MAAFCAKAP 25.11.2020
Saya adalah di antara 24 juta netizen Malaysia yang memilih Facebook kerana ia adalah media sosial yang paling diminati. 84 % netizen di Malaysia memilih Facebook mengikut statistik Oktober 2020 yang dikeluarkan oleh Statista, sebuah agensi statistik yang berpangkalan di Jerman.
Saya gunakan media sosial ini untuk berkongsi dengan ‘friends’ saya mengenai aktiviti, program, perjuangan, pandangan, pendirian serta kerja saya. Setiap posting juga saya buka kepada sesiapa sahaja untuk menatapnya. Oleh kerana itu sesiapa sahaja yang terpandang status saya boleh memberi tanda suka, menurunkan komen mahupun berkongsi apa yang saya paparkan.
Saya dapati status peribadi saya sebagai Norden Mohamed mempunyai lebih banyak respon berbanding dengan lain-lain status. Status saya sebagai petugas media di Malakat Mall mendapat respon yang kedua ramainya dan diikuti dengan status saya sebagai penulis kreatif dan kemudian sebagai seorang aktivis.
Lazimnya saya akan menerima tanda suka yang lebih banyak daripada komen. Komen-komen mahupun ulasan pula lazimnya bernada positif. Namun maklumlah, oleh kerana laman saya adalah terbuka, mereka yang bukan ‘friends’ saya pun boleh mencelah memberi respon.
Terdapat juga mereka yang memberi komen yang sinis dan pedas terhadap status yang tertampal di laman saya. Kalau mereka adalah kawan-kawan yang dikenali, itu tidak menjadi masalah. Saya faham dan selalunya memberi respon untuk mengendurkan keadaan.
Bagaimana pun apabila komen yang dicatat di laman saya itu berbaur kecaman, apatah lagi fitnah dari orang yang saya tidak kenali, tentulah ia menimbulkan kegusaran. Komen-komen mengaitkan orang atau organisasi yang tiada kena mengena dengan komen saya membuat saya berasa pelik.
Mengapa ya, ada yang masuk ‘ke rumah saya’ boleh menjadikan ia sebagai tempat dia mengkritik pihak lain? Tidakkah dia sedar bahawa dia menggunakan laman saya sebagai tempat dia mengata geram pada seseorang individu ataupun mana-mana pihak yang tidak disukainya?
Tindakan itu kurang molek kerana telah mencemarkan ‘rumah’ saya yang dipertahankan supaya sentiasa elok dan berhemah dalam setiap postingnya. Tidakkah dia terfikir apa pula pandangan kawan-kawan saya, apabila seseorang yang tidak mereka kenali mencatatkan komen yang tidak cantik untuk dibaca?
Dia mengkritik bertujuan untuk membetulkan, tetapi dia sendiri menggunakan saluran yang tidak betul kerana komplennya terhadap seseorang mahupun institusi tidak sampai kepada pihak yang sepatutnya mendengar komplennya.
Pada saya, teguran kita pada apa sahaja, jika benar-benar serius harus diajukan terus secara berdepan dengan pihak berkenaan. Jika tidak, ia harus dilakukan secara terasing. Kata orang, ‘boleh PM tepi.’ Sebaliknya jika perkataan yang digunakan cara terang-terangan itu boleh menimbulkan rasa sakit hati orang lain, dia tidak baik untuk pengkritik dan sesiapa yang membaca kritiknya.
Barangkali ramai netizen yang terikut-ikut dengan cara pidato orang politik, peguam mahupun penulis yang kritis sedangkan golongan ini amat berhati-hati mengkritik meskipun apa yang dicatat itu menggunakan perkataan-perkatan yang pedas dan berapi-api.
Padahal jika diperhalusi, mereka menyampaikan kritik secara menyindir dengan menggunakan frasa-frasa berlapik seperti ‘jika beginilah keadaannya,’ ‘tindakan mereka seolah-olah’ atau ‘kita khuatir ada unsur-unsur jahat’ untuk mengelak dari disaman.
Orang profesional seperti ahli politik, peguam dan wartawan adalah umpama ahli gusti. Mereka mampu menghentam sampai luka tetapi dengan cara yang tidak menyalahi peraturan. Tetapi, ramai sekali di kalangan netizen membelasah secara membabi buta dengan membantai tanpa bertapis dalam tulisan mereka.
Di sini timbul persoalan, apakah orang yang mengkritik itu bertujuan untuk memperbetul keadaan atau hanya untuk melepas geram? Yang saya nampak, kritik yang sebegitu hanya melepaskan perasaan. Jika begitu, apakah mereka ini mahu menjadikan ruang status Facebook sebagai wailing wall? Menurut carian, nama wall dipilih sebagai nama ruang kita mencatat status oleh Mark Zukerberg, Pengasas Facebook sebagai simbol ‘tembok meratap’ orang Yahudi di tempat ibadah mereka.