumah sepupunya di Bangsar, Kuala Lumpur. Pada waktu yang sama, Min turut memohon untuk melanjutkan pelajarannya di sebuah sekolah seni di New York.

Watak Min dalam Fried Rice. Pixcredit: Thestar

Erica, 21, menamatkan persekolahannya pada tahun 2015 dan kemudiannya menamatkan kursus Diploma Animasi pada tahun lalu. Kini beliau melanjutkan pelajarannya dalam bidang animasi 3D di Academy of Art University.

Eisner Awards yang berlangsung secara tahunan pada bulan Julai di San-Diego Comic-Con dikatakan setanding dengan Oscar Awards untuk industri perfileman.

Pautan asal berita:
https://www.malaymail.com/news/life/2020/07/25/malaysian-artist-erica-eng-takes-home-the-prestigious-eisner-award-for-best/1887979

Erica mula melukis cerita Fried Rice di bilik hostelnya. Beliau menggunakan pensil, kertas dan pewarna air setelah kerap melukis secara digital. Ikutilah temubual Asiatatler.com dengan Erica Eng:

Apakah Fried Rice ini inspirasi dari kehidupan anda?

Begitulah. Secara keseluruhannya kisah itu bukannya kisah saya. Tetapi momen-momen yang dirakam seperti perasaan, dialog dan persahabatan adalah berdasarkan pengalaman saya.

Apakah perbezaan web comic ini dengan karya anda sebelum ini?

Sebelum Fried Rice, saya melukis secara digital. Tetapi setelah saya melihat lukisan Cyril Pedrosa, Jillian Tamaki, Andrea Serio dan Manuele Fior yang melukis di kertas, saya berasa mampu menghasilkan berkarya setebal 300 halaman.

Siapa-siapakah yang memberi anda inspirasi?

Mereka yang mempengaruhi saya bukan semuanya artis visual. Saya turut mendapat inspirasi dari ahli muzik, pembikin filem dan juga penulis seperti Joanna Newsom, Éric Rohmer, Edward Yang dan C.S. Lewis

Apakah perasaan anda apabila dicalonkan untuk Eisner Award?

Saya mengirim penyertaan melalui e-mel bersama sepucuk surat. Apabila saya menerima e-mel pertama yang karya saya telah tercalon, saya terkejut dan teruja. Saya tak beritahu sesiapa pun kecuali ahli keluarga dan juga teman karib saya.

Apabila saya memperoleh kenyataan akhbar dalam e-mel saya, saya bersimpuh, menangis dan bersyukur kepada Tuhan. Saya berasa gayang di sepanjang hari.

Bagaimana kemenangan ini mengubah pandangan anda tentang kehidupan?

Saya berasa yang saya bebas bercerita. Tetapi saya tidak terfikir yang cerita saya ini akan terpilih pun. Apabila saya melukis Fried Rice, saya bercakap dengan diri saya sendiri, ini adalah cerita saya yang pertama. Kalau tak ada orang baca pun tak mengapa.

Ilustrasi Fried Rice yang berlatarbelakangkan Malaysia. Pixcredit: TheRakyatPost

Melalui Fried Rice, para pembaca dapat melihat kehidupan di Malaysia. Apakah ertinya buat anda?

Sebagai seorang pelukis, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menceritakan yang kehidupan di Malaysia ini amat indah dan wajar dirakam dalam bentuk seni.

Bagaimana anda mahukan pembaca melihat Fried Rice?

Kisahnya penuh dengan tema asal usul dan nostalgia. Saya menulisnya untuk mereka di zaman sekolah menengah. Pembaca sebegini perlukan cerita yang punyai nilai dan pengukuhan.

Pautan asal temubual:
https://my.asiatatler.com/life/getting-to-know-erica-eng-eisner-nominated-web-comic-fried-rice

.

.

Covid 19: Pesta Buku The Big Bad Wolf Thailand Dibuat Secara Online

Covid 19: Pesta Buku The Big Bad Wolf Thailand Dibuat Secara Online

Coconuts Bangkok. 30.7.2020 

Setelah empat tahun berturut-turut memberi kegembiraan kepada warga Thailand dengan pameran buku, pada tahun ini The Big Bad Wolf, syarikat pempamer buku terbesar di dunia akan mengadakan jualannya kembali.

Cuma pada kali kelima ini, pameran buku ini diadakan secara online dari 3 hingga 6 September. Jualan gudang The Big Bad Wolf menawarkan jutaan judul-judul buku dengan harga diskaun ebsar di antara 50 % hingga 90 %. 

Sebelum ini, Pesta Buku Thailand turut dianjurkan secara online.  Namun, berikutan sambutan orang ramai, telah berlaku website crash pada hari pertama ia berlangsung.

Pesta Jualan The Big Bad Wolf adalah pesta jualan yang terbesar di dunia. Ia diasaskan oleh pasangan Andrew yap dan Jacqueline Ng dari Malaysia mulai tahun 2009 sebelum dibawa ke negara Thai pada 2016.

Salah sebuah Pesta Buku The Big Bad Wolf. Pixcredit: xinhuanews

Pautan artikel:
https://coconuts.co/bangkok/lifestyle/big-bad-wolfs-massive-book-sale-to-go-online-in-september/

Syarikat ini telah menjelajah ke lebih 25 buah negara yang di antaranya ialah Thailand, Taiwan, Indonesia, Sri Lanka, Pakistan, Myanmar, South Korea, Philippines, dan United Arab Emirates. Ia telah menjual lebih 25 juta naskhah buku kepada lebih 3 juta para pengunjungnya. 

