BLOG

Sandiwara di Panggung yang Sepi

Sandiwara di Panggung yang Sepi

MAAFCAKAP 30.9.2020

Kelmarin, saya terserempak dengan Aliudin, rakan sekolej sewaktu di UiTM. Beliau orang Sabah dari kaum Melayu Brunei. Walaupun masing-masing bertopeng muka, kami masih mengenali di antara satu sama lain.

Tamat Diploma Sains Aktuari di UiTM Shah Alam, Aliudin melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafahnya di Universiti Nebraska, Amerika. Aliudin seorang aktivis pelajar di zaman kampus. Namun tidak pernah mahu bertanding dalam Majlis Perwakilan Pelajar. Dia lebih gemar menjadi orang di belakang tabir. Di kampus, dia menjadi seorang campaign manager bagi teman kami, Zainal hingga rakannya itu berjaya menjadi wakil pelajar. Sikap itulah yang Aliudin bawa bila pulang ke tanahair.

Dia masih menjadi orang belakang tabir kepada Zainol yang pada waktu itu telah menjadi pemimpin sebuah parti politik di peringkat negeri. Bila saya bertanya apakah beliau masih aktif berpolitik, Aliudin hanya geleng kepada. Katanya, dia dah serik.

Pada suatu ketika dahulu, dia mencadangkan projek bernilai jutaan ringgit mengimport alat pengimbas keselamatan kepada Zainol. Zainol mencadangkan agar mereka bertemu dengan orang kuat seorang Pak Menteri.  Seminggu kemudian, Zainol memberitahunya idea itu ditolak kerana tiada peruntukan kerajaan. Tetapi sebulan selepas itu, Aliudin mendapat tahu Zainol mendapat kontrak mengimport peralatan itu bersama pegawai Pak Menteri yang telah menjadi rakan kongsi. 

‘Projek aku kena hijack!’ getus Aliudin. ‘Aku tak boleh percaya sudah sama orang politik. Dia orang boleh buat apa sahaja untuk dapat apa yang mereka hendak. Tengoklah sekarang, masa Covid pun buat pilihanraya. Kita rakyat susah-susah beranikan diri untuk undi mereka. Itu virus bukan kenal siapa pemimpin siapa rakyat. Kalau mahu kena, semua boleh kena. Kemudian lepas pilihanraya boleh gaduh lagi nak pilih Ketua Menteri. Bila mahu habis politik? Geram aku!’

Betapa pun kini Aliudin adalah seorang jutawan. Kini dia menjalankan bisnes import eksport. Bila ditanya bisnes dengan negara mana, jawapannya agak mengagetkan. ‘Bangladesh!’ Aliudin menjawab dan matanya mengecil menandakan yang dia sedang tersenyum di sebalik topeng mukanya.

‘Penduduk Bangladesh ada 161 juta; lima kali ganda penduduk Malaysia. Aku import empat kontena T-shirt dalam sebulan dan jual di sini. Harga tektil memang murah di Bangladesh.’ Bila saya tanya, apa yang dieksportnya, Aliudin tergelak pula. ‘Produk makanan terutamanya mi segera. Jangan tak tahu, orang Bangladesh suka barang makanan dari Malaysia sebab ramai yang pernah kerja di sini.’

‘Suka atau tidak, orang Bangladesh memang rajin. Ramai yang ada kelulusan universiti datang bekerja di negara kita sebagai tempat latihan. Bila balik mereka buka bisnes. Tapi aku rasa, kalau orang politik kita tak habis-habis bergaduh dan ekonomi tak berkembang, rakyat kita pun akan cari makan di negara lain macam orang Bangladesh.’

Menurutnya, pada hari ini pun semakin ramai rakyat Malaysia sudah tidak ambil peduli pertelingkahan politik di antara parti. Mereka sudah jelek kerana orang politik fikir masa depan negara berada di tangan mereka. Sedangkan rakyat sudah lama cari jalan sendiri untuk hidup dan mencari jalur pemikiran sendiri. Semakin ramai pula usahawan yang tak meminta-minta lagi untuk hidup. Mereka mencari peluang bisnes sendiri seperti Aliudin. 

