BLOG

SUDAH BERPULUH TAHUN BUKU TERJUAL BARU DIKATAKAN RASIS?

SUDAH BERPULUH TAHUN BUKU TERJUAL BARU DIKATAKAN RASIS?

ENAM buah buku Dr. Seuss yang telah terbit berdekad yang lalu tidak akan dipasarkan lagi kerana ia dikatakan rasis. Buku-buku yang terbit di antara 1937 – 1976 mengandungi beberapa imej watak Asia dan kulit hitam.

Buku-buku yang terlibat mempunyai judul terkenal seperti ‘The Cat in the Hat,’ ‘Green Eggs and Ham,’ ‘If I Ran a Zoo,’ ‘And to Think That I Saw it on Mulberry Street,’ ‘McElligots Pool,’ dan ‘On Beyond Zebra.’

Demikian keputusan yang diambil oleh syarikatnya Dr. Seuss Enterprises yang berkata tindakan itu diambil kerana buku-buku itu melakar watak-watak yang rasis serta tidak sensitif. Kontroversi itu timbul kembali apabila wanita pertama ketika itu Melania Trump cuba mendermakan beberpa judul tulisan Dr. Seuss kepada sebuah perpustakaan sekolah di Massachusetts.

Pustakawan sekolah itu telah menolak pemberian Melania kerana mendakwa buku-buku itu mempunyai watak-watak yang buruk. Tahniah kerana keberanian pustakawan itu. Beliau berani menyatakan yang benar dan yang lebih penting menjaga perpustakaan sebagai gedung ilmu dan bukan tempat membuang sampah minda.

Enam buku-buku yang tidak lagi diterbitkan. Pixcredit: nbc.news

*Theodor Seuss Geisel atau lebih dikenali sebagai Dr. Seuss (1904 – 1991), adalah seorang pengarang dan kartunis Amerika yang paling dikenal dengan buku kanak-kanaknya, khususnya The Cat in the Hat.

Kita ikuti berita selanjutnya;
https://www.nytimes.com/2021/03/04/books/dr-seuss-books.html

Berita terkini, berikutan dengan isu ini, buku-buku Dr. Seuss tiba-tiba meletup di pasaran. Tajuk-tajuk bukunya mendapat tempat teratas di carta Amazon. Berikut adalah beritanya:
https://www.theguardian.com/books/2021/mar/04/dr-seuss-rockets-up-us-charts-after-books-pulled-over-racist-portrayals

Video halaman-halaman yang dikatakan rasis:
https://www.youtube.com/watch?v=661WlLF98EE

Gambar Utama: uku-buku yang terbit berdekad yang lalu dikatakan rasis. Pixcredit: marketplace

MENULIS NOVEL CINTA MACAM JUAL NASI LEMAK!

MENULIS NOVEL CINTA MACAM JUAL NASI LEMAK!

ADA orang kata, menulis novel cinta ni amat mudah. Kisah kahwin paksa, kahwin kontrak, kahwin selepas ditangkap khalwat, mula-mula benci atau lama-lama rindu. Ah, sebut apa pun jalur plotnya, akhirnya boy dan girl tu kahwin juga. Mudah sangat.

