Mahu Menasihat atau Melepas Geram?
MAAFCAKAP 25.11.2020
Saya adalah di antara 24 juta netizen Malaysia yang memilih Facebook kerana ia adalah media sosial yang paling diminati. 84 % netizen di Malaysia memilih Facebook mengikut statistik Oktober 2020 yang dikeluarkan oleh Statista, sebuah agensi statistik yang berpangkalan di Jerman.
Saya gunakan media sosial ini untuk berkongsi dengan ‘friends’ saya mengenai aktiviti, program, perjuangan, pandangan, pendirian serta kerja saya. Setiap posting juga saya buka kepada sesiapa sahaja untuk menatapnya. Oleh kerana itu sesiapa sahaja yang terpandang status saya boleh memberi tanda suka, menurunkan komen mahupun berkongsi apa yang saya paparkan.
Saya dapati status peribadi saya sebagai Norden Mohamed mempunyai lebih banyak respon berbanding dengan lain-lain status. Status saya sebagai petugas media di Malakat Mall mendapat respon yang kedua ramainya dan diikuti dengan status saya sebagai penulis kreatif dan kemudian sebagai seorang aktivis.
Lazimnya saya akan menerima tanda suka yang lebih banyak daripada komen. Komen-komen mahupun ulasan pula lazimnya bernada positif. Namun maklumlah, oleh kerana laman saya adalah terbuka, mereka yang bukan ‘friends’ saya pun boleh mencelah memberi respon.
Terdapat juga mereka yang memberi komen yang sinis dan pedas terhadap status yang tertampal di laman saya. Kalau mereka adalah kawan-kawan yang dikenali, itu tidak menjadi masalah. Saya faham dan selalunya memberi respon untuk mengendurkan keadaan.
Bagaimana pun apabila komen yang dicatat di laman saya itu berbaur kecaman, apatah lagi fitnah dari orang yang saya tidak kenali, tentulah ia menimbulkan kegusaran. Komen-komen mengaitkan orang atau organisasi yang tiada kena mengena dengan komen saya membuat saya berasa pelik.
Mengapa ya, ada yang masuk ‘ke rumah saya’ boleh menjadikan ia sebagai tempat dia mengkritik pihak lain? Tidakkah dia sedar bahawa dia menggunakan laman saya sebagai tempat dia mengata geram pada seseorang individu ataupun mana-mana pihak yang tidak disukainya?
Tindakan itu kurang molek kerana telah mencemarkan ‘rumah’ saya yang dipertahankan supaya sentiasa elok dan berhemah dalam setiap postingnya. Tidakkah dia terfikir apa pula pandangan kawan-kawan saya, apabila seseorang yang tidak mereka kenali mencatatkan komen yang tidak cantik untuk dibaca?
Dia mengkritik bertujuan untuk membetulkan, tetapi dia sendiri menggunakan saluran yang tidak betul kerana komplennya terhadap seseorang mahupun institusi tidak sampai kepada pihak yang sepatutnya mendengar komplennya.
Pada saya, teguran kita pada apa sahaja, jika benar-benar serius harus diajukan terus secara berdepan dengan pihak berkenaan. Jika tidak, ia harus dilakukan secara terasing. Kata orang, ‘boleh PM tepi.’ Sebaliknya jika perkataan yang digunakan cara terang-terangan itu boleh menimbulkan rasa sakit hati orang lain, dia tidak baik untuk pengkritik dan sesiapa yang membaca kritiknya.
Barangkali ramai netizen yang terikut-ikut dengan cara pidato orang politik, peguam mahupun penulis yang kritis sedangkan golongan ini amat berhati-hati mengkritik meskipun apa yang dicatat itu menggunakan perkataan-perkatan yang pedas dan berapi-api.
Padahal jika diperhalusi, mereka menyampaikan kritik secara menyindir dengan menggunakan frasa-frasa berlapik seperti ‘jika beginilah keadaannya,’ ‘tindakan mereka seolah-olah’ atau ‘kita khuatir ada unsur-unsur jahat’ untuk mengelak dari disaman.
Orang profesional seperti ahli politik, peguam dan wartawan adalah umpama ahli gusti. Mereka mampu menghentam sampai luka tetapi dengan cara yang tidak menyalahi peraturan. Tetapi, ramai sekali di kalangan netizen membelasah secara membabi buta dengan membantai tanpa bertapis dalam tulisan mereka.