Ramai orang Melayu sudah tidak menjadikan orang politik sebagai idola. Sebab itu ramai yang mencari akar umbi jati diri. Para pamimpin dahulu seperti Hang Tuah, Tun Perpatih Putih, Tun Perak, Sultan Muzaffar Shah dan Panglima Awang yang dilihat dan diangkat dari sudut kepimpinan dan keberanian. Para pejuang penentang penjajah seperti Mat Kilau, Dato Bahaman dan Tok Janggut turut diingati. 

Sejarah negara bukan lagi kisah kejatuhan kita di tangan Portugis, Belanda dan Inggeris tetapi betapa besarnya kesultanan, teknologi persenjataan dan sistem ekonomi hingga menjadikan Melaka negeri yang paling kaya di sebelah sini. Dengan maklumat sejarah, mereka mula tahu siapakah pejuang-pejuang mereka sebenarnya. Orang politik pada hari ini hanya seperti pelakon dalam sebuah sandiwara di sebuah panggung yang kian sepi. 

Tiga Tip: Baca Lebih Banyak Buku Tahun Ini

Tiga Tip: Baca Lebih Banyak Buku Tahun Ini

ANDA sibuk? Tak sempat baca buku? Ini ada tiga tip yang boleh membantu anda mencari masa membaca.

  1. JAUHKAN DARI TELEFON DI WAKTU PAGI DAN MALAM

Oleh kerana telefon selalunya berada dekat, kita selalunya punyai tabiat untuk kerap membukanya. Kajian oleh Asurion, sebuah syarikat insuran telekomunikasi mendapati secara puratanya kita memeriksa telefon 96 kali sehari. 

Sudah tentu kepantasan dunia digital di waktu pandemik Covid-19 ini menjadikan kita makin kerap menggunakan telefon hingga makin sukar menjarakkan diri darinya. 

Menjauhkan diri dari telefon selama sejam-dua pada waktu pagi mahupun malam merehatkan fikiran sambil recaj minda dengan sebuah buku.

  1. JADIKAN MEMBACA SEBUAH PRIORITI

Menurut penulis Stephanie Huston, kekurangan masa bukan alasan untuk tidak membaca. Beliau pernah mencabar dengan seorang teman untuk membaca 50 buah buku setahun. Meskipun ia membimbangkan beliau dapat memenuhi cabaran itu walaupun beliau dalam kesibukan kerja.

“Tak ada masa sebenarnya alasan,” katanya. “Waktu tak berkesudahan saya dengan telefon telah bertukar kepada waktu membaca yang penuh bermakna. Saya membaca selepas bangun tidur, dalam tren, di waktu makan dan sebelum saya masuk tidur.”

Sebenarnya kita ada masa membaca. Apa yang patut kita buat ialah memberinya prioriti.

Julia McCoy, Pengasas Content Hacker, pixcredit: Mangools
  1. PILIHLAH SENARAI BACAAN ANDA

Yang pasti, membaca buku Harry Potter merangsang imaginasi kita lebih baik daripada melihat mesej-mesej di telefon. Untuk itu, senaraikan buku-buku yang ingin dibaca. Bacalah buku-buku ilmiah dan juga fiksyen. Tujuan membaca ialah untuk memperlahankan otak sambil mendapatkan panduan-panduan untuk kebaikan hidup anda. 

*JULIA MCCOY adalah pengasas Content Hacker dan Express Writers. Beliau juga adlah seorang penulis dan pengajar penulisan untuk membina perniagaan.

