Saya bangkit subuh dan menatap mesej pemergian Dato’ Abd. Jalil Ali, Penasihat Editorial akhbar Sinar Harian. Semoga ALLAH swt mencucuri rahmat ke atas ruh allahhyarham dan dihimpunkan bersama ruh-ruh mereka yang beriman. Al-fatihah.

Dia seorang yang baik hati. Itulah komen kami semua apabila bercakap mengenai allahyarham Dato’ Abd. Jalil Ali. Sekali pandang, komen itu bagai komen yang biasa. Tetapi, tanyalah mereka yang telah berbual, berbincang dan bermesyuarat bersamanya. Kalau pun beliau ingin mempertahankan hujah dalam suasana mesyuarat yang panas pun, beliau berhujah dengan tegas tetapi tidak pernah timbul urat leher ataupun mukanya naik merah menahan amarah. Pendek kata, beliau sentiasa tenang dalam apa jua keadaan.

Emilya Zulaikha, satu-satunya novel allahyarham bersama Alaf 21; menggunakan nama samaran Ariff Affandy

Saya mengenali allahyarham sejak bertugas di Kumpulan Karangkraf. Perhubungan kami berubah dari sebagai staf dan mentor, menjadi rakan setugas dan akhirnya sebagai sahabat. Tatkala menjadi Editor majalah Gelihati, beliau telah pun menjadi Ketua Pengarang Majalah Kumpulan Karangkraf. Allahyarham kerap juga memberi idea-idea kelakar untuk majalah humor itu. Kemudian apabila saya bertugas sebagai Pengurus Pemasaran, pada banyak ketika, beliaulah yang menjadi orang koordinator apabila saya inginkan kerjasama di antara para editor dan Jabatan Pemasaran.

Saya teringat bagaimana saya menggalakkan allahyarham menulis novel ketika saya mengendalikan syarikat penerbitan buku, Alaf 21. Oleh kerana saya suka tulisan-tulisan beliau sebagai Boonlert Pratchai di akhbar Bacaria suatu ketika dahulu, saya percaya allahyarham boleh menulis fiksyen dengan baik.

Saadiah Mohamed saya tugaskan menjadi editor bagi novelnya. Allahyarham menulis berpuluh artikel sebulan untuk pelbagai majalah di Kumpulan Karangkraf seperti Nona, Keluarga, Mingguan Wanita dan Pengantin. Kerana itu, masanya amat terhad. Namun, akhirnya lahirlah novelnya berjudul Emilya Zulaikha dengan nama samaran Ariff Affandy. Itulah satu-satunya novel beliau bersama Alaf 21.

Tulisan-tulisan allahyarham sebagai kolumnis di pelbagai majalah memang diminati ramai. Berikutan dengan permintaan para pembaca, tulisan-tulisannya dihimpun dan diterbitkan. Bermula dengan buku Asam Garam Gula & Kopi yang mendapat sambutan, lima lagi bukunya diterbitkan iaitu  Teh Tarik Kurang Manis, Kopi O Tanpa Gula, Asam Pedas Sirap Bandung, Cendol Pulut Santan Lebih dan Dari Menara KL.

Sewaktu saya menjadi Ketua Pengarang Kumpulan Akhbar Sinar Harian, allahyarham menjadi Penasihat Editorialnya. Saya kerap kali berbincang dengan beliau kerana bilik kami sebelah menyebelah. Sebagai sebuah akhbar, team editorial akan bermesyuarat dua kali sehari. Apabila timbul isu-isu yang perlukan pertimbangan naluri, kepada beliaulah saya merujuk.

Pernah juga terjadi insiden bilamana allahyarham akan terus menelefon para editor saya untuk menyuarakan pendapatnya. Apabila editor merujuk pula kepada saya, jawapan saya kepada mereka agak mudah. Kata saya, “Dalam 10 perkara yang kita tanya bos Jalil, biasanya dia akan jawab ‘yes!’ Jadi, bila dia kata sekali ‘no,’ korang dah tak perlu tanya saya. Jawapan saya wajib ‘no’ juga!” Bagi saya, perkataan ‘no’ itu adalah kuasa vetonya.

Setelah saya bersara, saya pasti singgah untuk bersembang dengan beliau apabila saya ke Sinar Harian. Dia rajin bertanya tentang perkembangan saya. Kata-katanya sebelum kami berpisah selalunya ialah, “Kalau engkau datang ke Sinar, singgahlah jumpa aku. Aku nak tau juga cerita orang pencen ni, haha,” selorohnya bersama gelak. 

Cuma akhir-akhir ini, saya tak berpeluang untuk bersembang dengan allahyarham apabila ke pejabat Sinar Harian. Bila saya intai ke bilik pejabatnya, ianya gelap.