Konsep Tak Tepat Mengenai Korban

Konsep Tak Tepat Mengenai Korban

BERKORBAN selalunya dikaitkan dengan tindakan menyerah sesuatu yang berharga kepada sesuatu pihak. Masa, tenaga dan wang ringgit lazimnya adalah perkara kesayangan yang dikorbankan demi kebaikan pihak yang menerima korban itu.

Kamus Dewan mendefinasikan korban sebagai amalan menghampirkan diri kepada Allah; sesuatu persembahan kepada dewa dalam pemujaan; pemberian sebagai tanda kebaktian atau menanggung sesuatu penderitaan; agar pihak yang menerima apa yang diserahkan itu mendapat kebaikan daripada pengorbanan itu. Kamus Merriam-Webster pula mendefinasikan korban atau sacrifice sebagai menyerahkan sesuatu untuk sesuatu yang lain, selain daripada semua definasi di atas.

Kisah di dalam al-Quran bagaimana Nabi Ibrahim bersedia mengorbankan anaknya Nabi Ismail adalah senario yang menjelaskan konsep korban sebenarnya. Oleh kerana ketakwaannya kepada Allah, dua beranak itu rela melakukannya. Sehingga di saat-saat akhir perlakuan sembelihan itu, Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail telah nekad untuk melakukannya sebagai tindakan memberi. Tetapi, Allah telah menukarkan korban anaknya itu dengan seekor kibasy. Mereka dibalas syurga kerana ketakwaan itu.

Bagaimana pun, mengikut kefahaman kebanyakan kita pada hari ini, berkorban itu satu tindakan untuk memberi sesuatu yang berharga kepada seseorang untuk kebaikan si penerima. Seorang cikgu sanggup mengorbankan masa rehatnya semata-mata demi kejayaan anak muridnya. Ahli politik pula mengorbankan masa rehatnya untuk kebajikan rakyat. Dan, seseorang bapa berkorban tenaga membanting tulang demi pelajaran anaknya.

Mengapa korban selalunya dikaitkan dengan kesusahan dan penderitaan seseorang demi kebahagiaan pihak yang satu lagi? Seolah-olah berkorban itu berat sebelah atau sesuatu tindakan umpama lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain. Sedangkan bukankah berkorban itu adalah tindakan memilih salah satu situasi kos melepas? Kedua-duanya baik, tetapi pilihan kedua melalui pengorbanan itu memberi ganjaran yang lebih baik dan besar?

Seseorang guru ada pilihan untuk berehat dan melakukan apa yang dia suka di luar waktu mengajar. Tetapi dia memilih untuk berkorban masa semata-mata untuk kejayaan anak muridnya. Dia membuat pilihan yang kedua yang sebenarnya menguntungkannya juga. Apabila anak muridnya berjaya, dia akan berasa bahagia. Setiap kali wajah anak muridnya terpapar di dada akhbar kerana menjadi orang besar, dia akan berasa bangga di sepanjang hayatnya.

Seseorang ahli politik juga ada pilihan untuk mewakilkan para pegawainya menangani semua masalah rakyat. Tetapi dia menggunakan masanya untuk mendengar segala masalah rakyat tidak kira siang atau malam. Hasilnya, apabila masalah rakyat terbanyak di kawasannya terbela, dia dipercayai dan disayangi hingga terpilih lagi menjadi wakil mereka.

Begitu juga, seorang bapa yang bekerja untuk masa depan anaknya itu boleh sahaja bersantai-santai dengan kehidupannya. Biarlah si anak mencari kerja sendiri apa besar nanti. Pandai-pandailah hendak hidup nanti. Sebaliknya, apabila dia berkorban siang dan malam, bergolok dan bergadai demi pelajaran anaknya, si ayah akan memperoleh kebaikan untuk dirinya juga akhirnya. Apabila si anak berjaya kelak, dia juga yang akan dapat menumpang teduh ketika dia sudah tidak berdaya untuk melangkah.

Jelas sekali, berkorban itu bukan sahaja menguntungkan si penerima, tetapi juga si pemberi. Ia tidak pernah berat sebelah. Malah, si pemberi itu akan memperoleh hadiah dalam bentuk kebahagiaan dan kepuasan hati hingga ke akhir hayat melihat hasil pengorbanannya.

Kerana itu apabila dikatakan berkorban, ia tidak sepatutnya dilihat sebagai melepaskan sesuatu untuk orang lain, membahagiakan orang lain atau memberi apa sahaja yang paling disayangi kepada orang lain tetapi diri sendiri merana dalam kepayahan.

Sebaliknya, jika kita menjangkau fikiran lebih jauh, kita akan sedari bahawa semua pengorbanan itu akhirnya dikembalikan untuk diri sendiri juga. Malah, ganjaran spiritualnya lebih baik dan besar. Itupun, belum termasuk ganjaran di akhirat kelak.

Iklan

Petikan Terpilih

BELI MAAFCAKAP 4 – KLIK GAMBAR!

LAYAR SOROT

BELI DI BOOKDEPOSITORY

LANGGAN LAYARMINDA

[mc4wp_form id=”572″]