PM Lancar Buku The Covid-19 Chronicles of Malaysia

PM Lancar Buku The Covid-19 Chronicles of Malaysia

PM LANCAR BUKU THE COVID-19 CHRONICLES OF MALAYSIA

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan buku The COVID-19 Chronicles of Malaysia (Edisi Kedua) di Pejabat Perdana Menteri, di sini.

Buku yang mengandungi kronologi dan strategi untuk menangani COVID-19 di Malaysia itu adalah susulan kepada The COVID-19 Chronicles of Malaysia yang diterbitkan pada Jun lalu.

Kementerian Kesihatan berkata, buku terbitan Institut Penyelidikan Sistem Kesihatan (IPSK) dengan kerjasama Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) yang berada di bawah Institut Kesihatan Negara (NIH), itu merangkumi garis masa dari 31 Disember 2019 sehingga 30 Jun 2020.

“Ia adalah hasil kompilasi maklumat yang diperoleh dari dokumen-dokumen kerajaan, data terbuka serta keratan akhbar berkaitan pandemik COVID-19 di Malaysia,” katanya dalam kenyataan sempena pelancaran itu.

Buku dalam bentuk salinan elektronik itu boleh didapati di laman sesawang http://maera.nih.gov.my/.

Yang turut hadir pada pelancaran buku tersebut adalah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. – BERNAMA

Sikap Cukup Makan Pentingkan Diri

Sikap Cukup Makan Pentingkan Diri

MAAFCAKAP 23.9.2020

Di zaman persekolahan, kita mempelajari pelbagai ilmu. Pengukur kepada kefahaman pelajaran yang diikuti ialah dengan cara permarkahan. Namun, ada markah aras di antara lulus dan gagal sebagai pengukur tahap kefahaman. Biasanya markah 50 daripada markah penuh 100 digunakan sebagai markah lulus yang paling minima. Jika memperoleh 49, seseorang itu dianggap gagal dalam kefahaman sesuatu mata pelajaran.

Lulus dan gagal ini juga diukur mengikut abjad. A adalah kelulusan terbaik, diikuti dengan B dan juga C sebagai kelulusan yang lebih lemah. Abjad D, E dan F pula biasanya adalah simbol kegagalan di mana F adalah kegagalan yang paling teruk.

Di zaman persekolahan juga, kelulusan dan kegagalan akan menimbulkan reaksi yang berbeza. Yang lulus mendapat A, B atau C akan mendapat pujian di mana yang lulus terbaik akan memperoleh anugerah kecemerlangan. Sebaliknya yang gagal dengan mendapat D, E dan F dianggap gagal dan bodoh. Yang gagal mungkin menerima hukuman dimarahi ataupun dirotan.

Oleh kerana itu, terdapat ramai para pelajar berlumba-lumba untuk memperoleh markah A. Mereka berusaha bersungguh-sungguh, memberi perhatian di kelas, membuat kerja rumah, mengikuti kelas tuisyen, menekuni latihan, menjawab soalan peperiksaan tahun-tahun terdahulu selain menghafal. 

Sebaliknya ada juga yang mengambil jalan selesa dan selamat iaitu dengan secara lulus cukup makan. Adalah okey walaupun mendapat C. Okey juga jika mendapat 50 markah, asalkan ia ditulis dalam dakwat biru. Malangnya, golongan yang mengambil jalan selesa dan selamat inilah yang majoriti. Yang disasar hanyalah keputusan yang ala kadar.

Sikap ini dibawa langsung dari bangku sekolah hingga ke alam kehidupan. Secara tidak disedari, ia menjadi matlamat pencapaian peribadi. Cukuplah baginya dengan gaji cukup makan, perbelanjaan cukup makan, malah juga kehidupan yang cukup makan. Ibadahnya juga cukup makan apabila bersolat di akhir waktu, tidak buat solat sunat tatkala para jemaah lain bersolat badiah dan qabliah. Buat yang wajib sahaja sudah cukup kerana akhirnya masuk syurga juga.