Di sini timbul persoalan, apakah orang yang mengkritik itu bertujuan untuk memperbetul keadaan atau hanya untuk melepas geram? Yang saya nampak, kritik yang sebegitu hanya melepaskan perasaan. Jika begitu, apakah mereka ini mahu menjadikan ruang status Facebook sebagai wailing wall? Menurut carian, nama wall dipilih sebagai nama ruang kita mencatat status oleh Mark Zukerberg, Pengasas Facebook sebagai simbol ‘tembok meratap’ orang Yahudi di tempat ibadah mereka.
Siti Nordiana Dramakan Kisah Hidup
SUDIRMAN MOHD TAHIR.HARIAN METRO.17.11.2020
Bagi peminat yang membesar dengan penyanyi Siti Nordiana sejak lebih 20 tahun lalu pasti sedikit sebanyak mengetahui perjalanan hidupnya.
Namun, bagi peminat baharu mereka hanya mengetahui apa yang dihidangkan di media massa termasuklah jatuh bangun Siti Nordiana sebagai penyanyi.
Siapa sangka di sebalik semua itu, wanita berusia 36 tahun ini menyimpan pelbagai kisah suka, duka dan ranjau. Bukan saja membabitkan kisah peribadi, tapi juga kerjaya bergelar anak seni.
Jika sebelum ini kisah Siti Nordiana atau mesra disapa Nana dikongsikan dalam penerbitan buku biografi Life Goes On Siti Nordiana, terbaharu sebuah lagi karya biografi novel bakal diterbitkan yang turut memaparkan kisah hidupnya iaitu Bukan Perempuan Biasa (BPB).
Serentak dengan penghasilan buku itu adalah penerbitan drama 13 episod berjudul Aku Seorang Perempuan yang dijangka ditayangkan Mac tahun depan.
Menurut Nana, drama arahan Hashim Rejab itu memaparkan 50 peratus kisah hidupnya bermula dari bertunang, berkahwin, bercerai dan sehingga sekarang.
“Buku biografi novel ini berbeza dengan buku sebelum ini. Malah, untuk drama ini juga ia diinspirasikan daripada kisah hidup saya, cuma tidak sepenuhnya. Hanya 50 peratus saja dan selebihnya diolah bagi memberi warna kepada jalan cerita.
Pautan asal: https://www.hmetro.com.my/rap/2020/11/642553/kisah-hidup-nana

Komuniti di Sarawak Himpun 5000 Buku untuk Rumah Panjang
Kempen derma buku Sarawak #9DAYS500BOOKS berjaya di luar jangka. 5,000 naskhah buku terkumpul untuk Perpustakaan Komuniti Batang Ai di rumah panjang Nanga Ukom.
Kempen anjuran 59th International Congress & Convention Association Asia Pacific Regional Hub Congress (ICCA), di bawah program CSR yang dikenali sebagai “Hadiah Kasih: Perpustakaan Komuniti Batang Ai.”
Projek tajaan Sarawak Energy Bhd ini dianjurkan bersama Persatuan Pustakawan Malaysia dan Perpustakaan Negeri Sarawak. Ia bertujuan untuk mempopularkan perpustakaan komuniti di kawasan yang mempunyai 7 rumah panjang.

Betapa cantiknya sekiranya projek-projek mengumpul buku dianjurkan oleh mana-mana NGO buku dengan kerjasama pelbagai pihak di Semenanjung pula. Tentu ramai yang ingin menyumbangkan buku.
Buku adalah sumber ilmu. Dalam suasana pandemik Covid-19 ini, masyarakat jangan dinafikan budaya membaca. Mudahan-mudahan sekiranya ada anjuran kempen mengumpul buku, para pencinta buku dapat membarakan semangat membaca.
Pautan asal berita:
https://www.thestar.com.my/metro/metro-news/2020/11/17/state-breaks-record-with-5000-books-collected-in-9-days

Tewas Dengan Kesedapan Dunia
MAAFCAKAP 18.11.2020
Baru-baru ini heboh kembali di dalam media apabila para pegawai KPDNHEP menyerbu sebuah premis makanan kerana dilaporkan menyediakan daging babi dalam hidangan masakannya. Meskipun syarikat tersebut telah menafikan dan pihak kementerian masih membuat pemeriksaan makmal, namun ia tidak menghentikan ramai para pengguna Muslim memperkatakan hal ini di media-media sosial.
Kini terdapat lebih 20 kumpulan Facebook mengenai Buy Muslim First (BMF). Pantang ada berita begini, netizen kumpulan-kumpulan itu akan terus komen dan kongsi hingga melimpah ke dalam Twitter, Telegram dan kumpulan Whatsapp pula. Ia menggambarkan kian ramai para pengguna Muslim yang peka dengan apa yang mereka makan meskipun terdapat lebih ramai lagi yang tidak ambil perhatian dengan apa yang mereka ambil.