  1. Itu orang kata. Tapi cuba tanya novelis. Apa yang mereka akan jawab? Mereka akan ceritakan bahawa menulis novel cinta ini bukan mudah. Sebabnya? Sebut apa sahaja jalur plot… cinta tiga segi, empat segi, lapan segi… cinta sebelum nikah, cinta selepas nikah, berpisah dan bertemu dan berpisah, hero mati kemudian hidup balik… hampir kesemuanya sudah jadi jalur cerita orang lain.
  2. Novel cinta akan berakhir dengan hanya dua kesudahan. Pertama, pasangan kekasih itu melangkah ke jinjang pelamin. Kedua, angan pelamin mereka musnah. Kahwin atau tak kahwin, itulah kesimpulan yang akan mengakhiri cerita.
  3. Bagaimana pun jika anda penulis baru dan nak menulis novel cinta juga? Macam mana nak tulis jika semua jalan cerita dah boleh diagak kesudahannya? Bila boleh diagak, tentu pembaca tak akan suka. Bila tak suka, mereka tak akan beli novel kita. Jadi, bagaimana? Kerana itu, menulis novel cinta ini bukannya senang.
  4.  Tetapi jangan risau. Sebab, menulis novel genre lain seperti thriller, sejarah, bisnes, fantasi sci-fi atau apa sahaja, memang pun sukar juga. Kerana itu, tulis sahaja cerita cinta anda. Walaupun plotnya sama seperti cerita cinta orang lain, jangan pula lupa, nama watak, latar tempat, latar masa, dialog dan gaya penulisannya adalah tulisan anda. Orang lain tak boleh tiru. Itulah kelainan yang orang cari.
  5. Sama jugalah jika kita lihat semua manusia ada dua biji mata, dua lubang hidung dan satu mulut. Meskipun pada asasnya muka manusia adalah sama, tetapi mengapa kita tidak jemu-jemu melihat wajah-wajah manusia kalau kita duduk bersidai di kompleks membeli-belah untuk memerhati manusia?
  6. Sebabnya, walaupun ada persamaan di antara seorang manusia dengan seorang manusia yang lain, terdapat perbezaan yang membuatkan manusia itu berbeza. Selain daripada sifat-sifat asas manusia seperti dua tangan, dua kaki dan satu kepala, ciri-ciri lain seseorang manusia seperti suaranya, ketawanya, senyumannya, reaksinya apabila berdepan dengan kejutan misalnya akan menjadikan seseorang manusia itu unik. Malah sifat-sifat yang unik itulah yang menjadikan seseorang itu menarik.
  7. Cinta umpama makanan bagi manusia kerana ia adalah fitrah insan. Manusia lahir hasil daripada perhubungan cinta. Kerana itu, walaupun terdapat lain-lain genre novel, pembaca masih boleh kekal menyukai novel cinta. Malah, mereka tidak akan jemu dengan novel-novel cinta.
  8. Kerana itu, novel cinta adalah umpama nasi lemak. Meskipun semalam kita sudah menjamah nasi lemak untuk sarapan, pada pagi ini kita masih boleh menjadikan nasi lemak sebagai sarapan. Esoknya pun boleh.
  9. Yang patut dibuat oleh penulis novel ialah menjadikan hidangannya itu sebagai santapan yang terbaik. Oleh itu, ia perlu punyai asas ramuan yang lengkap seperti nasi lemak; ia perlu ada nasi, timun, ikan bilis, sepotong telur dan secubit sambal. Asas ramuan yang lengkap sudah cukup baik untuk menarik pelanggan menjamahnya.
  10. Sama juga, apabila menulis novel cinta, ia perlu ada ramuan asas yang lengkap seperti pandang pertama, pertemuan pertama, berkenalan, mengingat, mengenang, merindu lalu menyintai. Yang membezakannya daripada novel yang lain ialah latarbelakang watak, karektornya, pemilihan perkataannya, latar masa, latar tempat serta kerjaya.
  11.  Seperti nasi lemak, pelanggan akan mencuba resipi kita. Penulis kena cari resipi rahsia agar pembacanya tak lari, malah akan datang lagi.
APA IMPAK BEKERJA DI RUMAH?

APA IMPAK BEKERJA DI RUMAH?

MAAFCAKAP 10.3.2021

Ucapan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Bekerja di Rumah (BDR) sempena Hari Wanita 2021 pada 8 Mac, amat dialu-alukan. Beliau menyarankan kajian dibuat agar BDR dapat dilaksanakan di kedua-dua sektor awam dan swasta.

Saranannya, kebenaran BDR diberikan majikan kepada mereka yang terpaksa menjaga ahli keluarga yang uzur dan sakit, menjaga anak yang baharu lahir serta untuk mereka yang perlu menguruskan hal-hal keluarga berikutan kematian pasangan. Apa yang menariknya, Perdana Menteri turut mencadangkan agar mereka yang terlibat ini diberi gaji penuh.

Tiga kesatuan utama sumber manusia iaitu Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) mengalu-alukan saranan ini. Ia normal baharu yang baik apabila kita melangkah meninggalkan kegetiran pandemik Covid-19.

Covid-19 mematikan klise  bahawa ‘kerja pejabat jangan dibawa balik ke rumah, hal rumah jangan dibawa ke pejabat.’ Kini, kehidupan seharian kita saling inklusif di antara pejabat dan juga rumah. Dengan teknologi yang dibawa telefon bimbit, kita boleh bermesyuarat, berbincang dan membuat keputusan kerja, ketika di rumah. Di pejabat pula kita sempat membeli beras di pasaraya secara online.

Hal saling ‘mencuri’ di antara masa pejabat dan masa rumah sudah lama berlaku. Pandemik Covid-19 telah mengajar betapa majikan tidak boleh lagi berprasangka bahawa pekerjanya curi tulang apabila menguruskan hal-hal rumah di waktu pejabat. Majikan harus menerima normal baharu bahawa yang penting, kerja disiapkan. Samada di mana dan jam berapa seseorang pekerja itu mahu menyudahkan tugasan, sudah tidak perlu diambil tahu.

Bagaimana dengan mereka yang curi tulang? Bukankah BDR akan menyebabkan kerja tak siap kerana pekerja curi tulang? Sebenarnya pekerja yang curi tulang berada di mana-mana, pada bila-bila masa dan dalam keadaan apa pun. Benar, BDR memberi si pencuri tulang itu kebebasan untuk berleleluasa, namun jenis pekerja yang curi tulang di sesebuah pejabat itu hanya golongan minoriti.

Secara makronya pihak majikan akan beruntung apabila BDR ini diamalkan secara menyeluruh. Misalnya, hari bekerja secara rasmi di mana para pekerja hadir ke pejabat boleh dikurangkan hingga ke tiga hari seminggu. Pihak syarikat akan dapat menjimatkan kos api, air dan penghawa dingin. Malah kos penyenggaraan pejabat boleh dikurangkan.