Benar, dia tidak menyusahkan orang lain kerana dia di dalam dunianya yang santai. Namun, apabila dia tidak mahu berusaha untuk jadi yang terbaik dan terhandal, kehidupan cukup makannya kerap menggelongsorkannya dalam situasi ketidakcukupan. Bila dalam keadaan sebegitu, dia akan berusaha untuk naik dari tahap tidak cukup kepada aras cukup makan. Bila dia berasa cukup, dia akan relaks kembali. 

Apakah manusia sebegini tidak ada perjuangan di dalam hidupnya? Ada. Dia berjuang. Tetapi dia asyik berjuang dengan dirinya sendiri. Sikap cukup makannya sentiasa membuat dia tenggelam timbul dalam arus kehidupan. Kerana itu dia terpaksa menjaga dirinya sahaja di sepanjang hayat hingga tidak mampu membantu orang lain.

Justeru itu, bukankah sikap cukup makan ini menjadikan seseorang itu hanya mementingkan dirinya? Dia tidak punyai cukup masa, tenaga, fikiran dan wang untuk membantu orang lain. Inilah akibat yang berlaku kepada mereka yang bersikap cukup makan. 

Namun jika kita renungi, siapakah yang melarang dia daripada menjadi yang lebih baik, malah yang terbaik? Tanpa apa-apa sebab, sebenarnya dia sendiri yang menghadkan dirinya untuk menjadi terbaik. 

Seandainya dia tidak memilih sikap cukup makan dan menjadi yang terbaik dalam segala hal, dia akan punyai segala masa, tenaga, fikiran dan wang untuk membantu ahli keluarga, jiran tetangga, malah sesiapa sahaja yang memerlukan. Malah, dia akan membantu majoriti mereka yang hidup cukup-cukup makan sepertinya sebelum ini. Golongan ini hanya memerlukan sedikit motivasi untuk melonjak dari aras ketidakcukupan ke situasi serba ada.  

Jangan pula percaya pada tanggapan bahawa sikap cukup makan itu bersederhana dan kaya raya itu akan menjadikan seseorang itu sombong dan bongkak. Sikap manusia seperti itu hanya ada di dunia TV. Di dunia realiti, terdapat ramai insan-insan kaya raya yang sentiasa memberi. Jadilah salah seorang daripadanya. Bukannya manusia sombong dan bongkak dalam dunia cukup makanmu!

Image by Igor Ovsyannykov from Pixabay

Bila Melayu Kembali Bangkit

Bila Melayu Kembali Bangkit

MAAFCAKAP 16.9.2020

Hari ini, 16 September adalah Hari Malaysia yang ke-57. Nama Malaysia terlahir dengan kemasukan Singapura, Sabah dan Sarawak ke dalam gabungan negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu. ‘Sia’ bermaksud kejayaan dalam bahasa Sweden, ‘zia’ atau ‘sinar’ dalam bahasa Arab, ‘bangkit’ dalam bahasa Roman atau ‘penyatuan’ dalam bahasa Hebrew.

Maknanya, Malaysia membawa makna Melayu yang berjaya, Melayu yang bersinar, Melayu bangkit atau Melayu yang bersatu. Makna dan erti inilah yang kian kita lupakan. Kebiasaan kita untuk melihat sesuatu itu secara lahiriah itu tanpa melihat dan mendalami sesuatu itu menjadikan kita manusia dangkal fikiran.

Rata-rata kita memahami Melayu melalui buku-buku sejarah di sekolah. Oleh kerana subjek sejarah itu pula hanyalah untuk lulus periksa maka subjek itu dilihat dari sudut maklumat hafalan semata-mata. Kerana itulah kita lihat sejarah Melayu itu hanya berkisar kisah dan cerita tokoh dan pahlawan Melayu secara sekali lalu.

