MAAFCAKAP 10.3.2021

Ucapan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Bekerja di Rumah (BDR) sempena Hari Wanita 2021 pada 8 Mac, amat dialu-alukan. Beliau menyarankan kajian dibuat agar BDR dapat dilaksanakan di kedua-dua sektor awam dan swasta.

Saranannya, kebenaran BDR diberikan majikan kepada mereka yang terpaksa menjaga ahli keluarga yang uzur dan sakit, menjaga anak yang baharu lahir serta untuk mereka yang perlu menguruskan hal-hal keluarga berikutan kematian pasangan. Apa yang menariknya, Perdana Menteri turut mencadangkan agar mereka yang terlibat ini diberi gaji penuh.

Tiga kesatuan utama sumber manusia iaitu Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) mengalu-alukan saranan ini. Ia normal baharu yang baik apabila kita melangkah meninggalkan kegetiran pandemik Covid-19.

Covid-19 mematikan klise  bahawa ‘kerja pejabat jangan dibawa balik ke rumah, hal rumah jangan dibawa ke pejabat.’ Kini, kehidupan seharian kita saling inklusif di antara pejabat dan juga rumah. Dengan teknologi yang dibawa telefon bimbit, kita boleh bermesyuarat, berbincang dan membuat keputusan kerja, ketika di rumah. Di pejabat pula kita sempat membeli beras di pasaraya secara online.

Hal saling ‘mencuri’ di antara masa pejabat dan masa rumah sudah lama berlaku. Pandemik Covid-19 telah mengajar betapa majikan tidak boleh lagi berprasangka bahawa pekerjanya curi tulang apabila menguruskan hal-hal rumah di waktu pejabat. Majikan harus menerima normal baharu bahawa yang penting, kerja disiapkan. Samada di mana dan jam berapa seseorang pekerja itu mahu menyudahkan tugasan, sudah tidak perlu diambil tahu.

Bagaimana dengan mereka yang curi tulang? Bukankah BDR akan menyebabkan kerja tak siap kerana pekerja curi tulang? Sebenarnya pekerja yang curi tulang berada di mana-mana, pada bila-bila masa dan dalam keadaan apa pun. Benar, BDR memberi si pencuri tulang itu kebebasan untuk berleleluasa, namun jenis pekerja yang curi tulang di sesebuah pejabat itu hanya golongan minoriti.

Secara makronya pihak majikan akan beruntung apabila BDR ini diamalkan secara menyeluruh. Misalnya, hari bekerja secara rasmi di mana para pekerja hadir ke pejabat boleh dikurangkan hingga ke tiga hari seminggu. Pihak syarikat akan dapat menjimatkan kos api, air dan penghawa dingin. Malah kos penyenggaraan pejabat boleh dikurangkan.

Apabila semakin banyak sektor awam dan swasta mengamalkannya, BDR akan melegakan kesesakan jalanraya, mengurangkan pencemaran udara dari karbon monoksida dan juga stres kegilaan warga kerja mengejar masa masuk dan pulang dari pejabat. Semua kejernihan ini akhirnya menyumbang kepada matlamat budaya hijau yang masih dianggap sebagai suatu utopia.

Pandemik Covid-19 telah membuka era baru untuk normal baharu dunia pekerjaan.  Selain menurunkan kos operasi, ia akan memberi nafas baru majikan agar tidak lagi mengejar wang. Sebaliknya pembangunan manusia pula menjadi satu ciri penting indeks prestasi utama (KPI) dunia korporat.

Akan muncul trend di mana syarikat-syarikat korporat tidak gah dengan bangunan berpuluh tingkat tingginya bagi menunjukkan kehebatan. Sebaliknya kehebatannya itu diukur dengan berapa jutakah jumlah wang dibelanjakan untuk program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Dari suatu sudut pandang, BDR adalah permulaan mengembalikan manusia menjadi insan.