Makanan dan minuman adalah keperluan asas manusia sejak zaman batu lagi, apabila mereka memburu binatang untuk makanan. Kemudian manusia pandai membakar makanan dan akhirnya mereka boleh berbuat apa sahaja untuk menyedapkan tekak. Mereka pandai menyalai, mengukus, merebus dan menggoreng pula.
Semakin manusia bertamaddun, makanan bukan sekadar ditelan untuk hidup. Malah ia menjadi alat merapatkan silaturrahim, sebagai upacara utama dalam keraian dan cara mempamerkan prestij. Dalam apa jua majlis pada hari ini, jamuan makan menjadi di antara acara yang mesti ada.
Makanan dari sudut biologinya memberi kita pelbagai zat. Makanan mi sup daging misalnya akan memberi kita zat karbohidrat yang memberi kita tenaga dan zat protein untuk otot serta kalsium untuk tulang. Semua ini akan menjadi bahan tumbesaran dan pertahanan tubuh.
Bagaimana pun, makanan yang memberi kita khasiat dari sudut biologi tidak semestinya memberi khasiat kepada roh. Makanan yang haram seperti babi, darah dan bangkai akan merosak roh. Larangan inilah yang menjadi hukum dalam Islam. Namun entah mengapa, makanan tidak diambil berat sebagai sesuatu yang penting meskipun ia kena mengena dengan penjagaan iman.
Seseorang itu dikatakan seorang Muslim yang baik sekiranya dia menunaikan solat lima waktu, rajin berpuasa, berzakat, bersedekah dan menginfaq hartanya. Dia menjaga kebersihan tubuh, rumahtangga, pakaian, ruang solatnya dan juga amat menjaga wuduknya. Tetapi ia tidak lengkap seandainya dia tidak menjaga apa yang dia makan.
Ramai di kalangan umat Islam di negara kita tidak ambil perhatian di mana mereka makan. Asal nampak pekerja restoran yang bertudung, asal nampak tanda halal, asal nampak ramai para pelanggan bertudung dan bersongkok berkunjung untuk menjamu selera, mereka terus duduk dan memesan makanan.
Mereka juga mudah sangat percaya kepada label dan cop pada bahan makanan tanpa rasa mahu memeriksa. Apa jua cop halal walaupun dengan tulisan jawi yang ketot metot pun mereka percaya dengan yakin bahawa apa yang terkandung di dalam bungkusan adalah halal. Kadangkala, mereka tidak pedulikan itu semua lebih-lebih lagi jika ia barangan import seperti coklat dan gula-gula. Asalkan sedap, mereka ketepikan halal dan haramnya.
Mereka juga kalah apabila dikaburi dengan iklan produk-produk makanan. Sebagai pengguna mereka terpengaruh dengan iklan yang dipaparkan hingga bertindak untuk membeli makanan yang iklankan. Yang penting mereka hendak merasa apa yang diiklankan kerana ia menjadi kegilaan ramai.
Setelah mencuba, mereka tidak lagi mahu ketinggalan untuk terus mendapatkan produk itu semata-mata kerana tidak mahu ketinggalan. Banyak gula dan banyak lemak adalah formula bisnes untuk menimbulkan ketagihan makan kerana keenakannya. Manusia begini seolah-olah sudah tewas dengan kelazatan dunia. Mereka tidak pernah tepuk dada, tanya iman!

Guadalajara Terpilih Sebagai Kota Buku Dunia 2022
International Federation of Library Associations.5.11.2020
Ibukota Guadalajara, Mexico terpilih sebagai Kota Buku Dunia anjuran UNESCO untuk tahun 2021. Bandaraya itu akan menganjurkan majlis meraikan buku, pembacaan dan juga perpustakaan.
Program Kota Buku Dunia memberi peluang kepada bandaraya di seluruh dunia untuk mempamerkan sastera warisan di pentas antarabangsa dan juga mengetengahkan penulis dan pembaca untuk masa depan.
Kota buku ini dipilih oleh Ketua Pengarah UNESCO, Audrey Azoulay. Di antara faktor yang mendorong pemilihan kota ini ialah kerana kota ini komited untuk menjadikan ruang-ruang awam untuk aktiviti buku, sebagai aktiviti sosial dan kejiranan.
Kotabuku pada 2020 ialah Kuala Lumpur. Untuk tahun 2021 pula bandaraya Tblisi, Georgia telah terpilih.
Pautan berita asal: https://www.ifla.org/node/93435