Nama-nama manusia yang kita lebih ingat ialah nama-nama penjajah. Dalam benak kita sudah terlekat nama Alfonso de Albuquerque, Lopez de Squiera, Frank Swettenham, Hugh Clifford, JWW Birch dan Stamford Raffles. Nama Mat Kilau, Dato Bahaman, Tok Kenali, Datuk Maharajalela sudah kita ingat-ingat lupa.

Penjajah benar-benar telah memasak fikiran kita untuk mengingati kelompok mereka daripada nama-nama para pejuang bangsa kita. Apatah lagi bila kita mempercayai bulat-bulat tulisan Frank Swettenham dalam bukunya Malay Sketches yang mengumpamakan bahawa orang Melayu itu adalah bangsa pemalas. 

Sikap pemalas itu sendiri adalah sikap yang ada pada mana-mana bangsa. Begitu juga, sikap rajin, cerdik, bertanggungjawab dan amanah juga ada pada mana-mana bangsa. Sikap-sikap positif ini juga terdapat pada bangsa Melayu, Cuma ia tidak disebut oleh penjajah sehinggakan kita menelan bulat-bulat silibus sejarah. Kita tidak tahu bahawa bangsa Melayu itu adalah satu bangsa yang agung dan hebat menguasai seluruh nusantara ini.

Kita lemah untuk mewariskan sejarah yang benar kepada anak cucu sampaikan ada pihak yang berani berkata yang Hang Tuah itu mitos! Begitu kosongnya jiwa orang Melayu akibat terputus DNA sejarah dari minda hingga mereka hilang semangat dan malu mengaku Melayu.  

Kita tentu masih ingat beberapa tahun yang lalu betapa celuparnya pihak yang memperlekeh Melayu sampai boleh mengancam seorang pemimpin Melayu yang mencium keris sebagai istiadat dalam sebuah majlis orang Melayu. Akibat dikritik kononnya mencium keris itu menggambarkan keganasan, pemimpin Melayu itu tunduk dan memohon maaf.

Malangnya juga, tiada seorang Melayu pun yang bangun membantah untuk memperbetulkan keadaan bahawa mencium keris itu adalah simbol mencintai budaya bangsa. Ketika itu tidak ada seorang Melayu pun yang membantah tindakan itu secara berdepan. Sebab apa? Sebab Melayu pada ketika itu begitu menghormati pemimpin. Pada ketika itu, orang Melayu amat menghormati dan menjunjung pemimpin politik mereka.

Masa berlalu. Kekalahan kepimpinan Melayu dalam berpolitik dan perangai mabuk mereka berebut kerusi hingga ke saat ini telah membuka mata orang Melayu bahawa mereka tidak boleh lagi bergantung semata-mata dengan pemimpin politik mereka. Di luar gelanggang politik, di medan juang yang berpadang luas terbentang, kian ramai orang Melayu tidak peduli apa yang kabilah-kabilah politik lakukan.

Mereka menelusuri akar umbi sejarah dan membongkar segala kisah kehebatan bangsa dan menemui banyak kisah kehebatan bangsa Melayu yang tersimpan dan tersembunyi di khazanah peliharaan penjajah. Semua ini telah dibuku dan menjadi rujukan terkini khalayak Melayu. Pada hari ini muncul sedemikian banyak kumpulan-kumpulan pengkaji sejarah Melayu, aktivis kemanusiaan, sosial, agama dan ekonomi. Orang Melayu sudah bangkit dan bersedia membela bangsanya sendiri. 

Setelah bertahun-tahun orang Melayu malu mengaku Melayu, kini semakin ramai orang Melayu berani tampil memanifestasikan kehadiran mereka. Hari ini, 16 September adalah juga Hari Melayu Kembali Bertanjak. Ia adalah ingatan bahawa tanah ini masih ada tuannya.

Iklan

Petikan Terpilih

BELI MAAFCAKAP 4 – KLIK GAMBAR!

LAYAR SOROT

BELI DI BOOKDEPOSITORY

LANGGAN LAYARMINDA

[mc4wp_form id=”572″]