PM LANCAR BUKU THE COVID-19 CHRONICLES OF MALAYSIA

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan buku The COVID-19 Chronicles of Malaysia (Edisi Kedua) di Pejabat Perdana Menteri, di sini.

Buku yang mengandungi kronologi dan strategi untuk menangani COVID-19 di Malaysia itu adalah susulan kepada The COVID-19 Chronicles of Malaysia yang diterbitkan pada Jun lalu.

Kementerian Kesihatan berkata, buku terbitan Institut Penyelidikan Sistem Kesihatan (IPSK) dengan kerjasama Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) yang berada di bawah Institut Kesihatan Negara (NIH), itu merangkumi garis masa dari 31 Disember 2019 sehingga 30 Jun 2020.

“Ia adalah hasil kompilasi maklumat yang diperoleh dari dokumen-dokumen kerajaan, data terbuka serta keratan akhbar berkaitan pandemik COVID-19 di Malaysia,” katanya dalam kenyataan sempena pelancaran itu.

Buku dalam bentuk salinan elektronik itu boleh didapati di laman sesawang http://maera.nih.gov.my/.

Yang turut hadir pada pelancaran buku tersebut adalah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. – BERNAMA