Apabila semakin banyak sektor awam dan swasta mengamalkannya, BDR akan melegakan kesesakan jalanraya, mengurangkan pencemaran udara dari karbon monoksida dan juga stres kegilaan warga kerja mengejar masa masuk dan pulang dari pejabat. Semua kejernihan ini akhirnya menyumbang kepada matlamat budaya hijau yang masih dianggap sebagai suatu utopia.

Pandemik Covid-19 telah membuka era baru untuk normal baharu dunia pekerjaan.  Selain menurunkan kos operasi, ia akan memberi nafas baru majikan agar tidak lagi mengejar wang. Sebaliknya pembangunan manusia pula menjadi satu ciri penting indeks prestasi utama (KPI) dunia korporat.

Akan muncul trend di mana syarikat-syarikat korporat tidak gah dengan bangunan berpuluh tingkat tingginya bagi menunjukkan kehebatan. Sebaliknya kehebatannya itu diukur dengan berapa jutakah jumlah wang dibelanjakan untuk program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Dari suatu sudut pandang, BDR adalah permulaan mengembalikan manusia menjadi insan.

LATER: NOVEL TERKINI STEPHEN KING

LATER: NOVEL TERKINI STEPHEN KING

Jamie Conklin hanya mahu sebuah kehidupan biasa. Namun Jamie lahir dengan kebolehan luarbiasa. Dia boleh melihat apa yang orang lain tak nampak. Dia juga boleh belajar apa yang orang lain tak boleh belajar.

Kemahiran ini lebih dari apa yang terjangkau dek akal. Seorang anggota detektif polis telah membawanya memburu seorang pembunuh yang mengancam untuk bertindak dari dalam kubur.

LATER ialah karya Stephen King yang paling sempurna. Sebuah kisah yang menyentuh dan menyentap mengenai ketulusan yang tenggelam di antara betul dan salah. LATER begitu menguja, yang membawa ke sebuah kembara yang tak boleh dilupakan.

Pautan asal:
https://stephenking.com/upcoming/

Lelain pautan:
LATER: Novel Seram Atau Jenayah?
https://www.thehindu.com/books/crime-novel-or-horror-story-stephen-king-weighs-in-on-new-book-later/article33938612.ece

Stephen King Hasilkan Novel Jenayah Terbaru
https://www.rollingstone.com/culture/culture-news/stephen-king-teases-new-crime-novel-later-1038363/

Stephen King Lahirkan Novel Penyiasatanhttps://www.syfy.com/syfywire/stephen-king-announces-latest-novel-later

BUKU MUNSHI ABDULLAH DITULIS KEMBALI

BUKU MUNSHI ABDULLAH DITULIS KEMBALI

MUNSHI Abdullah adalah tokoh sastera dan pemikir Melayu terkemuka pada abad ke-19. Tidak banyak tulisan yang memprincikan tentang kehidupan, ketokohan dan sumbangan beliau secara mendalam. 

Namun, buku tulisan  Profesor Madya Hadijah Rahmat  dari Nanyang Technological University, Singapura merupakan buku terbaik dan paling menyeluruh setakat ini. Ia bukan sahaja bersifat multidisiplin, tetapi hasil daripada penyelidikan serius dan mendalam oleh pengkaji lebih daripada 25 tahun.

Penyelidikan bukan sahaja berdasarkan dokumen di Singapura, tetapi juga di London, Belanda dan Amerika Syarikat. Munshi Abdullah terkenal dengan mahakarya Hikayat Abdullah, Kisah Pelayaran Abdullah dan Syair Singapura Terbakar.

Artikel Buku Tulisan Prof Madya Hadijah Rahmat Pixcredit: NIE

Beliau disifatkan sebagai sarjana dan guru bahasa Melayu yang mengajar beberapa orang pegawai tinggi British seperti Sir Stamford Raffles, Richard James Wilkonson, dan Olaf Richard Winsteadt yang lebih dikenali sebagai O.R Winsteadt.

Buku dua jilid ini setebal 1,215 halaman terbitan World Scientific ini brharga RM198.

Berita selanjutnya:
https://sarawakvoice.com/2021/02/21/buku-terbaik-tentang-munshi-abdullah-setebal-1215-halaman/


LELAIN PAUTAN:
Abdullah bin Abdul Kadir Munshi
https://www.worldscientific.com/worldscibooks/10.1142/11429

The Last Will and Testament of Munshi Abdullah
https://www.jstor.org/stable/41493822?seq=1

VIDEO BERKAITAN:
https://www.facebook.com/BeritaHarianSG/videos/917746869000852/

GAMBAR UTAMA:
Kulit Buku Munshi Abdullah Pixcredit: Berita Mediacorp SG

Iklan

Petikan Terpilih

BELI MAAFCAKAP 4 – KLIK GAMBAR!

LAYAR SOROT

BELI DI BOOKDEPOSITORY

LANGGAN LAYARMINDA

[mc4wp_form id=”572″]